Thursday, November 8, 2012

Pemulauan

 8/11/2012 22:21 


Pemulauan


Hari ini aku menamatkan pemulauan ke atas sebuah entiti Cina, San Shine Trading @ Duyung. Kedai diatas tapak tanah milik Buang Bin Ninggal sepertimana yang tertera di bumbung bangunan separa kekal ni beroperasi sekian lamanya sebagai pusat penjualan barangan setempat atau one-stop center untuk barangan hardware dan household. Telah sekian lamanya aku tidak mengunjungi dan jauh sekalilah untuk aku melangkah masuk. Namun pada pagi ini jam lebih kurang 11:15 minit pagi, aku telah membuang keegoan aku untuk mengunjunginya semula setelah kali terakhir aku hadir di premis ini pada 2 tahun yang lalu. 


Peristiwa hitam yang membawa kepada peristiharan pemulauan yang aku maklumi kepada 'orang orang' aku ketika itu seraya berikrar yang aku tidak akan mengunjunginya lagi, waima sampai bila-bila. Mungkin terbit dari rasa kecewa yang aku alami disebabkan kesilapan dan kesulitan yang sedikit cuma lalu membawa kepada berlakunya pemboikotan oleh aku seorang sahaja terhadap premis perniagaan cina hawau ni. Hal ini akan aku ulas dibawah tajuk lain pula.


Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari menghadapi cabaran, ujian, dugaan, rintangan dan apa sahaja unsur-unsur yang selain dari yang dinyatakan yang mungkin seerti dan sealiran menimpa diri. Malah setiap yang berlaku dan terjadi keatas diri setiap individu tentunya tidak sama antara individu yang lain.

Monday, April 16, 2012

Laman Kehidupanku

Ini merupakan entri pertama aku kedalam personal diary - Laman Kehidupanku - yang baru aku ujudkan.Kehadiran personal diary atau journal atau buku catatan harian atau apa saja istilah merujuk kepada dokumen ini merupakan suatu medium untuk aku meluahkan apa saja yang terbuku, terpendam, tersirat dan juga terkenang, apatah lagi yang terkena dan terkesan dihati. Aku tidak menghadkan sebarang topik untuk dibicarakan. Semuanya bergantung kepada kesesuaian masa dan ketikanya aku mendapat input yang memungkinkan aku mencoretnya dengan penuh bertanggungjawab.

Sebenarnya, amat payah untuk aku mengingati dan mengimbau susur galur perjalanan sejak aku dilahirkan di pagi Ahad 02/02/1964. Semua orang punyai kisah kehidupan masing-masing. Tiada sesiapapun menempuh kisah yang sama walaupun keberadaan di dalam kejadian yang sama. Diantara kita pastinya di suatu masa dan pada detik tertentu akan bersilang pada suatu titik untuk sesama menikmati dan menghargai kehidupan. Sudut pandang yang jarang benar bersamaan memungkinkan lama sekejapnya untuk senantiasa di suatu titik yang ditakdirkan. Makanya, untuk masing-masinglah merenungkan apa yang tersurat mahupun yang tersirat. Tafsiran yang di buat oleh diri hanya benar dan bermakna buat dirinya sendiri. Sejujurnya, tiada seorangpun berhak menafikan apatah lagi mempertikaikan walaupun mungkin kenyataan itu tidak masuk akal bagi orang lain. Apa hal untuk persoalkan sedangkan itulah perspektif dirinya.

Nak kemana kita? Rasanya tiadalah apa lagi yang hendak dikejarkan melainkan dari memantapkan diri dari segenap segi dalam menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang samada yang terjangka dan yang tak terduga sama sekali. Itupun kalau mampu untuk aku menyerap dan mengatasi segala dugaan hidup yang tidak mampu untuk sesiapapun mengelaknya. Apa yang perlu, ketabahan hati dan  berserah diri kepada yang maha Esa setelah melaksanakan yang paling terbaik mungkin berpandukan pemerhatian sekeliling keatas apa yang ditimpakanNya kepada orang lain serta panduan dan peringatanNya yang disalurkan melalui Al-Quran dan bimbingan yang ditunjukkan oleh junjungan besar kita.

Namun kemampuan seseorang untuk mentafsirkan segala peristiwa yang dilihat, dialami, didengari dan dimaklumi amat bergantung kepada sejauhmana serta sedalam mana ilmu dan kaedah yang seseorang itu miliki dalam menepati atau menemui sasaran.

Begitupun banyak perkara yang menyentuh hati kekadang tu sengaja dibiarkan berlalu. Bukan tidak mahu diulas ataupun diperkatakan tapi lebih kepada memendamnya sahaja dihati. Namun ada juga perkara-perkara yang perlu juga diluahkan agar apa yang terbuku dihati dapat dihadirkan sebagai satu panduan dan peringatan berguna dalam mengharungi sisa-sisa hidup didunia ni. Bukan mudah hendak melupakan akan sesuatu peristiwa, lebih-lebih lagi yang menyentuh hati dan perasaan. Bila diri kekurangan berbanding dengan orang lain maka tatkala itulah rasa kecelaruan mengganggu diri. Bukannya meratapi tapi tersedar beginilah hakikat kehidupan. Bertuahlah bagi mereka yang sentiasa dalam kelapangan dan kesenangan hidup. Kerapkali juga kita tidak menyedari bahawa tingkah laku kita kekadang tu boleh menyinggung perasaan orang lain. Samada tidak sengaja, disengajakan ataupun terlepas pandang namun tindak tanduk kita telah disalah tafsirkan oleh orang lain.

