Sunday, August 31, 2014

Hari Merdeka ... merdekakah diri?


Lama menunggu, kebosanan pula menerjah ....


Hari merdeka .... merdekakah diri ?

Hari ini adalah hari kemerdekaan negara. Kemerdekaan yang diulang sambut buat kali ke 57. Bagi yang mungkin tidak mengingati, senang-senang sahaja dichopkan ’tidak patriotik’ oleh mereka yang merasakan dirinya bagus  sangat, tarikhnya adalah pada 31/08/1957. Kemerdekaan yang dipulangkan British setelah bijak pandir di zaman ’merayu’ minta dimerdekakan banyak menimbulkan tanda tanya(?). Siap pula diberikan pilihan untuk memilih tarikh yang sesuai, yang ada ’ong’, yang disepakati bersama. Manakala pihak British dengan rela hati menyetujui tanpa perlu bertanya. Kepelikan, kehairanan dan kesangsian yang amat ketara pada negara yang semakin merojakkan ini adalah cara bagaimana kita dimerdekakan. Tatkala
negara negara serantau berjuang berperang untuk merdeka, kita pula ’dare to be different’. Pukul canang keseluruh pelusuk negara berbangga memberitahu pada umat Melayu yang kita ’merdeka’ secara perundingan sahaja. Lebih dikenali sebagai ’Perjanjian meja bulat’. Dibandingkanlah dengan negara lain yang lebih awal merdeka, seolah-olah mengejek, dengan menggunakan buluh runcing, bermusuh dan berbunuhan dengan penjajah, tidak rela memerhati apa sahaja yang berbaur penjajah demi maruah negara, katanya.

Kejayaan merupakan kemuncak. Namun kesungguhan hasrat, kegigihan usaha, kesepaduan tindakan dan kesepakatan rancangan serta keupayaan mengatasi ancaman, ugutan, hasutan dan segala bagai untuk menggagalkan kebulatan tekad adalah ciri-cirinya buat bangsa merdeka. Sejarah membuktikan. Peristiwa yang berlaku punyai tafsiran berbeza.

Melihatkan ’parade’ atau perbarisan kemerdekaan yang disiar-langsungkan pagi ini punyai perspektif berbeza pada penonton. Mereka yang baru kenali hidup tidak akan merasai apa yang benar benar dirasai oleh insan yang berada di zaman sebelum merdeka. Kegagalan menghayati budak-budak era lepas merdeka mengenai hal ehwal dan perihal kemerdekaan sememangnya bersebab. Manakala maklumat yang disalurkan kepada generasi ini bukanlah menyeluruh. Maklumat yang ditapis dan terpilih sahajalah yang dimaklumkan. Apa sahaja yang mungkin menimbulkan kecurigaan, kepelikan dan keganjilan seboleh mungkin disimpan serapat-rapatnya dari diketahui. Malah mungkin segala bukti mahupun tanda-tanda yang boleh menyuluh atau membongkar rahsia dipadam, dimusnah, dipinda serta ditambah dan diandaikan agar menjadi suatu hal yang pasti benar jadinya. Sejarah tidak pernah membohongi sesiapa. Apa sahaja yang terjadi berpunca dari tangan-tangan yang mengolahnya. Rentetan peristiwa sehinggalah dikatakan sampai ke ’hari kemerdekaan’, kedapatan amat terlalu banyaknya kebetulan. Kebetulan yang dirancangkan atau sememangnya kebetulan yang ditakdirkan perlukan seseorang yang mampu menghidu event-event yang terjadi. Pembongkaran sejarah yang melihatnya dari dimensi yang berlainan mampu memberi kecerahan pandangan pada ’kemerdekaan’ itu sendiri yang punyai banyak sisi gelapnya dari sisi terangnya. Persoalannya, beranikah kita menyingkap sejarah yang selama ini telah didodoikan dan dilagukan serta telah meresap kejap diminda generasi sekarang. Proses kehidupan berjalan terus. Tiada masa buat golongan lepas merdeka memikirinya. Mengenang, apatah lagi merintih akan ketidakupayaan memandang jauh kehadapan oleh mereka yang diwakilkan untuk dikembalikan kemerdekaan yang kononnya diragut oleh penjajah ’terakhir’ secara penuh muslihat, hanyalah menyerlahkan kebodohan yang selama ini diketahui penuh rahsia oleh penjajah. Perwakilan berunding dengan British adalah diterima dari mereka yang ada kecenderungan untuk bersepakat, manakala yang mungkin menimbulkan masalah serta yang mungkin merugikan mereka diketepikan terus tanpa sebarang sebab. Apakah satu kebetulan bilamana anggota penting KMM ditahan sedangkan 3 beradik berlainan ibu dan berlainan bapa pula katanya(Perikatan)dimanjakan dan disuruh berpakat berbaik-baik sebelum meninggalkan ’legasi’ keberadaan mereka dibumi yang banyak dijarahinya.

Menjadi kepelikan bila burung tempua bersarang rendah. Sepanjang usia aku yang pastinya bertambah saban tahun dan ketikanya bebudak lagi jarang benar terlihatkan sarangnya dipohon yang rendang. Kebiasaan yang umum mengetahui akan tabiat burung ini yang sukakan privasi sesama mereka(maklumat ini kena google-lah) dan menyendiri berbangga. Apakala bersarang rendah, tentulah ada muslihat dan bersebab. Maka, tiga beradik ’sepusat sepusing’ ini telah digulakan dan tanpa sedar atau buat-buat tidak perasan, rela pula digulaikan. Apa tidaknya, tatkala India, Indonesia serta negara serantau lainnya menolak ’immigrant’, kita disebabkan telah terikat dek perjanjian, mendepangkan tangan serta berlapang dada menerima golongan ini sebagai saudara pula.

Pelik lagi menghairankan.


Searah pandangan - terpegun atau terkilan?

Mungkinkah '3' menyampaikan hujung tahun nanti
zaini642 - mengadahlah kita ke-langit, bukan setakat berbangga dengan jet pejuang sebagai tontonan, tapi tetaplah berjuang demi maruah bangsa yang selalu sahaja diperlekehkan oleh mereka yang diibaratkan melepaskan 'anjing' yang tersepit angkara penjajah. Kini kita pula hendak 'digigitnya'.

Friday, August 22, 2014

Pandangan dari jauh



Hari ini seluruh warga negara yang agak-agak permai ini dipinta untuk bertafakur seminit lamanya di dalam menghormati ketibaan jenazah mangsa MH17 yang diterbangkan khas dari Amsterdam. Sebelum semua program yang telah dilangsungkan dan kemudiannya dimaklumkan pada umum, info telah diwar-warkan ke seluruh negara mengenai ketibaan dan aturcara yang dirancang. Keterlibatan semua warga ditagih agar terujudnya kesepakatan. Simpati mudah diperolehi dan dihadirkan. Kesedihan juga cepat menyelinap. Namun berat mana semua mata yang memandang, yang memerhati dan lebih lebih lagilah yang sekadar menjeling sahaja pasti tidak sama beratnya kepada mereka yang telah ditakdirkan menanggung bebanan. Hakikatnya, orang luar sekadar cuba merasai serta menginsafinya yang mungkin untuk seketika sahaja. Betapa sayunya hati buat mereka yang punyai kaitan dengan mangsa tragedi, terganggunya perasaan kehilangan orang tersayang lebih-lebih lagi menjelang 10 hari sahaja lagi menjelang lebaran. Trajisnya peristiwa ini sememangnya tiada siapapun yang meminta. Takdir, tiada siapa yang menduga. KetentuanNya mengatasi segala.

Ketika sedang menonton laporan di 'Buletin Utama', aku teringat kembali bagaimana aku mengetahui peristiwa hitam ini. Masa itu selepas balik berterawikh dalam kurang lebih ke pukul 11:00 malam, terus minta orang rumah sediakan 'black coffee' sambil menyandar di sofa mengadap TV. Program TV pula sibuk menyiarkan kisah cinta berepisode yang banyak meminta penonton turut berkongsi masalah cinta yang dilakonkan oleh pembawa watak yang diarahkan sang pengarah. Pertengahan puasa diketika itu seharusnya diperhebatkan amalan tapi pihak-pihak yang berkepentingan lebih kearah hiburan yang melekakan. Bertentangan serta tidak sensitif dengan situasi ber-Ramadhan. Capai sahaja 'tab' dan terus menyusuri laman blog mengintai catatan terbaru para blogger yang disetkan. 'Mas ditembak jatuh', 'MH17 being shot down' serta beberapa lagilah blog yang merujuk kepada peristiwa itu. Akupun tanyailah orang rumah. Tahu tak sebijik lagi kapalterbang Malaysia kena 'kacau'?. Entahlah bang, mana Edah tahu, lemah aje jawapannya. Maklumkan pada dia, itulah asyik tengok dan ikuti masalah cinta orang aje sampai berita terkinipun tidak tahu. Komentar spontannya ketika membacakan laporan dari blog, 'Najib sejak jadi PM..... macam macam hal berlaku.' Aiik !, kesitu pula dia. Jangan cakap tak tentu, nanti kena cili mulut tu....' , aku sekadar mengingatkan. Kemudian bertubi-tubi pula pertanyaan diajukan, bila, kat mana, macammana, siapa tembak, berapa mati. Yang pasti, 'eager' benar hendak tahu sampai terganggu pembacaan aku melayannya.

Aku ada membuat sedikit catatan setelah mengetahui kejadian pada 17 Julai bersamaan 19 Ramadhan 1435H. Ketikanya hendak memasuki 10 malam terakhir kita digemparkan dengan berita yang menyedihkan bagi warga negara dan tentu sekali memilukan waris mangsa. Namun aku tidak berhasrat meng-upload ketika itu namun tersimpan kemas berpassword lagi didalam 'Dairo' journal aku.

Sedutan coretan dibawah tajuk, ' Alangkah .....'

' Didalam setiap kejadian yang telah berlaku, tidak kiralah yang biasa-biasa ataupun yang tidak pernah dialami sebelumnya pasti akan menimbulkan pelbagai kemungkinan. Kurangnya usaha, kurangnya perhatian atau mudah cakapnya tiada ambil kisah mengakibatkan sesuatu hal itu terjadi. Memang sesuatu yang berlaku adalah yang telah ditakdirkan. Sebagai manusia pastinya tiada apa-apa dayapun untuk menahan apatah lagi menolak sesuatu yang tidak diingini atau yang tidak disukai. Malah untuk keesokkan harinyapun, tiada seorang mampu menelah akan apa yang pasti dihadapi serta lalui. Namun kita sering meluahkan kekesalan bila perkara yang telah berlalu dikenang-kenangkan lebih lebih lagilah yang bertahun lamanya berlaku. Kekesalan akan menjadi-jadi serta membarah dalam diri bila mengimbau kembali peristiwa lama yang trajis ke, yang hitam ke dan yang mengubah terus rutin perjalanan hidup seharian. '


za642 - harapan buat semua waris mangsa, bersabarlah didalam menempuh dugaan. 

Wallahualam.

Thursday, August 14, 2014

Memeriksa Kedudukan Kewangan selepas Raya

14 AUGUST 2014, 07:51 AM
Hari ini aku kembali bercuti mingguan dan untuk 'entah' kali yang keberapa tidak penting untuk dikira waktu sebegini. Tapi apa yang lebih utama diketahui dan amat perlu pula ditangani atau atasinya adalah keadaan kewangan yang makin meruncing. Sejak tahun 2013 lagi telah diazamkan pada diri untuk "bebas hutang" menjelang atau sebaik sahaja memasuki tahun 2014. Akan lebih manis lagi untuk tahun ini bila sampainya 02 Februari, aku melepasi usia 50. Wargatua atau usia emas seperti yang diistilahkan. Kehidupan mungkin akan lebih bermakna serta tenang kerana tidak lagi berserabut memikirkan soal hutang dan mungkin bebas memilih corak perjalanan kehidupan. Ketikanya bebas membuat aktiviti yang selama ini dihajati. Masanya keinginan diri dipenuhi. Sampainya diri ke tempat yang sejak kecil lagi ingin dilawati dan pelbagailah lagi aktiviti lain yang mungkin menyinggahi diri untuk turut sama merasai serta mengalaminya. Namun, hasrat dan impian yang tersimpan kemas dihati, jarang benar selari dengan hakikat yang berlaku. Kerap yang tidak diingini pula yang terjadi. Keinginan yang disembunyikan dalam diri terasa makin lama makin pudar dari ingatan apatah lagi diusia yang sebegini dengan daya ingatan yang perlahan lahan mula menurun maka tidak mustahil segala yang diimpikan mungkin akan terus lenyap sama sekali.

Sejak 3 Syawal 1435H lagi, aku telah mulai membaca autobiograpi Abang Jimmy Buffett yang bertajuk, 'A Pirate Looks at Fifty'. Seorang warga amerika yang menceritakan kisah kehidupannya dari usia kecilnya sehingga mencapai usia 50an. Banyak aktivitinya dimuatkan di dalam bukunya ini yang mungkin membangkitkan keinginan yang sama pada pembaca terutama sekalilah diri aku ini. Betul benarnya penulisannya itu atau berapa banyak sekalipun penambahan cerita sekadar hendak 'exaggerated' agar menjadi lebih menarik bukanlah menjadi persoalan. Pandai pandailah pembaca menilainya dari konteks masa dan zaman.

Excerpt dari coretannya  dibawah tajuk, 'Happy Birthday to Me' pada permulaan perenggan itu dia mencoretkan ...


During my forty-ninth year, I spent a lot of time thinking about what to give myself for my fiftieth birthday. Reaching this landmark was a shock to a lot of people, including me. What immediately came to mind was a trip around the world.'

Apapun aku tertarik dengan unjurannya yang boleh disesuaikan pada diri yang telahpun melepasi angka 50. List atau senarai rancangan yang ingin dilakukannya sebaik berusia 50 amat aku cemburui. Banyak masa diperlukan serta banyak wang yang dibelanjakan semata-mata untuk memenuhi apa yang direncanakan. Tentu sekali banyak usaha yang dilakukan, banyak tenaga yang digunakan serta banyak masa diuntukkan di usia mudanya di dalam pengumpulan dana untuknya 'enjoy bergumbira' di usia emasnya kini.

Abang Jimmy ini sekarang sudahpun berusia 66 tahun dan kebetulan seusia dengan abang long aku yang lahir pada 06/09/1946. Data yang diperolehi dengan meng-google menyatakan yang dia lahir pada 25th December, 1946 atau masa sambutan Chirtsmas tu. Tiada penyesalan dirasai bagi dirinya kerana telah menikmati sepenuhnya kehidupan yang beliau paksakan pada diri pada penilaian aku. Manakala aku di usia yang setaranya nun jauh di Bukit Katil ini masih terkial-kial memenuhi keperluan asas kehidupan. Berbeza sekali antara aku dan dia. Nasib orang begitulah. Apapun hidup perlu diteruskan. Segala dugaan dan rintangan perlu dihadapi. Tidak perlu merintih apatah lagi menangisi. Berusaha dan berikhtiarlah agar hidup lebih bermakna sebelum dijemput pulang.

Kedua-dua gambar ini menceritakan...., sebelum dan sesudah keluar 'break' di kantin pada petang Selasa 12/08/2014. Berselera nampak... Biasanya minum petang dikantin pi pekena nasi paprik, tom yam atau kekadang ke Windmills dan menjengah juga ke Old Town atau tidak tidakpun di food court dengan menu chicken chop atau nasi briyani. Nampak gayanya kena adjust sikit, kalau tak .... parah.
Tengah menikmati minum petang, mee mamak dengan kopi 'O'
Tak sampai 10 minit, habis... licin licau.

za642 - kesian pada Robin Williams yang 'membunuh' diri di usia ke 63 akibat syndrome kemurungan yang dihadapinya pada Isnin 11 August 2014. Lebih lanjut kena googlelah. Pelakon komedi yang berjaya menghibur khalayak tapi gagal menghibur dirinya sendiri.