19 MAY 2016, 14:25
Semalam yang berlalu menimbulkan pelbagai soalan. Rentetan peristiwa yang terjadi untuk kesekian lamanya membuatkan taman yang aku diami ini menjadi tumpuan. Pihak kementerian kesihatan telah menjadikan taman aku ini antara kawasan pemantauan mereka. Malah petugas hospital diunit kecemasan telah sedia maklum dan diarahkan sejak sebelum program 'sembahyang hajat' lagi yang diadakan pada 26/11/2015, agar pesakit yang datang dari kejiranan Bukit Katil perlu segera diperiksa.
Coretan yang aku kepilkan bersama bertajuk 'Denggi dan ancaman' yang aku coretkan pada penghujung November 2015 memadai untuk aku katakan yang segalanya yang dihajati tidak tercapai sepenuhnya. Tiada pengurangan kes dari taman yang direkodkan sehingga kini telah memaksa pihak kesihatan 'memerangi' habis habisan. Rujuklah...
Denggi dan ancaman(27/11/2015)
Semalam, persatuan penduduk taman mengadakan majlis kesyukuran, bacaan yasin & tahlil. Hujan turun agak lebat jugalah sekitar 3 petang semalam. Lepas makan ketika itu. Perut tengah kenyang melantak pindang kepala ikan parang. Cuti punya time biasanya aku akan bersembahyang zohor dahulu sebelum makan tengahhari. Buat yang high priority dulu. Hujan yang mula melebat ketika sedang membaca dibilik membuatkan aku mengambil 'nap' le pulak. Hampir hendak ke Asar baru terjaga. Masih tidak berhenti lagi. Lebat bertukar gerimis. Cuaca agak suram semalam. Bila bercuti biasanya aku menyibukkan diri memahirkan sekerap dan seboleh mungkin akan bahasa arab demi memahamkan al-quran yang dibaca.
الحد لله،
Maklumat mengenai majlis yang bakal diadakan dibalairaya taman diperolehi dari sesalinan jemputan yang dimasukkan ke peti surat pada Rabu, 25/11/2015. Masa bila diletakkan tidaklah aku pasti. Semasa keluar berurusan tidaklah perasan cuma bila balik sekitar 2 petang hari itu, terjojol keluar dari peti surat kertas A4 yang digulung. Ketika tengah melepak disofa panjang depan tv dan terpaksa pula menonton Tuan Anas Mikael(drama yang disiarkan 4 malam berturut-turut setiap minggu dan dinanti-nantikan oleh orang rumah dan anak pompuannya), jiran datang menjengah menyerahkan file kerana aku adalah penyelaras parit dan saliran. Turut mengingatkan aku akan majlis pada khamis malam nanti yang telahpun aku sedia maklum.
انشءالله،
Mulanya berat hendak berpergian. Cuaca yang sejuk serta hujan masih turun rintik-rintik. Keadaan sebegini mungkin mengakibatkan aku akan lebih kerap batuk-batuk. Hendak tidak hendak terpaksalah juga menghadirkan diri. Ini adalah satu obligasi sebagai sebahagian dari penduduk taman. Minta orang rumah iron-kan baju melayu selepas mandi. Melengah-lengahlah pula, azanpun berkumandang. Sempat lagi 'berlakon'. 'Saya ni kalau tak pasal mesyuarat.... , tak kuasa hendak meninggalkan awak ni...' ketika dipintu. Spontan pula memanjang gelaknya bila aku sebutkan dailog ini. Orang rumah pula yang tambah-tambah, 'ooo... siap bawa tasbih lagi.... rupa-rupanya hendak ketempat lain.' Dia recall kembali adegan Pak Maon hendak menyelinap ke pesta muda mudi dalam filem 'Nasib Do Re Mi'. Bergegaslah aku melangkah ke balairaya. Sesampai sahaja, sembahyang maghrib hendak dimulakan. Haji Fendy mengimaminya walaupun dia cuba memberi penghormatan kat Ustaz Mokmin. Sebaik selesai, Hj Fendy bangkit dan memaklumkan makmum untuk sama-sama bersembahyang hajat demi menghindari penularan penyakit demam denggi yang menyerang taman kita. Diikuti selepas itu, bacaan yaasiin beramai-ramai serta doa yang di-lead oleh Hj Fendy juga. Dia refreshkan semua yang hadir akan cara nak laksanakan sembahyang hajat agar majlis sempurna.
|
Banner yang digantung selepas 'sembahyang hajat' |
|
Jemputan menghadiri ceramah sehari sebelumnya berhajatkan |
Selesai mendirikan solat isyak berjamaah yang diimami oleh Hj Fendy,majlis diteruskan oleh Hj Hanafi yang merupakan pengerusi taman yang baru mengantikan Abu Bakar Shabudin untuk sessi 2015-2016. Ucapkan terimakasih kepada penghuni yang berkesempatan hadir sesama menjayakan program. Memulakan ucapan memberitahu tujuan diadakan majlis demi mengatasi penularan wabak demam denggi yang makin merebk. Dia memohon kerjasama semua penduduk taman agar semua turut terlibat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Sebelum menyerahkan mike kepada pegawai kesihatan yang akan memberikan ceramah tentang denggi, Tn Haji Hanafi memaklumkan akan komposisi penduduk taman. 60% Melayu, 30% Cina dan 10% India dan lain-lain. Mohon yang hadir mendengari info yang akan disampaikan oleh pegawai kesihatan. Orang yang berdiri disebelah Hanafi ini muda sangat mungkin sekitar awal 30an. Tapi demi tugas terpaksalah dia melaksanakan. Lingering around dikalangan orang yang veteran dan lebih-lebih lagi hendak menyampaikan maklumat penting tentang aedes dan denggi ini perlu berhati-hati. Cabaran ini harus ditangani dengan baik agar tidak dilihat mengajar orang yang lebih tua. Terpaksalah pegawai ini cakap berlapik dan sebolehnya mengunakan contoh-contoh yang lebih bersifat analogi. Penggunaan kata ganti amat kurang dan cuma sekali sekala dilepaskan. Makanya berbagai info dihamburkan setelah mula merasa selesa dan yakin yang mendengar mula menaruh minat keatas ceramah yang disampaikan. Antara yang terkesan dipendengaran adalah kemampuan telur nyamuk aedes. Walaupun ketiadaan air, telur yang bersarang ditempat takungan air yang kering mampu bertahan sehingga lebih dari enam bulan. Apabila digenangi air, proses pembiakan nyamuk bermula. Ini bermaksud telurnya tidak akan rosak jika ketiadaan air malah mudah menetas bila kita leka tidak menjaga kebersihan sekitaran. Lebih menghairankan nyamuk aedes juga mampu terbang sejauh 500 meter radius dari tempat penetasan. Ceramahnya dimasukkan juga statistik kematian seluruh melaka akibat nyamuk aedes yang merbahaya ini. Bukan untuk menakutkan tapi lebih kepada prihatin masyarakat memastikan penduduk kekal sihat dan terhindar dari demam denggi. Langkah-langkah pencegahan diperjelaskan agar semua yang hadir mendengar mampu melakukan nanti bila berada dikediaman masing-masing.
Habis berceramah, pantas sahaja En. Hanafi kita memaklumkan beberapa perkara untuk tindakan bersama. Beliau mengharapkan semua penduduk taman agar bersama-sama memastikan kebersihan kawasan dijaga. Segala barangan terpakai dan tidak diperlukan lagi diletakkan di hadapan rumah masing-masing setiap Rabu dimana kontraktor yang dilantik akan datang memunggut. Dia juga memaklumkan denda RM500 akan dikenakan kepada mana-mana rumah yang didapati ada jentik-jentik nyamuk bila pihak kesihatan membuat siasatan. Pihaknya tidak akan membantu jika disaman.
Perkara yang perlu ditangani bersama secara serius oleh semua penghuni taman tapi ternyata diambil ringan dan dipandang remeh pula oleh sebilangan orang akan permasalahan yang harus dihadapi bersama amatlah mengecewakan. Setakat membiarkan segelintir anggota memikirkan dan beria-ia melaksanakan setiap perancangan sedangkan sebahagian yang lain melakukan acuh tidak acuh sahaja tidak memungkinkan apa - apa kejayaan. Kekerapan pihak jabatan kesihatan dari unit pencegahan mendatangi taman membuat pemantauan serta pemeriksaan dari rumah ke rumah telah sampai kekemuncaknya.
Hari Rabu petang ketika pulang dari kerja yang agak lewat dari biasa seolah memaksa aku melihat sendiri betapa jerih peritnya pihak jabatan kesihatan menolong membantu mencegah penularan demam denggi yang semakin meningkat. Kereta 'kesayangan' aku ini telah mula meragam sejak Isnin minggu lalu. Sukar untuk hidupkan engine diwaktu pagi. Perlu bertolak baru hidup. Kalau minggu lalu hanya diwaktu pagi sahaja tapi minggu ini kekadang ketika pulang kerja pula. Keluar tugas pukul 6:00pm. Namun lewat sikit kerana membeli keperluan rumah yang di-whatapps-kan oleh orang rumah. Untuk elakkan kelupaan andai memesan ketika keluar bekerja, aku arahkannya untuk whatapps sahaja setengah jam sebelum habis bertugas. Maka menjadi kelaziman dan kemestian pula untuk aku melihat info yang di-post-kan sebelum bergerak pulang. Selepas membeli dan ketika melangkah kekereta waktu sudahpun menghampiri ke 7:00pm. Sudah dekat ke waktu Maghrib. Phobia pula, takut tidak boleh start lagi. Sehari sebelum, aku sampai kerumah, azan sudah lama berkumandang. Merayulah aku pada yang Esa agar dipermudahkan segalanya. Alhamdu-li-allah. Mudah pula engine dihidupkan. Bersegeralah aku memandu pulang.
Ketika memasuki taman, kelihatanlah asap putih menebal menutupi laluan setinggi bumbung rumah. Beberapa blok dikiri dan kanan kedengaran bunyi 'penyembur asap' serentak. Membingitkan suasana menghampiri senja. Terpaksalah berhati-hati memandu menyampaikan kehujung padang. Ramai kakitangan kesihatan sedang memantau. Sampai dirumah, kelihatan pula petugas tengah menyembur diblok berhadapan rumah. Cepat-cepatlah aku menutup pagar sambil mencengkeng barangan yang dibeli. Bukan apapun, Roti Gardenia dengan 'Nutella'. Memijak licin berminyaklah dimuka pintu selepas salam aku bersambut. Orang rumah memaklumkan ada orang sembur asap sekejap tadi dan yakinkan aku akan segera mopkan muka pintu yang berminyak hasil kerja-kerja penyemburan. Beberapa ketika kemudian azan mula berkumandang. Saling bertingkah pula azan yang dilaungkan dengan bunyi alat penyembur asap. Sambil menanggalkan pakaian kerja aku bermonologue, 'Azan dah berhenti... mamat sembur asap masih bertugas lagi'. Nak kata apa. Tugas perlu disempurnakan. Al-maklumlah waktu maghrib-lah nyamuk 'istimewa' ini sangat aktif dan aggresif. Apa tidaknya, dikhabarkan ada petugas yang meninggal akibat gigitan nyamuk aedes ketika sedang melakukan kerja-kerja penyemburan. Dikatakan juga petugas malang itu disyaki terkena gigitan dari taman yang aku duduki ini. Ikut rekod, beberapa orang yang dikategorikan tidak bernasib baik telah menemui ajal. Sukar untuk kita menyalahkan sesiapa. Kesilapan dipihak lain ataupun dipihak kita sendiri kerana mengabaikan kebersihan menyebabkan kita-kitalah yang terhukum. Nyamuk aedes pembawa 'denggi' ini pula tidak mengenali sesiapa. Ikut suka dialah hendak mengigit. Semasa dia sedang 'beroperasi' dan ketika itu pula kita terhegeh-hegeh diluar rumah dengan pelbagai aktiviti, maka 'lauklah' buat mereka. Nasiblah siapa yang diminatinya. Prime time ini setelah pihak kesihatan mengenal pasti maka kerja-kerja pencegahan serta pembasmian harus dilakukan ketika 'mereka' keluar beramai-ramai waktu maghrib. Pertembungan secara berdepan ini mengikut apa yang diperhatikan belum tentu lagi dapat menghapuskan nyamuk aedes secara tuntas yakni once and for all. Kejayaan jauh dari diharapkan andai tiada kesungguhan penduduk taman sesama menjaga kebersihan persekitaran.
|
Bunting terkini betul-betul depan rumah |
|
Declare perang |
|
Hampir setiap tiang terpampang... nyamuk popularlah, aedes ni |
Dikesempatan hari ini selepas pulang dari pasar, aku 'turun padang' memeriksa sekitar rumah. Depan dan belakang telah lama bersimen. Segala tin kosong serta barang tidak dipakaipun telah lama pihak yang ditugaskan mengangkut setiap Rabu yang dilonggokkan dihadapan rumah telah berbulan berlalu. Apa lagi yang perlu diperbuat. Mengadulah orang rumah akan pemeriksa kesihatan semalam bercakap sesama mereka yang mereka telah jumpa sambil mengajukkan perbualan mereka, 'Hah... dah jumpa... dah jumpa' dari arah belakang rumah. Pemeriksaan berkumpulan untuk compound penduduk taman adalah sebahagian tugasan mereka. Biarlah dia buat kerja mereka. Kita pula buatlah apa yang patut. Kebetulan terdapat tong cat emulsion putih ada setengah lagi isinya tersimpan terperuk di hujung tembok bilik bawah. Nasib baiklah tiada air bertakung dipenutupnya. Cuma terdapat banyak pasir diatas penutup. Kalau tidak kena dendalah kami.
