Friday, August 22, 2014

Pandangan dari jauh



Hari ini seluruh warga negara yang agak-agak permai ini dipinta untuk bertafakur seminit lamanya di dalam menghormati ketibaan jenazah mangsa MH17 yang diterbangkan khas dari Amsterdam. Sebelum semua program yang telah dilangsungkan dan kemudiannya dimaklumkan pada umum, info telah diwar-warkan ke seluruh negara mengenai ketibaan dan aturcara yang dirancang. Keterlibatan semua warga ditagih agar terujudnya kesepakatan. Simpati mudah diperolehi dan dihadirkan. Kesedihan juga cepat menyelinap. Namun berat mana semua mata yang memandang, yang memerhati dan lebih lebih lagilah yang sekadar menjeling sahaja pasti tidak sama beratnya kepada mereka yang telah ditakdirkan menanggung bebanan. Hakikatnya, orang luar sekadar cuba merasai serta menginsafinya yang mungkin untuk seketika sahaja. Betapa sayunya hati buat mereka yang punyai kaitan dengan mangsa tragedi, terganggunya perasaan kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi menjelang 10 hari sahaja lagi menjelang lebaran. Trajisnya peristiwa ini sememangnya tiada siapapun yang meminta. Takdir, tiada siapa yang menduga. KetentuanNya mengatasi segala.

Ketika sedang menonton laporan di 'Buletin Utama', aku teringat kembali bagaimana aku mengetahui peristiwa hitam ini. Masa itu selepas balik berterawikh dalam kurang lebih ke pukul 11:00 malam, terus minta orang rumah sediakan 'black coffee' sambil menyandar di sofa mengadap TV. Program TV pula sibuk menyiarkan kisah cinta berepisode yang banyak meminta penonton turut berkongsi masalah cinta yang dilakonkan oleh pembawa watak yang diarahkan sang pengarah. Pertengahan puasa diketika itu seharusnya diperhebatkan amalan tapi pihak-pihak yang berkepentingan lebih kearah hiburan yang melekakan. Bertentangan serta tidak sensitif dengan situasi ber-Ramadhan. Capai sahaja 'tab' dan terus menyusuri laman blog mengintai catatan terbaru para blogger yang disetkan. 'Mas ditembak jatuh', 'MH17 being shot down' serta beberapa lagilah blog yang merujuk kepada peristiwa itu. Akupun tanyailah orang rumah. Tahu tak sebijik lagi kapalterbang Malaysia kena 'kacau'?. Entahlah bang, mana Edah tahu, lemah aje jawapannya. Maklumkan pada dia, itulah asyik tengok dan ikuti masalah cinta orang aje sampai berita terkinipun tidak tahu. Komentar spontannya ketika membacakan laporan dari blog, 'Najib sejak jadi PM..... macam macam hal berlaku.' Aiik !, kesitu pula dia. Jangan cakap tak tentu, nanti kena cili mulut tu....' , aku sekadar mengingatkan. Kemudian bertubi-tubi pula pertanyaan diajukan, bila, kat mana, macammana, siapa tembak, berapa mati. Yang pasti, 'eager' benar hendak tahu sampai terganggu pembacaan aku melayannya.

Aku ada membuat sedikit catatan setelah mengetahui kejadian pada 17 Julai bersamaan 19 Ramadhan 1435H. Ketikanya hendak memasuki 10 malam terakhir kita digemparkan dengan berita yang menyedihkan bagi warga negara dan tentu sekali memilukan waris mangsa. Namun aku tidak berhasrat meng-upload ketika itu namun tersimpan kemas berpassword lagi didalam 'Dairo' journal aku.

Sedutan coretan dibawah tajuk, ' Alangkah .....'

' Didalam setiap kejadian yang telah berlaku, tidak kiralah yang biasa-biasa ataupun yang tidak pernah dialami sebelumnya pasti akan menimbulkan pelbagai kemungkinan. Kurangnya usaha, kurangnya perhatian atau mudah cakapnya tiada ambil kisah mengakibatkan sesuatu hal itu terjadi. Memang sesuatu yang berlaku adalah yang telah ditakdirkan. Sebagai manusia pastinya tiada apa-apa dayapun untuk menahan apatah lagi menolak sesuatu yang tidak diingini atau yang tidak disukai. Malah untuk keesokkan harinyapun, tiada seorang mampu menelah akan apa yang pasti dihadapi serta lalui. Namun kita sering meluahkan kekesalan bila perkara yang telah berlalu dikenang-kenangkan lebih lebih lagilah yang bertahun lamanya berlaku. Kekesalan akan menjadi-jadi serta membarah dalam diri bila mengimbau kembali peristiwa lama yang trajis ke, yang hitam ke dan yang mengubah terus rutin perjalanan hidup seharian. '


za642 - harapan buat semua waris mangsa, bersabarlah didalam menempuh dugaan. 

Wallahualam.

No comments: