Sunday, February 22, 2015

Saat Kematian Menjelma

Sebenarnya, tidak seorangpun yang boleh menjangkakan apatah lagi meramalkan saat tibanya kematian seseorang. Segalanya telah termaktub atau telah direkodkan didalam luh mahfuz lagi. Apapun setidak-tidaknya, kita telah dimaklumkan akan tanda-tanda tibanya detik kematian. Terpulanglah kepada kita kembali untuk memahaminya serta melakukan apa yang seharus dan sepatutnya sebelum tibanya detik terakhir kita. Memang dikalangan kita, tidak semuanya mempunyai kefahaman yang serupa mengenai kehidupan yang bersifat sementara sahaja ini. Malah semua orang ketahui samada melalui khabaran ataupun melihatnya sendiri disepanjang hidupnya akan seseorang yang meninggal dunia atau bahasa kasarnya 'mati'. Namun reaksi antara sesama tidak selalunya sama, ada yang merasakan dirinya senantiasa sihat dan tidak pernah dirundung malang. Manakala setengah yang lainnya pula sering dan kerap kali dihimpit oleh pelbagai masalah yang tidak tertanggung. Ketentuan dari Ilahi tidak siapa dapat menolak malah kita harus pula menerimanya. Mempertikai dan apatah lagi  mempersoalkan bukanlah sifat seorang hamba atau kita sahaja yang syok sendiri dan merasakan yang kita ini adalah terlalu istemewa disisiNya. Kalau ditanyai pada seseorang yang normal, apakah yang diingininya sementara hidup didunia ini. Tentu sekali, berdasarkan pemerhatiannya dan pengharapannya pada segala yang didalam lingkungan hidupnya, mahukan yang terbaik akan segala-galanya. Bukan bermaksud tamak tapi mahukan kesemuanya yang terbaik kalau diizinNya. Apapun kudrat dan iradat seseorang itu adalah terbatas serta telahpun diaturkan skrip kehidupan masing-masing sebelum kita dilahirkan lagi. Redha adalah katakunci pada kehidupan ini.

Garis yang memisahkan antara hidup dengan kematian amatlah sukar ditentukan. Tiada siapapun dapat mengukurnya dengan tepat. Dari segi usia, ada yang beranggapan semakin banyak usia seseorang maka makin beruntunglah diri. Pengukuran usia tiada salahnya. Namun begitu, usia bukanlah suatu penilaian yang tepat.  Allah swt telah memaklumkan dan kepada yang terlupa ataupun yang tidak pernah dikhabarkan atau juga sememangnya tidak pernah mengetahuinya bahawa antara hidup dan mati itu cuma senafas jaraknya. Terlalu singkat dan amat tidak sempat sebenarnya untuk seseorang berbuat sesuatu yang difikirnya perlu dan patut dilakukan ketika saat kematian mendatangi diri. Biarlah berapa banyak harta yang mampu dikumpulkan sepanjang hidupnya, betapapun ramai saudara dan handai yang kerap bersamanya dan walaupun melangit sekalipun pangkat serta darjah kebesaran yang diperolehinya, namun tidak jua mampu untuk menangguhkan detik kematiannya.

Takdir yang menimpa yang membawa pada kematian adalah ujian kehidupan terakhir pada seseorang. Kematian yang semua orang ketahui merupakan hujung penghidupan semahunya tidak ingin difikirkan lebih-lebih lagi yang kononnya sedang menikmati kemuncak nikmat kehidupan. Tiada sengsara, malah bersenang-senang. Tiada hutang melingkari tapi miliki harta yang banyak dan tidak terkira jumlahnya. Tiada juga ditimpa sakit apatah lagi yang kronik, malah senantiasa ceria dan cergas. Namun ibarat pepatah lama untuk kita senantiasa mengingatinya iaitu 'pelandok kerap melupakan jerat tapi jerat pula tidak pernah sekalipun melupakan pelandok'. Berita yang tersiar baru-baru ini mengenai 4 sekeluarga yang ditimpa malang dan membawa kepada kematian amat dikesalkan terutama sekali pada waris. Umumnya telah mengetahui kisah kejadian yang menimpa mereka sepertimana yang dimaklumi oleh akhbar-akhbar tempatan. Selain dari kisah mulanya kejadian sehinggalah berita selanjutnya mengenai pengebumian yang divideokan serta dipampangi gambar al-marhamah untuk tontonan khalayak, pembaca amnya dan para waris khasnya tentu sahaja akan mendoakan semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama dengan golongan mereka yang diredhaiNya. Itu harapan kita. Tapi bagaimana pula perasaan anak cum suami cum ayah kepada mereka yang terlebih dahulu menemui sang penciptanya. Rasanya, kalaulah dapat diselami perasaan En. Abd. Ghafar Said(usianya - 49), tentu boleh jadi gila kalau tidak kena caranya. Apa tidaknya, diketika bakal mendapat menantu yang pastinya direstui(walaupun tidak kesampaian) dan tidak terlintas sama sekali akan diuji sedemikian, tentulah akan terasa terkilan serta kecewa yang amat sangat bila kegembiraan yang baru hendak berputik tapi diragut pula tanpa dapat berbuat apa-apa.

Siti Rohana sempat beli barang 
pertunangan sebelum maut

25 Januari 2015 2:01 AM
PAGOH 24 Jan. – Empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan ngeri di Jasin, Melaka, semalam dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kemang laut, Kesang Laut, Ledang selepas membeli barang pertunangan.
Mereka bertolak dari Melaka kira-kira pukul 4 petang selepas membeli kelengkapan pertunangan untuk salah seorang mangsa, Siti Rohana Abd. Ghafar, 23, dan sebelum itu sempat bersiar-siar di Bandar Raya Melaka.
Bapa mangsa, Abd. Ghafar Said, 49, berkata, Siti Rohana bersama anak keduanya, Siti Rohani, 18, selain isterinya, Ida Dollah, 46, dan ibu mertuanya Saimah Wahab, 77, sebelum kejadian ada menunjukkan tanda pelik.
“Isteri saya, Ida, tiga atau empat hari sebelum kejadian menyatakan kepada saya lebih baik mati daripada membuat dosa. Arwah isteri menyatakan demikian semasa saya bergurau dengannya tetapi tidak mengesyaki apa-apa.
“Sementara Siti Rohana pula kelihatan terlalu gembira hendak pergi ke Bandar Raya Melaka pukul 9.30 pagi semalam,” katanya ditemui selepas pengkebumian keempat-empat mangsa itu di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sari Baru, di sini hari ini.
Dalam kejadian di Jalan Melaka-Muar itu pukul 4.15 semalam, keempat-empat mangsa yang menaiki kereta Perodua Kancil dipandu Ida dari arah Melaka, dilanggar sebuah Proton Perdana dari Muar dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Kereta mangsa kemudian dilanggar sebuah Proton Preve dari arah belakang menyebabkan Siti Rohana dan Siti Rohani yang duduk dikerusi penumpang belakang tercampak keluar daripada kenderaan tersebut.
Sementara Ida dan Saima, di bahagian hadapan tersepit dan keempat-empat mereka maut di tempat kejadian yang berlaku di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuang Hwa dan berdekatan Kampung Seri Minyak.
Abd. Ghafar mengakui masih terkejut dengan insiden tersebut namun reda atas kehilangan isteri, dua anak dan ibu mertuanya serentak dalam kejadian yang amat menyayat hati itu.
Dalam pada itu, abang kepada Ida, Abdul Razak Dollah, 47, berkata, kali terakhir keluarganya bertemu adik dan ibunya lebih sebulan lalu tetapi mereka tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.
“Saya difahamkan mereka ke Melaka untuk meninjau barang pertunangan Siti Rohana yang merupakan seorang jururawat dan mengetahui insiden itu apabila mendapat panggilan telefon pukul 6 petang semalam,” katanya.
Terdahulu, suasana pilu menyelubungi upacara pengkebumian di tanah perkuburan tersebut pukul 3.30 petang dan sebelum itu jenazah disembahyangkan di rumah Saima di kampung berkenaan yang dihadiri lebih 200 saudara, kenalan dan penduduk setempat.


Pernah dahulu aku ada membuat catatan berkenaan mati dan kematian. Cuba menyelongkar kembali serta mengambil sedikit masa untuk menemuinya dan diperturunkan didalam ruangan ini sebagai satu wadah dari perspektif ketika itu.

"Benda nak jadi, kalaulah aku tahu ...(06/05/2006 - Sabtu)"

April 2006 yang baru dilalui menyimpulkan berbagai peristiwa yang tak terduga dan tak diingini. Apapun sebagai hamba Allah yang lemah, aku hanya mampu redha atas apa yang berlaku.

Awal bulan April iaitu pada 02/04/06, ayahku telah terlebih dahulu dijemput 'pulang'. Aku sendiri tiada disisinya semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Walaupun aku sekerap yang boleh ingin sentiasa berada disisinya, tapi Allah jua-lah yang maha mengetahuinya. Beberapa minggu sebelum 'kepulangan' tu, keadaan ayahku atau lebih mesra dipanggil bapak telah menunjukkan tanda-tanda. Bapak tiada selera makan dan kalau bercakap pula tidak melihat tepat. Tak seperti sebelum sebelumnya. Orang yang normal, biasanya, akan memandang dengan orang yang dilawan cakap itu. Dan dalam bab makan pula, seolah-olah bapak dapat rasakan yang hayatnya akan tiba dipenghujung. Banyak minum air dari makan. Kalau makanpun, cuma bubur nasi yang dimasinkan. Itupun sekadar sesuap dua sudu camca aje. Sukar untuknya menelan. Kekadang dikemam bibirnya, mungkin protes, bila kita beriya-iya benar 'memaksa' dia untuk makan. Dan walaupun berjaya menyuapkan sesudu bubur nasi kemulutnya, bapak akan seketika kemudian, menolaknya keluar dengan hujung lidahnya. Sambil-sambil tu mengerak-gerakkan tapak tangan kekiri dan kekanan seolah-olah memberitahu, 'cukuplah'. Kekadang aku akur atas permintaannya itu. Tapi sering juga keakuran ku itu bersyarat. 'Bapak kalau tak nak makan tak apa. Tapi bapak kena banyak minum air. Sekurang-kurangnya ada tenaga' pilihan yang aku ajukan padanya dan kusambungkan lagi akan rationalnya syarat yang aku beri, 'Taklah berkeadaan lemah'. Kerap juga dia tak mahu minum. Namun, atas diplomasi dan berkat kesabaran serta berhemah memujuk, bapak mahu juga meneguk air suam/air masak putih sekadar beberapa teguk.

Beberapa minggu sebelum kematian bapakku, doktor india lingkungan 30-an di Poliklinik Semabok mengesahkannya mengidap 'paru-paru berair'. Budak doktor tu mengarahkan supaya di-admitted-kan ke hospital dengan kadar segera. Tapi kakak tunggal aku, Rokiah, yang jarang benar aku memanggilnya kakak bertegas mengatakan biarlah dia duduk rumah aje. Alasan yang diberinya ialah siapalah yang nak jaganya kalau kat hospital tu. Susah. Biarlah dia kat rumah. Siapa yang nak jaga, semua orang bekerja. Kalau kat rumah bolehlah kita jaga. Kalau kat hospital, jururawat-jururawat yang ada buat tak kisah aje. Apa apa hal, kencing berak ke, nak mandi ke, semuanya suruh waris yang betulkan. Dan killing statement yang kakak aku bagi, 'kalau bapak nak meninggal, biarlah kat rumah. Kat hospital nanti leceh!. Nak periksa tu lah ni lah kemudian dia orang bedah lagi. Dah! Tak payah!'. Aku akur dengan decision yang dibuatnya. Akupun tak leh comment banyak since most of the time, kakak akulah yang bertindak sebagai 'full-time' nurse. Beliaulah yang banyak 'nursing' bapak, so her 
opinion and back-up with strong arguments must be respected. Selepas 'peristiwa' di Poliklinik 24 jam Semabok, kita jagailah bapak seadanya dan sebaik dan seelok mungkin sehingga sampailah ke hujung hayatnya. Tiada lagilah insan yang boleh dilawati dan hilanglah sebutan 'bapak' buat selamanya. Sedih memangpun sedih. Tapi aku 'berterimakasih' kehadrat Ilahi kerana menjemputnya diusia yang begitu lewat. Sekurangnya tidaklah terasa bebanan hidup yang perlu dipikul oleh anak-anaknya. Ini memandangkan semuanya telah besar panjang dan telahpun mempunyai keluarga sendiri. Anaknya yang paling bongsu kelahiran tahun 1965. Lebih tepat lagi pada 19 Januari 1965. Maknanya telah berusia 41 tahun. Cukup matang untuk harungi hidup bekeluarga diatas bumi yang fana ini.

Kita tak boleh pertikaikan kenapa sekarang dan bukannya 10 tahun ke atau 20 tahun ke ataupun 40 tahun dulu ke beliau dijemput pulang. Semua ini adalah ketentuan Allah swt. Manusia tak terjangkau pemikirannya untuk menjangkakan apa yang berlaku dan apa yang tak akan berlaku pada masa depan. Malah setiap detik, jam dan ke-esokkan haripun kita tak mampu menjangkakan apakah yang pastinya berlaku. Semuanya terserah kepada Allah swt yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Namun begitu, kita disuruh memikirkan setiap kejadian yang berlaku dan mencungkil 'hikmah' yang tersembunyi disebalik setiap kejadian yang berlaku.

Bagi diri aku sendirilah, apa yang segera menyelinap kedalam diri aku ini adalah bagaimana hendak aku balasi jasa baik ayah dan juga ibuku yang terlebih dahulu dijemput pulang ke Rahmatullah. Sekarang ni pun, aku lebih kerap dan cenderung kepada pembacaan buku keĆ gamaan disamping membaca buku motivasi. Terkini, aku sedang ulang baca/faham himpunan hadis 'penggal 1' milik bapak aku. Dalam banyak-banyak hadis, halaman 144, hadis ke-578 adalah yang relevant dengan situasi dan ketika kini. 

Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari iaitu terjemahhannya, 

                      
           "Sebaik-baik barang yang ditinggalkan oleh manusia kemudian daripada matinya itu tiga    
             perkara, 
             1. Anaknya yang soleh(islam) yang berdoa baginya,
             2. Dan, sedekah jariah(wakaf) sampai akan dia pahalanya,
             3. Dan, ilmu yang diambil manfaat kemudian daripadanya"

Insya-allah, sebagai seorang anak dan semestinyalah menjadi tanggungjawab membalas jasa baik ibu dan bapa yang telah membesar dan menjadikan 'manusia' yang sebaik mungkin diketika ini mengikut kemampuan dan kapasiti yang dimiliki. Cara 'upbringing' mereka keatas diri aku amatlah aku hargai dan sepatutnya dan juga seharusnyalah disanjungi. Apapun, aku akan berusaha mempertingkatkan lagi sahsiah diri dan berusaha lebih giat lagi menjadi muslim sejati.




No comments: