Nilaikan
Terpulanglah. Aku tidak memaksa. Luahan rasa hati aku di dinihari ini dibuat semata mata mahu melepaskan keresahan bilamana mengetahui seorang demi seorang dari rakan kampong, rakan sepermainan dan juga rakan sekolah sebaya lagi telah dijemput pulang. Kepulangan pula di detik yang tidak semua orang sangkakan. Tiada sakit tiada tanda tanda derita yang terzahir namun tetiba menerima berita menyedihkan dan tentu sekali amat mengejutkan. Memanglah kematian akan menjengah keatas semua insan yang bernyawa. Tiada sesiapapun yang berani menyangkalnya. Tidak kiralah apa pangkat dan jawatan yang disandang. Samada orang kebanyakkan atau terlalu berpengaruh dalam masyarakatnya dan bila diajukan mengenai kematian maka semua kita akan mengelak memperkatakannya. Ikut logik akal manusia, mungkin tiada sesiapapun yang mahu ambil tahu akannya. Misteri buat semua yang hidup. Ini adalah hakikat yang harus diterima. Secara lumrahnya memang kitapun tidak suka memikirkan tapi bagi mereka yang tahu benar benar faham, memperkatakan soal mati dan kematian dan senantiasa mengingati mati adalah yang utama dalam kehidupannya.
Memang sukar hendak melelapkan mata. Nasib dan ajal mereka yang amat amat aku kenali telah sampai ke penghujungnya. Cara dan detik kematian mereka memang tidak tersangkakan. Kita tidak faham dan tidak akan faham kalau masih leka dengan permainan dunia. Biarpun telah diingatkan yang dunia ini adalah tidak kekal sepertimana kehidupan di akhirat nantinya namun masih tetap mengutamakan 'keseronokan' dunia yang melekakan.
Pertembungan 'nafsu' dan perlunya mentauhidkan Allah swt amat bertentangan dalam tingkahlaku seseorang. Bagi mereka yang telah berusia dan masih tidak menyedari akan masanya akan tiba jua untuk meninggalkan dunia ini. Bagaimana dan bila hendak persiapkan diri semestinya bergantung kepada sudut pandangan masing masing.
Sekali lagi, terpulanglah.
No comments:
Post a Comment