Friday, April 22, 2016

Hukum alam jelas dipertunjukkan

22 APRIL 2016, 08:05

Terkini - Adik Nuriey dipatuk ular. Sila rujuk sini.

Bagi mereka yang punyai perasaan dan hati pastinya akan turut bersimpati atas musibah yang menimpa pada ibu dan bapa kepada adik Nuriey Nadhirah Ruslan yang baru berusia 7 tahun di Kelantan. Maklumat mengenai kematiannya yang disebarluaskan atau sekarang ini dengan term 'viral' khususnya di media sosial cepat, sekejap dan sekelip mata sahaja massa mengetahuinya. Peringkat rakan sebaya dan mungkin juga mereka yang rapat serta mengenali si arwah pastinyalah lebih terasa kehilangan berbanding dengan aku yang menumpang hidup di Melaka. Namun kesedihan kehilangan yang tetiba sahaja dan tidak disangka pula ianya berlaku amat mengejutkan. Tindakbalas yang universal sifatnya dijelmakan, baik dikalangan yang rapat dengan simati mahupun jua bagi mereka yang sekadar mengetahui berita tergempar ini. Takkanlah hal kematian disambut dengan sorak sorai dan bertandak gembira. Perasaan terkejut dan bersedih hati dipamirkan bagi mengambarkan simpatinya masing-masing diatas kepulangan yang terlalu awal. Siapakah kita untuk pertikaikan wajar tidaknya pemergian adik Nuriey menemui sang penciptanya.

2004 - Gadis, Arni Syuhada dipatuk Tedung. Sila rujuk yang ini pula.

Kematian yang hampir bersamaan tapi situasinya lebih trajis lagilah dari pandangan aku. Gadis yang berusia 23 tahun dan bakal berkahwin sebulan setengah sahaja lagi dan mengikut perancangan kedua belah keluarga akan dilangsung di bulan Syawal tidak kesampaian. Pertengahan Syaaban dia tetiba sahaja menjadi Allahyarhamah. Gadis yang berkelulusan Sarjana Senilukis dan Senireka(UiTM) pastinya dirasai kehilangan oleh ibu dan bapanya dan lebih-lebih lagilah tunangan yang berhajatkan. Siapa sangka hal kematian menerjah disaat seluruh  sanak saudara berpakat merancang hari bahgia dia dengan tunang kesayangannya. Pasti luluh perasaan jejaka yang tidak menyangka perkara sebegini berlaku pada kehidupan. Segala impian dan rancangan untuk hidup bersama hilang begitu sahaja. Kegembiraan bertukar kesedihan dalam sekelip mata. Siapapun tidak menginginkan tapi hakikatnya yang tidak dijangkakanlah yang berlaku. Ketentuan dan perencanaan Allah swt mengatasi segala perancangan kita.

2013 - Warga Emas, 66 usianya, arwah selepas 'mematuk'. Baca yang ini juga.

Perkara kematian mana boleh buat memain. Kejadian menimpa diri mana mungkin mampu mengelak. Malah kita sebenarnya harus menerima apa sahaja ketentuanNya. Kalaulah kita mengetahui saat dan ketikanya kematian mendatangi diri, pastinyalah kita akan senantiasa mengingatiNya. Kelalaian kitalah punca sebenar setelah ditipudayakan oleh 'syaitan' yang merupai pelbagai bentuk dan dimensi menyebabkan kita terperangkap didalam diri. Semua orang akan menemui sang penciptanya. Biarpun pandai orangnya, bodoh alang sekalipun dia, berpengaruh atau biasa-biasa sahaja tapi bila tiba masa untuk kembali, tiada siapapun berdaya menghalanginya.

Dan dipagi Jumaat yang mulia dan penuh keberkatan, aku awalkan pembacaan khutbah jumaat untuk hari ini. Aku bercuti 'ERD' yang bermaksud extra rest day. Bertajukkan, 'Yakini Nikmat dan Azab Kubur' yang dipenuhi dengan hal-hal bersangkutan dan perihal menghadapi kematian diperjelaskan dengan berlandaskan nas-nas al-quran. Moment kematian yang semua orang pasti melaluinya yang entah bila pula giliran kita cuba di-visualize-kan oleh penulis khutbah kali ini iaitu Encik Muhammad Khidir Bin Hamidun. Aku tidak mengetahui siapa dirinya tapi hasil penulisan yang diiktiraf oleh MAIM dan dikhutbahkan ke seluruh Melaka pastinya setelah melepasi saringan yang ketat. Semua makmum hari ini mendengarinya. Apakah ianya akan memberi impak yang maksimum lagi positif terpulanglah kepada yang mendengarinya.

Awal hadirnya aku ke masjid berjumaat. Imam muda lagi sekali dipertanggungjawabkan membaca khutbah. Jelas dan tertib membacanya. Mungkin setelah berulangkali melaksanakan tanggungjawab, membacanya sudah menjadi semacam second nature pula. Patah perkataan tidak lagi tersasul malah sebutan arab yang didengari juga cukup sempurna. Keyakinan diri yang terpancar bakal meletakkan diri imam muda ini untuk ditugaskan ke masjid yang lebih 'besar'. Apapun sememangnya niat penulis dan penyampai khutbah hari ini agar isi kandungan khutbah dimengertikan dan diterjemahkan oleh setiap makmum yang mendengari. Peringatan akan hal kematian bukanlah untuk mengerunkan tapi memaklumkan peringkat demi peringkat sebelum roh dicabut malaikat maut. Diterangkan ujian buat simati bermula seawal didunia lagi ketika sedang nazak iaitu saat menghadapi shakaratal maut. Moment segenting ini pula roh akan didatangi oleh 'tentera-tentera'syaitan memujuk mensyirikkan Allah swt untuk mati dalam kekufuran. Mendindingi dari pujukan menyesatkan, diunjurkanlah agar kalimah shahadah senantiasa dituturkan dengan lidahnya dan hatinya. Perlukan juga kita berbaik sangka dengan sifat-sifat Allah swt agar dapat membantu diri berhadapan dengan detik-detik paling mengerunkan lagi mencemaskan. Apakah kita masih mempersoalkan sifat-sifat Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Pengampun dan Maha Pemurah-Nya. Rasanya tidak mungkinlah bagi mereka yang beriman. Moga kita mendapat khusnu  al-khatimah.

Imam yang membacakan khutbah, penulis yang cuba mencuri perhatian dan tumpuan makmum tentang isu kematian apatah lagi makmum yang hadir mendengar, sememangnya semua antara kita belum pernah berhadapan saat kematian masing-masing. Saat kritikal inilah ketikanya imam berpesan sepertimana yang dituliskan oleh Encik Muhammad Khidir, semacam punch-line pula, menegaskan, 'Yakinlah bahwa nikmat dan azab kubur itu adalah benar dan pasti akan terjadi.' Bagi meyokong statement yang dibacakan dinyatakanlah juga akan terdapatnya kurang lebih sebanyak 300 ayat  didalam al-quran yang menceritakan tentang kematian dan keadaannya selepas kematian termasuklah mengenai nikmat dan azab kubur. 300 ayat adalah bersamaan 4.5% dari keseluruhan ayat al-quran, khusus membicarakan perihal kematian. Projection yang diingini adalah agar kita semua meyakini dan sering mengingati akan kematian lebih-lebih lagi akan azab siksa kubur. Orang yang berakal dan beriman akan heed the advice. Mana mungkin akan berani untuk melakukan sebarang bentuk maksiat dan hal yang dimurkaiNya. Diharapkan agar makmum untuk tidak wewenangnya meninggalkan solat, mencukupkan puasa ramadhan serta kalau boleh ditambahi dengan puasa sunat dan diharaplah juga untuk tidak mengelak mengeluarkan zakat. Lanjutan dari khutbah yang dibacakan setelah diperingatkan tentang kematian kepada kita semua,  moga tiadanya lagi dikalangan kita dari melakukan sebarang bentuk perkara maksiat dan dosa, diharapkan juga tidak berlakunya curi tulang ketika bekerja serta seboleh mungkin menjauhi dari perkara yang sia-sia. Ransangan yang terhasil atau kesan positifnya pula moga-moga kita bermotivasi untuk melakukan kebajikan dan mengejar pahala. Menutupi khutbah, dibacakanlah ayat ke 16 surah al-imran, untuk dijadikan doa pendinding diri yang mustajab.

"الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا إِنَّنَا آمَنَّا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ"
[Al-i-'Imran:16]


Shared via Bayan Quran

Sememangnya yang pergi tidak akan kembali. Kembali menceritakan azab sengsaranya siksaan dialam kubur tidak mungkin berlaku. Perjalanan kita ini adalah 'one way'. Tiada istilah berpatah balik. Yang tua teringinkan masa mudanya, Yang muda pula kalau boleh senantiasa dialam kanak-kanak. Namun saat kematian menjelma tidak siapapun tahu. Malah setiap ketika dan waktu kita diintip. Yang muda siapa menyangka akan dijemput dahulu dalam keadaan yang masih mentah mengenai kehidupan. Cabaran yang lebih mengetarkan pastilah kepada yang telah lama menjalani kehidupan tapi masih belum dipanggil balik. Tentulah ada sesuatu yang melengahkan kepulangan dari pandangan kita tapi masa dan tempat serta bagaimana kita akan dimatikan telah lama tersimpan didalam Luhz Mahfuz. Ayat ke 52 surah Yasin menjelaskan kekesalan orang yang ingkar akan peringatan Allah swt. Surah Yasin yang saban minggu di-recite-kan harus difahami dan diyakini bagi mengingatkan kekuasaan Allah swt terhadap sekian makhluk.

"قَالُوا يَا وَيْلَنَا مَن بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا هَٰذَا مَا وَعَدَ الرَّحْمَٰنُ وَصَدَقَ الْمُرْسَلُونَ"
[Ya-Sin:52]


Shared via Bayan Quran


Aku bukanlah pandai sangat tapi pengetahuan yang ada serta masih mendalami segala ilmu yang bermanfaat dan untuk dimanfaatkan bersama. Seawal 5 ayat pertama lagi dalam surah al-baqarah telah dinyatakan akan golongan manusia yang ditentukan mendapat petunjuk dan dijanjikan kejayaan. Golongan itu adalah mereka:

1. Yang mempercayai perkara-perkara ghaib
2. Yang mendirikan solat
3. Yang memberi dan membelanjakan harta yang diterimanya @ rezeki
4. Yang mempercayai perkara yang diturunkan keatas mereka dan sebelumnya @ كتاب الله
5. Yang mempercayai akan hari akhirat

Lima ayat pertama surah al-baqarah ini amat digalak untuk dibacakan didalam sembahyang fardhu agar kita senantiasa mengingati akan siapakah golongan yang diberi petunjuk dan kejayaan. Diayat ke-5 ditegaskan bahwa,

"أُولَٰئِكَ عَلَىٰ هُدًى مِّن رَّبِّهِمْ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ"
[Al-Baqarah:5]


Shared via Bayan Quran

Memandangkan semua orang akan menghadapi kematian, maka marilah kita sesama kita bermula dari sekarang melakukan hal-hal kebaikan agar mendapat redha-Nya dan berdoalah agar dijauhi dari melakukan perkara yang dimurkai-Nya.

Insya-Allah.

No comments: