Saturday, February 13, 2016

52 dan semakin mendekati...

Belanja gambar lah..
Hari ini, 02/02/2016, adalah hari ulangtahun kelahiranku. Kebiasaan yang dilakukan saban tahun, aku akan bercuti. Mengambil cuti tahun, kekadang cuti gantian dan ada ketikanya kebetulan pula jatuh pada cuti mingguan. Namun buat kali ini seolah-olah tidak bermakna pula. Cuti tidak dapat malah sejak pertengahan Januari lagi sehinggalah tibanya Tahun Monyet mengikut kepercayaan orang Tionghua, semua staf telah diingatkan untuk tidak mengambil sebarang cuti tambahan kecualilah cuti mingguan masing-masing. Aku seperti menjadi mangsa keadaan layaknya sedangkan sambutan tahun baru mereka hanyalah pada 08 & 09 Februari.

Buat hari istimewa aku ini, aku bergerak pulang 5 minit selepas waktu rasmi bertugas tamat. Kebiasaan yang aku lakukan hari-hari tetiba berubah. Selalunya aku akan pulang setengah jam atau kekadangnya lebih dari sejam lamanya. Begitu jugalah kelaziman bersembahyang asar sebelum 'swipe-out' juga tidak aku lakukan tapi bergegas pulang mendirikannya dibilik sahaja. Terasa janggal dan serba tidak kena pula. Hari istimewa ini sememangnya dan semestinya telah aku susun baik-baik akan perancangan yang ingin aku lakukan seharian. Namun sambutan buat kali ke 52 ini langsung tiada apa-apa yang ingin dibuat. Menoleh kembali akan acara yang dibuat ditahun-tahun sebelum ini pastilah banyak sesangat mengamit kenangan. Imbauan akan detik yang dilalui pada setiap kali tibanya tarikh keramat ini terasa seperti baru lagi dilalui. Apapun dalam sedar tidak sedar, kini aku mula menyeberangi dan berada dilapisan ke 52. Pantasnya masa berlalu dan bergerak. Kalaulah masa dapat diundurkan kembali, tentulah bukan setakat aku seorang sahaja malah setiap insan bernyawa akan membuat sehabis baik, segigih mungkin serta secepat yang boleh memenuhi setiap impian yang tidak kesampaian dimasa lalu.

Cabaran serta dugaan yang harus dihadapi buat tahun 2016 pastinya jauh benar berbezanya dari tahun sudah. Hakikat ini tiada siapapun yang mahu menyanggahi malah harus akuinya. Terasa benar yang diri ini beransur-ansur kehilangan'tanggungjawab' yang saban hari dilaksanakan dengan penuh rasa kebapaan. Menghantar anak kesekolah tidak lagi sekerap dahulu. Yang bersekolah menengah, kekadang kawannya singgah menjemput kesekolah dengan motosikalnya. Yang bersekolah rendah dan yang koret ini pula sejak 01/02, abang longnya yang turut memulai bekerja semalam diangkutnya ke sekolah dalam perjalanan ke tempat kerjanya yang sepatutnya telah melaporkan diri pada 25/01/2016. So, semalam dan hari ini selepas sembahyang subuh, recite beberapa mukasurat al-quran serta kemudiannya memahirkan pemahaman bahasa arab aku dibilik dengan membuat latih-tubi. Turun kebawah bersarapan dan mencoret cerita yang ditatap dan dibaca ini.

Perubahan tiada sesiapapun yang mampu menahan dari berlaku. Segalanya adalah ketentuan dariNya jua. Kita sekadar mengharungi kehidupan sebelum dijemput pulang yang entah bila tidak akan diketahui sesiapapun jua kita. Baik kaya orangnya apatah lagi yang miskin. Mulia pekertinya mahupun yang rosak akhlaknya. Namun ada tanda-tandanya bagi yang maklum dan tahu dan sedar asal kejadian mereka. Maka beruntunglah buat yang telah membuat persiapan kesana nanti. Bagi yang masih dan sedang mempersiapkan diri, harus pula lebih istiqamah agar yang dikendongnya tidak keciciran dan yang dikejarinya terlepas begitu sahaja. Dan malang sungguhlah buat mereka yang tidak mengerti dan buat tidak tahu sahaja disebabkan jahil atau sombong dengan kesenangan hidup didunia yang dia mungkin ataupun mungkin tidak tahu langsung yang dunia yang sememangnya fana ini akan ditinggalkan setelah ajalnya dijemput pulang.

Tanpa Bag Plastik dan Cabarannya

Tidak perasan pula yang penggunaan plastik di premis perniagaan, baik yang kecil mahupun yang besar, tidak dibenarkan berkuatkuasa dari 1hb Januari 2016. Hari tanpa bag plastik telah menjadi kelaziman sepanjang tahun 2014 lagi iaitu pada setiap hari Sabtu dan Ahad. Manakala untuk tahun 2015 ditambahi sehari lagi iaitu hari Jumaat juga. Ini bermakna selama tiga hari berturut-turut setiap minggu, pihak peniaga berkedai khususnya dilarang menyediakan pembungkus plastik kepada pelanggan yang datang berkunjung. Malah sejak awak tahun 2015 juga telah diwar-warkan yang bermula dan berkuatkuasa pada 01/01/2016, bag plastik tidak dibenarkan sama sekali. Pengguna telah dibiasakan bertahun-tahun dan dididik akan kepentingan penjagaan alam sekitar bagi faedah generasi akan datang dengan penglibatan semua orang pada masa sekarang. Kempen penggunaan bag kitar semula @ recycled bag atau woven bag yakni biodegrable sifatnya sebagai alternatif demi untuk tidak mencemarkan bumi dan juga demi untuk kesejahteraan generasi kemudiannya.

Kedatangan tahun baru masehi 2016 disambut hambar majoritinya walaupun pada segelintir pihak menyambutnya penuh ceria. Maklumat mengenai 'segala-galanya' naik telah dimaklumkan menerusi pelbagai medium. Kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan yang seperti tidak mampu dikawalseliakan lagi oleh pihak kerajaan tentunyalah amat merungsingkan golongan marhaen seperti aku. Pastinya isu penggunaan bag plastik seolah-olah ditarik kebelakang dan tidak diberi perhatian. Sememangnya sesuatu yang baik tidak harus ditangguhkan pelaksanaannya apatah lagi untuk dibatalkan begitu sahaja setelah segala usaha dan tenaga digemblengkan bertahun-tahun lamanya. Apapun, perlaksanaannya semacam tidak kuat pula publisitinya.

Aku sendiripun seperti terlupa akan hal ini disebabkan asyik memikirkan akan belanjawan persekolahan anak-anak sejak awal November lagi dan sibuk menyiapkan keperluan sekolah mereka berdikit-dikit pada pertengahan bulannya membawa ke hujung December pula. Walaupun telah diuntukkan budget, terasa bebannya akan serba serbinya tetiba melambung naik harganya. Hampir terlupa juga akan majlis pernikahan anak buah yang berlangsung juga pada 01/01/2016 kalaulah Kak Long tidak singgah menjemput pada 12/12/2015. Bergegaslah pula naik ke Shah Alam menghadirkan diri sekeluarga ke majlis kenduri kahwinnya. Kebiasaan, orang bercuti tahun baru akan duduk diam-diam dirumah. Relaxs bersantai. Hidangkan menu special buat sekeluarga. Aku pula pepagi lagi telah memulakan perjalanan ke Shah Alam. Pecah tradisi. Belum pernah aku lakukan dan inilah pertama kalinya dan pastinya akan menjadi sejarah.

Lina... selamat pengatin baru @ 01/01/2016


Sekitar 10:00 malam lagi pada hari terakhir 2015, hujan mula turun dan melebat. 'Kalau sampai pagi ni... ahh kacau ni!!!,' aku maklumkan pada orang rumah. Dalam kepala sudah memikirkan bagaimana sulit dan sukarnya memulakan perjalanan jauh dalam keadaan sedemikian. Hujan yang turun ini rupa-rupanya berterusan hingga kepagi. Bergerak seperti dirancangkan dalam 7:00 pagi bermula sejam lewat. Itupun hujan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti. Kesuraman simbolik menerusi hujan ini semacam turut berhiba dan berkongsi kesedihan akan kesukaran yang bakal ditempuh setahun mendatang ini. Segala bagai keperluan kehidupan yang mengila naiknya yang tidak mampu rasanya mengelak dan menepis setiap masa tentunya amat memeritkan. Rempuh dan redah sahaja. Mengundur adalah satu tindakan yang janggal, seolah-olah tewas diarus kehidupan. Kalau difikirkan dalam-dalam, direnungkan jauh-jauh dan dipandangkan lama-lama, boleh gila jadinya. Bayangkanlah orang seperti akupun yang bergaji tetap sekadar sedikit sahaja dibawah garis kemiskinan pun terkial-kial apatah lagi akan keadaannya orang kampung yang tidak bergaji yang menjadi ahli parti 'Gerakan' seumur hidup dengan mottonya, 'tak bergerak tak makan'.

Khamis pertama ditahun 2015 adalah cuti mingguan pertama aku. Selepas selesai menghantar bebudak kesekolah, aku dan orang rumah bergegas pula ke Pasar Besar Melaka mendapatkan perishables items. Ikan parang antara item yang tidak boleh miss membelinya. Begitu juga ikan sardine yang dulunya RM3 ke 4 sahaja sekilo melambung ke RM6, RM7 diawal December 2015 dan sudahpun berharga RM9.90 sekilo pula kini. Semasa kemurahan harganya, kami membelinya kekadang sampai 5 kilo setiap kali berkunjung ke pasar. Sampaikan ada makcik yang mungkin sering memerhati bertanyakan orang rumah, 'Buat apa... nak... beli banyak-banyak... anak ramai ye...' dengan penuh kehairanan. Mungkin pada pandangannya terasa sedih hati dan menjangkakan punyai anak yang ramai sehingga terpaksa membeli ikan sardine sebanyak yang dilihatnya. Bagi menepis salah sangkanya, orang rumah memaklumkan makcik itu yang pembelian ikan sardine adalah untuk makanan kucing yang dipelihara hampir ke 10 ekor jumlahnya. Tapi buat kali ini dihadkan kepada 2 kilo sahaja. Itupun sudah menjangkau ke RM20.00. Ikhlas memberi makan kucing terbiar yang bertandang ke rumah dan tambahan pula orang rumah mudah tersentuh hatinya membantu secara sukarela akan kucing yang seperti sengaja dilepaskan orang didalam kejiranan dan serasi agaknya menambahbiak pula bilangan mereka. Rajinnya orang rumah, siap direbusnya sardine dan dihidangkan mengikut kategori kucing agar mereka tidak berebut. Dewasa dahulu kemudian barulah yang kecik-kecik pula dilepaskan dari sangkar untuk makan. Pagi, tengahari, petang dan lewat malam setiap hari tanpa gagal dan menekuninya saban hari tanpa gagal. Andai ada keperluan diluar akan disuruhnyalah anak-anak yang ada dirumah memberikan 'friskies' lambak yang disuruh beli dari kedai depan. Berbuat baik pada binatang agaknya lebih kurang cabarannya dari sesama manusia gamaknya. Sesama manusia mungkin akan timbul fitnah yang tidak terfikirkan tapi dengan binatang mungkin pada zahirnya tiada yang mengungkit dan terpulanglah pada hati masing-masing. Apa yang pasti, tiada balasan diterima directly dari kucing yang menagih simpati dan tempat berteduh didalam dunia yang sesama kita menumpang ini.

Selesai mendapatkan keperluan barangan basah, aku mengajak orang rumah ber-breakfast dipasar sahaja. Saja-saja membuat kelainan. Selalunya akan ke Rashid Corner di AMJ diBukit Piatu atau lebih kerap kini ke Duyung menikmati Roti Canai Pak Din, kekadang Mee Rebus Pak Tahir atau lontong ataupun nasi lemak ikut selera ketika itu. Sering aku maklumkan yang top di pasar adalah 'nasi gunting' Hj. Marzuki yang sudah lama terkenal masa ditapak lama pasar besar di Kg. Morten. Perniagaan keluarga ini kemudiannya diambilalih, diwarisi oleh anaknya pula, Hj Awal sebaya dan sama sekolah sejak dari darjah 1 sehinggalah habis SRP ditahun 1979. Hendak tidak hendak ataupun tidak mahu menghampakan, orang rumah menuruti sahaja cakapan abang handsome-nya ini naik escalator ke tingkat satu. Nostalgia mengimbau kenangan masa bersama orang tua menikmati 'nasi gunting' legasi peninggalan arwah Hj. Marzuki tentunya. Apapun mana punya makhluk yang datang dan duduk dimeja sebelah memekak pagi-pagi memutuskan selera makan aku. Tidak habis-habis disebutnya 'musibat alam'. Setiap kali dia menghabiskan perkataan hujahan akhirnya, maka musibat alam-lah penutupnya. Kekadang 'musibat alam' ini menjadi permulaan percakapan as a noun pula. 'Musibat Alam' ni tak fikir ke..., ketika lainnya, dihujungnya... apa punya orang ni... 'musibat alam' betul-lah dia ni. Mungkin inilah cara luahan rasa ketidakpuasan hati golongan marhaen yang kurang selesa dengan pengharaman penggunaan plastik bag ketika berurus niaga. Keyword dari pendengaran rintihan kepada rakan baiknya yang sesama bersarapan dengannya adalah keperihatinan dan alternatif. Tiadanya keperihatinan kepada golongan pengguna akan masalah yang dihadapinya akibat ketidakbenaran penggunaan bag plastik. Apa yang dirintihkan adalah kesukaran dan kurang praktikalnya pengharamannya. Contoh yang ada kebenarannya juga bila mana dia memberi contoh yang agak munasabah juga. Lantang suaranya, 'tak kan lah, beli taugeh 0.50 senpun nak letak atas tapak tangan. Berterabur le jatuh... itupunpun tak boleh nak fikir ke... 'musibat alam' betullah siapa yang punya kerja ni. Bertujai-tujai 'musibat alam' diulang sebutnya sampai membuatkan aku bermuslihat berselfie berlatarbelakangkan mereka untuk diabadikan dalam kenangan hidup aku.

Duyung's Family Store pada  05/04/2014 @ 2:03pm


Lat beberapa hari selepas dipasar, luahan yang hampir sama tapi lebih sikit bersopan pula aku dengari semasa membuat pembayaran di family store duyung. 'Kerajaan... menyusahkan rakyat...' jeritnya dengan kuat sambil meletakkan kotak kosong dikaunter cashier. Jelas laungannya kedengaran memandangkan aku orang yang keempat beratur dibelakangnya. Seorang kakak berperwatakan sopan, bertudung lagi dan dari dressingnya mungkin kakitangan kerajaan pun terlepas keluar imarahnya akan permasalahan yang dihadapi semua orang sekarang ini. Aku sekadar tersenyum melihatkan karenah dan ragam manusia berdepan situasi ini. Even aku sendiripun merasa kurang selesa. Mana hendak dicarikan kotak, bila masa pula hendak senantiasa membawa woven bag andai tetiba saja singgah kedai mendapatkan keperluan. Dari perspektif peniaga pula, memandangkan aku sendiri turut terlibat secara langsung, bahananya banyak. Pelanggan yang sedikit nakal mungkin ada ruang dan peluang untuk mencuri kerana tiada kawalan keatas setiap orang yang memasuki premis niaga terutama yang besar-besar. Mungkin orang yang tidak terlintas langsung akan mengambil kesempatan yang terhidang andai tidak kuatnya jatidiri dan sifat amanahnya. Sehari dua mungkin utuh. Apakah jaminan ianya akan kekal utuh untuk hari-hari mendatang. Terpulanglah pada individu itu sendiri. Apapun mengambil hak orang adalah berdosa. Itu bagi yang maklum. Bagaimana pula pada yang kurang 'alim'. Takut nanti ianya membudaya didalam masyarakat bilamana mencuri adalah sesuatu yang biasa dan normal. Masyarakat pula tidak ambil peduli. Ditakuti juga pihak penguasa buat tidak tahu dan penguatkuasaan undang-undang pula longgar. Maka haru-biru jadinya nanti.

Penetapan dan perlaksanaan setiap polisi dan arahan tentunya untuk faedah bersama. Namun ketiadaan rancangan susulan dalam memastikan perancangan berjalan lancar dan berjaya dan lebih-lebih lagi tidak diperkemaskan dan dipantau hanya membuatkan golongan sasar terpinga-pinga dan hampir-hampir tidak menyelesakan. Off course-lah, kebiasaan yang dilakukan saban hari hendak diubah serta-merta pastinya disanggah andai tidak diterangkan rasional dan perlunya perubahan itu. Tidak tersebarluasnya akan maklumat terpulang balik kepada pihak penguasa yang gagal memaklumkan kepada masyarakat. Pun begitu, ketidakpekaan segelintir dari kita dan ditambah pula oleh cucukan pihak berkepentingan akan melengahkan dan kekadang mungkin mengagalkan terus akan apa jua program yang sepatutnya dan diyakini akan membawa kebaikan kepada semua.

Ingatan kepada pembuat-pembuat dasar yang bijak laksana dan laksini agar lebih berwibawa dan bertanggungjawab dalam membuat apa-apa perancangan. Perlulah dilihat dari pelbagai sudut. Multi dimension dan pastikan segala aspeks diambilkira sebelum memandai menguatkuasakan pengharaman penggunaan bag plastik. Mendatangkan kegusaran kepada masyarakat mungkin hal yang terlepas pandang. Namun bila lambat membuat pembetulan dan lengah menyalurkan alternatif hanya akan menambah lagi rasa marah masyarakat. Bukan setakat 'musibat alam' sahaja yang kini menjadi household name buat orang melaka tapi mungkin lebih hebat dan memalukan semua orang Melayu andai melengahkan demi meredakan keadaan.

Thursday, February 11, 2016

Mengingat-ingatkan

23 JANUARY 2016, 11:56 AM

Setiap kali hendak mencoretkan sesuatu yang melibatkan bahasa arab, semacam ada perasaan yang menggugat. Berbeza apabila menukilkan tentang hal-hal lain yang melingkungi diri. Tidak perlu berkira, tidak hiraukan susunan ayat demi ayat malah hentam sahaja ikut apa yang terlintas difikiran. Tiada juga dibuatkan draf sebelum menulis. Rasa tidak selesa kerap menusuk diri bila ingin menuliskan sesuatu di-folder 'Aku Dan Bahasa Arab'. Ketidakselesaan inilah yang membuatkan entri dibawah sub-tajuk ini ternyata amat sedikit. Entahlah. Namun dikelapangan masa yang hadir sekarang ini memaksa diri untuk lebih fokus dan bertanggungjawab didalam menukilkan didalam entri kali ini.

Bila sering mengulang-ulang baca akan konsep dan tatabahasanya membolehkan diri ini selesa dan tahu akan maknanya serta peranan yang dimainkan didalam sesuatu ayat. Apapun untuk sampai ketahap ini bukanlah sedikit masa diuntukkan malah kesungguhan, keinginan dan kekerapan melihat, membaca serta cuba mengertikan akan apa yang dibacai akan 'Al-Quran' itu dan dengan keizinanNya jualah memungkinkan segala yang dihajati itu bakal diperolehi. Apapun perjalanan hidup kita yang tidak pernah akan tahu hujungnya ini perlukan kita senantiasa dan sebilangan waktu harus membuat apa sahaja kebaikan sebagai bekalan hidup bila disana nanti. Sering juga, aku terfikirkan kenapalah susah sangat untuk mengetahui akan bahasa arab ini tidak sepertimana aku mampu menguasai bahasa inggeris sejak sekolah rendah lagi. Apa yang paling ketara adalah tiadanya pembelajaran bahasa arab semasa ditahun-tahun persekolahan aku dahulu yang bermula seawal 1971. Hanyalah subjek agama yang cuma satu kali sahaja seminggu dan tiada pula subjek bahasa arab diajarkan. Sekolah petang yakni ke sekolah agama 'rakyat' disebelah petangnya dikampung tidak pula orang tua aku daftarkan. Tidak perlu juga aku tanyai mereka masa itu, maklumlah budak lagi. Apa yang pasti mungkinlah faktor masa yang menjadi kekangannya. Balik dari sekolah pagi dibandar dengan van sekolah ketika itu hampir ke 3 petang setiap hari kecualilah untuk hari Jumaat awal-awalpun 10 ke 15 minit lagi azan zohor sampai ke rumah. Sesi persekolahan sekolah agama kat kampung bermula dari pukul 2 petang ke 6 petang. Tidak memungkinkan aku dan adik yang bersekolah pagi dibandar untuk tiba tepat pada waktunya. Keinginan orang tua yang mahukan anaknya ke sekolah inggeris ketika itu tentulah telah diambil kira segalanya sebelum berhasrat mendaftarkan kami di BHES.

Walaubagaimanapun aku amat berterimakasih kepada kedua orang tua aku yang punyai plan menutupi kekurangan ini. Mereka berdua telah berusaha berikhtiar menghantar kami dua beradik berguru dengan Haji Deraman Keling sehingga khatam mengaji. Bukannya sekali tapi berkali-kali khatam 'membaca' Al-Quran. Entri sebelum ini ada aku nyatakan tiada kompromi dalam bab belajar mengaji. Kelebihan dapat membaca dengan baik memudahkan diri ini untuk mengetahui erti dan fungsi setiap perkataan yang disebut. Tidaklah lagi seperti masa zaman bebudak dulu sekadar 'parroting' sahaja. Bila sudah biasa menyebut dan ditambahi dapat mengertikan akan apa yang diucapkan, terasa kelainan dan 'keajaiban' atau miracle yang kerap diucapkan Bro. Mehereli benar-benar dihayati.

Kita telah dibiasakan dengan dimaklumkan akan jumlah juz, jumlah surah dan serta jumlah keseluruhan ayat Al-Quran. Mungkin sebilangan besarnya diantara kita sudah lama mengetahuinya. الحمد لله، secara majoritinya kita boleh memberikan jawaban pantas serta tepat keatas soalan trivia sebegini. Kini pula dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih, jumlah perkataan dan jumlah huruf keseluruhan al-quran diketahui. Begitu jugalah dengan kekerapan sesuatu perkataan 'appeared' juga mampu direkodkan. Makluman sedemikian amat berguna bagi mereka yang tahu serta peripentingnya sesuatu perkataan dalam konteks ayat yang dibaca. Lebih banyak ianya diulang-ulang, bukankah ianya mengambarkan peranan dan fungsi yang harus terpahat kejap diingatan. Namun kalau sekadar tahu serta ingat jawabannya sahaja belum boleh lagi dikatakan yang seseorang itu telah 'well-verse' akan al-quran.

Banyak perkara lagi yang harus kita lakukan demi tanggungjawab dan hak  keperluan al-quran. Apakah tanggungjawab yang harus disempurnakan dan apakah kita benar-benar tahu dan mengerti sesungguhnya akan hak-hak terhadap al-quran ini. Pernahkah kita terfikirkan yang sembahyang yang kita laksanakan seharian dan sepanjang masa sejak balighnya kita sehinggalah habis hayat nanti dilafaz dan diulang-ulang menggunakan bahasa yang universal. Orang Arab melafazkan bacaan didalam bahasa Arab. Orang Barat samada di Amerika(termasuk Latin) mahupun di Eropah juga harus berbahasa arab. Malah disetiap ceruk dan pelusuk duniapun, bahasa arablah yang harus digunakan didalam solat. Adakah orang Asia pula dibenarkan menggunakan bahasa selain dari bahasa arab, misalnya mandarin ke, tamil ke, tagalog ke atau bahasa ibunda kita iaitu bahasa melayu yang pernah dicuba oleh pemimpin kita yang amat brilliant satu ketika dulu bertukar menjadi bahasa malaysia dengan beralasan sebagai bahasa muhibbah negara kita ini.

Reason kenapa kalimah yang dilafazkan dalam solat perlu didalam bahasa Arab sahaja dan tidak dalam bahasa-bahasa lain yang lebih banyak penuturnya, rasanya tidak perlu dipolemikkan. Komunikasi langsung dengan Junjungan kita, manusia yang dimuliakan dan diangkat sebagai kekasihNya tentulah dengan bahasa yang difahami. Kita pula, umat akhir zaman, apa hak hendak persoal dan pertikaikan. Tiada ruang untuk sangsi malah harus pula patuh sepenuh hati. Sebenarnya Mukjizat yang diterima oleh Muhammad S.A.W. ini amat perlu sebenarnya kita menghayati dan mengaplikasikan didalam kehidupan seharian. Al-Quran yang ada ditangan kita sekarang ini adalah merupakan dailog keatas Nabi besar kita dengan perantaraan Jibrail, tidak sedikitpun berubah dari mula-mula diperturunkan sehinggalah kehari ini. Dari sebanyak 78000 perkataan yang sebahagian besarnya berulang-ulang membentuk 6666 ayat, dihimpunkan pula didalam 114 surah dan diaturkan menjadi 30 juz demi memudahkan orang-orang diakhir zaman mentaati. Rasanya semua orang mampu membacanya andailah itulah yang dimahukan. Amat malanglah buat sesiapa juapun yang waras fikirannya serta selesa kehidupannya tapi masih tidak mampu sekurang-kurangnya memahami apa yang dibacai, jauhlah lagi untuk mendapatkan ikhtibar tentang apa yang disebut berulang dan senantiasa pula. Bagi yang tahu membaca serta lancar sebutan masih juga belum boleh lagilah dikatakan telah lengkap tanggungjawab diri terhadap 'Kitabul-Allah' ini. Betulkah pemahaman akan apa yang dibaca. Sudahkah atau mampukah melaksanakan setiap yang difirmankanNya. Sejauhmana pula keyakinan kita meyampaikan, memaklumkan, menunjukkan dan memperbetuli setiap apa jua yang terpesong dan tersasar jauh dari yang sepatut diperbuat dan diperlakukan oleh masyarakat andai terasa diri sendiri telah melaksanakan serta mengaplikasikan setiap yang diperintahkanNya.

Tanggungjawab Setiap Muslim



Maka, haruslah seluruhnya kita bergerak cepat lagi pantas membudayakan al-quran pada diri serta mereka yang dilingkungan. Moga usaha yang tidak kenal jemu dan bersungguh sahaja akan menghasilkan sesuatu yang baik dan mungkin juga sesuatu yang tidak terfikirkan akan terhampar didepan kita suatu hari nanti. 

Insya-Allah.