3, October 2024, Thursday 12:18pm
Tekun menekuni
Rasanya tiadalah lagi yang harus diberi perhatian selain dari persiapkan diri untuk 'kembali'. Bertuahlah buat mereka yang telahpun menyiapkan lebih awal dalam hidupnya. Aku pula baru tersedar dan mulalah terhegeh hegeh merebut apa yang tertinggal dan yang mampu digapai. Kemampuan untuk mencapai semua sekali adalah mustahil. Ada yang perlukan bertahun menekuni barulah dapat dituai hasilnya. Sedangkan aku hanya baru kini cuba hendak mengejar. Boleh tu boleh tapi mustahil untuk mendapat keseluruhannya.
Harus akur dengan perjalanan kehidupan yang ditetapkan. Kalau ikutkan kehendak hati, mahu segalanya menjadi milik sendiri. Namun hal ini tidak mungkin boleh berlaku. Setiap orang telah diaturkan corak serta dugaan yang pelu ditempuhi sehinggalah ke akhir hayat. Aku ada plihan ke?. Tidak nampak sebenarnya. Apa yang pasti kita harus menjalani kehidupan ini penuh tabah mengikut lunas lunas serta batasan masa yang diperuntukkan.
Sememangnya tiada yang terlewat dan tercepat mengikut perancangan Allah swt. Cumanya kita sahaja yang memandai mandai persoalkan kenapa dan mengapa aku tidak perolehinya pada sekian sekian masa. Kekadang kita mencuba tapi gagal mencapainya. Ada orang sekali 'usaha' sahaja sudah menemukan kejayaan. Pada situasi sebeginilah yang menghadirkan rasa ketidakpuasan hati, cemburu yang meruap ruap dan berlanjutan kepada tindakan merosakkan 'kejayaan' orang yang dibenci ketahap yang tidak terfikirkan akan dilakukan oleh seseorang.
Aku hanya pasrah dengan apa yang ada dan apa yang terjadi kepada orang lain. Aku belumlah lagi sampai ketahap menyulitkan orang lain. Apa yang terjadi itulah yang perlu direnungkan sedalamnya. Namun berlebihan sesangatpun tidak sepatutnya kerana yang merancang dan menentukan bukanlah kita. Sebagai seorang hamba yang tentunya terikat dengan aturan dan jauh sekalilah untuk ingkari arahan, jalani sahajalah kehidupan ini menuruti dan melewati ketetapan masa yang telah diperuntukkan.
Kini, saban hari, aku tidak lekang dengan mempelajari bahasa Arab Al-Quran. Biarlah aku lengah bertahap memahamkan asalkan aku mampu mengingati apa yang aku pelajari itu. Pelbagai tips dan panduan diutarakan oleh pengendali content yang merupakan ustadz yang berkemahiran dalam bahasa Arab bagi memudahkan sesiapa juapun yang berminat bersungguh untuk memahami al-quran. Aku tergolong dikalangan mereka yang masih belum 'fasih' akan bahasa arab al-quran. Namun tekad dan usaha bersungguh moga aku mampu setanding dengan mereka atau setidak tidaknya menghampiri rapat dibelakang mereka.
Moga aku dipermudahkan...
No comments:
Post a Comment