Berkesempatan sebentar tadi untuk aku menonton program berita jenayah selepas selesai Isyak. Itupun setengah jam berlalu. Mulai mengikutinya ditengah tengah program. Rancangan yang keudara setiap Selasa, 9:00 malam ke 10:00 malam dan kebetulan pula ketikanya aku bercuti mingguan amat jarang jarang aku ikutinya. Tetapi pada hari ini, entah macammana mahu pula aku melekap disofa sebaik sahaja selesai isyak. Kisah kisah jenayah yang berlaku seminggu yang lalu didedahkan untuk pengetahuan umum.
Mungkin lebih banyak buruknya dari baik yang akan digarap dari kejadian yang dilaporkan itu mengikut tafsiran memasing. Perkara ini lumrah. Setiap orang punyai pandangan yang berlainan dan kekadang tidak terfikirkan oleh orang lain. Faktor penyebabnya tentulah pengalaman yang sendiri lalui dahulu menjadi panduan mengandai dan menghukum pelaku tanpa melihat duduk perkara sebenarnya.
Apapun aku lebih terkesan bilamana pengacara berekor kuda dengan berjaket kulit cokelat ketatnya memberi butiran di segmen rangkuman. Dikhabarkan di Pulau Pinang seorang wanita mencampakkan anak yang baru dia sendiri lahirkan didalam bilik mandi dari tingkat 13 sebuah apartmen di Bayan Lepas. Kemudian dari Perlis pula kisah seorang pemuda berusia 28 tahun mencederakan ibukandungnya disebabkan permintaan untuk dibelikan motor tidak diendahkan. Pembaca tentu sahaja boleh mendapatkan berita penuh dengan menyelusuri portal berita yang pelbagai diinternet.
Berita yang lebih bersifat melaporkan kejadian tentu sahaja mendapat perhatian ramai dan barangkali mungkin sebahagian kita akan bersimpati kepada mereka yang alaminya. Tidak kurang juga mungkin kerana terlalu beremosi akan menyelar menghukum pelaku tanpa mengetahui hujung pangkalnya. Kejadian yang dilaporkan hanyalah 'snapshot' kesah harian masyarakat ibarat 'balance sheet' kepada sebuah syarikat akan tahap prestasi perniagaan semasa. Semua kita bebas untuk meluahkan pandangan dan pendapat. Apakah mungkin kita mampu mempertahankan kebenaran kejadian yang telah disebarluaskan bilamana perkara yang tidak kita ingini terjadi kepada diri kita sendiri pula.
Bagi diri aku-lah, aku suka melihatnya kedepan dan kebelakang sebelum terjadinya peristiwa 'hitam' yang pastinya akan mendapat cemuhan dari pembacaan santai memasing.
Aku pasti yang dari dua kejadian rangkuman yang disampaikan, ibu dan bapa buat cahayamata yang tersilap langkah ini adalah insan yang amat terkesan. Mana mungkin bagi si ibu yang melahir membesarkan dan tidak sedikitpun terlintas difikiran akan ditimpakan peristiwa malang sedemikian rupa. Bak kata orang, 'Tak orang, tak kita'. Maksudnya tiada sesiapapun mampu menduga kejadian dihari hadapan. Semua perkara adalah tidak mustahil untuk berlaku. Namun kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan adalah langkah yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Begitupun mungkin disebabkan kelekaan dan disibukkan dengan segala rencam dunia yang seolah olah menyerbu mendatangi sehinggakan gagal tidak berdaya menepis melawan arus dan pasrah dengan putaran ganas yang terdapat dilingkungan kehidupan.
Kita yang berada diluar sekadar mampu mengikuti kesah yang dilaporkan ini seolah olah menonton episod duka masyarakat sambil 'makan super ring'. Tiada apa yang hendak direnungkan dengan menganggapkannya hanyalah hiburan malam selepas seharian bekerja mencari nafkah. Kita tidak membacanya sebagai suatu pembongkaran nasib insan dari seribu satu kesah masyarakat dari celahan kegelapan kehidupan untuk diinsafi. Mungkin juga kita merasakan yang perkara ini tidak sekali kali akan terjadi pada diri dan keluarga. Kita belum diuji lagi. Adakah akan sama kesahnya sepertimana yang dilaporkan atau mungkin lebih dahsyat dan menyayat hati.
Kebiasaannya kita akan memalingkan hal ini kepada pihak lain yang dirasakan bertepatan selayaknya untuk menangani permasalahan sedemikian. Kita tetap pertikaikan akan kenapa ibu mahupun bapanya tidak menasihati mendisiplinkan tingkah laku anak memasing. Cubaan mencungkil sebab musababnya dan pepandai sendiri pula menjatuhkan 'verdict' adalah satu tindakan keterlaluan. Siapalah kita yang tidak tahu menahu hal sebenar tetiba tampil menjadi pendakwaraya tidak bertauliah, pakar motivasi tidak bergaji dan lebih teruk lagi sebagai pengkritik menyalahkan semua orang.
Bagi diri aku sendiri, myself helplessly witnessing but really wondering what had happened to them, akan mengapa sampai ketahap ini yang harus berlaku. Amat mengesali. Mereka yang terbabit ini pula adalah saudara seislam. Dimana silapnya.
Berdiam tidak membawa kita kemana-mana.
No comments:
Post a Comment