Pejam celik pejam celik sudahpun 22 haribulan. Nasib baiklah tidak pejam terus. Esok, mungkin lusa ataupun mungkin juga tulat mahupun langkat aku bakal di'panggil' balik. Tiada ketepatan waktu yang diberikan, namun sesuatu yang dihidupkan sudah pastinya akan tiba ketikanya nanti dimatikan pula. Kenyataan umum yang sering dilafazkan orang, 'Hidup lawannya mati'. Tiada sesiapapun yang berani menafikan statement ini samada orang itu bodoh sebodoh-bodohnya apatah lagi yang pandai sepandai-pandainya. Tidak pernah pula terdengar, terbaca mahupun terlihat satu makhluk yang mempertikaikan atau menjadikan hal hidup mati ini suatu perbahasan atau polemik. Secara semulajadinya proses hidup dan mati dihadapkan kepada semua malah semua orang melaluinya. Ada yang baru hendak mengenal dunia telah dijemput pulang. Lebih mengharukan lagi belumpun sempat berada dialam dunia dan masih lagi diperut ibunya telah diselamat-kembalikan ke rahmatu allah (رحمةالله). Diusia kanak-kanak dan diusia remaja juga tidak terkecuali. Mana yang telah ditentukanNya pastinya tidak mampu mengelak dan kematian diperingkat usia sedemikian menurut pandangan umum adalah sesuatu yang tidak terduga katanya. Bagi yang telah dewasa serta telah melengkapkan putaran hidup(life cycle) sepatutnyalah memanjatkan kesyukuran kehadrat illahi. Bersedialah menghadapi kematian yang pasti akan mengunjungi diri. Persiapan diri untuk mati amat berbeza sekali antara seseorang dengan seseorang yang lain. Yang faham begini dilakukan, yang kurang mengerti begitu pula yang dibuatnya malah ada juga yang tidak kisah dengan mengambil pendekatan yang jauh menyimpang dari yang sepatut dan seharusnya.
Kepelbagaian serta tiadanya keseragaman menunjukkan longgarnya ikatan keagamaan diantara sesama. Siapakah yang perlu disalahkan bilamana setiap orang yang akil baligh, segala tindak tanduknya, baik buruk perlakuannya dan tuturkatanya perlu menanggungnya sendiri akan dosa dan jika baik pekertinya maka akan meraih pahala pula nantinya. Tiada seorangpun yang lahir lahir sahaja telah mengetahui segala sesuatu. Semuanya bermula dari 'kosong'. Pengisian ilmu dan penerapan ilmu serta pengamalan ilmu yang diterima itu memerlukan sokongan semua pihak dan pada setiap peringkat. Membiarkan individu individu tertentu sahaja untuk melaksana serta memantau amat tidak patut.
Apapun skrip cerita bukannya kita yang membuatnya tapi Allah s.w.t. Digambarkan kita hanyalah pelaku yang melakukan watak yang diserahkan kepada kita sebagaimana kisah yang pernah terjadi dahulunya untuk panduan dan telahpun dirakamkan didalam kitab allah @ al quran. Malasnya kita untuk membaca serta memahamkannya amatlah mengecewakan. Segala apa yang terjadi di akhir zaman ini merupakan kisah-kisah kitar semula yang telah dinyatakan. Bukannya hendak promosi tetapi sekadar memaklumkan bagi mereka yang kurang kepekaannya pada bab agama agar kembalilah menatap, membaca, memahamkan serta mempraktikan malah kalau mampu mengajari orang lain akan segala isi kandungan al quran.
Kitab didalam bahasa arab, book didalam bahasa inggeris dan buku pula istilahnya didalam bahasa melayu. Orang kita amat memandang mulia pada hal yang bersangkut paut dengan agama. Malah kita mengasingkan agama ke satu tempat yang tinggi. Hal ini amat membanggakan. Namun setakat memandang tinggi sahaja amat tidak mencukupi kalau tiada pemahaman yang menyeluruh.
Misalnya, meletakkan nama anak yang berbaur arab/islam agar kononnya nanti akan mendatangkan aura yang baik.
Persepsi yang positif sifatnya namun jika kurangnya penghayatan apalah erti semuanya itu. Pernah mendengar atau mengingati nama 'Rahmat Satiman' yang disabit kesalahan bersubahat membunuh Datuk Mokhtar Hashim(awal tahun 80an) dan bagaimana pula kematian Datuk Abdul Aziz Mohd. Noh(64) serta Siti Rohana Ismat(43) yang sehingga kini tiada diketahui siapa pembunuh dan yang dibunuh(kisah didalam Toyoto Caldina diawal 0gos 2010). Malah Ketua Polis Selangor masa itu telahpun menjadi Ketua Polis Negara dah kini. Dari pangkat datuk dah bertukar ke tan sri pulak buat khalid bin abu bakar namun kes tidak selesai lagi. Ingatkan yang bersimpul telah terurai, nampak gayanya makin terbelit. Rahmat bermaksud 'yang mengasihani', abdul aziz pula, 'hamba kepada yang perkasa' bila diterjemahkan secara lateralnya. Ini baru dua contoh sahaja yang terkenangkan in split second, malah banyak lagi nama-nama yang melucukan serta mungkin mengaibkan pemilik nama yang pada fikiran ibu dan bapanya amat islamic serta cool. Jamal, Haroon, Haikal, Jariah, Jamiah, Siti Hajar, Firdaus, Jannah dan banyak lagilah.
Apapun, kurang dari 10 hari sahaja lagi dan kalau diizinkanNya, meter usiaku akan bertukar ke 50. Namun putaran hidupku belum menemui titik akhirnya walaupun telah melalui zaman bayi, kanak-kanak, remaja serta sedang mengharungi alam dewasa dan selagi diberikan kesempatan maka perlulah aku pergunakan sebaik dan sebagus mungkin. Gelaran anak sudah aku miliki diawal 60an, gelaran suami juga telah diterima pertengahan 90an dan setahun kemudiannya mendapat title ayah pula. Cuma yang belumnya adalah gelaran datuk yang entah bila akan diterima. Samada sempat ataupun tidak, bukan itu yang perlu aku risaukan. Apa yang lebih perlu dan lebih patut dirisaukan adalah cukupkah bekalan ke sana nantinya. Perlu sentiasa meminta dan terus meminta approvalNya disamping melaksanakan segala amal yang makruf serta menjauhi yang mungkar kerana hanyalah لا حول ولا قوة الا باالله
ان شاء الله.
No comments:
Post a Comment