13 AUGUST 2015, 20:23
الحمد لله،
Selamat sudah segalanya. Petang tadi aku berkunjung ke kedai jahit hussin. Rumah limas milik abangnya yang menurut katanya dijagai dan dijadikan tempat menjahit menjadi saksi kehadiranku. Lama jugalah aku tidak menghubunginya sejak awal ke atau pertengahan ramadhan yang baru berlalu. Malah sejak reunion kedua pada May 23hb, 2015, aku jarang berhubungan dengannya dan juga rakan-rakan sekolah lainnya. Masing-masing menjalani detik kehidupan masing-masing. Menjadi prinsip aku pula, tidak suka dan tidak mahu menganggu rentak kehidupan rakan yang suatu masa dahulu sama-sama bersekolah. Andai terserempak, barulah cuba mengingati susuk tubuh yang memperkenalkan diri. Perasaan yang tidak sepatutnya ada, kerap dan sering dan senantiasa berligar-ligar dalam diri. Rasa tidak diperlukan, tidak diterima didalam kumpulan dan rasa tersisih dan bukannya disisihkan amat menghantui diri. Apakah ini dinamakan 'inferior complex'. Kekadang perasaan rendah diri, tidak memberi apa-apa impact, ibarat kata, adapun tidak menggenapkan tiadapun tidak mengurangkan, malah datangpun tidak alukan dan pergipun langsung tidak dihiraukan. Orang lain mungkin ada yang perasan akan diri ini. Mungkin mereka tidak mahu melukai hati 'kawan' jika tersilap tegur.
Kita kerap bersangka yang bukan-bukan padahal orang yang dirasakan akan berkata begini atau bertingkahlaku begitu tidak pula berlaku. Terlebih jangka dan tersilap jangka asyik melingkari diri. Jarang yang positif sifatnya. Kekadang hal ini boleh memakan diri. Lebih amat fikirkan yang kurang elok dari yang elok seolah-olah telah sebati. Harus rasanya melontarnya keluar dari dalam diri yang telah sekian lama bersarang. Tapi perasan ini amat sukar dihapuskan. Ianya berada dibawah arus sedar. Kerapnya ia memunculkan wajah hodoh, pastinya mendatangkan kegusaran. Takut tidak bertempat, risau tidak kena masa, malu tidak berpenghujung malah menyendiri takut dikata orang. Sejak seminggu lalu, aku cuba hubungi hussin. Masih aku ingat lagi, harinya hari khamis. Talipon tidak berjawab. Bukan sekali tapi selang seminit menaliponnya. Cuma yang setia menanti dan sudi menjawab adalah suara wanita berdigital yang tiada berperasaan memaklumkan serta mengarahkan meninggalkan 'pesanan' selepas berakhirnya 'beep' sound. Aku pula membayangkan yang dia pastinya melihat nombor pemanggil atau yang 'advance' lagi telah meng-set-kan nama pemanggil yang secara auto-nya akan tertera di-screen handphone. Aku andaikan yang dia tentunya melihat phone-nya. Punyai pilihan untuk menjawab ataupun membiarkan. Pilihan ditangannya. Ikut kebiasaannya, yang biasa talipon dan kerap talipon maka selesalah menjawab. Bagi yang jarang-jarang talipon, rasa berat pula hendak bercakap. Sangkaanku, mungkin difikirannya ada orang tersalah tekan nombor ataupun buang masa sahaja menjawabnya. Mungkin juga hendak menguji kesabaran. Atau mungkin juga hendak 'mengajar' supaya kerap berhubungan. Kemudian aku abaikan seketika akan hal ini. Orang rumah pula sibuk menanyakan sudah hantar ke belum. Aku jadi serba salahlah pulak. Ku maklumkan, Sabtu nanti, abang akan terus ke tempat operasinya. Lepas pada itu dia tidak bertanya lagi. Sabtu yang dimaksudkan menjelang tiba juga. Malam sebelumnya, orang rumah sekali lagi mengingatkankan aku. Alasannya hendak menyiapkan tempahan. 'Lagi cepat siap,cepatlah dapat upah menjahitnya.' unjurnya masa aku tengah menghirup 'black coffee' ketika berhenti sebentar dari mencoret sesuatu di MSI Tablet. Makanya, Sabtu(08/08), aku lontarkan sejauh mungkin rasa 'dipingirkan' sejauh mungkin dan cubalah hubunginya lagi. Beberapa kali menalipon juga tidak bersambut. Agak-agaknya, bila sering diganggu terpaksalah dia menjawabnya. Mulanya bila dia menjawab salam yang aku lafazkan, terdengar agak mendatar sahaja suaranya. Bunyi macam acuh tak acuh sahaja. Walaupun tidak ketara tapi aku dapat merasakan. Perasaan bersangka buruk aku cepat benar menyelinap dan mengganggu fikiran. Aku berbuallah macam tiada apa yang patut dicurigakan. Aku nyatakan tujuan aku talipon tanpa banyak bercakap hal yang tidak bersangkutan. Lebih formal dan tiada berbual santai. Katanya lagi, hari sabtu yang aku hubungi(08/08/2015) sekitar tengahhari dia menghadiri beberapa jemputan kahwin. Makanya sebelum asar akupun menyinggahi rumah limas abangnya cum kedai jahitnya memohon jasa baiknya memotong baju melayu sebanyak 4 pasang.
Sesampai dikedainya, penerimaan kehadiran aku sedikitpun tidak berbeza dengan kunjunganku sebelum ini. Mesranya tetap sama. Bahasa bualannya tetap sama. Malah sampai terlayang kekenyangan ketika menunggu kehadiran aku. Mungkin aku terlebih-lebih 'obsessed' dengan kata-kata, 'Expect the unexpected'. Selalunya, apa yang dijangkakan akan berlaku tidak pula berlaku sedangkan yang kita tidak jangkakan apatah lagi yang tidak diharapkan berlaku, tidak semena-mena pula berlaku. Bila terlalu kerap dihadapkan dengan berita dan cerita yang negatif sifatnya, mungkin menyebabkan kita mudah bersangka yang bukan-bukan. Misalnya, berita 'derma' yang luarbiasa banyaknya kat pm kita dan disaluti dengan cerita-cerita yang tidak pasti betul benarnya pastinya memeningkan , juga kisah putus tunang yang membawa kesan buruk siap bergambar lagi di Duyung yang di-associate-kan dengan kesetiaan, ketaatan Hang Tuah tapi gagal di-asimilasi-kan anak cucunya via whatsapps terasa amat dekat kejadiannya dan banyak lagilah berita-berita yang tidak mem-positif-kan diri bertali-arus dan bertalu-talu menyinggahi diri yang semuanya mudah mempengaruhi fikiran serta menghadirkan tanggapan buruk. Tidak kurang juga media hiburan dengan cerita-cerita yang tidak bertapak dibumi nyata tapi diolah menjadi sesuatu yang seperti pernah dan mungkin berlaku dipertontonkan lebih memburukkan keadaan. Berhati-hati dalam pekerjaan dan tindakan adalah dituntut agama. Juganya, gelojoh, kelam-kabut dan berbuat ikut suka atau buat mana yang sempat saja tidak digalakkan oleh agama. Hakikatnya, kita adalah apa yang dipengaruhi oleh keadaan sekeliling. Bila banyak perkara yang baik, yang memotivasi, yang membuka minda serta mencabar diri diperolehi dilingkungan pastinya menatijahkan sesuatu yang baik juga malah mungkin lagi bermanfaat. Begitu jugalah sebaliknya. Bila sering dan kerap kali diasak dek fitnah, pembohongan, pembunuhan dan segala bagai hal yang melanggar norma kehidupan yang diredhaiNya, mana mungkin kita kekal optimis menempuhi hari muka.
Sin, I'm proud of you. Life must go on. Memikirkan sangat apa yang boleh, apa yang patut, takut melangkah, takut tersilap dan berbagai-bagai persoalan yang hampir tidak terjawab lebih menyulitkan kehidupan dari memudahkan setiap tindakan. Masa tidak akan menunggu kita malah kitalah yang harus mengejar supaya tidak tertinggal mahupun ditinggalkan oleh masa yang tetap bergerak sehingga kedetik akhir yang ditetapkan. Buat betul ke, buat salah ke, bumi ini tetap tidak akan berhenti berputar disebabkan kita seorang sahaja.
Entah kenapa entri kali ini berlainan benar rasanya. Ini bukanlah 'tribute' untuknya tapi cuma mengenengahkan kegigihan seorang insan dalam mengharungi kehidupan. Banyak lagi insan yang tidak pernah didendangkan di tengah-tengah masyarakat tapi mampu meruntun perasaan dan mungkin boleh dijadikan 'idola kegigihan' jika mahu diiktiraf sedemikian. Cabaran kehidupan adalah skrip kehidupan masing-masing. Tetapi masing-masing memerlukan sesama dan bergandingan menghadapi cabaran hidup.
Wallahu A'lam
Entah kenapa entri kali ini berlainan benar rasanya. Ini bukanlah 'tribute' untuknya tapi cuma mengenengahkan kegigihan seorang insan dalam mengharungi kehidupan. Banyak lagi insan yang tidak pernah didendangkan di tengah-tengah masyarakat tapi mampu meruntun perasaan dan mungkin boleh dijadikan 'idola kegigihan' jika mahu diiktiraf sedemikian. Cabaran kehidupan adalah skrip kehidupan masing-masing. Tetapi masing-masing memerlukan sesama dan bergandingan menghadapi cabaran hidup.
Wallahu A'lam
No comments:
Post a Comment