Pagi ini, sebentar tadi, aku ke family store cawangan Duyung membeli barangan keperluan niaga. Sejak 01/04 lagi, sehari selepasnya dan semalam juga tiadanya kedapatan minyak kampit 'bersubsidi' menurut kata si Yaseer dikedai Lim dan juga Auntie Minie yang dikunjungi. Anak bongsu yang digerakkan ke Kedai Lim di depan sebelah petang semalampun tiada terjualkan. Tempat yang biasa diletakkan minyak kampit 1kg kosong. Terpaksalah aku keluar selepas bersarapan menuju ke Duyung. Untung-untung adalah stok disana. Terpampang dihadkan kepada 5 bungkus buat se-family. Bagi sesiapa juapun, kehadiran tidak patut dihampakan. Tidak dapat banyak, dapat satupun jadilah. Ini adalah pengharapan pelanggan. Bukannya kita boleh buat sendiri, jauh sekalilah untuk mulainya dari penanaman pokok kelapa sawit. Isunya disini adalah pengedaran. Secekap manakah mereka yang diamanahkan menjalankan tanggungjawabnya amat dituntut. Bukan boleh lepas tangan begitu sahaja dengan sekadar mengeluarkan arahan tanpa memantau pengendalian dengan sesempurnanya. Namun apa yang pasti, ada agenda tersembunyi bagi golongan berkepentingan. Bak kata orang, menangguk di air yang keroh dan sengaja dibiarkan keruh biar mudah membuat kerja-kerja tidak ber-etika.
|
Memangsakan pengguna marhain |
|
Dari sisi lain... kerajaan dipihak mana sebenarnya |
Apapun, aspeks yang aku ingin perkatakan disini adalah kesanggupan bebudak lepas sekolah terutamanya yang baru mendapat keputusan SPM masing-masing gigih bekerja. Terperasankan rata-rata juruwang yang bertugas dikaunter pembayaran pagi ini adalah staff baru. Pastinyalah aku dapat membezakan staf lama dari yang baru. Queue tidaklah begitu panjang. Barangan pelanggan yang diletakkan diatas meja kaunterpun tidaklah banyak manapun. Kelengahan dan terlalu berhati-hati bebudak 'fresh' bekerja mengendalikan cash register membuktikan yang mereka baru belajar, mungkin, first time menekan button. On-job training sambil ditunjuk-ajarkan oleh staf lama yang mereka juga dilatih dipantau oleh staf terdahulu darinya membuatkan masa aku terbiar habis dalam 8 minit agaknya.
Beruntung sebenarnya buat bebudak lepasan SPM. Penetapan gaji minimum RM1000.00 yang telah di-mandatory-kan beberapa tahun yang lepas dari RM850.00 permulaannya, meningkat ke RM900.00 dan terkini berura-ura menjadi RM1200.00 dan harap menjadilah amat menyeronokkan mereka yang baru mengintai alam pekerjaan. Peningkatan tangga gaji sebenarnya dan seharusnya perlu dikaji secara berkala untuk mengimbangi taraf ekonomi keseluruhannya. Hakikatnya, mereka yang menamatkan alam persekolahan sekarang ini dikira beruntung. Peluang mencari duit poket terbuka luas. Banyak tempat dan peluang mendapatkan kerja dengan gaji yang dianggap lumayan kepada mereka yang ingin bekerja. RM1000.00 solid yang diterima tanpa tambahan duit kerja lebih masa dan elaun perkhidmatan lainnya sekiranya ada sudah cukup menampung malah berlebihan pula jika masih dibawah tanggungan keluarga masing-masing.
|
S. Y. Leong berusia 61 |
|
Sporting sungguh...sudi berselfie lagi. |
Dikala mereka yang masih muda bersemangat dan teruja untuk bekerja untuk merasai mengalami suasana baru dalam kehidupan mereka, terdapat juga kalangan yang dikira veteran masih terus 'membanting tulang' bekerja. Perjalanan hidup antara kita mana ada yang bersamaan. Destiny takdir masing-masing adalah berbeza. Sejauhmana kita mampu mengemudi melayari kehidupan sehinggalah ke penghujung usia bergantunglah kepada pandangan pegangan tentang kehidupan. Aku ada bertanya padanya akan sebab dirinya masih bekerja dan tidak mahu berehat sahaja dirumah seolah pertanyaan aku ini yang aku pula yang terlebih risaukan dirinya. Jujur cakapannya memaklumkan yang semua anaknya telah bekerja. Adapun yang masih belajar telahpun di tahun akhirnya di universiti. Bekerja baginya walaupun tidak diucapkan adalah untuk menghindari kesunyian dirumah. Anak semuanya bekerja dan sebagai ibu tunggal dek kematian suami, sisa hidupnya perlulah dimanfaatkan sebaik mungkin. Bersosial dan aktif bergaul adalah ciri-ciri yang aku perhatikan pada dirinya amat terserlah. Semua rakan sekerja yang mengenalinya amat senang akan kehadirannya. Rajin melaksanakan tugasan tanpa pengawasan, pandai melayan customer serta tahu dan cekap menyiapkan laporan jualan bulanan sebelum tarikh akhirnya membuatkan dirinya 'valuable'. Pengalamanlah yang membezakan. Orang baru, mungkin cergas yang eager sesangat hendak bekerja tentulah amat berbeza sekali dengan style orang lama yang telah masak dengan tugasan seharian.
Semasa duduk minum petang di kantin sempat pula aku berbual bertanyakan hal kerja dengan budak lepasan sekolah. Shazwan namanya. Bekerja sementara di bahagian kasut sama dengan Auntie SY Leong cuma berlainan brand. Sebelum bermulanya perbualan santai aku dengan dia, kerap juga berselisih dengannya ketika disurau. Akulah yang lebih banyak bertanya. Maklumlah orang lama. Menurut katanya lagi ketika menyarung kasut, dia sedang menunggu result SPMnya. Bekerja sementaralah di Aeon bagi mencari duit saku. Ayahnya menguatkan lagi agar dia belajar berdikari disamping memenuhi masa terluangnya. Kerap juga masa dikantin kelihatan dia minum petang dengan rakan sekerja lainnya dan kadangkala terserempak juga dia sedang makan tengahhari juga bersama gangnya sesama part-timer. Namun pada petang itu, kelihatan dia berseorangan membuka bekas makanan yang dibawanya. Lauk-pauk serta nasi yang dipunggah kedalam pinggan untuk sessi breaknya. Akupun bawalah mee goreng 'mamak' yang siap berbayar setelah dilaungkan oleh Shikin, tokey kantin, menuju kemejanya menemankan. Dia menjawab, ibunya yang bekalkan makanan untuknya bila ditanyai. Biasalah, budak baru nak 'up', baru nak kenal hidup pastinya banyak dibantu oleh keluarga.
Selesai makan, berboraklah sesama. Aku maklumkan pada dia yang bebudak lepasan sekolah sekarang ini amat beruntung tidak sama semasa aku menamatkan zaman persekolahan dipenghujung tahun 1981. Aku ceritakan padanya, memang payah hendak dapat kerja sementara ketika itu. Bila kita maklumkan baru menamati SPM, majikan seakan tidak mahu mengajikan bebudak lepas sekolah. Kebanyakkan, mungkinlah dari pengalaman, akan berhenti setelah sebulan dua bekerja. Agaknya hal sebeginilah yang hendak mereka elakkan. Dia, si Shazwan ni, banyak mendengar dari menyampok akan cerita retro yang aku butirkan padanya. Berkisar payahnya hendak dapat kerja bila aku bertanya dari satu ke satu majikan atas kekangan yang pelbagai terutamanya 'transport' dan jauh berjarak dari rumah dan akhirnya sekadar lepak-lepak sahaja aku dirumah. Lepas makan tengahhari, ambil nap. Kemudian lepas asar, keluar main bola atau takraw dan lepas isyak lebih kepada intai tv sehinggalah ke malam. Itu sahajalah saban hari dilakukan menghabiskan masa sehingga result keluar.
Bila ditanya, dia menjawab dia ambil SPM di sekolah integrasi Selandar. Cepat sahaja aku bertanyakan samada mengenali si Asraf. Jawabnya pantas, kenal dan memang kenal sangat. Asraf antara kawan rapatnya semasa di Selandar malah sekelas lagi. Sempat lagi buat 'pose' dengan dia, serta minta dia 'WhatApps' kat anak buah seraya tagkan dengan ucapan tahniah. Menurut katanya, Asraf ni adalah pelajar kedua terbaik seluruh negeri Melaka 2016 dengan 10A+. Manakala dia pula sekadar 7A+. Ketika ini, dia sedang menunggu tempat untuk Matrikulasi pula. Sebagai orang lama, aku ucapkan tahniah kepadanya semoga mencapai cita-cita menjadi arkitek. Bekerja sementara mencari duit tambahan mungkin sedikit sebanyak membantu orang tuanya dari bebanan perbelanjaan pendidikan yang semakin meningkat. Melihat dari penampilan dan sahsiah dirinya serta sopan berbahasa, rasa-rasanya jika dapat dikekalkan mungkin pasti menjadi seorang insan yang berjaya kehidupan duniawi dan ukhrawinya.
Pengalaman bekerja sementara menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya didalam mengejar cita-citanya. Namun cabaran yang bakal mendatang samada getir tidaknya bergantung juga pada ketabahan serta kesungguhan tanpa mengenal erti putus asa. Kekentalan semangat serta keyakinan diri yang tinggi mampu menundukkan setiap rintangan yang hadir untuk mengagalkan impian dan harapan bukan saja buat dirinya sendiri malahan harapan keluarganya.
|
Anak buah, pelajar cemerlang 2016 10A+ |
|
Terima RM1000.00 dari Deris Haron |
Beruntung, memang beruntung bebudak sekarang ini.
No comments:
Post a Comment