Tuesday, March 8, 2016

Dah tetap... kata Pak Abu

05 FEBRUARY 2016, 02:31 PM

  الحمد لله,
Segala yang samar sudah jelas. Apa yang ditunggu-tunggu telahpun tiba. Mana yang dipohon telah didapati. Pastinya lorongan yang terhampar perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin.




Yang dtunggu-tunggu


Seharian dan semalaman, aku menyibukkan diri dengan mencoret sesuatu di personal journal. Bersempena hari keputeraan aku pada 02/02/2016, coretan yang menjadi kemestian saban tahun masih belum disudahkan. Dua catatan berjalan serentak. Apapun, penerimaan pihak MRSM keatas permohonan yang penuh bererti bukan sahaja buat anak tapi buat diri aku sendiri amat-amat aku hargai. Harapan agar ada dikalangan waris aku yang berjaya memasuki ternyata menjadi kenyataan. Syukur yang tidak terhingga tentunyalah dipanjangkan ke hadrat Illahi adanya. Sememangnyalah perasaan gembira bercampur terharu silih berganti difikiran. Gembira kerana selama menyekolahkannya, tiada sebarang target aku tetapkan. Terpulanglah kepada kepintaran dan sokongan serta dokongan guru-guru di Demang Hussin mengaturkan program kecemerlangan. Malah tiadapun persediaan untuk menempatkan laluan ke sekolah menengahnya selepas menduduki UPSR-nya buat kali terakhir tahun 2015 yang merupakan format terakhir penilaian pencapaian murid-murid sekolah rendah. Kelewatan mendaftar secara on-line untuk kemasukan ke SBP adalah bersebab. Aku tidak mahu mendahului masa walaupun potensi untuknya mendapat 5A  adalah dijangkakan. Malahan dia adalah dikalangan 24 orang yang disandarkan untuk 5A berdasarkan target sekolah walaupun masa percubaan, dia hanya mendapat 4A & 1B. Aku bukanlah tidak menghiraukannya cuma tidak mahu menganggu perancangan pihak sekolah untuk mencapai target. Bantuan yang aku hulurkan adalah dengan memastikan semasa dirumah, dia harus mematuhi serta mengingatkan pentingnya buat dirinya cemerlang demi masa depan. Setiap yang kurang akan sedaya upaya aku cukupkan. Tahap kecergasan pula aku akan pastikan kekal cergas. Bersarapan dahulu disamping wang saku setiap hari persekolahan disediakan bagi memastikan mental dan fizikalnya tidak terganggu. Suasana pembelajaran dipantau lebih-lebih lagi selepas raya yang kurang lebih sebulan sahaja lagi sebelum ujian besarnya bermula.

Teringat masa pengumuman keputusan UPSR yang aku turut hadiri. Terharu pula bila aku sendiri yang mendengar namanya diumumkan di Anjung Informasi sebagai orang ke 8 mendapatkan slip keputusan yang disampaikan sendiri oleh Pn. Guru Besar, Pn. Asmah Hitam. Malah aku dijemput bergambar bersama sebagaimana ibu dan bapa yang sesama hadir pada pelajar pertama, kedua dan berikutnya untuk diabadikan oleh pihak sekolah. Pastinya kejayaan anak tentulah mengembirakan ibu dan bapa. Tidak dinafikan perasaan gembira melonjak-lonjak didalam diri. Memanglah kejayaan anak adalah kejayaan bapanya juga. Saat bergambar bergandingan dan ketika keluar dari Anjung Informasi terasa berjalanpun macam tidak jejak bumi. Bangga yang teramat sangatlah kononnya. Selepas beberapa ketika setelah menerima slip keputusan, aku cuba hubungi orang rumah. Tiada berjawab. Cuba sekali lagi, juga tidak berjawab. Bila kali ketikapun tidak berjawab akupun bergerak menjauhi Anjung Informasi bagi memudahkan mereka menyaksikan dan membolehkan mereka bergerak kedepan andai nama anak-anak masing-masing pula yang akan dipanggil oleh Pn. Guru Besar.

Pastinyalah tiada sesiapapun yang ingin mendengar berita kegagalan. Setiap ibubapa walau tidak menghiraukan samada anaknya belajar ke atau memain aje disekolah, sekelumit juapun tidak terfikirkan kegagalan. Semuanya mahukan anak mereka berjaya. Mendengar nama anak disebutkan oleh guru pastinyalah mengembirakan. Namun bila semakin menghujung, perasaan bangga mungkin perlahan-lahan bertukar malu. Mungkin aku sahaja yang berprasangka sedemikian walaupun terpapar jelas kesedihan diraut wajah ibubapa yang masih setia berdiri di tepi tembok anjung informasi. Semangat yang ditunjukkan mereka agar anak-anak yang kurang berjaya tidak terasa hati. Terpulanglah buat mereka menilaikan sendiri peristiwa yang sesama dialami.

Apapun, kejayaan yang diraih bukanlah penentu masa depan. Cabaran dan rintangan menempuh hari muka tidak terduga dan terfikirkan oleh sesiapa juapun. Hanyalah pada individu itu sendiri untuk menghadapinya secara bijak dan berhemah. Pengalaman baru ditempat yang amat asing dan berlainan  buat budak berusia 12 tahun pastinya mencabar. Hanyalah dorongan dan kata-kata ransangan yang mampu aku ucapkan agar dia berjaya mengharungi segala bagai yang mendatanginya. Ku katakan juga, untuk berjaya bukan mudah. Banyak perkara yang harus dikorbankan demi mencapai matlamat. Aku peringatkan juga, 5 tahun lamanya 'dikurung' adalah masa yang diri sendiri merelakan demi masa depan yang bermakna. Tidak semua orang berpeluang. Dan peluang yang terhidang seharusnya dimanfaatkan sehabis baik.

Apa yang pastinya, bapanyalah yang parah. Belanja ke MHS sahaja dekat RM800.00 jugalah terlokop. Untuk ke MRSM pula RM1000.00 telah aku reserved-kan. Andai tidak mencukupi juga, alamat berpeluhlah diri. Berita penerimaan masuk ke maktab telah diterima pada 04/02 bersamaan Khamis iaitu hari aku bercuti mingguan. SMS yang masuk sekitar lepas zohor itu aku hebahkan pada orang rumah. Terpancar kegembiraan diwajahnya sambil menyebut-yebut, 'permintaan' bertahajjud dimakbulkanNya. Teringat lagi, Ucee memaklumkan yang result akan keluar awal Februari menurut bualan sesama rakannya diasrama MHS semasa datang menziarah pada 31/01. Pantas sahaja orang rumah memaklumkan berita yang amat dinanti-nantikan ini pada Ucee yang ketika menalipon rumah memberitahu cuti seminggu bersempena Tahun Baru Cina.


Bersama Pakcik...


Selepas berjumaat, buat kali terakhir menziarahinya di asrama. Dari jauh kelihatan dia sudah menunggu didepan pagar asrama bersama Pak Guard yang mesra alam. Segala khazanah telah dipunggah keluar berbeg-beg dibangku batu bersebelahan meja pak guard. Ceria penampilan. Seolah-olah bersedia menempuh segala cabaran. Bersalamanlah dengan pakcik guard yang banyak membantu dan lebih mengenali Ucee dari sebelumnya. Malah dia pula yang terharu bila dimaklumkan yang Ucee tidak akan kembali keasrama selepas seminggu lamanya cuti tahun baru cina. Secara spontan juga dikeluarnyalah RM10 dan diserahkan kepada Ucee sebagai 'hadiah' dan kenang-kenangan.

Moga-moga apa yang diharapkan dan dihajati terlaksana hendaknya. Ameen!!!

No comments: