Monday, March 22, 2021

Berkesempatan berkunjungan

22 March, 2021 17:42

Tengahhari tadi, orang rumah dan aku serta ditemani batu penimbang telah membuat kunjungan pertama ke Malakat Mall yang teringin benar hendak aku datangi. Berita mengenai akan diujudkan cawangan di Melaka telah aku ketahui sejak 2020 lagi iaitu sebaik sahaja Malakat Cyberjaya dirasmikan. Rasa melonjaknya hati hendak menengok nengok akan lahirnya pasar besar atau 'marketplace' kalaupun boleh dirujuki sedemikian. Namun takdir penentu segala. Seingat akulah seminggu ke dua minggu berikutnya telah diisytiharkan PKP 1.0 melibatkan seluruh negara. Ibarat 'curfew' pula. Segala pergerakan perjalanan dihadkan. Begitu jugalah dengan aktiviti ekonomi. Waktu dibenarkan berniaga seawal 8:00 pagi menyampaikan ke 7:00 petang sahaja. Hajat yang tertahan tahankan ini dek covid-19 tidak mengugah semangat ke sana. 

Biarpun disekat lebih lama lagi, hajat pasti akan aku laksanakan. Malangnya dari PKP ke PKPD dan berlanjutan pula ke PKPP dan berbalik semula ke PKP 2.0, yang kesemuanya memusatkan kepada larangan rentas daerah/negeri. Konon katanya demi untuk mengekang penularan penyakit berpunca dari covid-19 yang begitu mengusarkan kepada rakyat marhaen tapi rasanya tidak begitu halnya kepada kerajaan 'tebuk atap' sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Hadi yang memercik kembali ke mukanya sendiri. Biarpun tidak berpeluang ke Cyberjaya seolah olah banyaknya rintangan tapi dengan pembukaan yang sama tarikhnya iaitu 13 March cuma berlainan tahun telah memungkinkan aku hadir melihat suasana pasar raya muslim yang diwar warkan. Masjid Tanah tidaklah jauhmana. Kedatangan menyokong penuh akan terbinanya pasar muslim dan amatlah diharapkan ianya bakal menjadi 'batu' asas memperkukuhkan ekonomi umat islam. Amat menghairankan kepada diri bilamana kerajaan yang kononnya berteras dan dipimpin oleh Melayu begitu sepi didalam perencanaan ekonomi umat islam. Biarpun sokongan yang aku berikan ini ibarat setitik air yang tidak mungkin akan membanjirkan tapi setidak tidaknya bila sesama secara berjemaah mampu jugalah untuk melembabkan tanah dari kering berdebu yang boleh memedihkan mata serta menyesakkan hati. Apa yang penting bilamana ianya meninis berterusan dan serentak pula dengan mereka yang seakidah, ketentuan Allah sahajalah yang kita panjatkan untuk memakbulkan segala yang kita hajati. 

Pemantauan spontan aku buat akan 'mall' ini seketika sampai. Berpandukan pengalaman terbabit didalam industri peruncitan sejak tahun 80an lagi sehinggalah kehari ini, dirasakan banyak perkara lagi yang perlu diperkukuh diperkemaskan. Aku mengambil pendekatan dari 'point of view' seorang pelanggan yang seasoned dan yang terdedah kepada banyak situasi mall sejak era 80an di Hankyu Jaya dan berlegar legar sekitar Yaohan The Mall, Pertama dan Campbell Complexs dan sehinggalah ujudnya rangkaian mall chain berpengaruh dengan terbinanya 'Mahkota Parade' yang sesama naiknya dengan Jusco di Melaka di era 90an sehinggalah period terkini memungkinkan aku membuat beberapa cadangan. Bukanlah bermaksud cuba memandai tapi cuma sekadar memberi pandangan. Business concept yang cuba diketengahkan belum teruji lagi dalam suasana 'open market'. Sustainability dalam industri peruncitan harus perlu senantiasa dipantau agar tidak jauh berjarak dari sasaran. Pun begitu, kekangan dan tentangan dari big player lebih lebih lagi yang bersifat 'sabotage' amat mengusarkan. Memang betul pengguna Islam adalah besar dan senantiasa menyokong. Namun perubahan serta dinamiknya pasaran yang tidak terjangkakan jika tidak dikenalpasti lebih awal dengan langkahan pemulihan yang bersesuaian dan semasa sifatnya serta berpandangan jauh akan menyebabkan perkembangan perniagaan tersekat. Ini amat ditakuti mungkin berlaku. Makanya kesepakatan serta kesungguhan sesama kita dalam memastikan ianya kekal berdaya saing dan berkembang menjadi gergasi ekonomi mesti menjadi teras pejuangan. 

Suasana dan aura 'Malakat Mall' di Masjid Tanah ini belum begitu dirasai oleh majoriti penduduk setempat sepertimana yang dihajati oleh pihak pengurusan. Berkemungkinan besar berpunca dari lokasi bangunan terletak dikawasan yang agak terjarak dari kawasan tumpuan. Berdepan dengan rumah kedai menempatkan bengkel kereta dan kerja baik pulih peralatan industri pembinaan. Terhad pula tempat parkir. Manakala dilaluan utama/jalan lama dari Lebuh AMJ via Lendu dimana penduduknya lebih ramai mendiaminya berbanding dari laluan Lebuh Ayer Keroh/Sg. Udang menuju pekan Masjid Tanah dari arah belakang. Aktiviti perniagaan banyak berlaku disini. Luas kawasan niaga dengan deretan rumah kedai yang telah lama beroperasi dan dimeriahkan pula dengan peniaga peniaga kecil berpayung berjualan. Begitu hidup pekan Masjid Tanah dari arah Lendu ini. Selagi tidak dikenalpasti atau lambat membuat perubahan maka operasi harian berdepan masalah utamanya iaitu kunjungan pelanggan. 

Masjid Al-Sultan Abdullah - singgah zohor



Paling ketara yang aku rasai adalah suasana yang hendak diujudkan. Diwar warkan ingin mengujudkan suasana Islamik tapi yang dizahirkan lebih kepada kebaratan. Melangkah masuk sahaja, kita disambut mesra setelah s.o.p. dipenuhi. Ambil suhu, scan mysejahtera qr code. Selepas selesai zohor di masjid al-sultan abdullah dan bergerak ke mall, cadangkan makan tengahhari di malakat. Pada awalnya berhasrat hendak makan tengahhari asam pedas disana. Namun sebaik duduk, menu makanan diberikan petugas untuk pemilihan pesanan tiada terkandungpun masakan tempatan. Selera omputih sahaja yang ada selain set roti canai yang lebih sesuai untuk sarapan. Belumpun sempat membuat pesanan, dimaklumkan yang roti canai telah habis. Dinyatakan juga yang teh tarik, teh 'O' juga tidak kedapatan. Senang cakap makanan yang biasa biasa dengan lidah melayu tidak kedapatan dikala kehadiran aku. Terlanjur sudah duduk, terpaksalah buat pesanan akan apa yang ada disediakan mereka. Harga taraf hotel dengan makanan barat sahaja tersedia. Tatkala menunggu makanan sampai, termanggu aku memikirkan akan kemampuan berbelanja serta 'purchasing power' penduduk setempat yang cuba disedarkan kepada model ekonomi islam. 


Bukti sampainya aku buat pertama kalinya

Lidah omputih ler pulak...alamak tuan.



Kebiasaan dan kebanyakan pasaraya di Melaka ini dan memang digemari dan praktikal sifatnya adalah diaras bawah sesuatu bangunan. Tingkat satu atau dua menempatkan pasaraya tidak begitu menjadi. Pelanggan amat keberatan untuk mendaki tangga atau ber-escalator ketingkat atas semata-mata hendak mendapatkan keperluan harian mereka. Inilah juga yang aku rasakan bilamana aku dipaksa berjalan kehujung bangunan mendapatkan escalator untuk ke bahagian pasarayanya ditingkat atas. Memandangkan susun atur sedemikian rupa, bukanlah aku pessimis, mengajak orang awam berkunjungan ke mall adalah 'uphill battle' buat barisan pengurusannya. Kebijaksanaan pasukan bertindak menghadirkan countermeasure yang tepat bersesuaian amat ditagih segera. Andai bertangguh pastinyalah impian makin lambatlah hendak dijelmakan. 

Sesampai dihadapan pasaraya ini, ruang legarnya agak kurang luas dengan deretan kaunter pembayaran lebih dahulu kelihatan. Kebiasaan yang terlihatkan adalah tarikan peragaan barangan sebaik melangkah masuk sesuatu pasaraya. Pengunjung tidak disambut dengan sesuatu yang 'wow' atau yang membuatkan mereka tidak sabar sabar untuk masuk kedalam. Bahaya juga bilamana pelanggan terpandangkan tiada 'q' disetiap cashier counter yang memberi persepsi yang tidak berapa baik. Perlu diselaras semula untuk hadirkan mood pembelian pelanggan. 

Apapun, setidak tidaknya kita mampu membuktikan dengan semangat kerjasama dan setujuan, kita sesama makin menghampiri impian yang ingin kita gapai bersama. Pedulikan kata kata yang bersifat memperlekehkan juga kritikan yang mahu mengagalkan usaha yang masih diperingkat pembangunan ini. Senantiasalah perbaiki kelemahan. Perkenalkan inovasi serta manipulasi kecanggihan teknologi terkini bagi mempercepatkan usaha mencapai matlamat. 

Kalau bukan sekarang, bila lagi. Kalau bukan kita, siapa lagi yang hendak digantungkan harapan.

No comments: