Saturday, April 25, 2015

Papa kedana...aku dibuatnya

 22 APRIL 2015, 12:00

Tidak pernah sebelum sebelum ini aku melihat dompet duit ketika ingin membeli barangan keperluan. Malah hari ini merupakan suatu sejarah didalam hidup aku yang semakin hampir ke penghujungnya. Sebaik sahaja aku memberhentikan kereta dibahu jalan berhampiran kedai Dak Lim di Taman Desa Duyung, tergerak pula hati untuk melihat cash yang masih berada didalam dompet duit. Tinggal 2 keping warna merah dan cuma sekeping sahaja warna hijau. Perlu berbelanja mengikut budget yang ada ditangan.

Melangkah longlai sahaja menyeberangi jalan untuk ke kedainya. Masih ramai lagi orang sekaum aku tengah terbongkok bongkok memilih ikan yang berada didalam tong ikan yang disusun rapat-rapat. Kedai Dak Lim ini jarang benar aku kunjungi mutakhir ini memandangkan kualiti ikannya yang hampir ke tahap tidak boleh dimakan. Selalunya aku ke pasar besar Melaka saban minggu untuk mendapatkan barangan basah @ perishable items. Namun untuk hari ini, tidak dapat tidak terpaksalah aku merendahkan diri melewati ke kedainya yang tidak jemu-jemu menunggu pelanggan melayunya mendapatkan lauk-pauk. Ibarat telah diikatnya secara 'halus' akan semua pengunjungnya sejak sekian lama. 

Persepsi harga yang murah serta banyak pilihan, 'automatically' menjadi tali yang mengikat pelanggan tetapnya. Aku sendiri cuba merungkaikan ikatan yang lama telah membeliti diri. Berjaya memanglah berjaya namun untuk seketika cuma. Bilamana kesempitan, pilihan terakhir yang ada hanyalah kedai 'Soon Huat' @ Dak Lim yang menjadi penyelamat.

Bukanlah aku bermaksud mahu buka semua rahsia kehidupan tapi terserlah nyata akan sejauhmana aku mengemudi mengatur kewangan bulanan khususnya. Namun setiap apa yang mahu aku laksanakan, wang-lah yang menjadi penggeraknya. Memanglah bukan wang penentu segalanya tapi tanpa wang lebih lebih lagilah dalam situasi semasa kini tentu sahaja tidak mungkin dapat dilakukan penuh jaya. 

                                                            BDB - Ada Duit Hati Senang


Hakikat ini perlu aku hadamkan dan berserah bertawakkal kepadaNya.

No comments: