Saturday, May 6, 2017

Memburuhkan diri ... atau terbelenggu diburuhkan

01 MAY 2017, 07:34
Bukan semua yang  bekerja bergajian bercuti hari ini. Aku antara mereka yang bolehlah dikategorikan didalam golongan kedua. Bertugas berkhidmat sedangkan yang lainnya bercuti. Keujudan dan pengiktirafan peranan dan pentingnya pekerja sehingga diadakan satu hari khusus dengan menamainya sebagai 'Hari Buruh'. Sejarah dan bila mulanya secara rasmi serta falsafahnya disebalik adanya hari bermakna buat setiap pekerja boleh dapatkan maklumat yang telah didokumenkan.


Aku melihat dari aspeks berlainan. Pihak kerajaan lebih kepada mencari jalan mempergunakan pekerja untuk pelbagai kepentingan, lebih lebih lagi pekerja disektor swasta. Khabar yang didengar, kononnya, wang KWSP pernah, sedang dan akan terus disalah gunakan oleh pihak yang diamanahkan yang tiada sense of honesty. Tiada perasan malu langsung walaupun sedikit, bilamana wang orang yang bekerja memesin rumput berpanas berhujan ditepi highway yang tidak seberapa sebulan dicarumnya dan juga pekerja pencuci tandas yang saban hari menahan hidung menghidu haruman semerbak sanggup diserakahkan oleh mereka yang tidak berhati perut. Manakala aku dan mungkin sebahagian yang lain, bekerja bergajian demi kelangsungan hidup. Dilawakkan orang, kehidupan memerlukan wang tapi tanpa wang rasa macam hendak mati. Setiap pergerakkan kita memerlukan wang. Tanpa wang ditangan bukan sahaja kita diremehkan malah langsung tidak dipedulikan.

Bercakap melayarkan hal orang lain jauh bezanya dengan diri sendiri yang mengalami. Kesan yang dirasai oleh diri sendiri menjadi suntikan 'semangat' atau cabaran menghadapi hari muka. Mungkin juga sebaliknya, putus asa dan membiarkan sahaja suasana sekitar mempengaruhi diri dan bukannya merubah keadaan  kepada yang proaktif kearah kemajuan diri. Biarpun begitu bukan semua orang bernasib baik. Bernasib baik pula mengikut perkiraan masing-masing. Ada yang cukup makan pakai sudah dikira bernasib baik. Ada juga yang menganggap ketidakmampuan memiliki kereta mewah dan tidak berpeluang melancung mengiranya kurang bernasib baik. Terpulanglah buat individu itu sendiri memberi tafsiran.

Memikirkan, membandingkan, mempersoalkan sehinggalah ketahap mempertikaikan kewajaran seseorang akan kelebihan yang dimiliki mereka berbanding diri sendiri sampai bilapun tidak akan bertemu jawapan yang paling pasti sahih lagi tepat. Segalanya telah dikhabarkan olehNya. Kisah yang dipaparkan didalam al-quran adalah untuk kita mengambil ikhtibar dan redha atas ketentuan. Itupun kalaulah kita ketahui dan fahami akan apa yang dibaca. Bacailah kisah bagaimana Allah s.w.t. memaklumkan kepada para malaikat akan menghadirkan khalifah dimukabumi. Ketahuilah juga bagaimana kerisauan kebimbangan malaikat. Rujuklah ayat ke 30 hingga 35 surah al-baqarah untuk penghayatan sepenuhnya.

.... قَالَ إِنِّى أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

Sebahagian ayat terakhir ke-30 diatas, Allah s.w.t. menepis keraguan yang ditimbulkan oleh para malaikat sehinggakan ditempelak dan terpaksa malu sendiri kerana gagal memaklumkan sehinggakan mengaku,

قَالُواْ سُبْحَنَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنتَ آلْعَلِيمُ اّلْحَكِيمُ.

Bagi menghapuskan terus rasa ragu ragu, Allah swt mengingatkan serta membuat amaran pula, sepertimana dipenghujung ayat ke-33 pula.

.... قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكُمْ إِنِّى أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَٰوَٰتِ وَ الأَرْضِ وأَعْلَمُ مَا

تُبْدُونَ وَمَا كُنتُمْ تَكْتُمُونَ

Moga kehidupan aku yang entah bila penghujungnya akan senantiasa dipermudahkan olehNya serta diberkati.

إِِنْ شَاءَاللهُ

No comments: