09 JANUARY 2017, 12:22
Selalu sangatlah akan perkara yang dihajati dan ditunggui tidak kesampaian. Apakah ianya suatu kebetulan atau mungkin juga punyai maksud tersirat yang perlu kita selidiki dan fahami sendiri. Menuduh dan menganggap setiap perkara yang tidak berlaku sebagai balasan perbuatan atau ujian kesabaran adalah satu tanggapan peribadi yang mungkin betul dan mungkin juga satu kesilapan agakkan. Apapun segalanya adalah ketentuanNya. Kita, pada hakikatnya, tidak mampu menentukan setiap hal yang berlaku. Sememangnya bukanlah urusan kita yang mahukan ianya berlaku, juga mana pula yang tidak patutnya berlaku. Dalam ertikata lainnya, kita tidak berdaya dan juga tiada kekuasaan untuk segalanya berlaku mengikut kehendak sendiri. Malah kita sebenarnya being governed. Diatur-urus akan kehidupan sejak lahir sehinggalah saat dikembalikan bila tiba waktu dan ketikanya nanti mengikut time-line masing-masing.
Pun begitu, bila menoleh kebelakang, 25 tahun bukanlah satu jarak waktu yang singkat. 25 tahun jugalah setiap ruang dan tempat di premis tempat aku bekerja mencari rezeki ini membangkitkan kenangan yang cuma diri sendiri sahajalah yang lebih maklum dan mengerti. Menjadi kenang-kenangan dan sejarah setelah sekian lamanya bekerja disini. Malahan dengan pelbagai karenah yang dialami dan terkesan dihati pastinya tidak akan dilupakan. Lain orang lain kesahnya. Aku peduli apa. Mungkin kalangan sahabat sekolah dan juga 'pembaca' catatan aku ini, secara perbandingannya, punyai kisah yang lebih menarik, lebih trajis dan lebih segala-galanya namun kisah aku punyai likuan dan lencongan yang cuma aku sendiri sahajalah yang tahu. Namun terdetik juga dihati akan betapa bertuahnya mereka yang senang hidupnya ketika remajanya sehinggalah kesaat ini. Beruntung bernasib baiklah mereka yang terpilih ini. Kita melihat mereka dimasa kini dan tentunya kisah silam mereka tidak terfikirkan oleh kita untuk menanyakan. Hendak bertanyapun risau pula banyak buruk dari baiknya. Biarkanlah ianya berlalu bersama zaman yang ditinggalkan. Ujian yang dihadirkan kepada setiap antara kita tidaklah bersamaan seratus peratus. Jika permulaannya agak-agak sama mungkin endingnya ketara berbeza. Misalnya, menempuh gerbang perkahwinan. Ada rakan yang telah bercerai dan berkahwin baru lepas 10 tahun berkahwin. Ada juga yang perkahwinan pertama berselang tidak sampaipun 5 tahun usia perkahwinan, tup tup telah menambah isteri lagi. Masa dikampus dulu, cikgu sanggup berhenti mengajar dan turut sama sambung belajar dibidang pemasaran. Teringatlah lagi ketika berborak berbual tentang siapa dulu yang akan berkahwin. Rakan sekursus, Zulkefli namanya yang dapat gelaran 'Cikgu T'(tension) yang senior dalam 3 tahun dimana dialah orangnya yang mengajukan pertanyaan ini. Dan hendak jadikan kesah, dia jugalah yang berkahwin dahulu. Apa yang lebih mengejutkan sesama, berselang tidak sampaipun 2 tahun usia perkahwinannya dikhabarkan mereka telah berpisah. Kononnya jodoh tidak panjang. Mereka yang ditakdirkan ini tentulah tidak menjangkakan hal sedemikian berlaku terhadap mereka. Semua, pastinya, inginkan jodoh berpanjangan berkekalan dan tidak sekelumitpun terfikir terjangkakan menimpai diri.
Aneh sebenarnya bila aku fikir dan kenangkan. Betapa bersemangatnya dahulu ketika kita menyambung belajar di ITM, Shah Alam di tahun 1984. Memilih kursus yang pada awalnya mahu mengikis rasa malu dan juga menyahut cabaran dengan mengikuti kursus dibidang pemasaran. Tiada siapapun yang menggalakkan apatah lagi mencadangkan. Hanya diri ini sendirilah yang memilihnya. Asalnya tercabar bila adik aku memasuki ITM setahun lebih awal dari aku dengan result SPMnya yang agak baik. Aku pula bersandarkan 1P dan 2S untuk STPM dengan SPM Second Grade, berjaya juga meloloskan diri berada di 'Menara'. Second chance yang aku perolehi ini membuatkan aku tidak berfikir panjang walaupun aku off-track setahun dan perlu berusaha lebih gigih lagi. Tiada lagi hendak main-main, tiada masa juga hendak sambil lewa dan harus pula bulatkan tekad setelah melihat akan pelbagai sindiran, kata-kata sinis yang diterima impliedly 'makan dalam' menusuk kehati. Begitu jugalah yang lebih daring lagi adalah secara direct. Segalanya aku berjaya absorb dan handlenya dengan baik walau kekadang tersentap juga.
Situasi selepas kejayaan menggapai segulung diploma rupanya lebih banyak lagi cabaran dan lebih hebat lagi rintangannya berbanding ketika menekuni mendalami ilmu pemasaran. Sesuatu yang ideal dan sempurna yang dipelajari ketika itu dan ditunjukajari pula secara formal oleh kalangan pensyarah yang digajikan yang juga tidak benar-benar mengalami sepak terajang dunia perniagaan semasa, membuatkan kita dalam dilemma. Betullah apa yang dikatakan oleh kenalan senior masa di kelas bimbingan GPMS ketika bertegur berselisih di Jalan Hang Tuah menuju Bus Stand Melaka, Jalan Kilang. Menurutnya memaklumkan, ketika tamat belajar hanya sekadar 20% ke 30% sahaja akan dapat diaplikasikan tentang apa yang dipelajari dan selebihnya bergantung pada apa yang telah diterimapakai oleh semua.
Era selepas tamat belajar bertepatan pula dengan krisis ekonomi dunia. Tahun 1988 menyampaikan ke tahun awal 1990-an merupakan zaman 'gelap' kepada graduan yang tidak berapa hendak cemerlang dan mengikuti pula akan kursus yang tidak glamour. Kerajaan dengan 'brilliant' idea siapa entah telah mengujudkan program 'Skim Graduan Mengganggur' yang lebih cenderung dirasakan sekadar bersimpati akan nasib lulusan dalam negeri kesan langsung kemelesetan ekonomi dunia. Pelbagai kerja dilakukan demi mendapatkan pengalaman kerja dari sekadar duduk mengenang nasib. Tiada tempat lain yang dituju selain dari Kuala Lumpur yang merupakan pusat segala pusat. Asam garam dan cerita-cerita yang yang dialami semasa berkelana di Kay Eel tidak mungkin akan terhapus dari kenangan. Central Market tempat 'meeting point' aku dengan coursemate CIM Batch 84. Abang Long @ Latif adalah yang membantu aku ketika itu bila aku majukan hasrat untuk mendatangi ibu negara. Banyak hal jugalah sebelum hijrah aku itu. Berjaya mengumpul modal dan melengkapi diri dengan lesen memandu B2 & D semasa dikampung sebelum berhijrah bukanlah faktor tambahan untuk mencapai misi. Bak kata orang, 'Malang tidak berbau'. Tetiba aku terlibat pula dalam kemalangan jalanraya, seminggu sebelum rakan sekursus berhasrat datang berziarah ke Melaka. Khabar yang diterima ketika itu, mereka semuanya telah berjawatan dan bergajian agak selesa jugalah sedangkan aku bekerja di MTM untuk menampung keperluan masa diperantauan nanti. Hujung-hujungnya mereka berziarah aku di hospital dengan kaki kanan aku bergantungan dengan pemberat tabung air berkapasiti 10 liter mengimbanginya.
Aku tangguhkan dahulu pemergian sehinggalah aku benar-benar fit. Mereka sebagai sahabat mungkin tidak mahu menghampakan hasrat aku ini telah spontan bersepakat menunggui kedatangan. Kepulangan mereka membuat diri tertanya sendirian. Bolehkah aku. Mampukah aku. Hati pula telah mula berbelah bahagi. Sekejap bersemangat memburu impian ke KL, diwaktu lainnya seperti dirasuk cinta pula. Buah hati yang menepati kriteria pemilihan telah ditemui dan sukar hendak dilepaskan begitu sahaja. Pilihan yang terbaik harus aku buat. Bercinta dalam kilang dan saling mengerti dan serasi membuatkan diri betul-betul dipersimpangan. Kemalangan kepatahan kaki tidak mengugahnya dan mematahkan impian untuk hidup bersama. Dia bersungguh untuk bersetia. 'How sweet' kata bebudak sekarang. Maka jalan keluar perlu aku cari bagi memecah kebuntuan. Kata-kata disusun rapi agar 'rambut' yang ditarik tidaklah putus manakala tepung yang digelumangi tidak pula berselerak. Berhasil meyakinkan, akupun mengorak langkah walaupun berat hati meninggalkannya sementara waktu yang tidak ketahuan. Hampir dua tahun diperantauan. Hidup membujang dengan pelbagai cabaran kehidupan di kotaraya yang menjanjikan seribu harapan diharungi. Mewah makan pakai serta leka dengan neon gemerlapan hampir menenggelamkan niat dan cita-cita. Setiap kali bertanya khabar, ada sahaja rakan sepermainan menjemput hadir ke majlis perkahwinan mereka yang dimaklumkan oleh kakak tunggal aku. Seorang demi seorang mengakhiri zaman bujang masing-masing sedangkan aku masih terumbang-ambing.
Apapun, bualan sesama rakan serumah yang disewa 10 orang di jalan Hamzah, Kampong Baru menyedarkan aku akan realiti kehidupan. Graduan UKM seramai 5 orang yang bekerja sementara sebagai juruwang di Jusco Taman Tun membuka mata aku. Berijazah dalam pelbagai bidang tapi bekerja sebagai pekerja am seolah memberi hint kepada aku untuk merefleksi diri. Tidak malu dan tidak kesal. Sentiasa ceria bergurau berkelakar seperti sedikitpun tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Melalui info yang dibaca dan dibualkan, Jusco akan dibuka di Melaka. Peluang terbaik untuk aku kembali pulang. Setelah memikiri buruk baiknya, aku membuat keputusan untuk balik kepangkal jalan. Secara sesenyap sahaja aku membawa diri tanpa memaklumkan rakan coursemate, rakan sekerja malah rakan serumah. Sebaik bersarapan digerai yang saban pagi aku kunjungi, akupun memulakan perjalanan pulang aku dengan Rx-Z Fairway Blue kesayangan aku yang penuh kesahnya.
Aku melaporkan diri pada 21/09/1991 dengan tekad dan keazaman yang baru. Aku tinggalkan segala impian dan harapan aku di ibukota. Akan aku pastikan serta jagai dengan gigih akan peluang yang tidak sanggup aku sesiakan lagi dikala usia menginjaki 26 tahun. Bermulalah episod baru di Melaka. Tiada lagi rakan yang mengenali seolah terasing dalam rakan sekerja yang baru dikenali yang belum diketahui hati budi mereka ini. Perasaan pula makin tenteram dek kerana tidak lagi berjauhan dengan buah hati. Bersemangatlah mengumpul belanja untuk berkahwin. Tiada aku hiraukan lagi akan rasa malu dan segan. Sedikitpun tiada rasa kesal dihati memulainya dari bawah. Mungkin inilah destiny aku. Semakin jauh untuk aku cuba mengelakkannya, semakin hampir pula aku dengan bidang yang aku pelajari. Macam ada tangan tangan ghaib yang mengatur. 25 tahun bersamamu Jusco dengan pelbagai peristiwa yang dialami, dilalui, didengari dan diingati sehingga kini adalah 'harta' bernilai yang aku miliki. Segala rencam kehidupan dapat disaksikan. Samada sesama rakan sekerja dan dengan pelanggan yang berkunjungan. Pelbagai karenah kehidupan masyarakat yang diperlihatkan dapat disaksikan oleh aku.
Moment yang selama ini dinanti-nantikan akhirnya tiba jua. Sering aku bermonolog, diberi keizinankah olehNya ataupun tidak. Sebagai kenangan dan recognition, segeralah aku menghadiahkan diri dengan momento yang mungkin mampu mengimbau dimasa mendatang nanti. Penuh bermakna tarikh keramat ini yang pastinya mencorakkan phase seterusnya dalam kehidupan aku. Sanggup tak sanggup, rela tak rela serta suka mahupun tidak maka apa yang mendatangi diri perlu dihadapi walau penuh kepayahan. Perjuangan kehidupan tiada penamatnya kecualilah kematian. Berkat ketabahan dan tanpa mengenal erti menyerah kalah maka dalam sedar tak sedar sudahpun menjangkau lebih 25 tahun keberadaan aku disini.
|
5 tahun dulu untuk sempena 20 tahun... berkesempatan |
|
Pagi 06/01/2017 for 25 tahun... aku pula berada disini. |
|
Menyerah penuh restu untuk berbakti |
|
Engraving with... '25th Years', seminggu selepas tarikh yang ditunggui. |
Kalau hendak dicatatkan satu persatu kisah yang aku alami sejak mula berkhidmat, mungkin tebal 'memoir' aku disini. Memang terniat hendak menukilkan tapi kekangan masa menghadkan. Satu ketika nanti dan ada pula kesempatan ruang pastinyalah akan aku coretkan buat tatapan semua.
Harapan agar terlaksana hendaknya. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment