Segala sesuatu amatlah tidak terdugakan. Selisih bergantinya dari sehari ke sehari, bulan ke bulan sehingga tiba fajar 2018 pastilah perlu diharungi jua biar apapun yang dihadirkan olehNya. Menoleh kebelakang sejak lahir, itupun kalau masih mengingati jejak perjalanan kehidupan sehingga kedetik ini, setiap kita harus perlu menerima hakikat. Detik kejadian yang dialami, suasana yang dirasai juga cabaran yang perlu ditangani antara tangkas dengan lambatnya bertindakbalas membawa diri ke mana sekarang aku berada. Bukan sesuatu yang mudah andai difikirkan dan tentulah rintangan cabaran sejak mengenal dunia sehinggalah menghampiri ke 54 tahun dalam beberapa hari lagi adalah pencapaian diri yang hanya diri sendirilah yang harus berbanggakan.
Suramkah atau makin menceriakan... |
11 haribulan Januari, adalah hari ketiga hujan berterusan turun. Aku kepasar bersama orang rumah. Routine mingguan. Menjadi kemestian setiap kali bercuti akan bersama kepasar. Rebas hujan masih berjujuran yang mungkin membahayakan pemanduan andai tidak hemah memandu. Jalan licin dengan suhu kedinginan khabarnya disesetengah tempat ada yang dibawah 19 'darjah' celcius. Perkara yang dirasakan kecil sebegini menurut sudut pandangan sendiri andai tidak di layani sepatut dan seharusnya mungkin boleh mendatang bencana pula. Namun terpulanglah buat individu menentukan 'jalan' atau cara yang serasi dengan empunya diri untuk bertindakbalas. Sesuai dan bertepatan maka beruntunglah. Andai tersilap dan tersalah percaturan, tanggunglah akibat darinya.
2018 mungkin tahun mendebarkan bagi sesetengah kita lebih-lebih lagilah kepada diri aku. Mana mungkin kita mampu mengandaikan apa yang akan diterima dan diperolehi dengan penuh keyakinan. Begitupun kita tentunya tidak sanggup merelakan diri menerima sesaja akan rintangan dan halangan yang tidak terduga dan terhajatkan langsung. Namun, inilah lumrah kehidupan. Tiada sesiapapun yang mampu meramalnya dengan pasti. Naluri setiap insan inginkan yang terbaik sahaja. Tiada kompromi. Tapi kita harus menerima hakikat. Terbaik bagi diri sendiri yang dirasakan dan amat meyakininya tapi jika diperbandingkan dengan kurniaanNya pada insan lain terasa terlalu jauh dan ketara bezaannya. Menyedarinya ketika itu, apakah tiada terdetiknya pertanyaan, 'Apa lebihnya dia, apa kurangnya pada diri...' .
Diketika ini aku sudah memulakan pembacaan genre 'autobiography' yang merupakan genre kegemaran dan aku pilih secara rambang sahaja akan buku dari bookshelf dibilik. Minat amat mendalam untuk membaca genre sebegini kerana ianya adalah catatan pengalaman penulis itu sendiri. Betul salah tanggapan terhadap liku-liku kehidupan yang ditempohinya bukanlah menjadi isu sangat tapi bagaimana setiap kejadian itu dihadapinya, diceritakan dengan punca asbab serta rentetan peristiwa selepasnya membuatkan diri ingin mengikutinya sehingga habis.
Coretan kenangan orang biasa-biasa ini sedikit sebanyak meyedarkan kita bahawa bukan semua orang mendapat keistimewaan dalam hidup. Ada sahaja peristiwa dan kejadian yang merubah yang memungkinkan selalunya kearah yang lebih baik dan bermakna. Kekadang aku memborong sehingga 5 buah buku dalam sekali pembelian akan buku sebegini bilamana berkunjungan ke kedai buku second-hand yang tentunya berjaya mencuri 'hati' ini. Suka membeli dan suka membaca sehinggakan ada yang telah lama dibeli tapi masih belum memulakan pembacaan. Masa dan kesempatan menjadi penentu.
Berbalik kepada coretan ini, bercakap berkisar kepada ketidaktentuan, keadaan situasi adalah sama sahaja dimana-mana. Ianya sesuatu yang bersifat universal. Dalam 'Memoir' Bill Bradley yang dibaca kini, beliau ketika mencoret adalah bekas penjawat awam di U.S. Senate setelah mendapat mandat pengundi di New Jersey, turut merasakan degup jantung kehidupan masyarakatnya di tahun 1980an sepertimana yang dinukilkan dalam 'memoir-nya' yang diterbitkan pada 1996.
Misalnya menurut coretannya lagi,
- I also came face-to-face with the unmet needs of Americans who were living in poverty, many of them paralyzed by self-doubt and terrorized by violence.
- I saw fear of the future in the faces of middle-aged men who had lost their jobs; what they thought would never change had disappeared, and they had nowhere to go.
- I was reminded that I am in politics to take action, to stop the suffering, and to promote opportunity. Without a new approach and more resources, the cycle of despair...., would never be broken.
Buku yg dibeli pada 08/08/2009 tapi baru semalam mulakan pembacaan(29/01/2018) |
Namun jika diperbandingkan situasi US via memoir Abang Bill ini dengan situasi semasa negara kita ini, nyata terlalu amat bezanya. Kebertanggongjawaban terhadap pengundi dan rakyat keseluruhannya demi membangunkan negara menjadi keutamaan setiap mereka yang diberi mandat memenangi pilihanraya. Manakala disini kerap kali dan menjadi kelaziman pula, golongan pengundi lebih-lebih lagi rakyat terbanyak @ golongan marhaen diperlekehkan sesuka hati. Mana perginya janji dan amanah memimpin. Tidak perlulah aku mendokumennya lagi. Semua kita boleh menilainya sendiri apa yang telah dan sedang dilaksanakan oleh mereka yang kita gantungkan segala harapan memimpin kearah Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.
Rani Kulup...bersandiwara
Sedikit masa lagi dan khabarnya, pilihanraya memilih pemimpin baru kali ke-14 harus dilaksanakan pada tahun ini juga. Siapa terpilih dan menjadi pilihan pengundi nanti tentulah telah memenuhi kriteria pemilihan calun yang benar-benar ingin berkhidmat untuk tanahair tercinta ini. Niat baik pastinya berpenghujungkan kepada kebaikan juga. Andai sebaliknya, padah dan celakalah mendapatnya. Boleh selamatkah diri pemimpin yang mendabik menjaja dirinya terbaik. Mereka yang self-proclaimed ini, lambat laun akan terserlah tersingkap rupa diri yang sebenarnya.
Persoalannya, buat pengundi...sampai bilakah kepincangan ini harus dibiarkan. Manakala kepada bakal pemimpin...Mana mahu sorokkan diri andai diri melupai segala yang dijanjikan.
Terserah, tepuk dada, pangkahlah ikut kemahuan masing-masing.