Saturday, October 27, 2018

Pemuda dari Sabah

 27/10/2018 11:32 

Pemuda dari Sabah

Entah macammana petang tadi aku begitu ramah pula bercakap dengan orang yang baru pertama kali ditemui. Respond yang diberi oleh insan tersebut membuatkan aku benar-benar terkesan akan keihlasan beliau berbicara. Tergamam juga aku seketika bilamana sapaan aku yang tidak bermaksud apa-apapun dan hanya sekadar ingin maklumat lanjut sahaja dijawab pantas tanpa menunjukkan rasa penatnya mungkin sejak awal pagi tadi memulai tugasan dengan slang yang kedengaran bukan lenggok cakapan orang Melaka. Aku pula dalam mengejar masa memandangkan waktu Maghrib yang hampir tiba rasa teringin pula mahu berbual lanjut dengan pemuda dari Sabah ini. Longkah sahaja aku menanyainya dan mahu pula dia melayan pertanyaan aku mengakibatkan bualan menjadi panjang. Menurut katanya, namanya 'Wan' tanpa memberitahu akan nama penuhnya serta berasal dari Sandakan Sabah. Bila ditanyai akan sudah berapa lama bekerja, jawabnya telah 3 bulan dia disini, di Melaka.


Dak Wan and Me

Berkenan dengan cara dia ikhlas dan sudi bercakap dengan aku, maka akupun mengambil sebungkus kacang shandong yang baru disusunnya. Setahu aku malah pelangganpun tahu, merchandise yang baru dikeluarkan dari kotak tentunyalah stok baru. Lebih  memeranjatkan bila diajak berselfie, entahkan mahu sahaja tanpa menolak permintaan aku. Orangnya dengan bergigi rongak serta banyak yang rosak mencerminkan yang penampilan diri tidak berapa hendak diberi perhatian. Mungkin jugalah kehidupan yang sukar dilalui semasa dikampong sehinggakan kebersihan diri sedikit terabai. Muda muda lagi nampak sedikit kurang menarik apatah lagi apabila melihatnya tersenyum. Pun begitu kesukaran hidup yang ditempuhinya sedikitpun tidak menghalang dirinya untuk mencari kehidupan yang lebih bermakna. Malah kesanggupan beliau merantau sehingga ke Melaka adalah manifestasi keinginan dirinya untuk berubah dan mengubah nasib keluarga.


Peluang yang direbut mungkin dari khabar kekosongan kerja diperantauan tanpa berlengah lagi dengan janji gaji yang lebih tinggi dari yang diperolehinya sekarang serta insentif menarik yang memikat dan memukau membuatkan dia tidak menoleh kebelakang lagi. Peluang terhidang buat apa disia-siakan. Apatah lagi dengan tahap kelulusan akademik yang dia ada, apa lagi pilihan yang dia ada dan mungkin ada. Maka peluang yang tidak akan datang buat kedua kalinya harus disambar segera.


Semoga awak berjaya mengapai impian yang malu diwar-warkan, sekadar kemas tersimpul pada diri.