23 JANUARY 2020, 12:33
Menjelang Raya
Aku ke kedai gunting amoi sejurus bersarapan pagi - nasi lemak. Sejak semalam lagi hasrat hati untuk berguntingan tertangguh. Ali, pendatang Pakistan pandai berbahasa dek lama menetap di Malaysia dan antara bahasa paling mudah untuk dipelajari adalah bahasa melayu, tidak membuka kedainya. Tidak diketahui mengapa. Atau mungkin juga dia membuka kedainya lewat hari ini dari biasa atau aku yang terlalu awal sampai. Aku batalkan hajat dan terus ke Ambank melunasi ansuran bulanan Alza dengan memasukkan RM600 kedalam saving akaun aku. Selalu dan lazimnya aku transferkan sahaja dari Maybank akaun via 'online banking'.
Sebaik tiba di Kandang, kelihatan cuma amoi, staff sokongannya sedang menguntingkan rambut seorang budak dalam usia darjah dua rasanya. Kelihatan bapanya memerhati dari kerusi dibelakang. Masuk sahaja aku, amoi ni memanggil towkay yang berehat mungkin atau sedang membuat kerja kerja rumah didalam ruang belakang yang dijadikan rumah singgahan. Belum sempat lagi untuk aku melihat smartphone, nyonya towkay sudah memunculkan diri. Sempat aku bertanya lagi, 'nya...bila tutup.' Cepat dia menjawab, 'petang nanti'. Dalam hati berkata, 'sib baik'. Kalau dengan Ali Pakistan, aku perlu membayar RM10 tapi dengan kedai amoi yang sering aku kunjungi ni sejak lama dulu sebelum kahwin lagi aku cuma dicas RM8 sahaja. Ingat lagi dahulunya di awal 90an, kos berguntingan cuma RM2.00 yang kemudian meningkat ke RM2.50, RM3.00 sehinggalah terkini hampir ke 3 tahun sebelumnya menjadi RM8.00 dan kekal sehingga sekarang.
Isunya bukanlah soal harga tapi kesediaan perkhidmatan yang nampak biasa biasa sahaja tapi sememangnya diperlukan. Sejak Isnin lagi dirasakan rambut aku yang tidak berapa banyak ni kelihatan tidak terurus. Dirasakan sideburn seperti menyelongkah keluar dengan bulu dibahagian leher sebelah belakang semakin menjulur kebawah. Disaat aku memerlukan seorang tukang gunting lebih lebih lagi sebangsa mengikut kesesuaian waktu aku dan berdasarkan pemantauan dan pengalaman dahulu diwaktu pagi tambah tambah waktu bekerja jarang kedapatan dibuka. Kebanyakkan tukang gunting melayu tidak melibatkan diri secara sepenuh masa. Selalunya sekadar kerja 'part-time'. Makna cakap bila berkelapangan dan selalunya dibuka sebelah petang membawa kemalam. Pernah aku terserempak dalam haluan balik lewat dari tempat kerja, sedang azan dilaungkan dari masjid Raudhahtu Al-Jannah cuma diseberang jalan, terpandangkan kedai gunting melayu masih beroperasi dengan tukang guntingnya khusyuk dengan tugas menguntingnya. Bukanlah bersangka yang buruk buruk tapi apa yang terlihat seperti tidak berapa cantik. Rezeki rezeki juga tapi keutamaan bergantung pada empunya diri. Dia lebih mengetahui akan hal ehwal kehidupannya dan aku sekadar merenungi menerawang akan kejadian yang terlihatkan.
Bukanlah pula hendak katakan yang aku ini layak untuk menghakim menghukumi cuma setakat berasa agak sedikit janggal dan tidak bertepatan dengan situasi. Pandangan peribadi hanya confined kepada diri sendiri sahaja, tidak lebih dan tidak kurang. Apapun setidak tidaknya ianya menjadi pengajaran buat diri sendiri didalam mengharungi kehidupan yang tidak berapa lama laginya menuju titik akhir.
Sekejapan sahaja dia sudah membuka kain penutup badan, rasanya tidak sampaipun 10 minit. RM8.00 bertukar tangan tapi sebelum bangun aku bertanyakan, 'lama kah tutup'. Jawabnya ringkas sahaja cuma seminggu. Begitulah kerja yang dibuat sepenuh masa. Semakin lama semakin cekap. Kalau seorang dewasa dapat disudahi dibawah 10 minit sahaja, bayangkanlah kalau dia berupaya bertugas dari 11:00am sehingga 5:00pm sehari.
No comments:
Post a Comment