02 FEBRUARY 2020, 15:04
Samada kebetulan ataupun ketentuan, Ahad pagi 56 tahun lalu aku hadir kedunia. Panjang ceritanya untuk dinukilkan satu per satu kisah kisah yang melingkari hidup ini. Betapapun 56 tahun adalah satu perjalanan masa yang dikira agak panjang dan tidak terimpikan yang aku akan turut sama merasai tahun ‘Wawasan 2020’. Semacam tradisi pula setiap kali tibanya detik 02/02 setiap tahun dan tidak dapat tidak, aku akan cuba untuk bercuti pada hari istimewa ini. Kekadang kebetulan pula yang 02/02 ni jatuh pada cuti mingguan.
Menoleh kebelakang mengimbau setiap kejadian yang dialami apatah lagi yang menyentuh perasaan, memilukan hati dan mengubah arah perjalanan yang berliku-liku adalah bukan kehendak sendiri. Sememangnya telah diuntukkan buat aku seorang khususnya. Tiada sesiapapun mampu menolak menahan tapi harus tabah berani menghadapi cabaran yang dihadirkan ditimpakan keatas diri.
Pun begitu, tangkas bangkit bertindak mengikut seperti unjuranNya yang sekitar 1400 tahun lebih telah termaktub menjadi pemerhatian. Kekadang kita merasakan seperti tidak berdaya berupaya menghadapi ujian sedangkan telah dikhabarkan setiap ujian yang ditimpakan keatas seseorang amat berkadaran dengan keupayaan dirinya. Jelas dalam perkara ini kita masih gagal memahamkan apatah lagi untuk mengaplikasikan setiap suruhan dan tegahanNya. Potensi diri belum mencapai tahap maksimum lagi.
Setahun berlalu sejak KWSP dikeluarkan, ubahsuai rumah dan kahwinkan anak berjalan mengikut sepertimana yang dirancangkan namun masih ada satu lagi hajat yang pada awal tahun lalu berkobar bersemangat tapi masih belum tertunaikan. Rasa bagai diperhatikan. Bak kata Rockwell, ‘I always feel now, somebody is watching me…’ . Perasaan ini seperti dapat merasakan dari ‘isyarat’ yang mungkin dan seharusnya ditujukan pada diri.
Kisah semalam, ketika pulang dari kerja diwaktu menghampiri ke 7:00pm, orang rumah dengan menantu serta anak tengah sibuk menyiapkan pelbagai kuih untuk event lepas Maghrib nanti. Bila ditanya, ‘nak buat kenduri ke…’ , cepat orang rumah menjawab, ‘tidak la…Mala tadi order…untuk tahlil lepas Maghrib ker Isyak nanti. Anak kepada arwah datang menempah kat dia. Dia main sanggup sahaja. Bila dapat job dia akan cari orang yang sanggup sediakan. Kira ambil untung atas angin sahaja. Rezeki dikongsi bersama. Bila ditanya siapa, mengikut kata Mala arwah ni orang bawah sana Cikgu Yasin. Bila disebut sahaja cikgu Yasin, segera sahaja aku terbayangkan orangnya yang besar tinggi. Orang masjid, maklumlah pencen cikgu. Nampak cergas dan tidak makan tua. Kerap berbual dan bertemu dengannya dipasar malam sebelum sebelum ini. Setiap kali bila bertemu, dia amat runsing dengan appearance aku. Risau sungguh dia yang aku semakin kurus sehingga pantas sahaja dia mengajukan soalan setiap kali bertemu, ‘ada hidap sakit ke…’ . Aku tidak berdaya menyembunyikan dan terus sahaja aku maklumkan yang aku ada pheumonia. Upgrade sikit la penyakit tu biar nampak gah walhal yang sebenarnya adalah penyakit semput yakni penyakit yang bersangkut paut dengan pernafasan, paru-paru berair. Selalunya diakhir pertemuan perbualan beliau akan mengingatkan semoga menjaga kesihatan. Pada pertemuan pertama dan kedua, pertanyaannya dirasakan ikhlas dan ini hanyalah sudut pandangan aku. Sambil sambil itu dia juga memaklumkan banyakkan bersenam menjaga kesihatan dengan merujuk pada dirinya sebagai contoh.
Terkejutlah aku bila dinyatakan yang arwah ini telah meninggal dunia pada tiga hari lepas. Semalam adalah malam ketiga dan pihak keluarga membuat tahlil untuknya. Apapun aku teringat ketika selesai maghrib di Raudhatu-Al-Jannah, jemaah dijemput untuk menjamu selera sempena Jamuan Raya PH 2019. Sementara menunggu isyak dan menikmati juadah raya sempat lagilah berborak dengan kisah kisah semasa. Entah macammana tersebut pula topik buat umrah. Dia pernah pergi dengan anaknya dahulu. Pesannya lagi kalau dah ada niat, insya-Allah, akan dipermudahkan cara kesana.
Apakah yang hendak ditusukkan kedalam hati ini dengan peristiwa ini dan sebelum ini pada Selasa(28/01) bilamana ‘Pak Lang’ datang berkunjungan selepas balik mengerjakan umrah. Pening kepala dibuatnya sedangkan aku masih belum bertindak. Ingat lagi aku pada minggu sebelum CNY, 20/01, rakan sesama di GPMS singgah ditempat kerja bertanyakan samada aku telah berangkat mengerjakan umrah. Dia menasihatkan supaya settlekan apa yang patut sebelum pergi sambil memaklumkan yang dia dengan kerabat akan pergi pada 01/03 nanti.
Disaat dan diketika ini selepas selesai menghadirkan diri ke jemputan kahwin jiran baris belakang dan rakan sekerja di Bukit Pulau, Paya Ikan – aku termanggu memikirkan langkah seterusnya yang harus aku ambil. Tepat, betul ataupun sebaliknya. Sisa usia yang masih berbaki tidak harus dipersia-siakan. Menjalani kehidupan berkualiti memanglah menjadi hasrat impian. Namun ketentuan dariNya agar menepati sepertimana yang dimahukan amat sukar dipastikan. Segalanya berkemungkinan. Biar sebaik manapun perancangan yang kita buat namun masih tidak mampu untuk mengatasi perancangan Allah swt.
No comments:
Post a Comment