Sebenarnya sifat semulajadi dan potensi diri tentulah ada pada setiap insan yang normal sifatnya. Tambahan pula bila melihat orang sekeliling dan juga dimana-mana sahaja didalam dunia ini, orang yang sudah dewasa perlu melalui proses pendewasaan yang tidak perlu diajari. Segalanya bergerak dan berputar seperti yang dilihat dilingkungan kehidupan masing-masing. Hidup lawannya mati, muda lawannya tua dan segala sesuatu pastinya ada permulaan dan pengakhiran.

Redah sahajalah dan carilah keredhaanNya.

zaini642

Monday, April 16,2012

Tuesday, September 27, 2011

 26/9/2011 08:12 


Penyisihan Terancang


Amat malang rasanya bilamana kita yang merupakan majoriti tetapi hanyalah sekadar pengguna 'terbesar' saja di negara yang bertuah ini. Lebih malang lagi apabila pemimpin yang digantungkan segala harapan dalam membantu, membangunkan serta memperkasakan bangsa Melayu gagal melaksanakan amanat dan tanggungjawab sebagai pemimpin. Menolak dari memajukan segenap lapangan kehidupan orang Melayu di tanahairnya sendiri lantaran punyai kuasa dan mandat yang diberikan oleh 'pengundi' keatas pemimpin Melayu ini merupakan suatu malapetaka yang sengaja ditempah dan bakal menjelang sedikit masa lagi angkara tindak tanduk yang bertentangan dengan aspirasi dan kehendak orang Melayu. Pengkhianatan ini samada dilakukan secara sedar atau tidak sedar, langsung atau tidak langsung terhadap golongan bawahan yang sebangsa amat mengecewakan keseluruhan umat Melayu itu sendiri. Apakah mereka tiada perasaan atau sekadar melepaskan temolok masing-masing dengan menganiaya mereka yang sebangsa.


Anehnya, mereka jugalah yang mencanangkan akan peripentingnya 'Ketuanan Melayu' serta melaung-laungkan dan menjajanya keseluruh pelusuk negara dengan penuh semangat disetiap ruang dan kesempatan pabila bertemu bangsa seagama. Ini tidak, bila bertemu aje dan dirasakan mana yang berkenan dihati nak disengamakan pula. 


Apa punya malangnya bangsa Melayu yang punyai pemimpin tapi tak punya daya juang dan daya tahan yang jitu. 

Wednesday, January 20, 2010

Anak juga akan menjadi bapa jugakan suatu hari nanti, maka beringatlah .......


Sebelum tu refer yang ini dan yang ini.

Sejak berita 'gempar' yang aku terbaca diakhbar tempatan serta komen yang ditulis oleh blogger pada tarikh 15.01.2010, membuatkan aku rasa tak senang duduk serta merasakan sebak dihati sehinggalah ke hari ini. Kata orang tu, berat mana mata memandangpun lebih berat lagilah bahu yang memikulnya. Kejadian yang belum pernah aku dengari sebelum ini tetiba muncul dihadapan mata, berkat dari kemajuan teknologi yang kononnya semakin canggih. Apa-apa aje yang berlaku disekitaran amat mudah diketahui oleh public. Tak orang tak kita. Mungkin hari ini adalah hari dia, manalah tahu mungkin esok ataupun lusa giliran kita pula yang menjadi tumpuan. Takdir, kalau Allah s.w.t. nak timpakan keatas sesiapapun tak mampu rasanya untuk menolaknya. Redha dan terimalah ianya sebagai suatu ujian demi pertingkatkan tahap keimanan seseorang itu.
Kejadian yang tak tergamak dilakukan ini telahpun dilakukan. Mungkin ada sebab yang kuat terjadinya situasi ini. Peristiwa ini tak mungkin pula berlaku secara tiba-tiba saja. Tentulah ada rentetan sehingga terjadinya kejadian 'hitam' yang menimpa En. Abdul Rahman Bin Talib(57's) ni. Pastinya tentulah banyak hal yang berkaitan dan saling kait-mengait yang memungkinkan tercetusnya kegemparan ini. Satu Malaysia dah tahu beb.
Apapun sikap lepas tangan dari memikul tanggungjawab amatlah dikesali. Mungkin semasa anaknya masih kecil lagi, sibapa mengabaikan tanggungjawab membesarkannya dalam segala hal mencakupi soal sahsiah diri, ilmu keduniaan apatah lagi tentang hal-hal kehidupan selepas mati. Ternyata manusia tak terjangkau mentafsirkan apa yang mungkin berlaku dan apa yang tak mungkin berlaku sama sekali. Perkara yang remeh mungkin terlepas pandang tapi hal yang penting dan mustahak takkanlah terlepas pandang juga atau sengaja buat-buat lupa dan tak perasan pula. Musibah yang menimpa tentunya berasas. Walaupun peristiwa ini diistilahkan sebagai 'kes terpencil' namun bagi diri akulah kalau hal seperti ini tak dihebah dan dihebohkan kesetiap orang yang berfikiran waras, rasa-rasanya akan adanya peristiwa kedua, ketiga dan seterusnya berkembang biak bilamana masyarakat keseluruhannya memandang sepi 'gejala' ini. Contoh terbaik adalah gejala buang anak. Anehnya, orang Melayu yang tentunya beragama Islam yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Apa sudah jadi dan apa nak jadi agaknya.
Sesetengah orang mungkin beranggap perkara ni berlaku nun jauh di Kedah sana tapi tak ditempat aku. Dan bila kejadian yang hampir serupa berlaku ditempatnya pula diandaikan yang ianya terjadi didaerah lain dan bukannya didaerah aku. Hal yang serupa bila berlaku didalam kampung atau khariahnya sendiri, cepat-cepat pula meluahkan rasa leganya tak terjadi pada dirinya sendiri. Apa agaknya yang akan dikatakan bilamana musibah ini benar-benar menimpa batang hidup sendiri. Masa tu dah terlambat daah nak perbaiki dan memantau setiap tingkah laku dan perangai sianak. Diburukkan lagi dengan sikap masyarakat yang tak ambil peduli hal jiran-jiran demi untuk kebaikan dan keharmonian hidup bersama. Paling dikesali lagi bilamana pihak 'pemerintah' tak mampu mengesan bermacam-macam gejala buruk dalam masyarakat dan mengabaikan pula tanggungjawab dalam memandu dan memastikan norma-norma kehidupan yang sempurna dipertahan dan diperkukuhkan seerat yang boleh. Ini tidak. Boleh ke dibiarkan saja pada setiap individu itu sendiri untuk melaksanakan sendiri-sendiri. Misalnya kempen 'Rumahku Syurgaku'. Setakat berkempen aje sesiapa pun boleh. Pengisian itulah yang paling penting dan perlu berterusan yakni selagi bernyawa. Perlunya ada gelombang kesedaran di pihak individu itu sendiri dalam memantapkan lagi ilmu serta cara mengaplikasikannya dalam konteks kehidupan dan juga pihak berwajib harus terus menerus dan tak jemu-jemu mengingatkan akan peri pentingnya menjaga kerukunan berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara.
Bukan semua orang boleh jadi pemimpin. Dan tak semestinya seorang pemimpin itu mampu memimpin. Dan banyak faktor lagi yang mengganggu gugat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin. Dalam skop yang kecil, sebagai seorang bapa tentunya berbeza 'approach' yang diambil antara seorang dengan seorang yang lain dalam usahanya membesarkan serta mendidik anak walaupun dari segi biologinya mungkin setanding dan berkemampuan menghadirkan 'zuriat'. Begitu jugalah untuk menjadi pemimpin masyarakat apatah lagi sebagai pemimpin negara sememangnya amat memerlukan orang yang punyai rasa tanggungjawab serta komitment yang tinggi terhadap masyarakat yang dipimpinnya. Maaf katalah, bila dipilih dan terpilih menjadi pemimpin kemudiannya berbangga dan minta orang yang dipimpinnya membanggakannya maka amat malanglah orang pimpinannya, masyarakatnya serta bangsa keseluruhan. Tunggu sajalah hukuman yang dipinta sendiri.
Sejak tersiarnya berita gempar ni, aku menjadi begitu attentive sekali bilamana ada kesempatan, setiap akhbar dan laman web yang boleh aku baca dan fahami(Melayu ke, Inggeris ke) akan aku selak serta 'surf' bagi mendapatkan follow-up 'news' tentang hal ini. Tapi hampa aje. Kenapa tiada ditemudugakan anaknya bagi mendapatkan 'story' dipihak anaknya pula. Mungkin sebab musabab yang dihamburkan boleh dijadikan rujukan kes pada masa akan datang. 

Waulahualam.

Monday, December 14, 2009

Hari Bapa Untuk Apa?

My Kids
(Mampukah aku mentarbiah anak-anak aku ni?)

Umum mengetahui yang mana setiap tahun pada minggu ketiga bulan June diistiharkan sebagai 'Hari Bapa'. Tak tahu pulak aku bila dibuat deklarasi dan ketetapan yang telah dipersetujui oleh 'dunia'. Hari Ibu pula, kalau tak silap akulah telah disambut dan sebagai pengiktirafan kepada semua ibu pula, jatuh pada Ahad minggu kedua dibulan May.
Sesungguhnya setiap hari yang kita lalui merupakan 'peluang' untuk kita merebut segala kebaikan dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Dan dalam meniti perjalanan hidup ini, tentu saja kita berkesempatan untuk memikul berbagai peranan dalam kitaran hidup setiap yang bernyawa. Dari bayi, kanak-kanak, budak, remaja, dewasa dan usia tua nantinya(kalau sampai). Setiap peringkat pula  memerlukan approach yang berbeza. Sejauhmana dan sesempurna mana kita memikul tanggungjawab pada setiap peringkat ini pula amat memerlukan ilmu pengetahuan serta tunjukajar dari orang yang telah melaluinya. Ini boleh berlaku secara  formal ataupun tidak formal. Bergantung juga pada individu itu sendiri untuk lebih proaktif dalam memastikan setiap tindak tanduknya mengikut acuan yang dipelajari dan yang dilihatnya. Dan bagi yang berkemampuan pula, improvise dan permudahkan demi kesejahteraan ummah seluruhnya. Misalnya sistem atau aturan yang dibuat sebelum ini oleh orang/masyarakat terdahulu boleh dipertingkatkan/upgrade ketahap yang lebih sempurna atau menjadi lebih cekap. Ilham dan gesaan ini datangnya dari Allah swt jua dengan asbab kekerapan manusia mengulanginya. Antaranya, dahulu kita 'selesa' dengan kereta bergear manual, tapi kini menjadi lebih selesa dengan gear automatik pula.
Namun begitu, keadaan sebaliknya pula berlaku dalam hal hubungan sesama manusia. Diketika kita menghargai peranan bapa serta menyanjungi curahan kasih dan bakti sang ibu, hubungan kemanusiaan semakin bercelaru. Gejala sosial para remaja semakin membimbangkan. Tahap keibubapaan pasangan suami isteri menjadi tanda tanya dalam menangani setiap permasalahan keluarga. Dan lebih mencemaskan sikap endah tak endah dan rendahnya tahap kepedulian masyarakat seluruhnya dalam menyekat keruntuhan akhlak dari terus terusan merebak. Dan apa pula peranan kerajaan dalam memastikan norma-norma kehidupan berlandaskan Islam terpelihara. Setakat ber-'retorik' aje tak mencukupi. Misalnya, slogan 'Penerapan nilai-nilai Islam' di era Mahathir, serta 'Islam Hadhari' semasa Abdullah pula menerajui negara amat sedikt impactnya pada rakyat keseluruhan. Dan terkini slogan '1Malaysia' oleh Najib bukannya meleraikan apa yang bersimpul dan bercelaru malah menyebabkan yang tersimpul makin terbelit.
Mana mungkin tatkala kita menganjurkan amalan-amalan mulia untuk diamalkan dan dibudayakan, program kearah keruntuhan akhlak/moral semakin rancak dan amat hebat dilakukan juga. Program Rakan Muda dan Rakan Masjid yang bertujuan supaya orang muda mengharungi hidup diusia mudanya secara berkualiti tanpa banyak membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah gagal menyemarakkan serta menyuburkan sahsiah diri menjadi seorang Muslim yang baik, sekurang-kurangnya. Puncanya hanyalah pelan tindakan yang pada dasarnya baik dan memungkinkan ianya untuk berjaya tapi tidak mendapat sokongan serta gagal diterjemahkan oleh pihak pelaksana kepada golongan sasaran. Ini diburukkan lagi dengan tiadanya pemantauan ataupun 'monitoring' oleh pihak yang dipertanggungjawabkan akan progress serta perjalanan program yang dibuat. Lambat serta lewatnya menangani segala permasalahan dalam melaksanakan program tersebut malah tak mampu berbuat sesuatu, kononnya takut dipersalahkan atau dituduh punca kegagalan, hanya mempercepatkan lagi ianya berkubur. Semasa ianya mula diperkenalkan, penerangan serta informasi kerap tersiar di media massa. Siaran TV persembahkannya secara besar besaran menunjukkan kebaikan program yang dianjurkan serta info yang memukau dan tentunya menarik perhatian penonton. Begitu juga dengan media cetak dimana penerangan  yang panjang lebar dari konsep serta cara pelaksanaan dan matlamat yang disasarkan disiarkan oleh akhbar utama kerajaan, tak syak lagi, iaitu Utusan Malaysia(bukannya Melayu). Segalanya dirasakan mampu membolehkan rancangan ini untuk berjaya. Apapun, terbukti kini, ianya menemui kegagalan jua. Bayangkan berapa banyak peruntukan(wanglah) dan tenaga yang dah dilabur dan melebur dek kerana tiada kesungguhan oleh pihak pelaksana dan tiadanya juga gelombang kesedaran dari golongan sasar sepertimana yang diramal/dijangkakan oleh 'pencipta' segala macam 'Rakan' ni.
Apapun, bagi diri aku sendirilah, apa yang mampu dan terdaya untuk dibuat perlulah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh berhemah. Tanggungjawab seorang bapa dizaman yang serba mencabar dalam segala lapangan kehidupan adalah lebih berat dan sukar diramalkan. Umum mengetahui, bahwa setiap zaman yang berbeza perlukan cara dan pendekatan yang berlainan. Tidak semua keadaan adalah sama walaupun hadapi masaalah yang dirasakan serupa. Misalnya 20 tahun lalu dengan keadaan sekarang ni. Sesungguhnya pengalaman hidup yang diharungi oleh setiap individu merupakan 'lesson' yang amat berharga untuk disesuaikan dengan permasalahan terkini. Menyempitkan skop dalam menangani serta perbaiki keadaan tidak memungkinkan kejayaan malah boleh saja merumitkan lagi keadaan. Misalnya usaha memulihkan golongan muda yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah tidak hanya semata-mata dengan mengurungkan mereka ini di 'Pusat Serenti' dan dengan harapan program yang dibuat untuk mereka ni mampu menyedarkan serta memulihkan bila saja tamat tempoh pengurungan tersebut. Ada yang tak kena ni tapi buat tak perasan atau mengambil sikap 'peduli apa aku' atau ada agenda lain. Semuanya berkemungkinan. Tapi hakikatnya, yang keluar tidak bertambah baik malah terpaksa dimasukkan semula buat kesekian kalinya. Begitu juga jumlah penghuninya, bukannya semakin berkurangan tapi makin bertambah sehingga menimbulkan masalah nak mengurus serta mengawalselia mereka pula. Seperti ada yang tak kena dalam proses pelaksanaannya. Apataknya, orang yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program tersebut lebih kepada 'makan gaji' dan bukannya benar-benar hendak membantu memulihkan anak bangsa yang terjebak ini. Niat mereka hanyalah untuk bekerja. Nak bagi anak bini makan. Kalau tak kerja, tak berasaplah dapur. Bila niat bekerja tu hanyalah nak cari makan, maka mereka hanya melakukan apa saja yang disuruh dan diarahkan. Tak lebih dan tak kurang. Buat apa buat sesuatu yang tak diarahkan, buang masa dan memenatkan. Lebih baik buat sekadar yang diarahkan. Dan inilah mentaliti petugas yang menafikan setiap program yang dirancang dari menemui kejayaan.
Walaupun petugas dilatih sebagus mana sekalipun, waima dibawakan pakar motivasi terkenal dan terhebat sekalipun, namun belum cukup bagus untuk memulihkan anak bangsa andaikata golongan yang diamanahkan mengambil sikap sambil lewa dan tidak menyedari besarnya tanggungjawab yang harus dipikulnya. Maknanya perlu adanya 'gelombang' kesedaran dari semua pihak. Penagih perlu ada kekuatan diri untuk berubah serta pihak petugas punyai tugas dan misi memastikan program mencapai kejayaan. Komitment yang jitu amat dituntut disini. Kalau tak, lupakan aje. Semuanya akan menjadi sia-sia dan buang masa sahaja.
Dalam hal menjadi seorang ibu dan bapa yang berketrampilan bukannya satu hal yang mudah. Banyak perkara perlu diketahui serta dimengertikan. Itu belum lagi bentuk dugaan dan rintangan yang bakal ditakdirkan keatas seseorang yang bergelar bapa kononnya. Masa depan yang perlu ditempuhi tidak terduga oleh sesiapa juapun. Dalam pada sihat-sihat hari ini, mungkin esok mahupun lusa, ditimpa kecelakaan dengan tak semena-mena. Misalnya, 'stroke' separuh badan aje ataupun kudung kaki/tangan akibat kemalangan jalanraya. Apakah kita mampu, diketika itu, mendabik dada seraya berkata, 'Akulah bapa mithali', sedangkan segala makan pakai kita diurusi oleh anak-anak(kalau ada) serta isteri(itupun kalau tak cabut lari). Memang menjadi lumrah alam, kita akan disanjung ketika kita kuat dan banyak berbuat jasa terhadap keluarga. Tapi apakah jaminan perhargaan yang diberikan itu akan berterusan bilamana ditimpa kecelakaan. Sukar dijangkakan. Hanya ketentuan-Nya jualah. Yang pasti, sejauhmana dan setakat mana yang terdaya dan termampu diusahakan bagi memastikan 'seluruh' anggota keluarga dijauihi dari panasnya api neraka nanti, dikira sudah memadai. 

Waulahualam.

Wednesday, November 11, 2009

Melengah-lengahkan Sembahyang

Melengah-lengahkan Sembahyang
Tergerak pulak aku untuk mencoretkan sesuatu setelah membaca article dibawah ni yang aku copy sebahagiannya dari blog En. Hamizul yang kebetulan memasuki ruang homepage igoogle dibawah tab 'orang melaka'. Aku suka membaca apa saja coretan mengenai orang melayu dalam pelbagai aspek kehidupan dari penulis blog yang juga pelbagai ragam dan tentu sekali pelbagai latarbelakang. Membaca luahan rasa atau apa saja cerita yang ditulis oleh individu itu sendiri, rasa-rasanya lebih ikhlas dan terbuka berbanding dengan berita akhbar yang tersiar yang tentunya perlu melalui proses suntingan dan harus menepati aspirasi akhbar itu sendiri. Al-maklumlah makan gaji. Membaca kesemua blogs yang ada, rasanya mustahil dapat dilakukan walaupun berkemungkinan. So , aku setkan kepada beberapa topik iaitu 1. Tentang Coretan Pengalaman/Perjalanan Hidup, 2. Tentang Orang Melayu dan 3. Tentang Orang Melaka. Makanya, artikel-artikel yang berkaitan secara auto-nya akan memasuki 'web' aku ni dan akan aku cuba membacanya ketika ada masa terluang.
Apapun, terpanggil aku memaksa diri untuk mencoret sesuatu bilamana membaca coretan En. Hamizul tentang pengalamannya menyusuri sungai Melaka yang banyak menyimpan rahsia. Menarik pengalaman yang beliau lalui tapi apa yang lebih menarik perhatian aku ialah tentang kesesuaian masa dalam melakukan aktiviti riadah ini.
Berdasarkan keseluruhan artikel yang aku baca ni, amat jelas sedara Hamizul sekeluarga menyusuri kehulu dari jeti Quayside berdekatan 'Pusat Maklumat Pelancung' or Tourist Information Centre. Dan kemudiannya berpatah balik ketempat beliau naiki tadi dalam tempoh masa antara 40 minit ke 45 minit gitu. Hakikatnya, manusia mudah terpesona dan dipesonakan oleh kecantikan dan keindahan yang sementara sifatnya. Ujian yang ditimpakan keatas seseorang itu berbeza dan berdasarkan tingkat keupayaan mereka untuk menilai dan self-check atas apa yang dilakukan. Saya mengandaikan yang beliau sekeluarga mungkin telah berada dikawasan sekitar tebingan Sungai Melaka tu seawal 6:00 petang. Mungkin ketika menyampaikan ke sekitaran Kampung Morten tu, azan pula berkumandang. Pada tarikh lawatan yang beliau nyatakan iaitu 17/10 ataupun 18/10, waktu Maghrib bagi Bandar Melaka adalah pada pukul 18:59 manakala waktu Isyaknya pula ialah pada pukul 20:09. (sumber : www.al-azim.com)
Setahu akulah, Kg. Morten punyai surau aje memandangkan terdapatnya sebuah masjid berdekatan iaitu Masjid Pengkalan Rama yang terletak hanya diseberang sungai iaitu sebelah kanan(jika masih didalam bot tentu nampak bumbung masjid tersebut) sebelum sampai di jeti Taman Rempah. Malah besar kemungkinan laungan azan tu datangnya dari Masjid Pengkalan Rama. Tak mungkinlah ianya dari masjid Kg Hulu mahupun masjid Kg. Keling. Apa yang pasti bila bot tu buat 'U' turn untuk ke jeti Quayside mungkin mengambil masa 20 minit lagi sedangkan waktu Maghrib yang pendek sekitar 1:10minit telah tinggal hanya 50 minit saja lagi. Selesa memanglah kurang selesa bila terpaksa rushing untuk menunaikan solat. Inilah harga yang perlu dibayar pabila ingin menikmati suasana terbenamnya sang mentari dimasa yang begitu kritikal.
Secara peribadi, projek pengindahan Sg. Melaka yang dibahagikan kepada 4 fasa seawal tahun 2001 lagi serta membelanjakan sekitar RM320juta(USD100 million) keseluruhannya dan dengan harga tiket setakat RM10.00 per head serta memerlukan sekitar 45 minit , agak-agaknya berapa tahunkah ROI-nya.
Makanya dan mungkin tidak akan dilakukan oleh pihak pengurusan 'Melaka River Cruise' untuk tidak beroperasi seketika diwaktu Maghrib sementelahan pula diwaktu sebeginilah dikira 'prime time' bagi pengunjung/pelancung untuk menikmati suasana 'nyaman' serta menghidu 'haruman' air sungainya. Mungkin pihak pengurusan punyai alasan yang munasabah tapi bagaimana pula dengan pengendali bot itu sendiri. Okaylah aku makan gaji aje takkan nak bantah arahan majikan. Nah, disini kita mungkin ambil mudah bab solat ni bila berdepan dengan dilemma. Terserahlah pada individu itu sendiri untuk memilih. Jangan sampai terkeluar cakap-cakap, 'Kubur kau kau jaga, kubur aku aku jaga. Jangan nak menyibuk!' sudahlah.
Sebagai lanjutan serta ada hubung-kaitnya dengan catatan En. Hamizul ni, aku perturunkan catatan peribadi aku sekitar tahun 2006 hanya sekadar renungan di akhir artikel ni.
Petikan artikel 'Mudik di Sungai Melaka'
Pada kali ini, saya bercita-cita sangat untuk memudiki Sungai Melaka dengan botnya. Nama canggihnya Melaka River Cruise. Adik saya di Melaka (Fizah) menyarankan, jika mahu menaikinya, maka ambillah trip waktu malam. Lebih cantik pemandangan sepanjang sungai. Lalu, menjelang Maghrib kami bersiap sedialah. Tiket berharga RM10 bagi dewasa dan separuh harga bagi kanak-kanak. RM80 jugalah bagi rombongan kami.
Kemudahan agak baik. Di jeti bot, gudang-gudang lama zaman dahulu masih ada. Turut diubah suai di situ, ialah kemudahan membeli- belah cenderamata; namun agak kurang menyerlah berbanding di Dataran Pahlawan. Sementara menunggu turn menaiki bot, kami mengambil gambar keluarga sebagai kenang-kenangan. Ramai juga pelancong bersama kami, maklumlah khabarnya menarik perjalanan yang bakal ditempuh nanti.
Kami memulakan perjalanan dalam kerlipan neon serta pelbagai lampu di waktu malam. Bau air sungai agak hanyir
walau tiada kelihatan sampah atau botol-botol di permukaannya. Baguslah, setidak-tidaknya kebersihan Sungai Melaka akan terus terpelihara jika semua orang tahu menjaga kebersihan. Memang cantik apabila sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan malam yang penuh lampu warna-warni. Tiang-tiang lampu di sepanjang sungai dihias dengan lampu-lampu berwarna- warni, pancutan air bermuzik juga berwarna-warni, rumah-rumah kedai setinggi dua hingga tiga tingkat juga terjaga kebersihannya dan diterangi lampu. Jambatan pelbagai bentuk banyak merentasi Sungai Melaka dan ada pengunjung yang melambai-lambai kepada kami dari atasnya.
clip_image002clip_image004
Namun, pengalaman paling mengujakan perasaan ialah saat melewati Kampung Morten, yang dikenali sebagai ‘Muzium Hidup’, yang saya rasa adalah sebuah perkampungan lama yang sejak dahulu lagi sudah wujud di tebing Sungai Melaka. Di kampung itu, mereka memasang lampu di setiap rumah hinggakan atapnya pun disimbahi cahaya, terang-benderang kampung itu. Memang menarik sekali untuk disaksikan oleh kami. Dan…saat asyik melayan perasaan itulah, tiba-tiba sebuah masjid di kampung itu melaungkan azannya…aduhai, sangat meruntun perasaan sekali. Indah sungguh alunan suara muazzin menyeru kepada Allah SWT, dan saya berharap, hendaknya adalah manusia non-muslim yang bersama-sama kami di atas bot itu akan terdetik hatinya untuk lebih mengenali Islam kelak, insya-Allah. Anda boleh membaca lebih lanjut mengenainya di sini.
clip_image005
Keseluruhan masa sehala dalam perjalanan, mengambil kira-kira 20 minit. Jika anda ingin berjalan kaki atau berjoging, maka silakanlah…siar kaki turut dibina sepanjang tebing sungai itu. Bahkan ada satu bahagian yang turut ditanami dengan pohon-pohon bakau, memang cantik dan merimbunkan.
Anak-anak saya seronok semuanya…ya, kami mudik di Sungai Melaka…sungai yang dahulunya mungkin pernah dimudiki oleh Hang Tuah, Hang Li Poh dan Sultan Melaka!
Pasted from <http://www.hamizul.com/?p=848>
08/08/2006 Selasa.
Dipagi Selasa yang redup berkabus ni, tiadanya pancaran matahari pagi. Sejuk tak pula dirasai. Tapi dah terasa bahangnya sang mentari. Suasananya macam berada di tanah tinggi seperti di Bukit Fraser ataupun Cameron Highland. Tapi tak terasa kedinginan walaupun tak melampau seperti di Europe atau dinegara-negara beriklim sejuk lainnya. Hakikatnya seperti yang diberitakan semalam, berlakunya pembakaran terbuka di Sumatera Barat dan kawasan sekitarnya. Akibatnya terjadilah jerubu yang membuatkan jarak penglihatan berkurangan dan indeks pencemaran udara mendadak naik. Sekaligus memudaratkan kesihatan terutamanya orang tua dan juga kanak-kanak yang bermasalah dengan pernafasan. Apa kurangnya dengan orang dewasa, pun boleh dikaitkan dengan pencemaran ni. Walaupun degreenya taklah seteruk orang tua ataupun kanak-kanak, kalau nak kena, tak kiralah tua ke muda, besar mahupun kecil.
Apapun usah tertipu dengan perubahan yang berlaku. Masa tetap bergerak tanpa menunggu atau memberitahu sesiapapun. Yang lepas tetap dah berlaku dan menjadi kenang-kenangan. Yang dihadapi adalah realiti yang perlu ditangani sebaik mungkin. Dan yang akan berlaku perlukan perancangan yang rapi lagi teliti agar diredhai oleh Allah swt jua.
Diketika ini aku teringat kembali suatu 'kisah' selepas habis bertugas pada Ahad 05/08. Selepas e-mail updated sales di Central Court ke merchandiser, aku pun terus ke staff entrance. Swipe 'employee card' dan tinggalkan uniform di locker. Lihat jam dah dekat nak masuk waktu Maghrib. Borak dengan Mat Noor di park bench berdepan dengan staff entrance. Lat beberapa minit, muncul pula si Zam Zam. Bualan makin rancak, bilamana selepas dia baca akhbar didepan Admin. Office, isu serangan Israel keatas Lebanon diperkatakannya. Tuduh menuduh serta kenapa dan mengapa tak dibantu saling dilemparkan dan cuba mencari penyelesaian. Disilang pula dengan gelak ketawa bila idea yang dihamburkan terasa janggal atau agak keterlaluan dan perlu ditertawakan bersama.
Dalam pada tertawa-tawa tu, azanpun berkumandang dari masjid berhampiran iaitu Masjid Bukit Beruang yang baru. Aku berdiam diri sambil signalkan 'time-up' macam orang main basketball. , tapi Zam Zam continue bercakap-cakap serta cuba provoke aku. Aku buat selamba aje. Diajaknya Mat Noor berborak. Selesai aje azan tu, aku ucapkan 'salam' kat mereka sebab depa semua ber-shift petang. Melangkah pantaslah aku ke Kancil yang di-parking dibelakang Mc D. Tak lengah lagi, start engine kemudian bergerak pulang.
Sampai diselekoh KFC, aku perlahankan kereta sebab ada 'hump' atau bonggol. Kelihatan satu family Melayu berjalan perlahan-lahan seolah-olah bersantai lagaknya. Siibu bertudung kepala dihadapan sekali, anak-anaknya yang perempuan berbaju kurung dan lelakinya berbaju melayu dan belakang sekali sibapa. Bapanya bert-shirt dan berseluar jean aje serta sling bag bersilang dibahunya. Terpegun aku seketika bila melihat insiden ini. Nak kemana bang?, ingin rasanya aku tanyakan soalan ini. Aku perhatikan saja mereka berjalan in single line ke Mc Donald's dari dalam kereta yang sengaja aku perlahankan. Jam dah menunjukkan 7:35pm. Cepatnya mereka bersembahyang, mungkin juga untuk ke surau pelanggan didalam premis Jusco untuk menunaikan kewajiban individu. Aku cuba berprasangka baik. Tapi dalam hati masih bertelingkah. Cuba mentafsirkan dan buat andaian. Apakah ini contoh yang baik dan perlu diteladani oleh anak-anak bilamana waktu maghrib yang singkat ni dilengah-lengahkan. Tiada perasaan ke atau tak mahu muliakan. Kenapa tak keluar lepas waktu Maghrib agar tak timbul syak dan wasangka. Lebih afdal rasanya berjemaah bersama keluarga. Tapi kenapa berada diatas 'jalan' diwaktu yang dikira kurang manis bagi sebuah keluarga Melayu 'moden' ni. Apa yang hendak dibuktikan mereka. Lebih buruk lagi apakah setelah dewasa nanti, anak-anak akan berada diatas 'landasan' yang betul kalau perkara asas tak dipentingkan dan diperkukuhkan. Ibu bapa merupakan 'mentor' kepada anak-anaknya. Kalau tak mampu melaksanakan tugasan yang diamanahkan, kejayaan dalam 'memperbesarkan' anak-anak dari segi sahsiah diri, ketrampilan, menjadi insan kamil dan bertakwa rasanya sukar dicapai.
Aku bergerak meninggalkan mereka dibelakang. Sempat juga aku menjeling ke cermin pandang belakang dan aku cuma berdaya mengeleng-gelengkan kepala tanpa disuruh. Memasuki Lebuh Air Keroh, akupun memecut. Tapi tak kesampaian untuk melepasi traffic light didepan Hospital Pantai. Lampu telah bertukar 'merah' dari warna kuning. Masa digital menunjukkan '99' and start counting down. Beberapa ketika kemudiannya, terdengar siren polis trafik dari kejauhan arah bertentangan iaitu dari arah Ayer Keroh. Aku dapat saksikan dengan jelas kerja mereka berdua iaitu anggota polis trafik mengawal lalulintas di persimpangan lampu isyarat ni. Ini kerana aku berada betul-betul dihadapan sekali. Kelihatan kenderaan rasmi Gabenor atau TYT meluncur deras diiringi anggota polis trafik lainnya dihadapan dan belakangnya membelok kearah 'Istana Melaka' yang tersergam di puncak Bukit Beruang. Secara spontan aku melihat jam tanganku dan jamdi dashboard. Kedua-duanya menunjukkan waktu yang sama iaitu 7:40 petang.
Ketika berhenti seketika di persimpangan Hospital Pantai ni, aku flasback akan insiden keluarga melayu ke Mc Donald dan kini tersentak pula dengan pergerakan 'orang besau' diatas jalanraya pula dan betul-betul didepan mata. Secara tiba-tiba aku kaitkan dengan insiden yang pertama yang dilihat sebentar tadi. Apa yang mahu dibuktikan kini. Dah sembahyang ke 'orang' didalam kereta besar tu? Penting sangat ke urusan yang dibuat sebelumnya. Andaikata yang didalamnya adalah TYT sendiri, apa ertinya semua ini. Cuba bertanya-tanya sendirian. Instinct aku merasakan yang didalam tu adalah TYT memandangkan iringan polis trafik didepan dan dibelakang. Mana mungkin anggota beruniform dah bersembahyang kalau dalam masa kritikal ini masih diatas jalanraya. Tak mungkin juga didalam kereta tu bini TYT. Apa dibuatnya sehingga dah masuk waktu Maghrib masih tak masuk 'kandang' lagi. Pening kepala aku akibat berkecamuknya soalan yang bertubi-tubi. Malah gelengan kepalaku seolah-olah cuba menafikan apa yang aku lihat. Gelengan semakin lemah and back to normal bilamana lampu isyarat kembali ke warna hijau. Ini bererti aku perlu teruskan perjalanan. Begitu juga perjalanan hidup perlu diteruskan selagi ajal belum tiba.
Sebagai nak kaitkan kedua-dua insiden ni dengan apa yang telah aku baca dan cuba 'fit in' cerita yang berlaku dizaman Rasulullah saw, moga-moga menjadi input berguna didalam mengharungi kehidupan ini. Dalam buku hadis 40 atau arabnya disebut 'kitab' yang dihasilkan sekitar tahun 1929 dan aku hanya membaca versi cetakan 1968 dan antara yang berkaitan ialah dari hadis yang ke 40, iaitu;
"Telah diriwayatkan daripada Ibni Omar r.a., senya telah dipegang oleh Rasulullah bahuku seraya berkata: Adalah engkau didunia ini sebagai orang berdagang atau orang dalam tengah perjalanan.
Dan adalah Ibni Omar setelah itu berkata: Apabila engkau berpetang-petang janganlah engkau nantikan subuh-subuh dan apabila engkau bersubuh-subuh janganlah engkau nantikan petang, dan ambillah kesihatan engkau itu bagi habuan sakit engkau dan daripada hidup engkau bagi habuan mati engkau."
Hadis diriwayatkan oleh Bukhari.
Antara huraian hadis yang seperti diterjemahkan diatas, menyeru manusia yakni kita dimasa ini, supaya jangan berlengah daripada berusaha dan beramal barang satu saat pun buat habuan hidup didunia atau buat untuk akhirat. Ibarat orang berdagang yang tiada lengah sedikitpun bagi mengenal kampung dan mengenang tanah airnya. Atau orang tengah dalam perjalanan tiada lalai ia bagi meneruskan perjalanannya.
Sehubungan dengan hal diatas, aku telah dan sedang reread kitab 'Israk dan Mikraj' bersempena dengan bulan Rejab sekarang ini. 08/08/06 ni bersamaan dengan 13 Rejab 1427H. Yang berkait rapat dalam hal yang diperkatakan ni ialah peristiwa yang dilihat sendiri oleh Rasulullah saw dan minta penghuraian ataupun penjelasan dari Jibrail semasa didalam perjalanan dari Baitullah ke Baitulmukkadis. Nabi Muhammad saw dipertunjukkan akan beberapa gambaran 'tamsil' dan ibarat akan hal-hal yang berlaku keatas umatnya. Antaranya, iaitu sebelum dimikrajkan,
"Ia sampai disatu golongan yang dihempap kepala-kepala mereka dengan batu besar, tetapi tiap-tiap kali diremukkan, kembali kepala-kepala itu seperti sediakala, dan dilakukan demikian atas mereka dengan tidak putus putus. Maka Nabi bertanya, Siapakah mereka itu, Jibrail?. Jawabnya; Merekalah orang-orang yang berat kepalanya pada mengerjakan sembahyang fardhu."
Sesungguhnya setiap individu itu melalui jalan hidup yang berbeza-beza. Ada yang berliku-liku. Ada yang lurus selurus-lurusnya. Ada yang sampai ke penghujung dan ada juga sekadar dipertengahan dan lebih mengejutkan, ada yang baru nak memulakan telah dijemput pulang. Bukannya lama atau sekejap yang dilihat tapi banyak manakah 'bekalan' yang telah dikumpul untuk dibawa pulanglah yang lebih diutamakan dan dinilaikan. Apapun berusahalah tanpa mengenal jemu. 

Wasallam.