Monday, April 25, 2016

Himpitan Menular

11 APRIL 2016, 09:35
Semalam aku bercuti seperti yang dirancangkan. Apapun setiap perancangan bukan kitalah penentunya. Memangpun sejak 2nd G64 Bowling Tournament pada 05 March yang telah berlalu sebagai pra-reunion untuk tahun ini telah diwar-warkan untuk mengadakan pertandingan Bowling Khas antara G64 Melaka vs G64 KL. Setelah bersama bersetuju maka 10/04/2016 menjadi tarikh pertemuan untuk 'repeat match'. Biarpun  sehabis bagus perancangan yang dibuat dan mungkin pada pandangan dan perspektif kita terasa sungguh sempurna namun jayanya belum pasti lagi.


Seminggu sebelum itu iaitu pada 02/04, sahabat sesama bersekolah telah mengadakan majlis kenduri kahwin anaknya di Dewan MBMB yang berdepan dengan tempat kerja aku. Malah beberapa minggu sebelumnya sekitar March dia telah post-kan kad undangan perkahwinan anaknya di whatsapp group. Tujuannya tentulah ingin menjemput semua kenalan yang berkesempatan untuk hadir dimajlis yang diadakannya. Demi untuk meraikan majlisnya itu, aku plotkan cuti hujung minggu aku ke tarikh yang dimaksudkan. Kehadiran bersama isteri dan Yaseer pada hari itu seolah satu obligasi memeriahkan majlisnya. Bertemu sesama rakan lain yang ditakdirkan bertemu dikesempatan ini dimanfaatkan sebaiknya.

Namun begitu tidak semua yang kita andaikan pasti berlaku. Setiap yang terjadi itu pula punyai hikmah. Sejauh mana dan sebagus mana pula kita berdepan dengan situasi yang dihadirkan akan menjadi titik tolak kearah perkara yang seterusnya. Kita hanya berdaya melihat apa yang ada didepan mata sahaja dan tidak mungkin dan terjangkau untuk menyaksikan sesuatu yang jauh kehadapan. Sedangkan apa yang patut berlaku kepada diri pada sebelah petangnya hari andai memikirinya dipagi harinyapun tidak pasti, apa pula halnya untuk hari esoknya, minggu depan, bulan depan atau tahun berikutnya lagilah kabur jadinya. Berita gempar yang diterima sekitar lebih kurang ke 12 tengahhari untuk 02 April diwhatsapp amat mengejutkan semua yang membacanya. Ini aku pasti. Naluri ini kuat mengatakan yang semua rakan yang mengenali arwah bersedih atas pemergiannya yang tidak sesiapapun menyangka. Tatkala masing-masing merancang ke majlis Ai @ Ibrahim Chia, tetiba pula kematian rakan sekolah diterima. Takdir harus disambut dengar sabar. Dua situasi yang berbeza dalam masa serentak membuatkan masing-masing dalam dilemma. Disini kemeriahan dan di Salak Tinggi pula kesedihan. Kalau disuruh memilih, tentulah keceriaan dan kegembiraanlah yang dihajati. Normallah buat kita sebagai manusia. Kesempatan untuk berada didua tempat dalam masa yang sama adalah mustahil terjadi. KetentuanNya jualah memaksa diri berada dikedudukan dimana kita berada. Beberapa rakan semasa bertemu dimajlis Ai bercadang berkonvoi menziarahi buat kali terakhir akan arwahnya Azmi Mamat. Aku pula bukanlah mengelak untuk turut berziarah tapi telah berjanji menziarahi anak di MRSM selepas makan kenduri. Ucapan takziah dititipkan untuk disampaikan kepada keluarga arwah agar bersabar menghadapi ujianNya.

Apapun semalam dan hari ini aku mengambil cuti hujung minggu keduaku buat bulan ini. Sepatutnya semalam adalah event berbowling tapi tidak terlaksanakan. Cadangan sesama rakan untuk menangguhkan aktiviti ini ke satu tarikh yang bersesuaian disokong semua. Alasan sebagai mernghormati pemergian arwah tiada siapapun mempertikaikan. Sebulat sekata bersetuju membuktikan keakraban sesama rakan masih utuh walaupun seorang demi seorang kembali ke rahmahtu allah. Dalam mengenangkan nasib yang menimpa keatas arwah, aku pula bermonologue. 'Nasib orang kita dah nampak... nasib sendiri macam mana agaknya bila dimatikan.' Kita maklum yang ajal maut hanya Allah yang Maha Mengetahui. Tarikh dan harinya, tempat masanya serta cara keadaannya dimatikan tidak pernah akan kita ketahui. Tapi kita kena yakini segalanya telah tersurat di Luhz Mahfuz. Cumanya bagaimanalah nanti yang segala pertanyaan yang kita macam tetahu sahaja cuba diajukan tapi tergantung tiada terjawabkan.

Semalam dalam usaha 'menyibukkan diri', aku mengubah susunan meja tulis aku dibilik. Aku sendirian sahaja. Orang rumah biarlah dia menyiapkan makan tengahhari. Jangan diganggu kerana selepas makan tengahhari hendak jengah anak di Terendak sebagai sokongan moral agar dia tidak rasa diasingkan. Dalam berkemas-kemas tu terpandangkanlah risalah yang mahu aku ulas masa tengah panas ketika itu. Namun masa tengah bersemangat dulu terlupa pula mana diletakkan dan mencarinya tidak berjumpa pula. Hari ini baru ketemukan dan tidak lengah lagilah mula mencoret. Persoalan yang membimbangi diri akan kemampuan anak untuk mendepani kehidupan dihari muka mereka sukar diluahkan. Malah kalau diluahkan juga maka tidak siapapun yang mengambil kisah. Kerisauan sebagai bapa dapat mengagakkan betapa peritnya nanti kehidupan mereka andai tidak diurusi dengan penuh berhati-hati. Kalaulah telah ditakdirkan sekian-sekian corak kehidupan yang harus dilalui anak-anak, aku perlu pasrah. Seeloknya aku hanya berdoa kehadrat Illahi agar mereka tabah mengharungi ujian hidup.


Risalah yang diketemukan  memulakan coretan

Isu rumah dan kediaman merupakan isu yang berpanjangan dan tidak mungkin selesai sepanjang zaman. Betullah yang pergi akan meninggalkan apa yang arwahnya ada dan tidak akan turut membawa bersama mereka rumah yang dimiliki dan diduduki. Perubahan tetap silih berganti. Yang usang berganti baru. Belum pernahlah aku melihat ada anak-anak yang sudi menghuni rumah tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan. Sikap ingin berdikari setelah berkeluarga perlu dan mesti ada pada pasangan yang ingin berkahwin. Malah kalau sikap sedemikian diawalkan sebelum bekeluarga adalah lebih bagus. Tanggungjawab yang semacam 'package' pula kepada pasangan yang baru memulakan penghidupan bekeluarga tidak terlepas dari memikirkan soal rumah. Isunya bukanlah rumah yang pelbagai bentuk dan jenisnya. Itu akupun tidak kisahkan sangat. Tapi kenaikan harga rumah yang semakin mengila mungkin akan mengakibat pasangan yang tergila-gilakan rumah sendiri menjadi gila pula memikirkan harga rumah yang terus melambung naik. Apakah pasangan yang baru hendak memulakan penghidupan bekeluarga sanggup mengharungi segala bagai rintangan. Selama manakah harus menyewa sedangkan ikut fitrahnya bekeluarga, bilangan ahli keluarga pasti bertambahan mengikut usia perkahwinan. Bebanan dan terbeban rasanya tidak dapat mengelak. Harung dan redah sahajalah nampak gayanya.

