13/1/2024 12:24
Dipagi Sabtu ini entah macammana aku terkenangkan akan satu lagu yang aku suka ketikanya masih di sekolah rendah lagi sehinggalah ke menengah rendah. Sampai tingkatan tiga ler. Lagu 'Nasib Jejaka' ini agak unik sikit. Dimulai dengan petikan guitar ala ala rock bunyinya tapi bila hendak mula nyanyi, lenggok dangdut pula timbul sampailah ke akhir. Agak kelakar dan tidak berapa harmonis. Tapi itu bukanlah menjadi isunya. Aku lebih tertarik kepada cerita yang melingkari 'si-jejaka'. Kisah angannya dalam percintaan dengan realiti yang kena dia hadap menjadi semacam input dalam meniti usia remaja aku. Semua orang kalau boleh mahu hidup bahagia.
The Mercy's - Nasib JejakaHampir setiap hari akan berkumandang di radio. Samada diruangan permintaan lagu atau pengacara rancangan radio, orang sekarang nie panggil deejay, akan syok sendiri putarkan lagu dari kumpulan The Mercy's ini. Dapat dapat yang jadi deejay itu adalah yang masih bujangan, lagilah makin mencanak putarkan. Top hits masa itu. Naturally, bilamana sudah hampir setiap hari didengari maka datanglah suka dan gemar mendengarnya. Rentak yang agak 'catchy' berbeza dengan intro lagu dari band band lain yang sezaman, melodi yang diketengahkan ini seolah memecah keluar dari kebiasaan dalam genre 'pop melayu' diwaktu itu.
Dizaman persekolahan aku ketika itu, punya set piring hitam @ record player yang paling basic sekalipun adalah suatu kebanggaan. Apatah lagi mempunyai radiogram yang sebesar kotak televesyen yang berkaki dan mengeluarkan bunyi yang berdentum kuatnya yang mana bagi aku yang masih bersekolah hanyalah sekadar impian. Hanya mereka yang 'have have' sahaja mampu memilikinya. So the only source yang tersedia dan murah adalah melalui siaran radio. Bila aku terdengarkan sahaja lagu ini berkumandang maka secara auto-nya apa sahaja yang aku tengah lakukan tetiba menjadi 'slow-motion' dan ada ketikanya pula if permissible terus aku menghampiri melekap disisi radio yang sebesar 'electric oven 20lt' sekarang ini.
Masa usia awal belasan tahun, aku tidak punyai rakan rapat dalam ertikata sebenarnya. Rakan sebaya sepermainan dikampung adalah dikalangan anak jiran berdekatan yang saling mengenali. Kalau sudah selalu bertemu bersemuka, takkanlah tidak mengenali. Cumanya tidaklah serapat mana. Mungkin disebabkan aku bersekolah dibandar dan tidak seperti rakan sekampong yang lain yang bersekolah kampong berjalan setiap pagi ke SK Alai yang berjarak sekadar sekilo sahaja dari rumah. Sedangkan aku berkenderaan ke sekolah. Masa disekolah rendah BHES-2, aku menaiki van sekolah Pakcik Sani, orang Telok Mas, yang kerap sangat sempot. Selalu juga 'skip' ke sekolah. Ini yang seronoknya, kesulitan orang adalah kebahgiaan buat diri. Awal 70-an lagi aku sudah melihat menyaksikan bagaimana sulitnya dia yang mengidap asthma ni terkial kial mengatasinya. Terpaksa mengunakan 'inhaler' yang tidak jauh berbezanya sepertimana yang aku kini pakai. Sambil memandu sambil menyedut inhaler. Bila alami keadaan yang teruk, langsung tidak memandu. Dahulu mana ada perhubungan sama macam sekarang ini. Tunggu punya tunggu sampai sudah terang tanah, kalau bersekolah pagi, hatipun sudah mulai berbunga kegembiraan. Hip hip hooray...tak payah sekolah jawabnya. Bila di sekolah menengah, aku naik pula bas Dak Tick atau Che Tong yang berpengkalan di Kandang.
Disebabkan itulah perhubungan dengan rakan sebaya sekampong tidak begitu rapat. Aku lebih selesa bergerak sendirian untuk kemana mana. Memandangkan yang aku telah terdedah kepada suasana dibandar, bercampur bergaul dengan rakan sekelas yang berbangsa Cina dan juga India dan secara semulajadinya aku lebih comfortable lingering dengan mereka. Tidak kiralah samada di canteen, didalam kelas mahupun di library. Kemudahan yang ada disekolah amat baik dan boleh dikira lengkap. Ketikanya hendak buat aktiviti luar kelas, kami namai 'PE' or Physical Education, guru PE sudah standby kat tepi padang. Kemeja sekolah disangkutkan di kerusi memasing di bilik PE. Kalau time hujan, meloponglah dengar cikgu PE beri ceramah hal bersangkut tentang kesihatan. Kemudahan bersukan telah disediakan untuk setiap kali kelas PE. Ada petugas yang menyediakan kemudahan bersukan mengikut arahan cikgu PE. Macam tugas pembantu makmal. Siapa yang pernah lalui zaman ini pasti akan mengerti akan apa yang aku maksudkan.
Disebabkan lingkungan kehidupan aku yang sebegini, secara semulajadinya dan perlahan lahan mulai menyedarinya yang aku ini lebih kepada self-reliance. Apa yang aku hendak maka akan aku usahakan sendiri. Hendak kemana mana kalau tiada sesiapa yang sudi, aku lebih rela bergerak sendirian. Panggung Cathay, Panggung Federal, Panggung Rex, sampaikan Panggung Lido(Hindustan) dan Panggung Capitol(Cina) menjadi destinasi hujung minggu aku. Bergantunglah kepada apa filem yang menjadi bualan semasa ketika itu. Tidak berlengah lagi akan berkunjunglah aku kesana. Tiket class 'C' cuma 65 sen sahaja. Itupun jenuh hendak mengumpulnya.
Kalau dirumahpun bila hujung minggu, aku lebih suka memerap kat rumah. Siapkan 'homework' dan membaca dengan selangi buat latihan matematik yang telah diajari guru, kalau ada. Penat, keluarlah sekejap naik basikal ke pekan Kandang beli apa yang perlu. Selalunya, nenek-lah yang kerap mengarahkan aku membeli rokok-nya yang keputusan bekalan. Heavy smoker dia. Jarang tengok perempuan hisap rokok. Dalam pada itu kerap juga aku kelepet duit baki. Jarang dia perasan. Serahkan duit baki dan ajak berborak sekejap bermuslihat dari mengelakkan dia mengira baki yang dipulangkan. Tricks ini selalunya berkesan kalau jumlahnya tidak ketara sangat. Bila 'tertangkap', bagitahulah yang aku ada beli gula gula sambil mengeluarkan dari kocek dan berbagi dua. Berlakonlah sikit, lupa hendak bagitahu. Hacks atau Hudson, gula gula berperisa oren/lemon dan berangin menjadi kegemaran. Kalau seluk ada 4 biji...hulur dua kat dia. Lebih kurang macam tutup kes la.
Berbalik kepada bercakap pasal lagu ini, aku mulai menyedari yang situasi 'jejaka' yang mengenangkan nasibnya agak 'weird' sikit. Sepatutnya yang pompuanlah yang menaruh harap dan bergantung 'nasib' dengan si-jejaka. Ini sudah terbalik. Mengharapkan yang sipompuan akan kekal setia kepadanya. Nampak agak janggal. Setahu akulah, lelaki kena berada dikedudukan yang lebih baik dari segala segi. Baik dari segi ekonominya, bertingkah laku yang baik dan meyakinkan. Berpenampilan menarik bersemangat berwawasan dan mampu melindungi kekasihnya untuk kekal sepanjang hayat. Walau tiada gerenti yang si lelaki akan punyai ciri ciri ini dalam memacu kehidupan bekeluarga dan kekal sebegitu sehinggalah ke penhujung hayat tetapi aku percaya si perempuannya mengharapkan ciri ciri ini adalah 'package' yang didambakan.
Apapun pengharapan dan realiti yang perlu dihadapi lepas berkahwin nanti adalah hakikat yang perlu dihadap penuh ketabahan. Setiap kita perlu melalui 'ujian' kehidupan memasing. Kita harapkan pasangan punyai ciri ciri yang begini begini, namun lepas berkahwin tersingkap perangai sebenarnya. Begitu jugalah jangkaan si-dia dapat melindungi sehingga ke penghujung nyawa, tup tup dipertengahan alami dugaan yang memeritkan. Misalnya kemalangan hingga ke tahap 'bedridden' atau lebih tragis lagi meninggal dunia terus. Bila kejadian ini berlaku atau apa sahaja yang berkemungkinan untuk berlaku, adakah kita mampu hadapinya.
Terserah pada diri dan hanya masa yang menentukan segalanya.
No comments:
Post a Comment