Sunday, November 13, 2016

Panahan petir yang memilukan...

13 NOVEMBER 2016, 19:40
Seawal 6:30 petang lagi, cuaca mendung. Isyarat awal atau petanda hujan akan turun selepas itu antara cepat atau mungkin lewat datangnya. Itu urutan yang pasti terjadi. Berkeadaan sejuk semacam maka tidak mungkin pula hujan tidak berlaku. Kepastian yang berpandukan kepada memerhatikan serta mengalami sendiri kesekian kalinya proses mula sehingga berhentinya hujan menyedarkan betapa tidak berdayanya kita menahan kejadian semulajadi alam. Guruh yang sayup sayup kedengaran sebelum maghrib semakin kuat kedengaran serta kerap hadirnya ketika memasuki waktu maghrib. Bertukar petir atau kilat yang bercahaya benderang seketika membelah awan dengan bunyi dentuman yang mengegarkan. Pun begitu urusan insan berjalan seperti biasa. Masuk waktu sembahyang kenalah bersembahyang.


Selesai solat, tergerak pula untuk mencoret. Hujan diluar seakan menjadi 'background music' diketika ini. Disaat kita sedang duduk-duduk, ada insan lain yang sibuk dengan urusan kehidupan masing-masing. Semua mereka melakukannya bersebab. Mana ada membuat sesuatu bukan dengan kerelaan. Mungkin masa dan ketika tidak berapa sesuai dari sudut pandangan kita. Apapun, urusan sendiri hanyalah individu itu sendirilah yang lebih maklum. Biarpun begitu dan dalam kelekaan mengurusi setiap hal dan kegiatan kita, tidak semena-mena pula kejadian yang tidak disangka-sangkakan menimpa diri. Sekali lagi dapat disimpulkan yang kita tidak mampu mengelak kejadian yang diluar pemikiran pemahaman untuk terjadi.

Petang tadi selepas zohor didirikan aku berehatlah dibilik locker sahaja. Melayankan smartphone mengintai blog dan whatApps group yang disertai sampaikan battery kehabisan. Rakan sebelah, seorang PB or Polis Bantuan pertengahan 40an, yang turut sama berehat leka dengan games. Sempat lagi menegur, 'Aiik!, battery kong sudah.' bila dia terdengarkan bunyi signal low battery power akan smartphone aku. Aku cuma sekadar angkat bahu sahaja sambil tergelak kecil. Tiada apa hendak dibuat, aku lihatlah lembaran akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 November. Terbitan Jumaat yang lusuh keadaan tapi cerita yang terkandung belum pernah aku bacai. Teringatlah si-Apek yang smash si Aziz yang begitu innocent memaklumkan akan macam-macam berita yang boleh dibaca bila harga sebeban akhbar yang ditawarkan begitu murah dengan katanya, 'Gua beli bukan mahu baca berita.' Sempat dia sekolahkan si Aziz lagi yang mana dia beli pakai borong sedangkan si Aziz beli kira keping. Berita utama pasal seorang 'orang besar' GLC, yang kehidupannya serba mewah sampaikan membeli 9 biji rumah secara tunai telah ditangkap. Sekadar mencebik sahajalah aku. Kuman seberang sungai, seberang selat mahupun seberang laut nampak jelas dipandangan tapi yang menghairankan sanggup pula gajah depan mata boleh buat-buat tidak nampak apatah lagi perasankan. Kemudian selak kemuka dalam pula, terpampang 2 muka penuh sebelah menyebelah dengan gambar warna lagi memenuhinya. Tangkapan penguatkuasa disana sini akan peniaga yang tidak beretika melakukan aktiviti menyorokkan minyak masak. Tiba-tiba serentak pula kejadian, harga naik agak melampau, minyak pula disorokkan. Apa punya sandiwara yang mahu dimaklumkan kepada pembaca. Rationalizing subsidy untuk minyak masak yang bagi golongan bawahan bermaksud harga minyak naik. Tapi pengertian pihak pentadbir negara yang terlebih bijak dan terlebih pandai amat jauh bezanya. Kesan langsung yang segera dialami oleh golongan bawahan semacam tidak dikesahkan. Pandai-pandailah hendak hidup.

Kisah benar yang perlu sesama kita membantu


Tapi bila membaca berita dari Gua Musang yang trajis berlakunya amat menyentap perasaan aku. Seolah tidak percaya akan kisah yang dilaporkan ini. Harus datangnya dari stringer mereka yang berada di Kelantan memaklumkan akan kisah ini yang mungkin tidak kedapatan diakhbar selainnya. Nilai beritanya kecil sahaja dari sudut pandang ketua pengarangnya dan diletakkan dimuka jauh dibelakang sebelum ruangan sukan. Tapi bagi diri aku andailah benar sepertimana yang dilaporkan, nilai beritanya amatlah besar. Membaca penuh teliti urutan kisah kejadian mula sehinggalah tergelimpang maut dipanah dengan penggunaan perkataan dan bentuk ayat yang dipilih sendiri untuk meyakinkan pembaca bagi mengambarkan situasi kejadian. Seolah dia berada disana diketika berlakunya tragedy. Aku pula cuba visualise-kan detik kejadian seumpama babak lakonan. Macammana dengan mimik mukanya mengarahkan anak yang membantunya dibangsal untuk segera masuk ke rumah. Mungkin kata si-arwah ini, 'Sudah... tinggalkan kerja tu. Baik angah lari cepat masuk rumah. Kilat ni... bahaya... kalau apa-apa berlaku kan ke susah nanti. Ayah siapkan yang ni, ayah akan menyusul kemudian.' Untuk lebih memilukan pembaca, sepatutnya pelapor berita ini memasukkan dailog terakhir yang sempat dipesankan kepada anaknya. Tidak tercatatpun tidak mengapa. Anaknya yang seperti terlepas dari ajal andai tidak berbuat sepertimana yang diarahkan bapanya pastinya akan mengenangkan kata-kata ayah tercintanya sehinggalah kepenghujung usia. Tiada siapa mampu meragut kenangan terakhir bersama arwah. Kita pula yang membaca yang bukanpun saudara rapat atau mengenalinya secara peribadi dan cuma saudara seislam yang jauh di Melaka ini hanya bersimpati keatas 'malang' yang menimpa keluarga mereka. Hanya titipan doa mengharapkanNya memudahkan segala urusan kehidupan mereka sekeluarga yang tetiba kehilangan ketua keluarga. Apapun, Kak Norazila kita ini, yang selama ini berperanan sebagai ibu dan dalam sekelipan mata harus juga memangku tugas bapa mentadbir urus lapan orang anak dari yang dewasanya baru berusia 18 tahun sampailah yang berusia 2 tahun kembar pula. Lebih memeritkan lagi, 5 dari 8 anaknya masih bersekolah dan ditambah pula OKu yang pastinya memerlukan belanja yang besar. Kemanakah harus dia mengadu nasib.

Jika difikirkan dan diperpanjangkan kesahnya ini, mungkin tidak tertanggung bagi sesiapapun yang tidak semena-mena menghadapi situasi sebegini. Dari photo keluarga arwah Shamsudin yang sebaya aku bila diamat-amati kelihatan wajah isterinya seperti tidak sepadan dengan usia 38 tahun. Teruk lasak bekerja tanpa penjagaan diri yang baik lagi sempurna biasanya mudah menyebabkan raut wajah kelihatan sudah berumur pertengahan 50an. Kita akan terpinga-pinga memikirkan kenapalah dia yang susah hidup sekeluarga diuji dengan sedemikian rupa. Tidak akan dapat jawapan yang tepat akan hal yang diluar bidang kuasa kita. Tapi Allah swt telah lama dulu mengingatkan kita akan ketentuanNya didalam banyak ayat yang kerap dibaca dan faham akan maksudnya. Frasa yang biasa terjumpa yang muncul sepertimana didalam sebahagian ayat ke 20, surah albaqarah,

إن اللهَ عل كُلِ شَىْءٍ قَدِيرٌ.

