Thursday, July 2, 2015

Bayar Fitrah cara 'pandu lalu'

Sekejap sahaja kita telah berada dihari ke-limabelas(15) berpuasa. Pejam celik, pejam celik sahaja mood hendak beraya pula pantas menyelinap. Inilah yang dapat disaksikan dimana-mana sahaja aku berada. Kuih raya sejak sebelum puasa lagi telah berada dipasaran. Malahan, Mydin yang berbangga sebagai pasaraya besar bumiputera sejak April telah bersusun pelbagai kuih raya dipamirkan. Begitu juga dengan Bazaar Ramadhan, seminggu sebelum seluruh umat Muhammad berpuasa, kontraktor yang dilantik atau mungkin yang terpilih telahpun sibuk memasang Arabian Tent disepanjang Jalan Hang Tuah yang membentuk kawasan Hang Tuah Mall. Mood raya benar-benar telah ditasakkan kepada orang melaka. Secara sedar mahupun tidak, kita telah dipengaruhi malah diajak untuk memeriahkan Raya melebihi dari memuliakan puasa yang belumpun bermula dan perlu dijalani selama 29 hari saja dan jarang benarnya mengenapi 30 hari. Ibarat aliran arus deras dari hilir, mahu tidak mahu, suka tidak suka andai tidak kuat pertahanan, maka segalanya akan hanyut kehilirlah kita. Bergerak secara berseorangan tentulah tidak sama dengan berjamaah.

Kuih Raya Di Mydin

Bazaar Ramadhan bakal bermula
Kaunter Zakat, terlindung dek pembayar adalah imam 2


Sekadar renungan pula dipertengahan Ramadhan kali ini, aku merasakan banyaknya kepelikan yang berlaku samada kearah kebaikan mahupun sebaliknya. Terpulanglah pada seseorang untuk merenungi baik buruknya setiap sesuatu yang berlaku didepan mata. Sejak beberapa hari terperasan olehku akan imam 2 khariah bukit beruang diitempat aku berkhidmat. Kerap mendapati dia melintasi jalan memasuki premis niaga tapi tidak sempat menegurnya kerana jauh jaraknya dan berada didalam kereta pula. Kurang manis pula dan tidak beradap pula bila terlaung-laung menegur. Selepas sempurna isyak, turun ke ground floor bagi melihat ramai tidaknya shopper setakat memasuki malam ke 15 ini. Ramainya yang berkunjungan terdiri dari golongan muda. Sedikit benar dari mereka yang berusia mungkin sedang berjamaah dimasjid merebut,'magfirah' untuk 10 malam kedua ini dan bakal melipatgandakan ibadat buat 10 malam terakhir nanti. Imam dua ini sebenarnya telah beberapa kali ramadhan terdahulu statik sepanjang bulan puasa dikaunter khas yang disediakan. Tugasnya selain imam merangkap juga sebagai amil. Kurang lebih pukul 9:00 malam cuba melihat sejauhmanakah orangramai memanfaatkan kemudahan kaunter khas pembayaran zakat fitrah dipremis perniagaan. Malah dirasakan malam ini pengunjung semakin ramai berbanding dari permulaan puasa. Kehadiran yang ramai dan dimeriahkan lagi dengan alunan lagu raya yang diperdengarkan sejak 10 puasa lagi, melonjakkan lagi semangat raya pengunjung.

Peliknya, orang kita ini sudah senang, hendak senang lagi. Kebiasaan sejak dulu lagi dan sudah lama membudaya dimana kita telah dibiasakan membayar fitrah dimasjid. Semasa kecil dahulu, aku melihat bapak membayar fitrah selepas solat asar. Amil yang juga orang sekampong, boleh berbual-bual dengan orang sekhariah selepas selesai menunaikan tanggungjawab. Rasa lebih mesra dan rapat ukhwah. Kini, kononnya zaman sudah berubah, maka cara mengutip fitrahpun terpaksa disesuaikan. Masa mula-mula diujudkan kaunter pembayaran fitrah ditempat tumpuan ramai, terasa sangat janggal. Selepas beberapa ketika, pemandangan kaunter zakat fitrah ditempat tumpuan ramai tidaklah menjadi kepelikan lagi dan diterima dengan baiknya oleh masyarakat kini. Namun tiadanya bantahan bukan bermakna semua orang bersetuju. Kenapa perlunya ada initiatif sebegini yang tidak terfikirkan dahulu dan apakah tiada jalan lain atau telah terdesak sangatkah sehingga soal-soal yang melibatkan hal-hal keagamaan dibawa keluar dari lingkungan. Orang yang berpuasa dan tentulah maklum akan hal yang menyangkutpaut dengan puasa tidak akan terlupa akan tanggungjawabnya. Apa yang pasti, pak imam dan para amil yang terlibat bertugas sehingga 10:00 malam tidak berjamaahlah dikhariah masing-masing demi mengutip duit fitrah dari muslim dan muslimat. Memudahkan pembayar tapi para amil dan petugas perlu bersiap siaga hingga ke malam.

Pada pandangan peribadi, seharusnya institusi masjid diperluaskan peranannya. Fizikal masjid yang makin besar tersergam indah dan kemudahan infra yang makin canggih, siap ber-wifi lagi tapi bilangan makmum yang sedia ada sedikit dan makin mengurang setiap masa. Mesti ada sesuatu yang tidak kena dimana-mana. Bila makin banyak taman-taman baru diujudkan didalam khariah, tentunya bilangan makmum akan meningkat untuk setiap masjid. Namun hal ini tidak pula berlaku. Kemana perginya orang yang mengaku dirinya islam. Apa yang sangat-sangat dirisaukan dan amat-amat ditakuti apakah akan terjadinya suatu hari nanti masjid akan terbiar kosong. Aktiviti pembayaran fitrah yang diwajibkan setahun sekali ini amat perlulah dilaksanakan dimasjid dengan approach yang lebih menarik serta perbanyakkan aktiviti yang berkaitan. Terasa amat kasar pula bila pembayaran fitrah ini menjadi tontonan ramai. Bercampur dengan non-muslim yang berpakaian ikut cara mereka dan ada kalangan pembayar fitrah pula berpakaian yang tidak islamik lebih memburukkan keadaan dari mendatangkan kebaikan. Takkanlah para amil hendak memberi tazkirah ringkas pula buat mereka yang berpakaian tidak senonoh yang mungkin membuatkan mereka rasa tidak selesa walaupun menyatakan perkara yang baik.

Terkini dengan keujudan kaunter fitrah 'drive thru', yang bangga diujudkan atas initiatif imam masjid putrajaya ditahun 2011 dulu dan cara sedemikian mampu mengutip dua kali ganda banyaknya. Dipermulaan keujudannya, masa operasi adalah dari 9:00 pagi sehingga 5:30 petang setiap hari kecuali hari jumaat. Manakala untuk tahun 2015 ini, dimaklumkan yang operasi kutipan diawalkan bermula dari 8:00 pagi dan tempoh operasi dipanjangkan lagi sehingga 7:00 malam. Laporan dari mynewshub, 02 Julai, 2015 @ 15/9/1436H, yang dipetik dari sumbernya 'Myputrajaya news' menunjukan bahawa method ini juga diterima oleh masyarakat. Pemberita yang melaporkan turut mengesa, diakhir laporannya, supaya pembaca jangan melepaskan peluang untuk turut rasai sendiri akan pengalaman membayar zakat fitrah ini secara 'drive thru' tanpa perlu beratur panjang. Nampak gayanya usaha mengimarahkan masjid disabotage oleh orang dalam sendiri demi meningkatkan jumlah kutipan semaksimum mungkin. Apakah ini sahaja yang perlu dititikberatkan. Melihatkan gambar yang dilampirkan, berat rasa hati menerima hakikat yang berlaku ini.

Rujuk sini untuk butiran lanjut dan juga sini untuk luahan ditahun 2012 lagi.

Banyak komen-komen yang agak keterlaluan dilemparkan oleh orangramai yang meluahkan rasa hati masing-masing dimedia sosial. Komen yang mungkin bagi setengah orang yang dipertanggungjawabkan menganggapnya picisan dan tidak perlu dihiraukan. Harus juga rasanya mempertimbangkan persoalan yang diutarakan agar mendapat penjelasan dan perbaiki apa yang pincang. Dalam setiap ceramah dan perjumpaan, seringkali diakhir ucapan akan menyatakan, 'Segala kebaikan datangnya dari Allah swt dan keburukan serta kesilapan adalah dari kekurangan dirinya sendiri. Merendah diri bukankah satu sifat yang mulia sebab kitapun tidak tahu sebenarnya apa yang benar-benar diterima olehNya. Mungkin baik pada pandangan kita, tapi tidak bagiNYa. Begitu jugalah sebaliknya, buruk pada pandangan tapi mungkin itulah yang terbaik untuk kita.

Wallahua'lam.

No comments: