Thursday, September 15, 2016

Dah macam apatah...

14 SEPTEMBER 2016, 07:17
Tidak terdaya rasanya mengejar apa yang dikejarkan. Tidak terjangkakan pula, lain yang terjadi. Sesiapapun mahukan sepertimana yang diharapkan dan diinginkan. Tapi kita seolah-olah mahu menafikan pula iradah(ketetapan) illahi. Sejauhmanapun kemampuan dan sebagus manapun perancangan kita, namun tidak juga mampu mengatasi ketentuanNya.


Semalam, ketika sedang menikmati langsat dan rambutan kuning pemberian abang uda @ abang iparku yang duduk setaman lebihan berjualannya selepas bermaghrib, tv dengan program beritanya sedang melaporkan kemalangan jalan raya yang berlaku sekitar malam pertama membawa ke siang hari kedua idul adha. Satu demi satu kemalangan yang mengorbankan nyawa siap visualnya untuk tatapan penonton. Bermula dengan kereta merempuh lori tangki dilorong kecemasan pada 3:30 petang yang mengakibatkan 4 sekeluarga meninggal sekaligus. Kejadian dilaporkan di KM209, Lebuh Raya Utara Selatan, arah ke Utara. Lori berhenti di lorong kecemasanpun dilanggar, siapa sepatutnya bersalah. Tapi kejadian pukul 11:30 malamnya dimana kemalangan maut 6 orang sekaligus berpunca dari kereta yang dipandu oleh siibu telah bertembung dengan 'wira' yang terbabas memasuki laluan amat mengugah perasaan. Langsat yang manis ketika dikunyah terasa pahit pula bila telinga dan mata kejap kearah tv yang bersiaran. Bagaimana ianya berlaku tidak siapa yang mengetahuinya dengan jelas dan pasti kerana ianya tetiba sahaja berlaku. Pegawai penyiasat(polis) dalam lingkungan 30an yang ditanyai pemberita cuma dapat mengagakkan sahaja dengan beralaskan 'mungkin'. Diandaikanlah yang pemandu itu tidak perasan kerana jalan gelap dan kemudiannya cepat-cepat pula ianya satu kemungkinan dan akhirnya dia sendiri mengaku yang punca sebenar kejadian adalah tidak pasti. Orang baru ditugaskan menjadi ketua dan mungkin jugalah pertama kali ditemuramah 'live', dan untuk menampakkan yang diri bukanlah 'camera-shy' maka berbelit-belitlah dia bercakap.

Kejadian yang menimpa diri bukanlah kita yang memintanya. Tapi ianya tetiba terjadi. Maka perlulah kita redha menerimanya serta bersabar menghadapi ujian dariNya. Siapalah yang saja-saja inginkan kemalangan dan lebih-lebih lagi melibatkan nyawa. Sememangnya kita ingin sampai ketempat tujuan dengan selamat. Yang melanggar tidak terfikirpun hendak melangar dan yang dilanggar juga pastinya tidak menyangka perkara buruk berlaku pada diri. Ketentuan dariNya tiada sesiapapun boleh mengelak. Terima dan berserah diri seadanya. Andailah lebih awal diketahui dan dihidu, mana mungkin mereka akan bertembung dalam kejadian yang tidak pernahpun disangkai mereka. Kita tidak pasti dan tidak mampu untuk menyelami perasaan waris yang menerima musibah ini. Dalam sekelipan mata orang yang disayangi dan ditunggui pergi buat selamanya. Tentulah mengigil mendengar berita yang disampaikan. Tambahan pula satu malaysia dapat menatap dan mengikuti kejadian yang berlaku ini. Jiran, taulan, rakan sekerja, rakan sekolah, rakan sekampong pasti akan menyampaikan berita kejadian dan apa sahaja grup whatApps yang disertai oleh insan-insan malang ini akan cepat pula disebarkan berita yang menyayat hati ini. Kecepatan maklumat disampaikan tidak dapat mengembalikan mereka dan hanyalah sekadar mengejutkan sesama yang hidup disamping mengucapkan salam takziah via whatApps grup sebagai menunjukkan simpati sesama.


Biarpun begitu pemergian tanpa diduga tentunya menimbulkan pelbagai persoalan. Persoalan pula mengikut perspektif orang yang bertanya. Bagi yang kuat agama akan persoalkan tentang bekalan ke 'sana' nanti. Samada kecukupan atau tidak mungkin merisaukan tambahan pula bila mengetahui serba sedikit latarbelakang simati. Apapun bukan kitalah yang berhak menilai sejauhmana bekalan mereka tapi kita berharap benar agar limpahan kasih dan sayang Allah melebihi dari yang kita rasakan dan jangkakan.

Bersangka baiklah, bukankah ianya sesuatu yang dituntut.

Allah maha Mengetahui.

No comments: