Friday, May 3, 2024

Mana mungkin... terlepas pandang juga

Semalam adalah Labour Day @ Hari Buruh @ Hari Pekerja. Aku sudah tiada kena mengena lagi pasal hari 'semalam'. Tidak terbabit langsung. Walaupun sudah bertahun tahun lamanya sejak bersekolah lagi dan bila datangnya 01/05, secara otomatiknya bercuti. Siapa yang tidak sukakan 'holiday'. Bohong teramatlah. Zaman bersekolah, sekadar dapat cuti sahaja. Tetapi bila dialam pekerjaan pula, hadirnya 'Satu Mei', majoritinya akan bekerja. Tidak mahu bercuti. Berbeza lebih lebih lagilah buat pekerja bawahan bergaji rendah. Memang tidak mahu dilepaskan malah digalakkan bekerja oleh majikan.


Memang benar sebagai pengiktirafan kepada para pekerja maka satu hari telah disepakati menghormati jasa pengorbanan 'pekerja'. Mungkin diperingkat awalnya tujuan diadakan hari istimewa ini adalah untuk memberi ruang kepada pekerja yang selamanya bertungkus lumus mengkayakan 'majikan' dilepaskan berehat berbayar. Tapi konsep yang baik ini telah disalahertikan oleh pihak majikan demi kepentingan mereka yang 'kapitalis' perangainya. Sudah baik dan cantik disusun dalam hendak berdiplomasi dengan pekerja oleh kerajaan tapi pihak majikan pula secara halus beragenda mengeksploitasi tenaga pekerja. Memandangkan tiada bantahan 'kuat' dan kebanyakkannya 'laparkan' duit maka dalam terpaksa rela bekerja pada hari yang sangat istimewa ini. Dari perspektif pekerja pula, diumpankan dengan 'triple pay', mengelupur sahaja menerima tawaran untuk bekerja pada hari tersebut. Tidak berfikir panjang, terus terima sahaja adalah manifestasi situasi pekerja yang bergajian rendah. Malah memang telah dijangkakan oleh majikan yang tidak berhati perut sebegini yang si bodoh dungu akan menonong bersetuju.


Aku sudah tidak kisahkan lagi episod ini. Tumpuan aku sekarang ini adalah lebih tertumpu mengumpul bekalan untuk dibawa ke sana nanti. Lepak lepak di porch, bila penat lenguh berbaring disofa kemudian masuk ke bilik selak buku 'madina arabic' yang merupakan teks utama pembelajaran kendiri aku. In between aku membaca buku motivasi yang banyak tersimpan yang aku beli sepanjang aku bekerja sampailah sekarang. Kerap dan paksakan diri untuk membaca buku keagamaan yang jarang jarang aku sentuh. 


Semalam aku mengulangbaca buku tentang 'Fadhilat Amal' karangan Maulana Muhammad Zakariya yang ketika di ITM dulu kerap bebudak 'tabligh' bangun bergilir antara waktu selesai solat membacakan hadis nabi sebagai renungan ingatan bersama disurau asrama. Hebat gerakan tabligh masa pertengahan 80an dulu. Aku membaca penuh attentive akan 'kata pengantar' dimana penulis amat bimbangi keadaan ummah tidak mengambil endah dan tidak memberi perhatian terhadap agama. Paling ketara tentang bab 'solat' akan betapa kurangnya 'kesungguhan' masyarakat sekarang. Biarpun solat merupakan suatu ibadat terpenting selepas pengakuan keimanan namun seolah sangat dilalaikan dan diabaikan. Semua maklum yang amalan solat adalah yang pertama sekali akan disoal pada hari kiamat nanti. Aku lihat penghujung komentar 'mukadimah'nya akan tarikh nukilan dihasilkan. Walaupun ini adalah edisi cetakan  2013 tapi tarikh dia luahkan kebimbangannya sudah agak lama iaitu pada 7 Muharam 1358.


Aku berhenti sejenak memikirkan dan cuba memahami menghadamkan situasi yang berlaku sekarang. Masih jauh untuk dibanggakan. Banyak lagi yang perlu dan harus difikirkan bersama demi memantapkan 'akidah' umat Islam di negara kita ini. Tentulah amat menyedihkan bilamana tiada usaha terancang yang benar benar mantap dilakukan oleh pihak pemerintah juga tiadanya 'suara' kedengaran untuk menarik perhatian umat ke arah agama dikalangan masyarakat. Namun ada juga usaha yang tercetus dikalangan kita yang mulai mengorak langkah menyahut seruan.

 

Rujuk artikel kempen-subuh-macam-jumaat dalam sepakati usaha baik ini.


Kempen 'Subuh Macam Jumaat' yang dicetuskan oleh seorang pempengaruh 'hebat' Alif Sattar...oppss bukan anak Aziz Sattar, pelakon seangkatan P. Ramlee tu ya...membuktikan sesuatu. Gerakan 'Solat Subuh macam Solat Jumaat' via medsos dimulai pada penghujung November 2023, sekejapan sahaja mendapat sambutan serta sokongan dari netizen dan orang muda satu Malaysia. Dikira berjayalah juga mendapat perhatian ramai dek viralnya isu ini. Namun masih ada juga yang pertikaikan kerja kebaikan memujuk umat Islam mengimarahkan masjid. Suara suara sumbang ini bukannya membantu tapi macam ada usaha membantutkan matlamat semurni ini. Dunia hendak akhir zaman. Setiap kebaikan yang ingin diperjuangkan pasti akan ada yang cuba mahu mengagalkan.


Membuatkan aku rasa terkesan bilamana aku diketika ini mengulangfahamkan BK2 L11 mengenai 'verb'. Soalan no.6 untuk latihan ke-4 berkenaan verb paling sesuai untuk di-isikan pada statement yang disediakan. Memang terpukul rasanya diri.


انا اذهب الان الى المسجد


Berseorangan untuk membuat perubahan dalam masyarakat yang bersifat 'phenomenon' agak mustahil dapat dilaksanakan. Keperluan kepada satu 'gelombang' kesedaran yang digerakkan oleh kumpulan berpengaruh amat diperlukan. Kaedah yang digunapakai memang terkini iaitu 'medsos' diyakini mampu tepat ke sasaran. Istiqamah dalam melaksanakan usaha mulia sebegini perlu diperkemaskan dalam semua aspeks agar perkara yang bakal menghalangi dapat diserap sebaik mungkin.


Moga moga usaha baik mendapat ganjaran setimpal dari-Nya. Insya-Allah.


   

No comments: