Tuesday, September 6, 2016

Sehati, sejiwa... jangan sekadar sebut saja

31 AUGUST 2016, 20:28
Hari ini adalah sambutan kemerdekaan kali ke-59. Sudah berkali-kali dan banyak kali kita meluahkan rasa merdeka sampailah ketahun 2016 ini. Negara kononnya sudah dimerdekakan setakat hari ini, dihitung dan dikira tanpa silap, menghampiri 60 tahun. Manakala diri ini sudahpun melepasi usia 52 tahun. Kalau tiada aral, kedatangan February 2017 nanti, umur aku menjangkau pula menjadi 53 tahun.



Tema 2015 bersambung ke 2016


Menoleh kebelakang menyoroti  perjalanan sejak lahir sehinggalah ke saat ini tentunya mengundang pelbagai kisah yang mengkecamukkan perasaan, lalu merungsingkan fikiran, juga memedihkan pandangan dan mudah merobekkan hati. Kalau tidak berhati-hati mampu melemahkan semangat yang akan membawa kepada mati akal yang akhirnya tewas dalam kehidupan. Ia, dirasakan aku sering dan selalu saja diposisi yang tidak berapa menguntungkan mungkin hampir disetiap detik dan ketikanya disepanjang kehidupan aku. Kekadang terfikir juga, bila menjadi budak baik sebenarnya banyak rugi dari untungnya. Misalnya, dikelas pertama sejak di tingkatan 2A & 3A dari 8 kelas yang ada sehingga kelas H, keraplah cikgu mengingatkan yang kita-kitalah yang terbaik maka perlulah sentiasa menunjukkan prestasi terbaik lagi cemerlang. Keputusan SRP aku ditahun 1979 itu boleh tahanlah juga masa di SMAL yang menempatkan aku dikelas ketiga terbaik diMHS, 4Sc3 setahun kemudian. Masa disekolah lagi dan by-productnya adalah setelah dewasa bilamana kita yang sering mengikut arahan ternyata tidak kemana. Manakala yang nakal dan melanggar pelbagai larangan sekolah, anihnya, merekalah yang terlihat lebih berjaya, lebih berpenampilan dan yang pastinya lebih dikenali dan diingati guru. Apakah pilihan yang aku ambil adalah satu kesilapan dengan menuruti setiap arahan dan nasihat guru. Apapun takdir yang ditetapkan keatas diri adalah sesuatu yang perlu diredhai. Mempertikai dan merintih 'nasib' yang menimpa diri sepatutnya dielakkan. Bahkan perlulah lebih gigih berusaha mencari dan berlumba merebut. Rezeki perlu dicari selagi bernyawa. Tiada istilah mengalah melawan pancaroba kehidupan. Namun kekadang ingatan dan memperbandingkan dengan keadaan semasa akan rakan persekolahan tidak dapat hendak dielakkan. Terbayang jelas semasa ditingkatan 2, tetiba ada slot khas pula masa 'morning assembly', iaitu 'Public Caning' dengan beberapa rakan sebaya dari BHES lagi tunduk berdiri dipentas. Makluman yang diperdengarkan ketika itu adalah kesalahan ponteng kelas dalam masa sesi pembelajaran dan ditangkap ketika sedang bermain judi 'poker' dirumah kosong yang dilaporkan oleh orang kampung yang mungkin sedih dan kecewa agaknya melihatkan anak bangsa berada diluar sekolah diwaktu sepatutnya menekuni belajar. Jelas dipenglihatan, lepas seorang ke seorang yang dihayunkan rotan ditangan dengan ditontoni sesama rakan. Apa agaknya perasaan mereka ketika itu. Malukah mereka, sukakah mereka dengan hukuman yang diterima. Namun hakikatnya kini, hasil dari tindakan mereka itulah yang mungkin menyimpang dari sepatutnya, mereka telah menjadi insan-insan yang berguna dan berjaya dari sudut pandang aku. Bukan setakat menjadi polis , tapi ada yang telah bergelar Tok Sarjan dan berbini dua lagi. Betapa tidak terfikirnya mereka akan nasib yang ditakdirkan keatas diri masing-masing dengan berbekalkan SPM yang cukup-cukup makan. Ramai lagilah rakan yang lebih rendah keputusan periksa mereka tapi mewah, sejahtera dan mulia lagi didalam masyarakat. Nasib orang manalah kita tahu. Moga kebahgiaan mereka kini akan berterusanlah sehingga keakhir hayat mereka. Apapun, setiap perkara yang menghinggapidiri akan berlalu pergi bila tiba ketikanya. 

Rujuklah, kata-kata hikmah yang di-post-kan rakan whatApps yang mungkin mampu menyimpul segala rentetan cerita yang masing-masing ditakdirkan menerimanya. 





Teringat juga aku dimasa hari pertama menduduki peperiksaan SRP di SMAL. Kertas pertama adalah BM K.1(pemahaman) pagi itu. Petugas peperiksaan yang merupakan guru yang dipilih dari sekolah lain yang mengawal-selia kelancaran peperiksaan mengingatkan agar semua calon mengisi borang jawaban objektif dengan betul. Nama calon dan angka giliran masing-masing. Tetiba sahaja dia meluahkan rasa hairannya kerana ada calon yang tulis namapun tidak pandai dan nombor giliranpun tidak tahu. Bagaimana hendak menandakan dengan pensil 2B pun bermasalah. Aku dihimpunkan dengan calon-calon yang merupakan rakan setingkatan dikelas paling akhir. Peperiksaan kerajaan diatur mengikut abjad awal nama. Bermula dengan nama Abdul, maka dialah yang didepan. Kelas terakhir yang diduduki menempatkan murid berpangkalkan huruf 'Y' dan 'Z'. Cikgu pemantau peperiksaan atau invigilator ini sampai fed-up melihatkan Zulkifli yang terkial-kial. Sampai sanggup menyuruh murid yang lain didalam bilik membantuinya. Kelihatanlah Si Yusuf yang duduk paling depan dibaris pertama segera bangun dan tanpa berlengah lagi menuju ke meja si Zul menunjukkan serta diperhatikan sambil mengaru-garu kepala si Zul ni pula. Insan malang ini ketika itu tidaklah berapa menonjol kehadirannya dan ditempatkan dikelas paling corot. Tidaklah diketahui olehku sehinggalah pada pagi mengambil periksa besar yang dia bermasalah membaca dan menulis. Aku duduk dimeja kedua paling belakang dibaris pertama yang mempunyai  7 meja sebaris. Zulkifli pula dibaris ketiga paling depan. Susunan bermula dari huruf Y. Tidak ingat pula nama yang bermula dengan huruf Y ni, cuma si Yusuf sahajalah yang menonjol diingatan. Dia ni dari kelas 3C. Ada namanya Zailani, Zainal dimeja hadapan aku. Ada dua murid bernama Zainal ni. Zainipun ada dua. Selepas aku, Zaini juga. Tapi aku didepannya sebab nama bapa bermula dari A iaitu Ali manakala nama bapanya ialah Mahmod. Zailani pun ada dua. Tapi pangkal namanya ada pula, Ahmad, maka dia ditempatkan sebiliklah dengan nama mereka yang berpangkalkan huruf A. Selepas Zaini, berturutanlah nama Zainuddin dibarisan kedua dari belakang membawa ke Zulkifli yang dikatakan ini dibaris ketiga meja pertama. Semasa kertas soalan diletakkan terbalik dimeja setiap calon oleh petugas peperiksaan, tertanya-tanyalah diri, 'Bagaimanalah si Zul hendak menjawabnya...' Bila diarahkan membuka kertas soalan dan mula membaca untuk menjawab, kisahnya terus tenggelam kerana masing-masing memikirkan 'kemampuan' sendiri untuk menjawab soalan.

Berbalik kepada tema yang khabarnya dikekalkan sama setahun lalu adalah untuk mengukuhkan lagi dan memantapkan lagi kedalam diri setiap warganegara. Sekali imbas, kita dapat merasakan yang tema tahun ini begitu diperlukan kerana rakyat keseluruhannya tidak ambil kisah tentang merdeka agaknya. Semasa ditahun 2015, beria-ia sungguh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Menteri Komunikasi Dan Multimedia ketika itu dengan hash tag '#Sehatisejiwa'-nya menegaskan tema tahun itu adalah cerminan roh kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kemanusiaan seluruh rakyat. Justeru itu amat mengharapkan dan harus pula dirasai bersama dengan meyakini 'kesenadaan' setiap lapisan masyarakat Malaysia akan terus menyatukan tanpa mengira garis sempadan, susur galur keturunan dan kepercayaan malah negeri kelahiran. Lanjutan dari itu juga Datuk Shabery Cheek @ mulut berbuih masa 'test power' berdebat dengan Anuar Ibrahim bagi yang masih mengingati peristiwa itu, menegaskan serta mempercayai ianya mampu mengerakkan atau menyemarakkan perasaan kasih sayang serta hormat menghormati sesama kita. Disimpulkannya bila ditanya wartawan yang keteguhan semangat patriotisme adalah tonggak kepada keharmonian dan perpaduan bangsa Malaysia bila kerapnya diucapkan 'sehati sejiwa' akan menjadi titian hubungan kepada yang jauh didekatkan serta ukhwah dipereratkan. Apa sudah jadi dan apa pula sebenarnya yang terjadi bila untuk tahun 2016, tema yang sama dikekalkan. Tema tidak berubah, menterinya yang berubah. Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak pula yang mengambilalih tugas menteri komunikasi dan multimedia pasal terlajak bagus repertoire-nya. Tanpa diduga dan tidak semena-mena menjawat tugas menteri kerana PM Najib amat berkenan dengan stailnya mungkin. Salleh ni pula dari pemahaman dan versinya pula menekankan semangat kejiwaan dan kesatuan hati rakyat malaysia. Pemupukan keatas semangat bersatu-padu yang telah lama bersemadi dan menjadi amalan didalam kalangan rakyat Malaysia menjadi sandaran hujahannya. Bila berjaya memupuk dan pastinya pula akan mampu meningkatkan lagi semangat patriotik dan cintakan negara didalam kalangan rakyat malaysia seluruhannya. Cakap macam bagus sahaja. Mudahnya dia membuat 'projection' tanpa berdasarkan fakta. Apa benarkah begitu mudah meramal tanpa merujuk situasi semasa. Sesuatu hal bukannya boleh didapati secara paksa tapi hadir dengan sendirinya pada diri. Ketulusan hati bukan boleh dibuat-buat. Menarik warga kepada tema yang dikekalkan ini bukan satu tugas yang mudah dan tidak semudah menyebutnya. Pengertian dan pemahaman tentu sahaja berlainan. Bagi yang menuruti sahaja, memanglah mudah. Bagi yang banyak 'objection', tidakkah payah hendak memahamkan mereka. Itu belum lagi yang pertikaikan.

Dirakamkan pada 20/08/2015
Ini pula diambil pada 01/09/2016 ditempat yang sama... ada makna tu.


Teringat lagi masa ditahun 80an dahulu. Antara tema yang menjadi ejek-ejekan sesama, 'Bersih, Cekap dan Amanah' masa Dr Mahathir menjadi PM. Isu kakitangan kerajaan yang tidak bersih dan tidak cekap menjadi bualan ketika itu. Kalau tidak bersih mana datangnya kecekapan malah jauh sesangatlah hendak beramanah. Sebab itulah tema hari kebangsaannya di tahun 80an yang terkenangkan itu, 'Bersih, Cekap dan Amanah'. Apa bezanya sekarang. Pelbagai isu yang mencemari negara tanpa adanya usaha mengatasi setiap persoalan yang dibangkitkan secara tuntas malah membiarkan warga tertanya-tanya sesama samada betul atau salahkah tuduhan yang dilemparkan. Berdiam tanpa menyatakan yang sebenarnya hanyalah membuatkan setiap warga makin gelisah. Ketelusan dituntut pada pentadbir negara. Berlaku jujurlah menyatakan. Ketulusan warga ditagih tapi ketelusan disekat. Bolehkah begitu. Bagaimanalah hendak menyuruh warga sehati sejiwa sedangkan hanya melibatkan sebelah pihak. Asyik kita sahaja yang diminta sehati dengan pemimpin dan cuba menjiwai setiap langkahan yang diambil dan menyerap segala keperitan. Bila didesak oleh pemberita dalam satu portal yang dibaca, Abang Salleh kita ini mengambil sikap berhati-hati pula dengan mengatakan penganjuran bukan milik kerajaan yang memerintah sahaja tetapi harus semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan(NGO) dan badan korporat perlu sama memainkan peranan dalam dalam menganjurkan 'Hari Kemerdekaan'. Dia pandai-pandai pula menyimpulkan yang konsep hari kemerdekaan itu adalah milik kita semua, dan untuk itu maka semua pihak perlu dan harus melibatkan diri.

Kita kena juga baca yang tersirat bukan sahaja yang dilaporkan. Sukar sebenarnya hendak memuaskan semua orang...... Tapi patut patutlah.

No comments: