29 March 2021 07:55
Lewat anak aku bergerak ketempat kerja pada pagi ini. Hampir ke pukul lapan pagi baru hendak bergerak. Selalunya dia akan keluar rumah sekitar 7:40 kekadang terlajak ke 7:45 dan itupun sekali sekala. Tapi hari ini lagi lewat pula. Kebiasaan masa keluarnya mencari 'rezki' berubah. Bersebabkan hujan yang tidak dijangkakan. Beberapa perubahan persiapan segera diambil tanpa perlu mengeluh panjang ataupun mempertikaikannya. Akibat dari berulang ulangnya kejadian alam ini maka barang tentu tindakan susulan yang biasa juga akan dilaksanakan untuk kesekian kalinya. Perkara yang berulang ulang ini dan bila sampai kesatu tahap ianya akan menjadi 'second nature' pula. Secara auto pula perilaku akan diambil demi menyesuaikan dengan situasi semasa. Ada isyarat dari yang diperlihatkan. Namun dan sememangnya hanyalah mereka yang 'privilege' sahaja yang mampu menafsirkan setiap yang berlaku itu dengan tepat. Bukan sebarangan orang yang mampu melakukannya.
Hujan yang turun adalah lumrah alam. Kalau bukan semalam harinya untuk berlaku mungkin ada hari lain dengan izinanNya. Perkara kejadian yang bukan didalam kawalan kita dan apatah lagi ketidakmampuan menghalanginya dari berlaku perlulah direnung dengan penuh keinsafan. Biasa kita melihat memandang akan hujan yang menimpa bumi. Namun kita sebenarnya tidak mampu merungkai setiap kejadian alam yang berlaku dengan penuh kepastian waima yang terjadi didepan mata kepala sendiri. Semua kita punyai pandangan serta persepsi yang sememangnya berbeza. Ini amatlah pasti sepertimana yang kita lewat mengetahui untuk mengiakan yang mana setiap orang tidak mempunyai 'corak' ibu jari yang sama. Identiti memasing menjadi 'rahasia' kepada sang penciptanya tak ubah seperti fail/rekod peribadi mengikut sudut pandangan kita. Maha hebatnya ketentuan Illahi.
Bagi penanam padi, turunnya hujan merupakan kurniaan dan begitu melegakan mungkin setelah beberapa lama sawah kekeringan dimasa mulai penanaman. Namun buat mereka yang mengambil upah menoreh dari kebun getah orang dan mengharapkan upah harian dapat menampung sesuap nasi keluarga pastinya pula akan sedih merintih akan untung nasibnya hari itu. Manakala kepada pasangan pengantin baru, kehadiran hujan pastinyalah membibitkan suasana romantik lebih lebih lagilah bila turunnya dimalam hari. Memanglah tidak dirancang tapi amat menepati kehendak pasangan seolah merestui hubungan intim mereka. Begitupun lain kesahnya bilamana hendak keluar bekerja kilang diwaktu pagi dan ketepatan masa melapor diri amat dititikberatkan majikan. Lewat sampai bererti buruk rekod kehadiran sedangkan makin melebatnya hujan makin sukarlah hendak bergerak pergi serta dikhuatiri diri akan terdedah kepada bahaya kemalangan dijalanan lebih lebih lagilah kemampuan semasa sekadar sebuah motor buruk.
Itulah, nasib orang. Mana mungkin kita mengetahui segala galanya dengan penuh kepastian. Kita hidup inipun atas ehsan dariNya, lagi mahu besar kepala menunjuk lagak. Sombong bongkak tidak bertempat. Menghina menindas sekehendak hati. Apa yang lebih mendukacitakan sesama adalah dalam keadaan penuh kesedaran, sanggup pula memutuskan sillaturrahim dengan berandaian dirinyalah yang lebih mulia serta perlu dihormati. Memang menyedihkan.
Terserahlah pada empunya diri untuk membuat penilaian. Apa yang benar benar pasti, bila tiba detik dan ketikanya, akan menyusulnya giliran kita pula untuk menemui jalan pulang ke 'rumah' yang kekal baqa'.