Monday, March 13, 2017

Bersamamu... Sambal Ikan Bilis

28 FEBRUARY 2017, 21:54
Ketika memulakan catatan ini, aku seiringan mendengar menonton program bersamamu di TV3. Spontan timbulnya idea mencoret sesuatu bilamana aku mengalihkan saluran 617 'Mighty Med'... Disney XD. TV1 dengan Hebatnya Perkeso, program bual bicara dengan pengacaranya pelakon Fahrin Ahmad yang macam tidak serasi. Beralih pula ke TV2 yang sedang melekakan penonton dengan Cinta Si Rama-ramanya. Tidak sampai beberapa saat, langsung aku tekan button 'ch'. Terpampang pula gambar close-up ke muka budak lelaki dengan matanya kelihatan sayu sambil liputan mengenai keluarga malang ini dibutirkan oleh suara latar perempuan.

Ini memegunkan aku dan kekallah mengikuti sehingga akhir program. Tumpuan diberikan malah lebih bererti kerana kisah yang dipaparkan lebih real dan bukan kisah rekaan walaupun dirakam dilakonkan demi mengambarkan kehidupan sebenar mereka. Kesan dramatik cuba diujudkan buat menagih simpati penonton biarpun macam janggal dan tidak natural 'lakonan' mereka mengikut kehendak penerbit program. Kena pulak dengan aku yang proaktif dan segera cuba menyelami merasakan keperitan hidup tanpa ketua keluarga. Interaksi dalam diri membuatkan aku bertelingkah dengan perasaan sendiri sambil membayangkan dan bertanyakan peranan yang sepatut dan seharusnya dimainkan oleh kalangan keluarga, masyarakat kampongnya sendiri dan mereka yang dilingkungan kehidupan keluarga malang ini. Berjaya gagal bukanlah kerja kita tapi sejauhmanakah tanggungjawab sesama jiran, ahli masyarakat dan orang 'berkepentingan' membantu meringankan beban. Semangat inilah yang aku rasakan jarang ditonjolkan ke khalayak ramai bagi memberi kesan positif kepada masyarakat.


Baca entrynya difacebook dan lihat video promonya disini.

Program berbahasa melayu dengan banyaknya info tentang keluarga malang ini, rasanya semua penonton diyakini faham akan message yang mahu disampaikan. Terpulanglah kepada khalayak masyarakat bertindakbalas  dan amat diyakini mereka akan bertindak seperti diharapkan. Pun begitu, niat baik kerapkali disalahertikan. Banyaklah cakap-cakap yang tidak elok dilepaskan difesbuk miliknya. Bukan semua diantara kita yang akan selari pandangan. Lantang membantah, mengutuk keras dan mencerca sembarangan adalah cerminan diri dan tafsiran dari perspektif masing-masing. Perkara 'malang' tidak menimpa diri maka bolehlah berkata sesuka hati. Andai kejadian yang lebih buruk dari sekadar kehilangan ketua keluarga secara tiba-tiba, apakah kita bersedia menghadapinya. Memang tidaklah dan mungkin bertindak lebih luarbiasa lagi diluar pertimbangan manusia normal. Segalanya berkemungkinan. Sudah lama aku hidup atas dunia ini. Macam-macam boleh berlaku. Perkara yang tidak disangka-sangka apatah lagi yang tidak pernah terlintas difikiran telahpun berlaku dan kini semacam hal biasa-biasa sahaja. Membunuh diri, dulunya, Flat San Peng di KL terkenal menjadi lokasi pilihan menamatkan riwayat. Kini telah merata tempat. Mati tergantung dalam rumah sendiri, dipencawang elektrik, terjun sana terjun sini sampai ke minum racun telah menjadi khabar biasa sahaja. Muhibbah pula sifatnya kini bilamana masa zaman 70an kebanyakkannya orang Tionghua saja yang menjadi pelakunya dan sekarang pula tidak kira bangsa.

Satu hal yang menarik perhatian dan perlu diperbincangkan adalah niat anak kembar perempuan Pn. Rohana, bekerja disebuah restoran bagi meringankan bebanan. Pengusaha restoran, orang kita juga, semasa diwawancara memaklumkan memang niat dia ingin membantu dan memberi peluang pekerjaan kepada kembar perempuan yang ketika ini sedang menunggui keputusan SPM mereka menjadi kemestian. Mungkin ramai penulis blog ke, wartawan ke atau sesiapa sahaja yang mampu mengulas kisah ini untuk rujukan ataupun untuk di-spin-kan, mengikut suka masing-masing. Terserahlah, pasal kisahnya telah dirakamsiarkan buat tatapan awam.

Setiap orang akan bertindakbalas atas maklumat yang diterima. Manakala aku pula, bahagian anak kembarnya yang diberi peluang kerja disaat musibah menimpa keluarganya lebih menarik perhatian untuk aku ulas. Peluang kerja dan kerjaya merupakan nadi pengerak kepada kehidupan. Tanpa kerja mana datangnya duit. Tanpa duit pula ekonomi tidak cergas. Begitulah pusingannya. Pelikkan bila diamat-amati akan peribahasa lama, 'Kera dihutan disusui tapi anak dipangkuan dilepaskan'. Juga, 'Dagang lalu ditanakkan nasi, laki pulang kelaparan' dan banyaklah lagi kata-kata kiasan berselindung yang bermaksud melebih-lebihkan orang luar dari kalangan kita sendiri. Pernah menjadi polemik akan cabaran kepada belia oleh Ahmad Zahid untuk bekerja di sektor '3D' berpunca dari ura-ura membawa masuk 1.5 juta warga Bangla ke Malaysia. Setelah kena bahan dengan para bloggers, facebookers dan pelbagai media sosial lainnya dengan pertikaikan rationalnya kemasukan warga asing seramai jutaan orang, dia memunculkan diri memperjelaskan kemelut. Pastilah ada agenda disebalik issue ini. Namun sudut pandang orang bawahan dengan orang atasan yang tidak pernah akan bersamaan maksud dan tujuan akan senantiasa menjadi stigma.

Rujuklah statementnya dan lihatlah videonya dan nilaikanlah yang tersirat... ahmad-zahid-cabar-anak-muda-malaysia-kerja-3d-jika-tolak-kemasukan-pekerja-asing-94319

Peluang pekerjaan dan bekerjaya akan kekal ada disepanjang kehidupan. Mempercayai dan mencarinya adalah limpahan kurnia dariNya. Ada yang senang mendapatnya. Ada pula lain yang dihajati tapi dapatnya lain. Tidak kurang jugalah yang bertahun tahun mengingininya dan setelah memperolehinya ternyata tidak bersesuaian tapi rezekinya tiba dari punca yang tidak pernah tersangkakan. Pun begitu, pihak kerajaan sepatutnya mengujudkan suasana kehidupan yang mampu menyediakan ruang lingkup yang menyeluruh kepada semua rakyat mencari 'makan' dan bukanlah memangsakan rakyat terbanyak untuk kepentingan sendiri. Sikap sedemikian sekiranya ada amat bertentangan dengan slogan yang diwar-warkan masa PRU 13, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'. Tapi hakikatnya pelbagai perilaku serta kesah selepas pilihanraya sehinggalah ke hari ini, dapatlah dikatakan yang slogan yang ditasakkan telah bertukar ke 'Amanah diberi, Pemimpin mengkhianati'. Kemana kejujuran dicampakkan, sanggupkah pembohongan menjadi permainan dan tidak gentarkah dengan pembalasan. Boleh nyenyakkah tidur mereka yang mengkhianati amanah yang diserahkan sekaligus menghampakan harapan yang digantungkan demi membesarkan 'temolok' sendiri.

Bukan semua kita bernasib baik. Ada sahaja kekurangan. Malah masih ramai lagi yang terkapai-kapai yang harus ditolongi. Kalau ikutkan kehendak dan kemahuan, semua kita ingin bergaji besar, berjawatan dan berpangkat. Teringat lagi masa didarjah satu bila cikgu bertanyakan, 'What is your ambition?'. Selepas menjawab dalam urutan berdiri berbaris, kemudiannya barulah dibenarkan duduk. Maka macam macam profesion disebutkan. Dari laywer ke engineer, dari teacher ke doctor dan pelbagai lagilah yang rata ratanya bidang kerjaya yang dipandang hebat dan didambakan. Tiada pula yang menyebut garbage collector ke, bus driver ke waima gardener. Itu selingkar kisah ditahun 1971. Kini ditahun 2017 dan diusia sudahpun melepasi angka 50, segalanya adalah pembuktian hasrat yang dilafazkan dulu. Mana doktornya, mana engineernya. Siapa pula yang menjadi cikgu, siapa yang jadi bank tellernya dan lebih mengejutkan adalah rakan sekolah yang telah terlebih dahulu dijemput pulang buat selamanya. Bukankah telah dijanjikan olehNya bahawa setiap kelahiran telah diuntukkan rezeki buatnya. Redhalah setiap yang beri dan dimiliki kerana semuanya bukanlah milik mutlak kita.

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.
(Asy-Syuura 42:27) |  | English Translation | Tambah Nota Bookmark


Meneliti lebih mendalam dan merenungkan kesemua yang dilihat pastilah tidak akan terjumpanya satu jawapan yang dapat diterima semua. Masing-masing ada hujahan menyokong dan setiap orang punyai alasan yang diyakininya kukuh menepis setiap bantahan yang dihadirkan. Bagi diri ini, selingkar kisah masyarakat yang disebarluaskan ini adalah memperjelaskan akan keadaan pemberian rezeki oleh yang Maha Berkuasa. Menimpakan dugaan atau ujian pada sudut pandang kita yang menghadapi dan buat mereka yang memandang penuh simpati serta jarang dan tidak pernah terlintaspun dihati yang segalanya ini adalah 'pembersihan' diri demi peningkatan derajat keatas hamba pilihanNya.

Kisah Bersamamu ini yang ditonton semacam isyarat amaran agar tidak terlalu membongkak membanggakan diri akan kelebihan kesenangan yang diberikanNya selama ini. Sekelipan masa sahaja ianya boleh menghilang andai itulah telah tertakdirkan buat diri.

والله اعلم بالصواب

No comments: