Saturday, May 18, 2019

Antara Solat dan Puasa

 17 MAY 2019, 10:47                                                                                               

Terkejut aku bila tetiba kisah sekumpulan budak sebangsa memperlekehkan teguran orang tua sebaya aku viral di facebook. Sudah beberapa hari hal ini dilihat dan dirujuki akan apa punca sehingga sesuatu yang tidak sepatut dan seharusnya berlaku boleh berlaku. Malah sanggup pula pihak yang tidak bertanggungjawab ini menyebarkan ke pengetahuan umum. Apa punya hati kering anak anak Melayu sebegini yang pada zahir keturunan sudah sah sah beragama Islam. Tidak mungkin pula, pakcik yang menegur itu tidak mengetahui yang bebudak di kejiranannya itu bukan berbangsa Melayu Islam. 

Apapun yang terjadi ini telah membuka ruang untuk semua kita bermuhasabah diri. Apakah perlakuan sedemikian bersifat terpencil dan tidak mungkin akan berulang dimasa mendatang nanti. Dimana letaknya peranan ibubapa dalam memberi didikan awal. Apakah juga sistem pendidikan serta sukatan pelajaran sehingga ketahap SPM dengan sessi sekolah agama di sebelah petang tidak memadai memperlengkapkan anak muda berhemah diri sekurang-kurangnya andai tidak pintar dalam pelajaran.

Rasanya semua kita berperanan. Menegur memperbetulkan segala yang agak kurang sesuai perlu ada dalam diri setiap orang. Bukankah telah diperjelaskan oleh junjungan kita dalam hadisnya yang sering kita diperdengarkan dan diperingatkan samada dalam teks khutbah jumaat yang dikhutbahkan dan juga dalam majlis majlis ilmu lainnya. Pelbagai perspektif dan senario digunapakai bagi memberi penjelasan dan huraian menyeluruh akan hadis, 'Rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara'. Bagi mereka yang 'cerdik' memahaminya bolehlah dihubungkaitkan dengan pelbagai ayat al-quran dalam memperkukuhkan ingatan teguran sepertimana yang Nabi Muhammad paling awal menerimanya. Bila kita hadirkan diri 'berdepan' denganNYa via pembacaan, pastinyalah pembacasetiap ayat ayat al-quran lebih maklum. Untuk lebih memahaminya, sila rujuk, 5-perkara-sebelum-5-perkara.

Malang benar buat ibubapa yang punyai anak sedemikian. Betul, sudah akil baligh serta mampu menentukan baik buruknya sesuatu perkara bukanlah pula bererti yang seseorang boleh berbuat sewenang wenangnya. Perlunya ada suatu panduan yang jelas. Bilamana kita mengambil mudah akan hal asuhan dan pembentukan siasah diri dari peringkat awal lagi, mana mungkin hasilnya akan menjadi sesempurna yang dihajati.



Malah kita semua setuju dan sepakati kebenaran perpatah, 'melentur rebung biarlah dimasa rebungnya lagi'. Kiasan yang paling tepat ini seolah menempelak akan kegagalan dipihak ibubapa khususnya dan juga masyarakat amnya dalam memastikan apa yang telah diperingatkan dahulu diremehkan begitu sahaja. Mana mungkin membiarkan orang lain pula untuk bertanggungjawab memikirkan usaha memulihkan gejala kurang elok golongan muda mudi.

Termenong memikirkan penuh kehairanan. Dibulan puasa lagi dan sepatutnya kita semua lebih mendekati Allah swt. Peluang berada dibulan puasa bagi mereka yang mengerti amat menunggui kedatangannya. 10 hari pertama adalah ketikanya untuk merebut rahmat yang terbuka luas. 10 hari seterusnya pula adalah maghfirah atau pengampunan. Manakala 10 hari terakhirnya pula adalah 'peluang' untuk kita melepaskan diri dari api nereka. Mungkin agaknya mereka terlupa dan harus perlu sentiasa diingatkan akan Ramadhan Al-Mubarak ini dan patut disekalikan dengan pemantauan agar kembali on-track. Namun melihatkan tingkahlaku yang bukan dibuat buat ini lagi spontan nakalnya sekilas mencerminkan serta dapat diandaikan corak didikan awal yang mereka terima.

Ramadhan - 3 phase


Amat malang rasanya. Harus ditarbiahkan untuk kebaikan diri mereka dan tidak sampai menghuru harakan masyarakat setempat. Mana perginya orang 'alim' dan berpengaruh dikejiranan. Tidakkah ada rasa pilu dan bimbang bila melihatkan anak bangsa yang sememangnya digantungkan harapan mencorakkan masa depan kearah yang lebih baik lagi islamik tapi begitu menyedihkan.

Harapan aku, biarlah kejadian ini yang terakhir. Jangan berulang. Sesamalah kita membendunginya serta gejala negatif lainnya. Kemuafakatan sesama pastinya akan mendapat pertolongan Allah swt.

No comments: