Monday, September 23, 2024

23 haribulan

23 SEPTEMBER 2024, 13:31

Tibanya tarikh ini setiap bulan, menjadi keutamaan untuk jelaskan ansuran Alza. Sejak 2 bulan yang telah berlalu ini, anak aku telah dahulukan pembayaran untuk July dan August. Hari ini merupakan ketiga kalinya. Belum ada lagi perkhabaran darinya yang kini bermastautin di Tampoi.


Aku berharapkan yang dia ingat akan keperluan membuat bayaran ansuran. Untuk memaklumkan secara terus mungkin akan serabutkan lagi suasana hendak menyesuaikan diri ditempat baru. Ikutkan, hari ini adalah hari pertama dia 'keluar' bekerja ke Infineon Singapore tanpa sesiapapun mengiringi kepergiannya ke sana. Aku berharap segalanya berjalan lancar. Tiada masalah besar yang melengahkan. Terhindar juga dari hal remeh yang sepatutnya dapat dielakkan. Apa yang paling pasti semoga sampai ke destinasi 'on time'.


Diketika detik ini 13:40pm, aku sudah 'standby' back-up. Sekiranya dia tidak membuat transaksi secara online dan whatApps aku slip pembayaran, aku akan personally transfer. Segalanya bergantung sehingga habis hari ini. Bank ni pulak tiada kompromi. Kalau tarikh tertentu kena jelaskan ansuran, maka jangan berlengah lagi. Lewat sehari pun kena 'denda' RM5.00. Tidak berbaloi. Sudahnya dasar peminjam, apa sahaja yang dipinta diarah kenalah turuti. Peminjam adalah atas ehsan pihak pemberi pinjaman.

.

Sebab itulah bukan boleh suka suka hendak meminjam. Sedapat mungkin cuba elakkan dari terjebak. Pengalamanlah yang menyimpulkan. Terpulanglah. Hendak merasa bahangnya berhutang maka teruskan. Namun nasihat aku kepada mereka yang tidak selesa berhutang, syabas aku ucapkan. Menghindarkan diri dari dibeliti hutang menunjukkan yang anda berprinsip orangnya. Bebas mencatur kehidupan mengikut kemahuan sendiri.


Aku amat terkilan seolah bersalah menyuruhnya menyambung ansuran yang berbaki dalam RM19K. Tapi tawaran aku ini tidak mungkin mampu ditolaknya. Cuma berbaki dalam 2 tahun sahaja dan aku istiharkan yang Alza yang digunapakai ini akan menjadi milikinya. Meaning that jentera yang sudah berusia 7 tahun ini, nama di geran akan bertukar.

 

Mengintai dari verandah


Bagi aku, cuma telahan aku sahaja, mungkin dia dalam terpaksa harus menerima cadangan aku. Tentulah janggal dan keterlaluan berkira dengan bapa kandung sendiri. Mungkin juga dia terlebih maklum yang aku tidak lagi berpendapatan. Dan atas rasa tanggungjawab sebagai seorang anak, memikul menggalas keperluan keluarga seolah terletak dibahunya selaku anak lelaki kedua dalam keluarga.


Aku tidak berani menjangkakan apa yang akan terjadi dimasa terdekat nanti. Kita sekadar harungi rentak kehidupan yang perlu dijalani. Memikirkan dan merisaukan sesuatu yang belum tentu jadi tidaknya cuma membuatkan kita 'hilang' semangat. Perancangan kita tidak mampu mengatasi perancangan Allah swt. Biar baik biar buruk yang akan kita hadapi mengikut pertimbangan kita, tapi apa yang berlaku nantinya adalah atas ketentuanNya. Yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa tentulah perancanganNya adalah yang terbaik bermaksud berbanding apa yang kita rancangkan.


Semoga apa yang aku risau dan bimbangi tidak terjadi. Aku tidak expect sesuatu yang 'big' untuk berlaku. Cukuplah sekadar perkara yang aku beri perhatian ini iaitu ansuran bulan September dilunaskan mengikut jadual. Bagi aku hutang tidak boleh buat main main. Ianya merupakan bebanan tanggungan yang sengaja dipinta. Bak kata pepatah pujangga, tangan yang mencencang bahu sendirilah yang memikul. Takkanlah mengharapkan orang lain pula. Apa kejadahnya perangai macam ini. Memang tidak 'gentle' kalau begitu.


Luahan ini harapnya dapat redakan keresahan yang melanda. Ameen.

Monday, September 2, 2024

Nilaikan

02 SEPTEMBER 2024, 01:01

Nilaikan 

Terpulanglah. Aku tidak memaksa. Luahan rasa hati aku di dinihari ini dibuat semata mata mahu melepaskan keresahan bilamana mengetahui seorang demi seorang dari rakan kampong, rakan sepermainan dan juga rakan sekolah sebaya lagi telah dijemput pulang. Kepulangan pula di detik yang tidak semua orang sangkakan. Tiada sakit tiada tanda tanda derita yang terzahir namun tetiba menerima berita menyedihkan dan tentu sekali amat mengejutkan. Memanglah kematian akan menjengah keatas semua insan yang bernyawa. Tiada sesiapapun yang berani menyangkalnya. Tidak kiralah apa pangkat dan jawatan yang disandang. Samada orang kebanyakkan atau terlalu berpengaruh dalam masyarakatnya dan bila diajukan mengenai kematian maka semua kita akan mengelak memperkatakannya. Ikut logik akal manusia, mungkin tiada sesiapapun yang mahu ambil tahu akannya. Misteri buat semua yang hidup. Ini adalah hakikat yang harus diterima. Secara lumrahnya memang kitapun tidak suka memikirkan tapi bagi mereka yang tahu benar benar faham, memperkatakan soal mati dan kematian dan senantiasa mengingati mati adalah yang utama dalam kehidupannya. 

Memang sukar hendak melelapkan mata. Nasib dan ajal mereka yang amat amat aku kenali telah sampai ke penghujungnya. Cara dan detik kematian mereka memang tidak tersangkakan. Kita tidak faham dan tidak akan faham kalau masih leka dengan permainan dunia. Biarpun telah diingatkan yang dunia ini adalah tidak kekal sepertimana kehidupan di akhirat nantinya namun masih tetap mengutamakan 'keseronokan' dunia yang melekakan. 

Pertembungan 'nafsu' dan perlunya mentauhidkan Allah swt amat bertentangan dalam tingkahlaku seseorang. Bagi mereka yang telah berusia dan masih tidak menyedari akan masanya akan tiba jua untuk meninggalkan dunia ini. Bagaimana dan bila hendak persiapkan diri semestinya bergantung kepada sudut pandangan masing masing.

Sekali lagi, terpulanglah.