Januari 28, 2020
Pagi tadi sekitar kurang lebih 9:00am, aku dipanggil oleh orang rumah dari ruang tamu,'Abang...Pak Lang datang..'. Sessi 8:00am ke 9:30am adalah sessi pembaringan aku dibilik bilamana selesai aku menyudahi rutin harian ketikanya aku bershif petang ataupun bercuti. Pagi ni aku tidak berapa selesa pula. Tidak pula terlayang dan masih mendengar suara orang rumah bercakap-cakap dengan menantunya. Rupa rupanya ada tetamu hendak datang berziarah.
Makanya cepat bingkasnya aku menuju ke ruang tamu. Pak Lang tengah duduk disofa manakala orang rumah pula sedang memegang bungkusan yang dibawanya dari tanah Arab. Sehari berselang dari touch down dia datang singgah ke rumah. Selesai sudah ziarah umrahnya selama 14 hari sejak Rabu minggu sudah bersama Kak Long dan suaminya. Mereka tiga beranak pergi seminggu sebelum raya cina dan selamat kembali. Dari zahir yang kelihatan, alhamdulillah dia nampak cergas dan tiada masalah kesihatan. Selalunya mereka yang berkunjungan ke Baitu-Allah dan bila pulang ketanah-air akan batuk batuk disebabkan perubahan cuaca yang ketara berbeza.
Aku amat bersyukur yang dia tiada mengalami sebarang masalah kesihatan. Orang rumah mengunjukkan aku kopiah pemberian Pak Lang dari pemusafirannya mengerjakan umrah. Tengok sahaja aku sudah tahu sambil berbisik sendirian, 'Besar ni...mesti nampak 'kolop' jer nie'. Sudah betulpun, sarung sahaja kekepala, orang rumah dah mula gelak gelak. Pantas juga Pak Lang memaklumkan yang dia beli semuanya sama size. Apapun aku tidak kisahlah sangat. Malah berterima kasih kepadanya atas pemberian kopiah dengan kismis mekah sekotak. Sempat berbual bual bercerita tentang hal pergi baliknya dan bertanyakan keadaan orang disana. Ramai yang datang buat umrah katanya memberitahu.
Ole ole tanda ingatan |
Minyak wangi mekah |
Segan berbaur bangga aku atas kesudiannya berkunjungan pepagi kerumah. Sepatutnya akulah yang harus menziarahinya. Ini terbalik pula. Dia menjangkakan yang aku ada dirumah dimana sebelum ini dia pernah bertanya dan setelah dia mengetahui yang aku bercuti mingguan pada hari Selasa. Kuat ingatannya. Sebab itulah dia awalkan ziarahnya takut takut aku tiada dirumah. Apapun 'hal' pagi ini bilamana aku renungi dan cecuba menafsirkan membawa maksud yang amat mendalam dan penuh erti pada diri. Walaupun aku tidak menghebahkan hajat aku untuk membuat umrah kepadanya tetiba dia pula yang lebih dahulu sampai. 'Misteri' pula rasanya. Dia yang tua berselang setahun cuma dari kakak tunggal aku yang lahir ditahun 1955 dan sedekad jaraknya dengan aku dan menyaksikan pancaroba hidupnya yang pelbagai rencam yang selalu sahaja menyentuhi hati kerana aku berada amat dekat dalam lingkungan. Diketika itu aku tidak berapa berupaya membantu namun destiny ketentuan takdir dariNya tiada sesiapapun boleh menghalangi. Malahan orang yang dahulunya pernah mempersenda memperlekehkannya tidak kemanapun taraf kehidupan mereka malah ada yang telah dijemput pulang dan tiada berkesempatan berkunjungan ke Rumah Allah.
Malu rasanya hati. Rezeki kalau Allah hendak bagi memang tidak salah alamat. Dia yang bodoh bodoh alang yang sering menjadi 'mangsa' tidak pernah dikesampingkan olehNya. Ini yang aku nampak. Ujian demi ujian diterima sejak lahirnya, ketika bersekolah, ketika zaman remajanya, ketika bekerja dizaman bujangnya dan diketika zaman bekeluarganya yang aku kira amat perit dan dashyat. Bertitik tolak dari bertimpa timpanya permasalahan yang dia harus hadapi dan dengan izinanNya jua, ketiga-tiga anak perempuannya membuktikan 'mereka' boleh bangkit.
Tidak dapat berbual panjang kerana dia hendak ke tempat lain. Mungkin juga segan kerana anak menantu aku ada bersama mendengar. Sebelum dia bangun beredar, dia melepaskan 'bom' mengegarkan hati dengan katanya, 'Aku dapat buat haji tahun ini...'. Tahniah aku ucapkan kepadanya semuga semua hajatnya tercapai dan dipermudahkan segala urusan.
Aku termanggu seketika bersambung pembaringan dibilik sebelum ke bilik air. Memikirkan apakah isyarat dariNya untuk aku. Aku amat maklumi yang aku berniat untuk mengerjakan umrah menjelang usia aku yang ke 55 lepas keluarkan duit EPF. Namun sehingga kini aku belum bertindak seharus dan sepatutnya.
Moga hajat aku didengariNya. Ameen
No comments:
Post a Comment