Pengertian dalam konteks ini bermaksud, Hanya Allah swt jualah yang berkuasa menentukan akan sesuatu kejadian. Kita semua ini yang bertaraf hamba tidak mampu mengerti setiap dan semua kejadian yang berlaku dengan sebenar-benarnya. Malah ingatanNya pada malaikat yang bertanya penuh keraguan membuktikan. Rujuk penghujung ayat ke-30,

قالَ إنى اٰعْلَمُ ما لاَ تَعْلَمون.

Dailog yang mematikan prasangka buruk para malaikat akan keujudan manusia dengan kata tegasNya, 'Sesungguhnya Aku amat mengetahui akan apa yang tidak kamu semua ketahui.'

Manakala dari sudut pandang aku yang tidak meluas skopnya, aku melihat dari perspektif selepas kejadian. Bagaimanakah kita sesama saudara boleh dan mampu membantu meringankan beban yang ditanggunginya. Cukupkah sekadar bersimpati dan meluahkan rasa simpati di whatsApp grup sahaja sambil meminta yang lain untuk turut sama bersimpati. Tentulah tidak bertepatan dan jauh dari meringankan. Malah mungkin lebih mengusutkan keadaan dengan saling tuduh menuduh kenapa mereka yang berkenaan tidak segera membantu. Banyaknya seruan dan suruhan Allah swt akan perihal anak yatim dan orang yang susah lagi kesempitan. Apakah setiap ayat yang dibaca didalam sembahyang, ditilawahkan pula sampai ke peringkat antarabangsa tidak diketahui maknanya atau sekadar lafaz dimulut sahaja. Dia maha melihat lagi maha mengetahui. Pihak kita pula harus mempraktikan apa yang dibaca. Knowledge is not power but action is. Sejauhmanakah kita beramal dengan apa yang dibaca dan difahami. Setiap perbuatan akan menjadi bukti amalan untuk dibawa ke sana nanti. Kitakan ditempelak akan sembahyang yang kita dirikan bilamana antara ayat lazim ketika sembahyang, surah ke-107, surah al-maun(Small Kindness) akan ketidak-mahuan kita  membantu anak yatim serta menolong orang miskin. Kejadian ini membuatkan banyak pihak harus segera membantu meringankan beban. Semua kita kalau diikutkan harus bertanggungjawab. Banyak ayat-ayat yang terkandung perkataan anak yatim dan orang miskin. Bagi anak yatim sahaja banyak ayat untuk kita fahami dan praktikkan seharusnya yang antaranya seruan untuk kita membantu, ingatan melarang menganiaya, serta tegahan memakan harta peninggalan arwah bahkan digalakkan membimbing mereka agar menjadi insan berguna dikemudian hari. Begitu jugalah akan perihal orang miskin. Membantulah kita dengan jalan bersedekah kerana kemiskinan seseorang menurut ketentuan Allah jualah. Kita tidak perlu sampai ketahap 'ignorant' dengan menyangkakan seseorang itu kecukupan belanja hidupnya sedangkan tanda-tanda kemiskinan hidup jelas dapat kita lihat. Maka bantulah mana yang perlu kerana mereka yang susah ini pun punya harga diri dan meminta-minta bukanlah sesuatu yang selalu dibuat tapi sekadar bila memerlukan.

Maka sejauhmanakah kita mempraktikkan sesempurnanya dan sepantas mana pula kita menyedari dan membantu sesama kita yang ditimpa musibah.

Moga kita dimudahkan olehNya akan segala urusan kehidupan kita.

No comments: