Sunday, January 7, 2024

Hari Minggu pertama ditahun 2024

 07/01/2024 11:43 


Menjelang February the 2nd, aku tidak perlu lagi pergi bekerja di AEON. Sebabnya secara mandatory aku perlu menamati pekerjaan yang bertahun aku ulangi saban hari menjelang usia 60 tahun. Sememangnya aku telah lebih awal menyedarinya dan bersiap sedia untuk menempuhi detik tersebut. Biarpun tidak memberi apa apa pengertian pada sesiapapun akan tarikh 02/02 setiap tahun, namun bagi diri ini ianya amat bermakna. Sukar untuk digambarkan apatah lagi diluahkan dengan kata kata. Ianya tersemat tersimpul pada diri. Aku bukanlah orangnya yang pandai melakarkan kegembiraan dengan kata kata puitis. Aku jenis main langgar sahaja. Apa yang terlintas difikiran terus aku tekan keyboard. Tidak berapa hiraukan sangat akan tatabahasanya juga susunan jalan ceritanya. Flashforward or flashbackword yakni mengimbas 'peristiwa' sebelum sebelumnya berselang dengan yang dihadapi kini. Ketidak susunan dan lebih tepat lagi tidak mengikuti urutan penceritaan yang terarah tidak mematahkan usaha dan minat aku untuk mendokumenkan setiap peristiwa yang berlaku pada diri.


Sebaik mungkin aku cuba menikmati hujung minggu pertama aku ini di tahun 2024. Selayaknya memang banyak yang aku fikirkan untuk aku perbuat didalam memenuhkan masa tidak bekerja bergajian nanti. Biarpun banyak perancangan yang aku impikan namun jadi tidaknya bukanlah aku yang tentukan. Aku cuba membuat perancangan dengan penuh teliti. Mengambil kira faktor yang memungkinkan segala mengikut aturan. Faktor 'kesihatan' dan masa samada singkat atau menuntut satu jangkamasa yang panjang lagi membebankan adalah hal utama yang perlu dititkberatkan. Usia bila berakhirnya bukanlah kita memandai menentukan dengan pasti. Ketentuan sememangnya telah tertulis lebih awal sebelum kita dilahirkan.


Keutamaan yang telah aku mulai sejak 02/02/2023 iaitu mendekatkan diri pada al-quran serta memahami setiap patah kata akan diterus malah dilipatgandakan. Tiada yang menghalangi usaha ini aku panjatkan doa kepadaNya. Mohon dipermudahkan sehinggalah aku mampu menghafali sebelum penghujung hayat aku sampai. Keduanya, hasrat untuk ke Tanah Suci mekah. Lama sudah keinginan ini aku pendamkan. Inipun segala perancangan dengan pertolongan dan pandangan mereka yang telahpun sampai kesana menjadi 'input' persiapan. Diharapkan yang matlamat kedua inipun bakal tercapai pada tahun 2024 ini juga. Insya-Allah.


Hubungan dalam masyarakat setempat dan kekeluargaan sehinggalah ke saat ini terasa agak renggang. Kerenggangan berpunca dari komitmen pada pekerjaan cari 'rezeki' membesarkan keluarga. Aku telah bertekad semasa aku mendaftar masuk bekerja dengan Aeon atau dulunya dikenali sebagai Jaya Jusco. Aku berjanji pada diri sebaik menjejakkan kaki pada hari pertama melapor diri yang kerjaya dibidang peruncitan inilah menjadi kerjaya terakhir aku. Aku tidak akan mahu bertukar kerja lagi. Biarpun ianya tidak gah dan tidak dipandang orang, jawatan yang diberikan kepada aku ini atas initiatif aku sendiri memohon dan menerima 'tawaran' walaupun lebih rendah dari kelulusan yang aku ada. Aku sambar sahaja 'kekosongan' yang ada ketika itu. Teringat lagi akan kata kata sipenemuduga, seorang Cina, yang akhirnya berjawatan sebagai 'Group Leader' di store yang sama memaklumkan yang jawatan yang aku pohon itu telah dipenuhi dan kekosongan yang ada cumalah 'sales assistant'. Kelulusan dan pengalaman bekerja aku di Hankyu Jaya lebih dari mencukupi untuk aku menjawat jawatan 'Supervisor'. Biarpun begitu, aku redha akan ketentuan dariNya.


Segala yang berlaku pada rentetan masa dari hari 'menyerahkan diri' bekerja dan tidak mahu menoleh kebelakang mengimbau apatah lagi melihat kekiri kekanan akan peluang semasa yang lebih menarik, aku fokus terus menghadapi situasi baru ini dan ditempat dan di negeri aku sendiri. Konsep pandang ke timur yang diheboh hebohkan oleh media akan aspirasi Tun M dalam memodenkan industri peruncitan negara tentulah amat aku sokong. Usaha Tun M menjemput rangkaian peruncitan yang dikenali ketika itu Jusco dari Jepun membantunya menaiktaraf sistem peruncitan negara perlukan tenaga kerja yang bersesuaian dalam memastikan apa yang dimpikan bakal terlaksana.


Bukanlah aku hendak perkatakan yang aku bernasib baik tapi segalanya adalah atas ketentuanNya jua. Dari beratus yang sesama hadir lapor diri serta dilatih sebulan lamanya di Pusat Latihan Telekom, Bkt Beruang dan sesama bekerja memajukan Aeon diluar dari Klang Valley sehingga keadaan terkini punyai ceritanya tersendiri. Hanyalah mereka yang merupakan perintis dan tinggal beberapa kerat sahaja lagi pernah lalui dan saksikan setiap apa yang terjadi. Menjadi kenangan dan rahsia pada mereka. Setiap kita punyai pandangan yang tentulah tidak bersamaan. 


Itulah, jika mengimbau akan kisah kisah yang aku turuti rasai, pasti akan memikir merenungi proses transformasi peralihan pergerakan dari tahun ke tahun. Begitupun bukanlah hidup ini sekadar untuk mengenang tapi perlu bergelut berjuang agar diri senantiasa dalam keredhaannya. Tiada lagi 'buang masa'. Tidak juga lakukan hal yang sia sia. Moga hidup aku lebih terarah bermatlamat. Hasrat hati ingin lakukan sesuatu yang menghadirkan kebaikan dan kegembiraan kepada orang lain.


Moga aku kekal fokus.

No comments: