18/08/2022 12:29
Dari sehari ke sehari, aku asyik tangguh tangguhkan. Namun dihati ini tetap mahukan ianya diulas dikesahkan. Bukan sekadar renungan sendiri sahaja tetapi mungkin boleh menjadi pengajaran buat sesiapa sahaja yang mahu perbandingkan kisah kehidupan orang lain untuk tidak diulangi atau setidak tidaknya akan lebih berhati hati bila bertindak. Bukanlah juga niat aku mahu membuka 'pekong' tapi perlu aku perlihatkan akan sikap manusia yang gopoh dan terperangkap didalam perlumbaan mengejar kesenangan dunia. Status menjadi kaya apatah lagi mengimpikan diri seorang jutawan adalah normal buat semua kita. Tiada salahnya menjadi kaya mengejar kemewahan. Masing masing ada potensi kearah itu. Tiada masa rasanya buat sesiapapun mahu pertikaikan. Kalau dalam bahasa yang agak kasar, lantak kaulah, hendak jadi apapun. Cumanya 'kesungguhan' yang diberi menjadi pemisah buat yang berjaya dengan yang tidak. Pun begitu, terserahlah bagaimana mengatur strategi untuk mengapainya. Betul caranya berjayalah yang terhasil. Tapi jika tersalah langkah, meranalah akibatnya dan mungkin sepanjang hayat.
Semacam kebetulan pula, khutbah Jumaat sehari selepas dimaklumkan berita ini seperti mengukuhkan lagi hal tersilap langkah ini. Rujuk, Hutang Wajib Dibayar, sebagai peringatan buat kita semua.
Khamis dua minggu yang lalu(04/08/2022) sehinggalah sudah hendak kembali berjumaat lagi esok hari(19/08/2022) bilamana aku dikhabarkan berita yang amat meresahkan oleh kakak tunggal aku. Perkhabaran yang hadir secara tidak langsung semasa bualan santai bertanyakan khabar abang utih pada awalnya mulai berganjak dan makin serius mendengar tentang karenah anaknya yang nombor dua. Sedih dan tidak terkata hinggakan tergamam dibuatnya. Bahana mahu kaya tapi salah langkah sampai ketahap yang tidak terfikir terjangkakan oleh aku. Selalu aku mengetahui kisah kisah 'scam' menjadi kaya melibatkan ribuan ringgit 'hangus' terpedaya dengan pujuk rayu serta muslihat penganjurnya. Seingat akulah, sejak kisah 'Pak Man Telo' yang mendapat liputan meluas dipertengahan 80an lagi akan perkara 'jahat' yang sehingga kini telah banyak dan pelbagai kaedah menipu dibuat, mereka yang ditipu tidak pernah serik. Terlalu obses mengejar kekayaan dan amat berbangga jika bergelar jutawan diusia muda menjadi seperti 'azimat' membulatkan tekad mencapai impian.
Dalam meniti kehidupan, banyak perkara yang terjadi dan rentetan dari kejadian tersebut terkait dengan perkara yang dihadirkan kemudiannya. Segalanya bukanlah dirancang. Tetapi aku merasakan seperti adanya pertalian. Semacam satu ke-misteri-an yang amat sukar untuk diperjelaskan. Betapapun kita mahu mengelaknya, selalunya yang terjadi adalah sebaliknya. Fitrah manusia sukakan yang ditegah yang dilarang. Bagi mereka yang gagal merenungi dan menghayati sebab musababnya sering mengandaikan sesuatu yang ditegah itu punyai 'nilai' yang tersendiri. Apatah lagi terpengaruh dengan faktor sekeliling yang senantiasa menghadirkan contoh contoh yang nampak hebat dan dalam jangkauan buat sesiapa sahaja. Melihat orang yang lebih muda bergaya disisi kereta 'sports' mewah, bergambar dihadapan bunglow tersergam megah dan mampu melancung ke serata pelusuk dunia sebagai testimonial kejayaan yang dikecapi melalui 'scheme' yang disertainya. Bagi yang telah tersihir dan memang amat amat mengingini 'kekayaan kemewahan' secepat yang boleh, mana mungkin untuk menolak tawaran sedemikian. Lupa sudah akan 'perangkap' bila sering dikhayalkan dengan 'kejayaan' yang sememangnya disandiwarakan oleh pihak yang penuh muslihat dalam memanipulasi perasaan mangsa menjadi 'jutawan'.
Sedih memanglah sedih melihatkan keadaan anak buah yang terjebak ini. Pekerjaan tetap sebagai penjawat awam ditamatkan angkara salahlaku, hutang yang melibatkan 'along' makin membebankan, ikatan kekeluargaan menjadi tegang dan khabarnya terpaksa membuat apa sahaja kerja yang mampu dan berpenghasilan demi 'survival' diri dan keluarga. Membantupun setakat yang termampu. Sejauh mana dan setakat mana mampu menahan 'deritaan' yang seolah sengaja dicari ini amat bergantung kepada kesungguhan diri.
Perjalanan kehidupan seseorang memang telah ditakdirkan. Begitupun buat mereka yang faham dan mampu mengolahnya dengan penuh berhemah, ujian yang menimpa orang lain sepertimana yang dilalui oleh anak buah aku ini menjadi 'renungan' berharga kepada semua kita. Apakah ianya tiada kemungkinannya untuk berulang dan 'terpalit' keatas orang lain.
Mohon dijauhkan...
No comments:
Post a Comment