Thursday, February 2, 2023

59 tahun, tinggal setahun sahaja lagi...

 2/2/2023 10:12 


Tidak tahun macammana hendak mulakan. Termenung panjang aku didepan desktop. Kali ini dan ketika ini aku mencoret kisah kehidupan aku di platform idailydairy. Satu platform e-journal yang aku ujudkan lebih awal dari Dairo di Hp Slater, Samsung Tab A6(2016) dan Acer Chromebook. Digital journal yang kesemuanya ini aktif dan berselang menurut keselesaan aku sememangnya menjadi medan buat diri menukilkan sesuatu yang membekas kepada kehidupan semasa aku. Pun begitu, lebih kerap aku berkarya di Dairo. Mudah dan bebas dilakukan dimana mana. Mobile gadget yang aku miliki ini menjadi teman merakam kisah kehidupan.


Namun pada kali ini, aku yang terkedu. Sedar tidak sedar, usia bertambah setahun lagi mendekati menginjaki saat dan detik penamatnya. Tetiba menjadi takut dan rasa terlalu banyak kekurangan berbanding dengan orang lain. Sejak semalam lagi diplatform ini, aku meluahkan kebimbangan. Kudrat yang makin melemah, pandangan yang mulai perlahan lahan kabur, rambut yang hampir keseluruhannya memutih, kulit yang mulai jelas kekedutan dan dengan langkahan yang tidak secergas sepantas semasa diusia muda dahulu amat mengganggu fikiran. Kusut jadinya. Mengakui realiti sememangnya menyedarkan diri. Mana mungkin mampu menipu diri sedangkan petanda ketuaan diri nyata dipamirkan tanpa mampu diselindungkan  penuh jaya didalam segala segi. 


Untuk hari ulangtahun kelahiran aku ini, cuba manjakan diri berbaringan selepas melakukan routine harian setiap pagi menyampaikan ke 10:30 pagi. Ditambahi pula dengan kedinginan pagi yang agak ketara sejak awal Januari lagi dimana disesetengah tempat di pantai timur dan Johor mengalami hujan berterusan. Hawa sejuk agak melampau yang dialami ini seolah mengajak aku turut bermalasan pagi ini. Kebetulan pula tanpa direncanakan, Khamis adalah hari 'off' aku. Berkongsi tarikh 'off' dan ulangtahun kelahiran tentulah amat aku alu-alukan. Mana hendak dapat. Seolah 'pemberian' paling istimewa buat diri. Biarpun tiada sambutan meriah sepertimana lazimnya buat mereka yang sedikit kebaratan dengan potong kek dan meniup lilin dan jauh sekalilah untuk mengadakan 'parti' macam Al-Mas'od Al-Buaya mengharapkan hadiah bagai.


Aku ada perancangan aku sendiri. Entahlah. Tapi pada minggu yang lalu, lebih tepat lagi Jumaat(27/01), ketikanya aku klik fb icon dan menyelusuri sisipan yang kedapatan didalamnya, aku terhenti sejenak pada artikel "Pengajian Arab Al-Aula'. Membaca maklumat yang terkandung dan ditambahi pula dengan menjemput hadir ke kelas pengenalan 'percuma' pada 02/02/2023 @ 2:30pm maka laju sahaja aku klik link whatApps. Sudah pre-set 'Helo! Boleh saya dapatkan maklumat lanjut tentang ini?. Tidak perlu hendak taip atau fikirkan apa yang hendak ditanyakan. Semuanya telah tersedia. Cuma perlu klik preset message-nya sahaja. Klikan itu seperti tertera di smartphone adalah pada pukul 11:47am. Pada 12:05pm sudah dapat balasannya. Ianya juga telah dipreset. Marketing secara online yang tiada sebelum ini dan kini aku sendiri alaminya. Ingat lagi pada pertengahan 80an tatkala ikuti pengajian 'pemasaran', ada kedapatan juga topik tentang information technology tapi ketika itu lebih kepada tele-marketing. Socmed belum ketahuan apatah lagi kedengaran. Kini segalanya lebih pantas dan kos kendalian jauh lebih murah dan cekap. 

Promo via FB yang sering muncul
                                                 

First move...

Timing yang bertepatan

Rasminya...aku join kelas

Apa yang membuatkan aku ingin sangat dan benar benar teruja mengikutinya adalah hari dimana kelas diadakan. Khamis bertepatan dengan cuti mingguan aku. Maknanya tiada kekangan. Antara mahu dengan tidak sahaja untuk mengikutinya. Mungkinkah hari Jumaat menjelang ulangtahun ke 59 dan penghulu minggu menjadi asbab untuk aku makin lebih gigih beristiqamah terhadap pembelajaran kendiri akan Bahasa Arab yang telah menjangkau lebih dari 10 tahun lamanya sejak 2010. Aku tidak teragak agak. Macam disuruh suruh dan diajak ajak untuk libatkan diri. Terus sahaja aku memaklumkn yang aku ingin turut serta 'kelas' percubaan yang akan diadakan pada tarikh yang amat bermakna dalam hidup aku iaitu 02/02.


Diharapkan pada petangnya nanti, apa yang aku hajati ini mungkin tercapai terlaksanakan. Permulaan perjalanan menuju ke-60 dengan langkahan yang moga moga tepat lagi diberkati olehNya. Segala sesuatu adalah atas kehendakNya jua. Namun keterujaan aku dan betapa begitu mudahnya aku menginjaki lorongan yang dihamparkan ini tanpa sebarang keraguan menjadi asbab buat diriuntuk  makin mendekati kearah pedoman yang telah diutuskan kepada nabi besar kita, Muhammad saw dengan pemahaman yang kejap dan mantap.


Sememangnya aku memerlukan seorang 'guru' yang atas kehendakNya jualah memudahkan diri melepasi halangan pertama iaitu memahami asas tatabahasa dan makna setiap kata yang diucapkan. Belajar bersendirian dengan bantuan teknologi yang terkini amat memudahkan namun bila tiadanya pemantauan dan oleh mereka yang memang ahli dibidangnya untuk dirujuki bila 'stuck' akan mengakibatkan tumpuan mudah terabai dan terpesong jauh. Maknanya secara semulajadinya amat memerlukan seseorang yang memantau 'progress' dan memastikan diri 'on-track' dalam mencapai matlamat.

No comments: