Pagi ini sepertimana kebiasaannya, aku keluar bersarapan. Antara banyak banyak destinasi pilihan, setakat ini hanyalah dan masih lagi 'Warung Latif Duyung' dan 'Rashid Corner' di tepian AMJ berdekatan Bukit Piatu. Awal siap bermandian memandangkan aku bercuti mingguan hari ini. Melunjur keluarlah Alza menuju destinasi. Sememangnya dan menjadi lumrah untuk sesiapa juapun akan kerap mendatangi tempat yang dianggap selesa untuk berkunjungan. Begitulah dengan diri ini. Persepsi masing masing tentulah telah lama kejap difikiran berdasarkan pengalaman yang dilalui setakat ini.
Kelihatan aliran trafik agak sederhana. Banyak jugalah kenderaan bertali arus menuju arah tujuan memasing. Maklumlah hari bekerja. Pun begitu dalam perjalanan menuju Duyung, kelihatan warung sarapan dipenuhi warga Melaka. Ada bermotor, ada berkereta menyinggahi menikmati sarapan pagi diwarung pilihan. Bagaimana pula dengan aku yang melihat situasi ini. Sedikitpun tidak tergugat. Pemanduan dilanjutkan terus ke destinasi yang dirancang. Sebaik tiba, kelihatan macam meja telah penuh dengan pelanggan bersarapan. Namun langkah tidak berhenti malah makin dipercepatkan. Berdaftar S.O.P. lalu terus mencari meja yang kosong. Agak ramai pagi ini sehinggakan meja yang menempatkan buku daftar masuk, A4 ber-laminate dengan QR-code dan scanner suhu disisi turut diduduki oleh dua lelaki yang sampai sedikit awal dari aku. Terdengarkan mereka membuat pesanan 'roti canai' seketikanya aku mengeluarkan smartphone untuk on-kan my-sejahtera. Seketika kemudian petugas kedai memaklumkan yang roti canai kehabisan serta mencadangkan 'lempeng' pula yang rela dalam terpaksa menyetujuinya. Malangnya petugas perempuan menghampiri mereka semula memaklumkan yang lempengpun baru sahaja habis. Aku sekadar tersenyum mendengar akan berita ini serta simpulan 'padu' yang dibuat petugas warung kepada mereka berdua. 'Tiada rezki nampak gayanya' dan spontan juga mencadangkan menu lain sebagai pilihan. Aku tidak terdengarkan jawapan mereka disebabkan aku telah berlalu menuju ke meja yang orang rumah tengah menunggu pesanan sarapan.
Dalam pada memerhatikan keadaan sekeliling, aku terpandang pasangan 'veteran' dalam usia 5 tahun lebih senior dari aku sedang menikmati juadah sarapan mereka. Wow, sekelipan itu jugalah aku terimbau masa zaman belajar dahulu. Couple bersarapan, juga makan tengahhari dan kekadang minum petang bersama sekitar kampus ketikanya habis sessi kelas ataupun menunggui masa memasuki kelas. Memang ketaralah masa belajar dahulu memandangkan semuanya hampir sebaya. Memang tidak janggal melihat makan berdua dua semeja. Tersenyum mengenangkan zaman itu. Belajarnya tidak seberapa tapi memasing punya penampilan mengalahkan mengambil kursus sarjana pula. Apapun, dipanjangkan usia olehNya memungkinkan pasangan yang terlihatkan ini menikmati kehidupan yang pada pandangan zahir mata aku ini amat berbahagia. Bilamana diusia persaraan dan lebih lebih lagi dikurniakan dengan kesihatan yang baik, mampu makan tidak berpantang, upaya berjalan kesana kemari tanpa kesulitan dan pastinya berkenderaan melambangkan status dan pencapaian karier adalah nikmat yang hanya mereka berdua sahajalah yang lebih maklum.
Mampukah aku...@ 09:58:15 |
Nasib orang tidak siapapun yang mampu menduga dan sememangnya tidak sesiapapun yang menghiraukan. Semua kita sibuk dengan ujian hidup sendiri. Namun bilamana berselisih dengan mereka yang pada pandangan adalah lebih baik, lebih sempurna berbanding diri, tentu sahajalah akan terfikirkan macam macam. 'Flashback' kita yang bukan bukan keatas kejayaan yang dicapainya sekadar untuk lebih kritikal cuba dirungkaikan. Mungkin benar dan mungkin juga bersalahan atas telahan yang memandai mandai sahaja membuat jangkaan.
Namunn, hanya mereka sahajalah yang lebih maklum. Kita hanya melihat kejayaan yang mereka kini kecapi. Tapi, kita sedikitpun tidak ingin mengetahui akan sejauh sehebat manakah mereka telah mengharungi cabaran kehidupan sehinggalah ke detik yang terlihatkan. Bukanlah aku mempersoalkan kelebihan dia dan kekurangan diri untuk diperbandingkan tetapi inilah kehidupan. Takdir ketentuan bukanlah kita yang menetapkan. Kita hanya mengharungi setiap dugaan mengikut acuan dan keupayaan memasing.
Apapun, aku mendoakan agar pasangan yang terlihatkan ini menjalani kehidupan ini dengan penuh kebahgiaan. Diberi kesihatan yang baik berpanjangan dan dikurniakan rezki yang melimpah ruah dan lagi diberkahi olehNya.
Insya-Allah, ameen.
No comments:
Post a Comment