Hari ini adalah hari kedua dari 3 hari bercuti berturut-turut aku. Entah macammana boleh terlajak rajin pula. Sebelum pulang dari kerja bershif pagi pada petang Rabu(29/6), aku ke Maybank ATM di tingkat satu dan bersebelahan pula dengan Mr. D.I.Y. Perancangan yang akan aku laksanakan esok adalah untuk memasang 'water container' dan tapak battery compartment yang baru ke kanchil 660 yang sememangnya telah banyak berjasa. Barangan telah lama diterima dari Shopee. Konon kononnya hendak pasang sendirilah. Benda boleh buat dan kalau buat pembelian terus dikedai aksessori kereta, sah sah kena sembelih. Harga yang sekali imbaspun kalau tengok memang agak tinggi berbanding dengan pembelian atas talian. Ditambah pula dengan upah pemasangan yang kitapun boleh laksanakan. Mengapa perlu bayar lebih kalau sendiri mampu membuatnya. Tidak perlu hendak bandingkan dengan harga alat ganti di kedai. Seingat dan setahu aku, pekedai/pekerja alatan gantian kereta ini punyai persepsi yang berbeza antara walk-in customer dengan regular mereka.
Kalau kita saja saja singgah hendak beli, harga yang dikenakan sedikit mahal berbanding dengan pekerja bengkel yang saban hari akan datang ke kedai untuk mendapatkan alatan gantian. Aku boleh nampak 'sandiwara' mereka ini. Malah pekerja pekerja bengkel yang telah mesra dikenali memaklumkan yang kalau owner kereta yang datang hendak beli, harga kena bayar berbeza. Selalu sangat bila kereta kanchil aku ini dihantar ke bengkel dan alatan gantian yang perlu ditukar, pekerja akan minta 'boss' untuk dapatkannya andai tiada kedapatan di kedai alatan gantian kereta di IKS. Tugas 'boss' la untuk order dari pengedar yang lebih besar sejauh di Malim atau mana mana kedai yang dia biasanya akan mendapatkan bekalan. Apa yang diandaikan murah boleh melambong harganya setelah dicampurkan upah budak dispatch, upah pemasangan serta peratus keuntungan.
Aku terpaksa berkira kira kini dan mesti mulainya sekarang tambahan lagi sepertimana yang telah di-viralkan pasal segala subsidi untuk rakyat akan ditarik berkuatkuasa dari 01 Julai 2022, hari ini lah. Slogan 'Keluarga Malaysia' dah boleh dihumbankan ke laut nampak gayanya. Kalau tidak beringat, rasakanlah bebanan yang bakal menjelma yang tidak diketahui akan kesan buruknya, sama ada lama ataupun sekejap sahaja. Jadinya setelah mengeluarkan sedikit wang dari ATM, akupun menonong masuk ke Mr. DIY. Tidak ada lagi scan dahi untuk bacaan suhu dan tidak perlu juga menunjukkan 'My Sejahtera' ketika melangkah masuk. Apa yang hendak dibeli dan dimana perlu dituju secara auto-nya aku sudah terpacak memerhati memilih tools yang bersesuaian. Capai yang berhajat kemudian terus ke kaunter pembayaran.
Ingatkan semalam sudah selesai. Tapi itulahkan, kita mampu merancang tapi perlaksanaan tergendala pula. Layankan agenda orang rumah mahu membeli keperluan niaganya pula. Tidak dapat tidak maka pagi ini aku paksalah diri setelah bersarapankan 'nasi goreng telur mata' mengangkat tools box baru memulakan tugasan 'penting'. Water container dan battery compartment telah hampir sebulan sampai dan sudah dua tiga kali berubah tempat letaknya, dari dalam bilik ke kerusi rehat di verandah dan akhirnya terpelosok di sudut square marble coffee table. Ini angkara dak Oren Si Comel yang membasuh baju dan samada disengajakan ataupun tidak, tertendang mungkin, bila menjulurkan kakinya penuh aksi ketika menjilat bulunya dikerusi outdoor yang aku tempah khas dari Merlimau.
Jenuh jugalah hendak membuka memasang. Barulah aku sedar. Bukan mudah sebenarnya. Kalau tidak fokus, kelain jadinya. Lebih lebih lagi peralatan tidak sepadan. Ada beberapa tools yang tidak aku beli. Ruangan sempit memerlukan jenis peralatan yang berbeza juga. Padan dengan muka aku. Lenguh dan keras perut aku bila membongkok. Menyesalpun ada. Alangkah baiknya kalau biarkan pihak yang pakar membuatnya. Memang tepatlah kata pepatah, 'Alah bisa, tegal biasa'. Sengsara dibuatnya. Peralatan kurang, asal siap berpasang. Siappun serupa tidak semengah, asal boleh. Memang tidak berpuashati akan hasil kerja aku. Pasal dah gatal bebenar, terimalah hakikatnya. Mula kerja sekitar 11:00pagi berakhir hampir ke 1:00petang. Berbanding dengan mereka yang mahir, mungkin ambil masa tidak sampaipun setengah jam rasa rasanya.
Apapun, pengalaman memasang sendiri walaupun tanpa kemahiran membuka minda untuk mengakui kebolehan orang lain. Kemampuan seseorang adalah terbatas. Begitu jugalah dalam apa jua perkara. Tidak semuanya kita pandai dan mahir. Semua kita bergantung diantara sesama. Kelebihan mereka menjadi 'input' dalam kesempurnaan kita. Manakala kelebihan kita pula pasti akan menjadi 'kekuatan' buat mereka mengharungi kehidupan. Rezeki perlu 'dikongsi' bersama. Cumanya perspektif masing masing yang sememangnya berbeza menyebabkan timbulnya salah faham dan perasaan iri. Kecelaruan dengan mengutarakan pelbagai pertanyaan 'dalam' diri tentang kenapa dia dilebihkan, sengsara diuji, terkilan melihat orang lain bermewah mewah dan asyik senantiasa mempertikaikan bilamana sesuatu tidak menyebelahi diri.
Kita tidak tahu sebenarnya, apa yang akan terjadi pada diri dimasa mendatang. Setiap kita harus redha dan berserah diri kepada ketentuanNya.
Insaf diri bila melihatkan ada insan yang pada pandangan 'terkial-kial' mengharungi hidup. Tidak mampu juga untuk pertikaikan secara melulu kerana segalanya adalah berkemungkinan untuk berlaku. Kalau tidak dia, mungkin kita.
Apapun bermohonlah kepadaNya agar dipermudahkan akan segala urusan...ameen.
No comments:
Post a Comment