8/12/2018 12:21 PM
Semasa memberhentikan kenderaan di persimpangan berisyarat di Taman Desa Duyung dalam perjalanan minum pagi di Duyung @ Warong Dak Din, aku terpandangkan sebuah Daihatsu Charade CX yang sudah barai di tepian jalan. Laluan ini memang sering dan senantiasa dilalui tapi entah macam mana tetiba pula kenangan yang bersangkutan dengan kenderaan jepun ini terimbaukan.
Charade yang mengimbau kenangan |
Menjadi kebiasaan dimana selesai sahaja berurusan di pasar saban minggu, pastinyalah destinasi minum pagi akan dicari. Antara tempat yang menjadi kunjungan adalah di Rashid Corner di Bukit Piatu dan juga di Duyung. Kedua-dua tempat ini ada keistimewaan masing-masing menurut sudut pandang aku. Kegemaran di Rashid Corner adalah lontongnya manakala di Duyung pula menikmati roti canai hasil tebaran canaian rakan sekolah dahulu iaitu En. Kamaruddin. Malah dikedua-dua tempat ini ada menu yang sama tapi setelah sekian lamanya mengunjungi kedua-dua destinasi untuk bersarapan pagi berselang-seli dan kekadang mengikut mana sempat maka itulah pilihan utamanya bila bersinggahan bersarapan. Pernah juga mengunjungi tempat selain dari kedua-dua kedai makan ini tapi suasana dan selera tidak mencapai tahap yang aku gemari. Mencarut, terjerit-jerit dengan keadaan yang tidak berapa bersih membuatkan aku 'stick' kepada dua tempat pilihan ini sahaja setakat ini. Orang hendak minum air tapi cara kakitangan menyambut melayan dengan pengunjung regular mereka yang cara bergaulnya amat menjengkelkan pastinya boleh mematikan selera bersarapan. Apa yang pastinya ianya within distant dengan kediaman aku. Selain itu kemesraan dikedua-dua tempat ini pula bagai telah lama tersemai. Hormati pengunjung walau tiada kata-kata menyambut kedatangan dan bagi aku dan isteri cukuplah sekadar bersih keadaan sekitarnya, nyaman suasana dan dengan juadah yang biasa biasa sahaja sudah memadai memikat kami untuk kerap berkunjungan.
Ingatan pantas sahaja menerawang kembali ke tahun 1984 selepas seminggu selesainya minggu orientasi pelajar kemasukan sessi Julai 1984. Semasa bersama rakan sekursus menapak dari Asrama Perindu dilaluan pejalan kaki ditepian pagar Asrama Kenanga(Perempuan) untuk ke Business School, aku terperasankan budak Kelang yang sama intake tapi beliau ini pula dalam kursus Senibina sedang membelok ke jalan masuk ke Bangunan Menara. Mungkin mencari parkir yang berhampiran dengan 'School of Architecture'. Paling dekatpun dia akan memarkir di HEP dan akan berjalan dalam beberapa meter sahaja merentasi TAR Library menuju ke bilik kuliah kursus senibina. Rakan rakan lain dari Perindu tidak mengetahui apa yang aku perhatikan ketika itu kerana mereka lebih sibuk berborak pasal aweks menuju ke bilik kuliah. Aku pula tidaklah sampai hendak bercerita akan perihal mamat yang aku kenali didalam Charade CX G11. Ada nantinya aku dikata potong 'stim' pula.
Inilah rupanya yang aku terpandangkan, at that time, tapi warna solid white... |
Bila ditanyakan kenapa daftar lewat 2 minggu dan terlepas akan minggu orientasi ketika dia rakan satu Asrama yang mendaftar masuk ke dormitory sedangkan dia orang Kelang menjadi tanya tanya aku ketika itu. Menurut katanya semasa sessi berkenalan dia telah maklumkan diberi pelepasan 2 minggu atas alasan yang diterima oleh pihak ITM ketika itu. Entah apa yang diborak dibohongkan kepada pihak pentadbir, hanyalah dia sahajalah yang lebih mengetahuinya. Tidak terjangkakan pula yang alasannya hanyalah semata-mata hendak mengelak minggu suaikenal yang dijangkakan memenatkan. Memangpun memenatkan. Apa tidaknya, selepas kerahan bangun seawal 5:00pagi untuk bersembahyang Subuh oleh para petugas minggu orientasi yang rata-ratanya budak budak semester 3(second year) dari pelbagai kursus sehinggalah menyampaikan ke 12:00 tengahmalam dengan pelbagai aktiviti yang dirancang. Malahan sebaik selesai sessi pendaftaran sekitar 12:00 tengahhari dan diikuti dengan makan tengahhari maka bemulalah aturcara orientasi. Hanya lepas 12:00 tengah malam, barulah kita bebas untuk membuat sebarang aktiviti di bilik asrama. Namun rata ratanya memilih untuk mandi to refresh oneself dan terus melelapkan mata untuk mengharungi segala aktiviti yang telah diatur untuk seminggu lamanya.
Nama mamat yang aku ajak berbual tidaklah aku ingat lagi tapi mahu pula dia layan berborak. Tengok raut wajahnya, dia masuk melalui SPM sedangkan aku menerusi STPM. Budak lagi. Tapi aku anggap sekadar rakan se-intake sahaja. Ramai juga yang lebih senior dari usia aku ketika mendaftar masuk. Dalam masa berjalan pergi dan balik ke Bangunan Menara dalam sekilo lebih untuk pergi dan sekilo ke dua kilo dalam haluan balik didengkikan oleh petugas orientasi sempatlah juga berbual bertanya. Ada yang kena tendang dari Universiti. Kalau yang ambil kursus teknikal, majoritinya adalah dari UTM. Senior dalam 3 ke 4 tahun pula dari diri ini, lebih kepada drop-out oversea. Mana yang Mara hantar ke UK, US atau Australia yang tidak perform terpaksa layankan kursus Diploma di ITM sahaja. Bagus juga ada orientasi, dapatlah juga cungkil cerita bebudak yang flop walaupun ada yang agak keberatan memaklumkan hal hal yang dikira agak peribadi. Kenangan yang tidak mungkin akan aku perolehi andai aku berperangai macam budak Kelang yang tidak mahu turut serta dalam minggu orientasi yang mungkin dirasakan memenatkan dan membuat masa. Well, terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Sebenarnya, banyak lagi kisah-kisah yang aku saksikan dan alami sendiri akan minggu orientasi yang tetiba macam teringin sahaja hendak aku nukilkan dikesempatan ini. Mungkin dikesempatan lain akan aku catatkan untuk tatapan bersama.
Kenangan berminggu orientasi atau lebih dikenali juga dengan Minggu Suai Kenal kini amat berharga pada diri. Setidak-tidaknya bervariasi jugalah perjalanan hidup aku yang pada pandangan 'reader' sekadar biasa biasa sahaja.