Terpanggil nya aku untuk mengulas isu ini bilamana PM kesayangan kita ni yang terkenal dengan 1Malaysia-nya dan berkonsepkan 'wassatiyah'-nya sebelum dikecohkan dengan 1MDB dan dihebohkan lagi pasal penerimaan derma yang jutaan jumlahnya, bila menyebutkan harga rumah 'PR1MA' berharga serendah RM400K kepada pasangan baru berkahwin ketika melancarkan projek diKL. Kalau ikutkan perancangan, penubuhan PR1MA @ 2012, matlamatnya adalah membina rumah mampu miliki berharga paling rendahpun RM100K ke RM400K bergantung pada lokasi projek.  Manakala yang layak pula harus bergajian gabungan laki-bini dalam lingkungan RM2500 ke RM7500 dan telah dinaikkan ke RM10000 pula. Sebab itulah timbulnya ejek-ejekkan golongan yang kurang berkemampuan dalam nada mengeluh mereka, 'rumah mampu milik dah bertukar jadi rumah mampu tengok aje...'.

Photo pada 21/08/2015

Photo pada 24/03/2013
Taman Bkt Katil Emas

Taman Camar Indah

Kedua-dua gambar yang di-snap pada tarikh yang dicatatkan menunjukkan tiada apanya yang ketara bila dilihat dari hadapan stesen minyak Caltex. Orang luar lagilah tidak perasankan apa-apa yang berbezanya. Jarak masa yang tidak sampaipun ke 3 tahun lamanya dan disebalik tidak ketaranya perbezaan pada kedua-dua gambar ini, jelas pembangunan telah rancak dan rakusnya dilakukan. Investigative report yang aku lakukan sendiri selepas mengisi minyak pada 21/08/2015 bagi menunjukkan siapakah yang beruntung keatas pembangunan yang telah dijalankan. Sebaik selepas Pilihanraya ke 12 pada 05/05/2013, hutan paya gelam telah kononnya dimajukan demi pemodenan yang tidak dapat dielakkan. Bagus alasan yang diberi tapi tidak bagus untuk rakyat dikawasan yang terlibat. Muncullah dua taman yang hampir serentak dimajukan dan serentak juga disiapkan oleh pemaju yang berjaya terpilih dan diberi projek. Taman Bukit Katil Emas dan Taman Camar Indah yang cuma bersebelahan menjadi kemegahan. 56 units bersaiz 22/24 X 75 untuk Bukit Katil Emas dan hampir 30 units Semi-D berstatus freehold(MCL) untuk Camar Indah masih belum terisi sepenuhnya sehingga sekarang. Harga yang ditawarkan untuk Semi-D itu yang siap sebelum raya tahun lalu(2015) berharga RM295K sebuah. Tahun ini mungkin ada kenaikan harga aku rasakan. Maklumlah serba serbinya kan ke naik harga sekarang ini. Harga rumah pula tidak tunggu harga minyak dunia naik ke turun malah kenaikan harga rumah rasanya tidak terkawal sekarang ini. Ikut suka pemajulah. Kerajaan sekadar tengok bolehlah. Himpitan yang kian terasa dari sehari ke sehari sehinggakan rakyat dan golongan marhaen tidak kuasa lagi bersuara. Biarlah yang bijak dan yang pandai mengurusi persoalan kenaikan harga. Slogan 'Tradisi mem'bela' rakyat' dan 'Demi Bangsa, Negara dan Agama' yang familiar dan kerap kedengaran masa Pilihanraya Umum sekadar rhetorik dan mentorikkan telinga rakyat bawahan.

Nilaikanlah kedudukan kita...



Sanggup ke sebulan seribu lebih untuk 30 tahun...


Aku cuba propagate-kan isu kemahalan harga rumah pada bebudak bujang yang sama berkhidmat dan dikenali agar lebih serius kerana mereka lelaki dan perlu bertanggungjawab keatas keluarga yang bakal dibina nanti. Tapi yang sedihnya, diantara ramai-ramai bila diperjelaskan isu ini, tidak seorangpun yang mengambil pusing akan perkara ini. Mungkin aku terlalu eager benar  cuba menjelaskan perkara ini  sehingga membuatkan kebanyakan mereka semakin kabur pula akan isu ini. Budak baru hendak mula bekerja dan masih tercari-cari kerja yang menjamin masa depan. Akupun seharusnya malu sendiri kerana yang datang bekerja adalah bebudak lepasan SPM yang masih tidak terfikirkan lagi perkara ini. Diperingkat umur aku ini andailah masih menyewa lagi maka besar kemungkinannyalah sehingga akhir hayatlah tidak berumah sendiri. Bagi yang bernasib baik dan berjawatan tentulah tidak berapa aku kisahkan tapi bagaimana pula yang SPMpun terkial-kial untuk lulus dan peluang pekerjaan untuk lepasan SPM banyak yang telah diserahkan wewenangnya kepada pekerja asing yang dialu-alukan kedatangan mereka. Benar rezeki adalah tersedia untuk semua. Tapi kecenderungan memuji pekerja 'outsource' akan keberkesanan melaksanakan '3D' jobs oleh pihak kerajaan amat dikesali. Kemanakah golongan kelabu asap ini hendak dicampakkan. Membiarkan ibubapa dan penjaga sahaja mengurusi, rasanya tidak memadai. Campurtangan pihak berkuasa diperlukan agar rakyat sendiri tidak terpinggir dek kerana hendak mencapai status negara maju, kononnya, menjelang 2020.

Berbalik kepada isu pemilikan rumah ini, nampak gayanya, golongan yang berpendapatan rendah kalaulah tidak dibantu akan terus-terusanlah menjadi penyewa ditanahairnya sendiri. Semasa mengangkut segala khazanah setelah hampir 3 tahun Along berkelana di Pasir Gudang sebaik tamatnya paper terakhirnya aku mahukan dia untuk menyambung ke peringkat ijazah pula. Sekadar diploma bukan tidak membantu tapi perit untuk meningkat ke jawatan yang lebih lumayan gajinya. Ikut pasaran, gaji permulaan diploma dalam 'mechanical' yang dipelajarinya sekadar dalam lingkungan RM1200 ke RM1700 sahaja. Tidak mencapai standard yang aku set-kan. Gaji bersih permulaan seharusnya mencecah RM3000. Ini berpandukan arahan BNM yang menghadkan ansuran bulanan pinjaman perumahan seseorang harus tidak melebihi dari 1/3 dari gaji bulanan yang diterima. Dan 30 tahun berhutang terpaksa adalah hakikat yang pedih menerimanya kerana lebih pendek tempohnya akan lebih tidak berdaya memikulnya nanti. Jangkakan yang buruk-buruk dahulu sebelum mengimpikan yang indah-indah. Bersedia menghadapi segala kemungkinan amat penting diberi perhatian didalam mengharungi rona-rona kehidupan. Berserah semata-mata tanpa sebarang usaha akan merisikokan diri.

Sebaik dia berada dirumah dan tanpa sebarang perancangan dan dengan ibunya yang masih memanjakan agar dia berehat dahulu selepas 'penat' belajar membuatkan aku lebih 'mendidih'. Aku menyuruhnya ke 'Ekspo RMM or Rumah Mampu Milik untuk melihat sendiri realiti didepan mata. Apakah betul atau salahkah sepertimana yang aku maklumkan kepadanya semasa ke Pasir Gudang  pada 12/11/2015 itu. Aku ingatkan dia supaya melaporkan apa yang aku hendak tahu tentang perkara-perkara yang berkaitan. Dia berkereta dengan adiknya untuk misi yang aku tugaskan. Sesampai dirumah aku tanyalah apa yang hendak aku ketahui. Harga rumah yang ditawarkan semuanya diatas RM150K. Dibawah dari harga ini tiada kedapatan. Mungkin malas agaknya hendak berdiskusi atau merasakan hal ini masih jauh lagi terus sahaja dia mengakui apa yang aku maklumkan kepadanya. Aku sekadar  mengingatkan akan peripentingnya menyambung belajar agar kehidupan di hari kemudian nanti, dengan izinNya jua, bakal terurus dan selesa.

Apapun hidup ini adalah satu perjudian. Melangkah atau tidak mahu melangkah, segalanya akan menuju kepenghujungan. Redha dan redahlah ikut kata hati masing-masing.

No comments: