Thursday, December 22, 2016

5 keping... RM2.00.

21 DECEMBER 2016, 19:48
Terdengar jelas dipendengaran aku ketika melintas dihadapan penjual vadie betul-betul dilaluan masuk ke aras 1 Hospital Melaka melalui tempat letak kereta. Mungkin dijelaskannya bila sepasang couple cina pertengahan usia bertanyakan harga. Sempat lagi aku membuat komen sendirian, 'Perrghhh!, vadie pun sudah RM2 untuk 5 keping.' ketika terdengarkannya. Sempat lagi beberapa langkah berikutnya dan terdetik pula ingin merakamkan moment itu sebagai dokumen peribadi lalu aku cepat-cepat snap situasi itu. Semalam pun aku ada menjamah vadie ini yang dibeli oleh orang rumah ketika daftar masuk Ahmad Yusuf yang disahkan dan perlu menjalani pembedahan kecil membuang kelenjar ditengkoknya.

Selasa petang... segera dimasukkan.


Semalam petang selepas habis bertugas OP, aku bergegas kehospital untuk admittance. Selesai asar bergeraklah segera. Setiba dihospital macam biasalah tiada ruang kosong. Waktu melawat sebelah petang menyebabkan ruang parkir penuh dengan sanak saudara yang datang ziarah menjenguk. Berpusing mencari tapi terlepas pula direbut pengunjung lain yang cepat meluru lalu selepas menurunkan mereka berdua, dia dan mama dia di porch utama hospital aku mengagaulah mencari dan akhirnya aku sekadar memarkir berhampiran pintu masuk belakang dibahu jalan. Dilobby lift ground floor sebelah bilik mayat, terperasan penjual vadie dikerumuni pengunjung. Laku bisnes dia. Lelaki India, tua kurus lagi dalam pertengahan 60an tengah membungkus permintaan pembelinya. Tidak menang tangan agaknya dia. Terus naiki tangga mendapatkan mereka dikaunter mendaftar masuk. Tergeraklah semalam hendak makan vadie yang tengah panas ketika itu. Niat hendak menjamahnya aku batalkan kerana takut berselisih tidak jumpa dengan mereka. Selepas sudah diketahui wad yang ditetapkan, mengangkutlah beg yang isinya barang yang harus ada ketika duduk diwad. Sesampai didepan penjual vadie dilaluan aku masuk tadinya, aku memberi isyarat kat orang rumah untuk membeli tapi dia pula tidak perasan kerana perlahannya jalan dengan anaknya dibelakang. Aku sudah menjarak jauh dihadapan. Ingatkan dia perasan. Pengalaman semalam memamahnya terasa agak keras dan kering peroi tidak seperti selalu dan sebelum sebelumnya yang dirasai. Semacam tradisi pula. Setiap kali menjenguk melawat, vadie beserta cili hijau basah pasti akan dibeli. Menuruni tangga ketika selesai urusan daftar masuk dan penetapan katil, aku sekali lagi didepan. Orang rumah berjalan terhempap hempap tidak seslim abang handsomenya ini dengan langkahan kaki aku yang panjang dan cepat membuatkannya sering tertinggal dibelakang. Terperasankan dia tiada dibelakang, aku bersidai seketika dihadangan slope yang baru dibina untuk pelawat berkerusi roda memasuki bangunan hospital. Lat 5 minit kemudian barulah dia muncul sambil tangannya membimbit plastik merah. 'Eemm... dah agak dah. Mesti beli vadiekan.' Dia mengangguk saja bila diajukan pertanyaan. Ketika memandu pulang menjamahlah aku. Rasa hendak tercekikpun ada. Sudahlah sejuk, keras dan entah apa-apa rasa agaknya. Pedas pun tidak, masin pun tidak, sekadar rasa keras bila dikunyah dan jauh sekalilah hendak tergigitkan helaian bawang besar. Hancur dan sudah jauh tersasar dari apa yang pernah dirasai sebelumnya. Tidak pula bertanyakan harganya. Seingat akulah, kali terakhir aku membayar cuma RM1 sahaja untuk 3 keping.

Berjualan... seronok

Pelawat memeriah dan menceriakan pesakit

Senangnya hati... barang niaga hampir habis.


Bukan berniaga besar, sekadar kecil kecilanpun hendak setemit konon(kata orang kampung @ estimate). Berkira sangat dalam kos pembuatan sehingga menghilangkan keistemewaan yang didambakan. Dari pengamatan dan pengalaman yang dialami bukan vadie sahaja malah hampir semua jenis makanan dam menyeluruh pula ke semua bidang niaga yang aku turut rasakan sebagai pengguna. Roti canai memanglah jurucakap persatuan kedai mamak memaklumkan tiada kenaikan harga sekeping roti canai kosong tapi kualitinya amatlah mengecewakan. Kalau diangkat dan memandangnya, kita boleh 'see through it'. Ini menunjukkan semakin menipis ketebalannya walaupun dijanjikan harga tidak dinaikkan. Begitu jugalah air teh ke, kopi ke atau apa jenis minuman. Kalau tidak dikurangkan susu atau teh yang makin mencair juga dikurangkan manisnya gula tapi harga masih kekal tidak bertambah. Janjinya ditepati. Kita amat berterimakasihlah dalam soal harga. Dalam kita heboh persoalkan pasal harga, kualiti yang diberi jauh dari setimpal dengan harga upah yang dibayar. Adakah terlepas pandang atau memang disengajakan. Apa tidakkah para peniaga realised yang kita membayar dengan wang betul dan bukannya menggunakan wang palsu. Tiadanya etika yang seharusnya dimengertikan hanya akan membuatkan kelakuan peniaga yang tidak beretika ini akan dipersoalkan. Bukan setakat didunia sahaja tetapi dihadapan Allah azza wa jalla. Pernahlah dua minggu lalu, selepas pulang berziarah kakak tunggal aku di Alai, tergeraklah pula hendak pekena goreng pisang nangka. Maka dihaluan pulang, singgahlah aku digerai menjual buah-buahan dan produk kampung. Nampak bergantungan beberapa sisir pisang nangka untuk dibawa pulang. Kita pula main beli sahaja. Ingatkan jujurlah peniaga yang sebangsa ini, rupa-rupanya pisang masak layu. Rugi aku dalam RM10.00. Orang rumah masa hendak mengorengnya telah menjerit dari dapur, 'La... abang dah kena tipu ni. Abang tak check dulu ke. Masak layu ni...'. Bergegaslah aku kedapur ketika sedang leka dengan whatsApps didepan TV. Tak sangka, abang yang sudah setua inipun kena tipu. Sampai hati dia. Aku meluahkan rasa terkilan aku padanya.


Boleh buat main-main berniaga ya. Nantilah, bila ditimpa musibah memang nahaslah mereka yang menipudaya. Banyakkan ayat-ayat yang mempersoalkan kejujuran. Infact dalam setiap aspeks kehidupan. Beramanah pada diri, pada keluarga, juga pada jiran tetangga dan masyarakat adalah tanggungjawab. Belum lagi dilibatkan berniaga dan bernegara yang mana lebih besar lagilah rasa kebertanggungjawaban yang harus terpikul. Ingat senangkah hendak mengekalkan rasa amanah dalam diri mengikut lunas-lunas yang sedia maklum perlu ada bagi sesiapa jua yang ingin menggalasnya. Ukurlah kemampuan. Kalau tidak berdaya, berilah dan sandarkanlah kepada mereka yang ahli dibidangnya. Janganlah pakai borong semuanya dan asal boleh sahaja. Malulah kita kepada generasi kemudian. Kemanakah hendak disorokkan muka bila kemampuan kita melaksanakan tugasan dipertikaikan kerana tidak mengikuti S.O.P.




Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak).
(Al-Israa' 17:35) | | English Translation | Tambah Nota | Bookmark


Amacam. Boleh nyenyak tidurkah, bila kita tidak mampu tapi berlagak pula yang kita mengetahui segalanya. Muhasabahlah diri, takut-takut kita pula yang rugi masa diakhirat kelak.

والله اعم بالصواب

Wednesday, December 21, 2016

Riuhnya hilai gelak membantu

17 DECEMBER 2016, 08:40
'Bukanlah namanya lelaki kalau tak nampak perempuan cantik.' opening remarks oleh ketua chef yang baru sampai bersama daging untuk kenduri rumah jiran mengamatkan lagi suasana. Kaum ibu yang hadir sejak 6:30 pagi memegang kerja ketawa berderai semuanya. Menurut orang rumah, Kak Marliah berpesan agar awal datangnya untuk membantu menyediakan special dish orang jawa. Ini adalah dish yang tidak dapat tidak, kemestian dalam majlis kahwin masyarakat jawa. Pasangan jiran belakang rumah aku ini adalah orang jawa. Fanatik sungguh dan amat berbangga akan asal keturunannya. Ini majlis kali keduanya. Setahun dahulu, menu sajian adalah serupa seperti yang disediakan pagi ini.

Pandai sungguh abang chef ni memanipulasi situasi. Keresahan menunggui hilang dan persoalan pertanyaan lewat hadirnya turut hilang diserap bahangan panas periuk yang mula diletakkan ditungku memasak. Gelak mengusik sambil bertanya khabar berbual mesra saling bertingkah dan selari pantas memotong menghiris mengisar menumis lauk untuk kenduri dihari yang ceria terang benderang ini. Falsafah, siap awal cepatlah pasang badan menunggu kehadiran kunjungan rakan taulan dalam 11:00 pagi nantinya.

'Hoit, ... konek keling jatuh.' tetiba terpacul kuat suara wanita senior kalangan kerabat Abang Markam bin Parto dan Kak Marliah binti Majid sambil kepala paip yang boleh ditanggal pasang terdenting jatuh ke dalam longkang. Hendak marahpun tidak boleh, terkejut adalah. Almaklumlah sudah veteran. Mana yang jenis tak kisah, terbahak ketawanya pada yang mengenalinya. Manakala yang tidak biasa tersenyum senyum memikir membayangkan bagaimanakah keadaan 'budak' tu jatuh. Melatah ini adalah fenomena yang kedapatan dalam masyarakat. Dahulunya masa aku bebudak dalam tahun 70an, ramailah yang punyai kecenderungan melatah.Pantang dicucuk, pantang disergah meleret leretlah latahnya. Berbagai aksi dan sebutan dibawah arus sedar, akan mereka laku serta lafazkan. Rata- ratanya ketika itu golongan orang lama yang berkelakuan sedemikian adalah makcik-makcik kelahiran 20an dan 30an. Tapi kini, yang peliknya anak-anak darapun turut tidak terlepas terjangkitkan. Buruk sungguh perangai yang macam dibuat-buat. Nampak clumsy pun ada. Ditempat kerja akupun ada. Anak dara bertubuh gempal. Nur'aein namanya. Pantang terdengarkan bunyi kuat sikit atau sesuatu yang tetiba memecah kesunyian. Macam macam disebutnya, ikut mana yang 'dan'. Yang suka menyakatnya, bila dia melangkah masuk ke admin office, sekadar menepuk meja sahaja maka spontanlah dia menyebutkan, 'Assalamualaikum, apa khabarmu disana...' terpaku tercegat sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kalau terover sangat tu, kekadang berulang-ulanglah menyebut sambil mengangguk dan akan berhenti bila seseorang menepuk bahunya. Rakan sekerja yang turut berada memerhatikan gelagatnya couldn't help much but turut sama tergelak. Terhibur cara begini tidak berapa elok sebenarnya. Ketawakan orang sesaja sebegini mungkin akan mengaibkannya. Dia yang tertakdirkan berkelakuan demikianpun bukanlah diminta tapi seperti telah tersedia ada built-in. Apa yang aku musykilkan, lebih ramai kini pula anak-anak dara yang melatah. Youtube video banyak menyiarkan kalangan remaja perempuan melatah. Ada yang dipenglihatan nampak meyakinkan tapi banyak juga seperti dibuat-buat. Entahlah mana yang betul, mana yang tidak.

Hafiz, menantuku menunggu penuh nervous...
Kena recite Al-Fatiha live... semua dengau


Sekitar 11:00 pagi, sepertimana majlis kahwin yang awal aku hadiri akan dibacakanlah doa oleh imam dan diaminkan pula oleh mereka yang hadir. Andai imam tidak berkesempatan, uztazlah yang akan ambilalih untuk lead bacaan doa. Selesai berdoa, mana yang hendak makan dahulu atau mungkin ada jemputan lain yang bertembung terus mengambil makanan yang telah tersediakan. Aku pula membiarkan sesama jiran yang hendak makan dahulu can do so. Aku sekadar melihat sahaja dahulu. Kiosk 'kambing golek' yang ditaja oleh adik pengantin dengan kos RM3000, baru hendak set-up sebaik 'doa selamat' dibacakan. Berhajat juga hendak merasainya sebab itulah suruh si Yasser makan dahulu. Pilihannya tentulah ayam sambal, sampai dua ketol dia rembatnya. Anak abang Markam, si Muhaimin dan alongnya si Mazlan menegur menyuruh makan, 'Pakcik... jemput makan chik.' Aku pantas meningkahnya menyatakan, 'Tak pa... orang dekat, biar orang jauh makan dulu. Tunggu kambing golek', sambil telunjuk menghalakan kearah kiosk yang sedang dipasang. Bukannya jauhpun. Sekadar  5 meter berjarak dari meja dikhemah yang aku sedang duduk dan memerhatikan bebudak menyiapkan kambing golek. Surprise melihatkan bilamana siap sedia untuk dihidangkan, sudah berbaris jemputan beratur. Perrgh... hebat sambutan. Kelihatan memang pro pembuatannya. Special tray kertas didatangkan siap ada topping lagi. 'Payah bertunggu, baik makan nasi sahajalah.' Terus menonong menceduk nasi putih berkuahkan kari daging. Tambah lagi dengan kuah lemak nenas dan ambil 2 kerat kecil ikan kering gelama beserta sesudu sambal belacan. Nah kau, laju sahaja aku menyodok. Selera begitu. Sedang enak makan dengan anak nombor 4, si Yusree, ada pula jemputan yang hadir keseorangan joint makan dimeja. Untuk hendak nampakkan mesra, aku cadangkanlah dia mengambil mencuba rasai kambing golek. Dia sekadar berkata cukuplah pasal banyak rumah lagi hendak diperginya.

Selesai makan, yang sebelumnya sendiri ceduk nasi sendiri pilih lauk maka bangunlah aku mengangkat sendiri bekas pinggan dan gelas plastik ke tempat bebudak mencuci pinggan. Ramai kaum bapak sebaya sejiran sedang bersidai ditepi khemah berbual santai. Sekadar meramaikan majlis dengan menebengkan muka melihat memantau. Anak-anak jiran yang remaja sudah cukup ramai mengangkat membantu apa yang patut. Kaum bapa bolehlah relaxs bersillaturrahim sesama. Bukan senang hendak berkumpul bertanya khabar kalau tiada event seperti ini. Untuk tidak nampak ketara sangat, aku cecepatlah ke kiosk 10 Briged, kenalan sejawat Abang Markam masa dalam askarnya dahulu, yang diwar-warkan oleh deejay aku cuba rasa semangkuk cendolnya. Menatanglah aku ketempat jejiran berbual untuk bersalaman. Syukur namanya, jiran belakang rumah bangun sambil menyuruh aku, 'Abang duduk sini...'. Ucapkan terimakasih padanya sambil meneruskan bualan. Beliau ini pegawai BIMB, usia pertengahan 30an berasal dari Muar. Mungkin rapat sangat dengan aku serta orang rumahnya berkawan rapat juga dengan orang rumah, rancaklah bertanya. Kekadang aku sesaja create isu untuk perdebatkan bersama. Berkisar dari peluang kerja dan dilanjutkan lagi dengan pemilikan rumah yang tidak terjangkaukan oleh bebudak yang baru habis belajar. Dia cekap juga membaca situasi semasa sambil berbual-bual ni. Dia segera bangun mendapatkan bekas cawan dan pinggan yang telah  dilonggokkan kendarat ditepi khemas didalam tray khas lalu dibawanya ketempat basuh pinggan. Aku sekadar memerhatinya sahaja memandangkan 2 wakil aku, Yusree dan Yaseer, tergantung melingkari leher masing-masing akan 'good morning' towel sedang beraksi bertugas.

Tetiba ada pula seorang insan yang tidak pernah terlihatkan sebelum ini duduk bersebelahan yang mana kerusi dikosongkan oleh jiran aku yang bangun menolong tadi. Kerusi itu adalah huluran si Muhaimin yang terpandangkan Pakcik Syukur berdiri berbual dengan aku yang sebelumnya duduk sebaris dengan jenjiran lainnya. Selepas bersalaman berjabat tangan, macam-macam ceritalah aku borak dengannya. Dia banyak mencungkil dari berbual santai. Aku maklumkan yang kami ramai-ramai ini adalah jiran berdekatan memeriahkan majlis perkahwinan anaknya buat kali kedua setahun berselang. Terlanjur dia telah 'menjual', akupun bertanyalah kembali. Dia maklumkan yang dirinya adalah abang ipar bapa pengantin. Asalnya orang Bukit Jinjing dan menetap kini di Paya Redan. Aku iakanlah statementnya itu sambil mengagakkan yang Paya Redan tu tanah bini dia. Berbual-bual kosonglah menemankannya. Mungkin juga bininya ada didalam rumah menolong membantu mana yang perlu. Dalam pada berborak tu, terkena juga aku peluru sesat bilamana dia bertanyakan samada aku sudahkah bermenantu. Tentulah jawabku 'belum' sambil memaklumkan yang tua, lelaki 21 tahun yang mana baru habis belajar dan baru Februari lalu mula bekerja cari duit. Jawapan balasnyalah yang amat memedihkan hati. Katanya memaklumkan dan tidak terniatkan berbangga dan mungkin cuma diri ini sahaja yang bersangka begitu, cucunya sudah 20. Anak 9 orang, semuanya sudah berkahwin. Umurnya baru 66 tahun setelah aku tanyainya selepas aku maklumkannya yang abang long aku kelahiran 1946, bererti sudahpun 70 tahun usianya.

Sedang rancak berbual dengannya bercerita pasal sambutan majlis kahwin tahun 70an yang dirasakan lebih mewah dan meriah dengan semangat gotong royong yang terpamirkan, kami dikejutkan dengan kehadiran Pak Ali, mantan Ketua Menteri Melaka yang kini dijawat oleh si 'mata kero' bak kata kakak tunggal aku, Idris Harun, Adun Tangga Batu. Tetiba dia telah berdiri didepan kami. Sanggup dia melangkahi longkang semata-mata hendak berjabat tangan. Spontan jugalah aku bangun menghulurkan tangan mendahului ipar abang markam walhal Pak Ali terlebih dahulu mengarahkan pandangan dan huluran tangannya kepadanya dahulu. Eeeh eeh, bukankah aku lebih muda darinya dan pantas sikitlah refleksi aku darinya. Tak berkesempatanlah hendak bergambar bersamanya bagi mengabadikan moment tersebut. Terlepaslah peluang untuk bergandingan bergambar bersama dengannya. Komen selari aku kemudiannya bersama ipar Markam ni, mungkin dia hendak 'repeat' bertanding di DUN Bukit Baru, sambil kami tergelak kecil sesama. Agaknya terpandangkan orang rumahnya atau ingin berbual bermesra dengan ipar duainya yang lain, diapun bertanyalah nama aku seraya memaklumkan akan namanya sendiri. Bersalamanlah kami sekali lagi sambil dia bangun dan melangkah pergi diketika hampir ke 1:00 petang.

Kerusi yang dikosongkan oleh Mohd. Ali, ipar abang Markam, telah diduduki semula oleh encik jiran, Syukur. Sambung bercerita lagi setelah dilihatnya keadaan sedikit reda diketika menghampiri waktu Zohor. Deejay telah berhenti seketika menunggui azan dari Raudahtu Jannah. Sebaik selesai sahaja azan, aku maklumkan terpaksa hadiri majlis lain di Bachang lepas sembahyang nanti. Bergegaslah aku mendapatkan abang Markam menghulur sumbangan termampu aku meninggalkan majlisnya. Sempat lagi si Syukur menegur, orang rumah ikut ke. Aku balasinya dengan berkata, 'tidaklah... biar dia menolong kat sini.'. 'Member sekolah dan kalau sudah berjumpa long lost friend nanti nak sembang ke nak mengeteh ke boleh le lama sikit' aku perjelaskan padanya. Namun apa yang diucapkan dan dirancangkan dan lebih lebih lagi telah diwar-warkan, adakalanya tidak terlaksanakan. Sebaik bersembahyang, lepak sebentar di kerusi malas dibilik. Tup-tup tersedar sudah pukul 3:30 petang. Terkebil-kebil mata menatap jam loceng dimeja. Nampak gayanya batal sahajalah niat hendak ke Bachang. Sekadar ikutinya di whatsapp grup akan kemeriahan dan posting gambar rakan sekolah yang menghadirinya. Mamai bangun dan terus sambung berbaring dikatil pula.

Menyampaikan waktu asar, aku dikejutkan dan terkejut dengan suasana bising serta riuh dibelakang rumah. Lorong sebaris yang riuh sejak jumaat dengan aktiviti masak memasak berubah kepada keriuhan orang terjerit-jerit sambil bekejaran dengan terdengarkan bunyi simbahan air. Terpisat-pisatlah aku bangkit menjengah dari tingkap bilik. Rupa-rupanya mereka tengah main simbah simbah air sambil berkemas. Tradisi ini janggal terlihatkan kini. Tapi bagi keluarga Abang Markam dengan Kakak Marliah secara tidak langsung cuba mempertahankannya. Masa setahun yang lalu juga ketika majlis si Azie, aktiviti main air dilakukan dikalangan sanak saudara mereka juga. Jiran-jiran mereka tidak kacau. Siap arang disapukan ke muka. Dan yang muka berarang berkejarlah membawa air untuk menyimbah orang yang buat angkara dikalangan kerabat. Maka berbalas-balaslah. Seronok memang seronok melihatnya. Mungkin inilah masa dan caranya mengekspresi tamatnya gotong royong kenduri kahwin. Nampak macam janggal dipenglihatan tapi ianya sesuatu yang normal terlihatkan ketika aku masih bebudak lagi. Moment sedemikian telah aku rasai dan tergambar jelas suasana dimasa itu. Seronok masa zaman 70an aku itu.

Dahulupun sekitar 70an, lebih hebat lagi. Bukan sekadar dikalangan kerabat malah jiran sekampung juga turut terlibat sama. Siapa siapa yang ada menolong bekemas semuanya tidak terkecuali. Target utama adalah pengantin. Target seterusnya pastilah bapak dan emak pengantin. Biasanya yang memulakan adalah bapa saudara yakni pak busunya ke, pak langnya ke, mungkin juga pak ngah mereka atau hendak main gila mungkin juga pak long mereka. Bila seseorang yang direspek telah memulakan maka inilah peluang terbaik untuk mengenakan balik. Mesti sporting dan tidak mungkin akan dimarahi. Maka bermulalah dan hampir serentak mulainya dan pantang tidak berbalas. Tentulah habis dilumurkan arang dimuka. In fact, tidak seorangpun yang terlepas. Semua mesti basah.

Begitupun, masa yang berlalu hanyalah kenangan. Tapi perbualan singkat bersama pegawai bank, En. Syukur, jiran belakang rumah amat merisaukan kami akan kemampuan anak-anak. Kehidupan sebenar mereka akan hanya baru bermula dengan termaktubnya akad nikah perkahwinan. Segala bagai cabaran kehidupan harus ditempuhi bersama. Ibu dan bapa sekadar membantu mana yang termampu. Semua orang ada masalahnya yang tersendiri. Perbelanjaan yang senantiasa naik dan adakalanya mendadak perlu ditangani sebaik mungkin. Gagal mengemudi layar akan mengakibatkan haluan bertukar arah, terbalik dan mungkin juga karam terus bahtera yang dilayari bersama.

Selamat Pengantin Baru 'Hafiz & Manisah'. Jangan pula gelojoh menikmati kemanisan berumahtangga. Pelan pelan ok.

Harapan kami agar semoga segalanya dipermudahkanNya.

انء شاء الله

Friday, December 2, 2016

Dalam hati tertanya tanya

02 DECEMBER 2016, 11:57
Pernah pada satu petang ketika pulang dari kerja, aku diiringi oleh lagu nyanyian allahyarham Latif Ibrahim, 'Dalam hati tertanya tanya'. Samada dikumandangkan oleh SinarFM atau KlasikFM tidaklah aku berapa pasti pula. Tapi apa yang pasti dan spontan pula mengimbau kenangan adalah lagu dendangan si Latif ni. Bukanlah genre kegemaran tapi lagu ini mengacah aku untuk mempertikaikannya. Zaman Latif ni lebih awal sedikit dari aku. Ketika remajanya aku dahulu sekitar belasan tahun di tahun 80an, dia sudahpun diawal 30an. Angkatan penyanyi yang sebarisnya adalah Hail Amir, D. J. Dave, Dahlan Zainuddin(khabarnya kini diserang angin ahmar), Aman Shah dan Herman Tino. Ini antara yang aku ingati untuk aku catatkan. Mungkin ramai lagi tapi tidak sampai terlekat diingatan. Perempuannya, selain Uji Rashid dan Sharifah Aini, adalah juga yang teringatkan seperti Gaya Zakry, Suliza Salam dan Salwa Abdul Rahman.

                                      Entah ke gatal saja hendak menanya... pandai kau ye...

Memandu santailah pulang ke rumah dengan iringan lagu berentak joget dendangan Latif. Sebelum menyampaikan Trafic Lights ke Masjid Saidina Ali, Bukit Katil anggaran 100 meter gitu, aku terpandangkan dua meja penuh dihurung oleh kaum hawa pertengahan umur sedang menikmati minum petang di Nurshaheerah Seafood. 'Aiiyiik, dah nak maghrib masih lepak lagi kat kedai makan.' melorot sahaja aku bermonolog bila terpandangkan mereka. Apakah, lakinya tidak tahu atau sudah mendapat keizinan suami. Maklumlah sekarang ini ramai perempuan yang sudah keluar bekerja mencari rezeki. Lebih mengharukan, kekadang gaji bini lebih besar dari gaji lakinya. Hendak kata apalagi. Inilah hakikatnya bila perempuan lebih bijak dan semakin bijak. Ketika ditahun 80an dahulu, diberitakan yang peratusan kemasukan ke pusat pengajian tinggi adalah berkadaran 40% lelaki dan 60% adalah perempuan. Kajian ketika itu meluahkan kebimbangan akan trend peningkatan peratusan kemasukan mengikut gender adalah lebih kepada perempuan. Manakala statistik terkini dan bila melihat dengan mata kepala sendiri rasa rasanya sudah 20% lelaki kepada 80% perempuan. Ketika menghantar anak nombor dua ke Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam, enrolment untuk kursus elektrikal ditahun 2014, khabarnya, lebih ramai pompuan dari lelaki. Mengadulah anak aku bila ditanya akan bilangan yang mendaftar masuk dan dengan tersenyum sipu menyeringaikan giginya, 'Alah... lelaki 9 orang sahaja, pompuan 43'. Ini yang dimaklumkan sendiri oleh anak aku dan belum lagi disingkap maklumat untuk kursus kursus lain. Ini baru satu tempat dan belum lagi disiasat di tempat belajar yang lain. Bayangkanlah kursus teknikal yang dahulunya dimonopoli oleh lelaki kini perempuan yang lebih ramai dan mendominasi pula hampir disemua jurusan dan tempat. Kursus akademik seperti Law, Sains Sosial dan Pengurusan jangan cakaplah, golongan hawalah yang menjadi majoriti dihujungan 80an lagi. Masa aku di ITM, perempuan tidaklah seberapa untuk kursus teknikal tapi hampir setara bilangannya untuk kursus diploma in business studies, accounting, computer science, law and public administration. Trend serupa jugalah untuk semua universiti awam dan tidak perlu disangkal lagi. Persaingan sengit dan senget kepada perempuan pastinyalah ada banyak sebab dan faktor yang menyuburkan situasi sedemikian.

Sedikit demi sedikit perubahan sosial mula berlaku. Samada menuju kearah kebaikan atau sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing mengurusinya. Dahulu kita tidak pernahpun terdengarkan term 'househusband' yang diterimapakai kini dan seerti dengan housewife. Perspektif aku pula dan mungkin 'bias' oleh mereka yang tidak sependapat adalah makin banyak perkara buruk yang tidak terfikirkan dan tidak pernah terjadi sebelumnya akan bakal terjadi bertitik tolak dari perempuan yang keluar rumah. Panahan mata sang arjuna akan memercikkan keinginan bila hari hari berselisih bertemu, berbual berbincang dengan perempuan yang lebih lebih lagi punyaan orang. Bila terbitnya 'mesra' dan hangat dikipas 'orang ketiga' iaitu syaitan maka macam macamlah mungkin berlaku. Tidak perlu bersusah susah mendapatkan contohnya, cuma cukuplah dengan memasukkan katakunci misalnya 'curang', maka berderetlah artikel berita dipaparkan oleh pakcik google untuk dimengertikan.

Tidak tahulah siapa penulis liriknya. Tapi dapat kita bayangkan situasi si Latif yang bermundar mandir disimpang tiga diwaktu yang tidak berapa cantik iaitu waktu senja seperti yang diucapkannya. Cepat benau bergegar perasannya dengan pompuan yang menegur. Mudah sangat terpersona dengan senyuman serta manja pula suara bertanya. Dan cepat pula species jantan gatal sebegini ingin berkenalan berpandukan first impression terhadap kecantikkan wajah dan halus budinya yang ditunjuk dan dipertontonkan. Apa tidak terfikirkah dia yang 'berkeliaran' diwaktu senja membawa pengertian yang lebih besar skop lingkungannya. Waktu senja adalah waktu Maghrib. Takrifannya adalah masanya dimulai setelah matahari tenggelam saat cahaya masih kelihatan di langit hingga datangnya waktu malam(isyak) dimana saat cahaya merah @ شفق (syafak) hilang dikaki langit. Waktu senja atau Maghrib ini tidaklah panjang manapun. Ianya selama 1 jam 20 minit secara puratanya. Yang peliknya, boleh berjalan jalan tanpa tujuan di waktu Maghrib. 'Apa hal... bro!'. Bukankah lebih elok kita bersiap-siap mendatangi masjid. Masa sesingkat sebegini boleh lagi pi tolong perempuan, siap jalan bergandingan, menunjukkan rumah kawannya. Yang lebih mengharukan lagi, kenapalah dah nak Maghrib baru hendak pergi menanguk kat rumah orang. Emak bapak dia boleh lepaskan begitu sahaja. Mana perginya tanggungjawab. Membiarkan sahaja perilaku anak yang sudah besar panjang dan kononnya hendak jadi ibubapa yang sporting amatlah mengecewakan kita. Lebih ramai kalangan orang tua yang berfikiran liberal sebegini dan dengan kekuatan ekonomi anak perempuan dek berjawatan berkarier mungkin makin rosaklah masyarakat keseluruhannya. Banyak perkara pelik telah terjadi. Emak bapa seperti tiada diumpamakan lagi. Berita dari KL sedikit masa lalu, bapanya dihempuk dengan helmet bila menegur anak jantannya supaya 'volume' tv direndahkan. Kes lari dari rumah yang kerap dilaporkan pula banyak berpunca dari larangan ibu dan bapa kepada anak perempuan dari berjumpa dengan boyfriend. Agak-agaknya siapalah yang akan tampil membetuli segala kepincangan yang berlaku ini. Hendak harapkan penguatkuasa tempatan, eemmh, entahlah. Kesejahteraan rakyat teramai, terutamanya golongan marhaen, pandai-pandai sendirilah mengurusinya. Aku dengan urusan aku dan kamu dengan urusan kamu. Tapi bila masa pilihanraya tidak malu pula melaung laungkan, 'Demi Agama, Bangsa dan Tanahair'. Nantilah dan yakinlah pembalasan setimpal buat mereka yang cakapnya lain tapi buatnya lain. Lebih lebih lagi bila mereka yang tertindas menadahkan tangan berdoa yang semua orang sedia maklum bahawa doa orang yang teraniaya tiada terhijabkan.

Mereka yang membesar mendengarkan lagu ini dan seusia dengan Abang Latif kita ini mungkin telah dihujung 60an. Tahap kecergasan mula berkurangan. Ingatan lagilah. Haraplah mereka mendapat iktibar dan cepat kembali kejalan yang lurus lagi diredhai olehNya.

Sebagai renungan, disertakan firman Allah swt, menerusi surah An-nisa ayat ke-103, akan peripentingnya bersegera menunaikan sembahyang. Ingatan yang kerap saja kita buat buat lupa dengan dilekakan oleh pelbagai aktiviti yang pada pemahaman kita amat perlu lagi penting sifatnya. Misalnya, mengusik anak dara orang yang pulang bekerja dipersimpangan dan sempat lagi makan minum diketika menghampiri waktu solat macam tidak boleh tunggu masa selepas sembahyang baru makan. 



Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(An-Nisaa' 4:103) | | English Translation | Tambah Nota | Bookmark

Huraian santai... agar lebih jelas difahami

Kalau bukan kita sendiri, siapa lagi. Kalau bukan sekarang bilakah lagi.