20 JANUARY 2022, 11:50
Dah lama kerja...
Sekali lagi aku diajukan pertanyaan. Kali ini oleh seorang wanita melayu. Disaat dia menghamburkan pertanyaan itu, aku sedang laksanakan 'testing' microwave samsung yang baru dibelinya.
Buat setengah orang, mungkin pertanyaan itu sekadar pertanyaan biasa. Namun tidak pula bagi aku. Sentap jugalah bila persoalan sebegini diajukan. Bukanlah bermaksud aku menegahi orang lain dari berkata bercakap tetapi bilamana ianya menyentuhi hal peribadi pastinyalah ada sesuatu yang tersirat disebalik pertanyaan yang diajukan itu. Aku akui yang diri makin berusia. Hakikat ini tidak aku nafikan. Malah setiap orang yang bernasib 'baik' jika dilihat dari sudut kepanjangan umur akan mengalaminya dijalur masa masing masing. Mungkin ada elemen atau unsur berbangga diri terselindung didalam pertanyaan. Bagi yang sensitif dan cepat terasa hati pastinyalah merintih akan kekurangan diri yang tidak setandingan dengan orang lain. Kalau tidak diurusi dengan betul tentu sahaja akan membuat diri diambang kemurungan. Malah mungkin lebih pantas terjerumus kedalam 'kemurungan' bila bertubi tubi persoalan yang menyentuhi diri dihamburkan.
Hal yang boleh dianggap normal ini namun andai kerap dihujani dengan pertanyaan demi pertanyaan yang serupa akan menimbulkan persepsi yang berbeza. Ialahkan, pertanyaan pertama kali mungkin bermaksud hairan dipenglihatan penanya. Spontan rasanya buat diri menjawabnya penuh keikhlasan. Namun bilamana sering sangat diajukan persoalan yang hampir sama dan setiap kali pula bila bertemu maka tentu sahajalah orang yang ditanyai itu akan 'terasa'. Begitulah yang aku alami pada petang Rabu, semalam.
Setiap orang punyai hati dan perasaan. Begitupun bukan pula sewenang wenangnya buat sesiapa juapun untuk memanipulasi sesuka dan sekehendaknya. Adab bertanya, rasanya, orang kita masih tidak berseni. Sepatutnya didahulukan dengan 'opening remarks' yang membuatkan mereka yang bakal ditanyai berasa relaxs dan dalam mode bersedia untuk berbual. Bukan main langgar sahaja seolah olah telah lama mengenali. Setiap orang ada set masing masing dalam 'social interaction'. Makanya bila kita approach seseorang yang baru dikenali waima 'total stranger' sekalipun, perlu ada kaedah yang harus dipatuhi.
Bimbang dan amat ditakuti sekiranya insan yang ditanyai itu bertindak diluar jangkaan. Tidak semena mena, manalah tahu, penumbuk menyinggahi penanya. Dari baik baik makan nasi, hah nah kau, sebulan makan bubur. Tindakbalas seseorang sememangnya sukar diramalkan. Kita mengandaikan begini tapi hasilnya lain pula. Konon hendak beramah bertanya tapi jika tidak kena caranya akan menimbulkan pelbagai masalah pula.
Mungkinkah sudah sampai masanya untuk aku melangkah pergi. Hanya 'takdir' penentu segala.
No comments:
Post a Comment