Orang rumah pula ketika sedang makan malam memaklumkan 'jiran' belakang sekeluarga dimasukkan ke hospital 'suspect' dengue. Maklumat ini disampaikan oleh anak singh, si Ika, yang datang berkunjung meminta kain lampin adiknya dijahit tepi. Laju sahaja dia 'smash' pasal tidak mengetahui cerita. 'Itulah... sibuk memanjang menjahit, sampai jiran kena denggipun tidak tahu.' ajuk orang rumah akan apa si Ika perli. Aku terperanjatlah mendengarkan berita yang seolah-olah tidak mahu aku dengari. Sudah semakin dekat ni maklumku pada orang rumah. 'Aedes ini pandai pula cari mangsa. Dia attack yang kaya-kaya sahaja' aku luahkan secara bergurau. Orang rumah semacam tahu pula yang nyamuk aedes ini datang dari 2 unit kedai makan yang beroperasi diiring padang. Segala tin-tin kosong serta air kumbahan yang tersekat dilongkang mungkin menjadi tempat pembiakan mereka. Ada kebenaran cakap-cakap orang rumah ini untuk menutup sementara kedai makan tersebut. Siapa berani usulkan. Hendak kena 'terkam' dengan tokay kedai. Tak pasal-pasal bergaduh nanti.
Kekadang memang sukar mendapatkan kesepakatan. Ada-ada sahaja rintangan. Kedatangan musibah yang benar-benar mengancam nyawa diharap dapat menyatukan setiap penghuni taman. Permasalahan bukanlah sekadar dimaklumkan sahaja tapi perlu mengambil initiative mengatasinya. Berserah kepada orang lain semata-mata sedangkan kita tidak menghiraukan malah melakukan perkara-perkara yang mengalakkan lagi pembiakan nyamuk aedes amatlah dikesali. Risalah dan pemeriksaan berkala dilakukan oleh petugas kesihatan dari semasa kesemasa. Pernah pada 11 April 2016 ketika sedang menukar kepala paip baru di halaman, beberapa petugas terjerit-jerit mengulang ucapan 'salam'. Ada penghuni yang menyambut salam dan ada juga yang bertujai salam diberi tidak berbalas. Aku maklumkan kepada petugas, mungkin belum balik lagi tu. Sampai ke pagar pintu, selepas salam berjawab menanyakan bekas perangkap nyamuk yang katanya telah diserahkan kepada setiap penghuni pada Jumaat sebelumnya. Maklumkan pada orang rumah yang kemudiannya menunjukkan bekas perangkap yang diletakkan dipenjuru luar rumah. Terperasankan pula pegawai yang mengarahkan kerja-kerja pengumpulan bekas perangkap nyamuk yang macam kenal sahaja. Bersalamanlah aku dengan dia sambil dia pula terkejut melihatkan aku menghuni taman ini. Pernah berbual dengannya sebelum ini tapi disituasi yang jauh lebih formal. Tidak pula bertanyakan namanya tapi dia mudah mesra bila diajak berbual. Tanyakanlah tentang usaha pemantauan yang dijalankan. Banyak bualan berkisar tentang ancaman aedes serta kerjasama penduduk setempat. Sebaik dia meninggalkan aku bergerak kerumah jiran yang lain, barulah aku berjaya recall wajah orang yang aku berbual itu. Rupa-rupanya dia adalah husband rakan sekerja aku. Encik Adnan yang kurang lebih beberapa tahun senior dari aku. Bayangkanlah orang luar pula yang bersusah payah menyelia memantau keadaan sekitar kediaman aku. Manakala penghuni tetap dan penyewa ada segelintirnya buat selamba sahaja akan isu yang berbangkit sekarang. Kalau ketika diadakan 'sembahyang hajat' banner yang digantungkan disekitar taman lebih kepada menyedarkan kepada penjagaan kebersihan demi mengatasi wabak demam denggi tapi sejak operasi besar-besaran ini, pelbagai kain rentang memaksa mengajak setiap penduduk taman agar lebih bertanggungjawab dengan kata-kata yang bersifat urgency.
Tepuklah dada sambil tanyalah diri kita sendiri akan apa yang seharusnya dilakukan sebelum kita menepuk dahi menyesali kesilapan kealpaan bila ada anggota keluarga meninggal dunia disebabkan nyamuk. Terserahlah.
No comments:
Post a Comment