|
Ibisevic |
Ibisevic's Amazing Goal
16 JUNE 2014, 08:07 AM
Musim bola datang lagi. Pandai sekali permainan para ejen propaganda didalam meniupkan bayu menjadi angin dan kemudiannya diketika menghampiri detiknya dikerahi pula agar menjadi kencang serta bertukar ribut dimusim bola. Kesepakatan dan kesepaduan tindakan telah menghasilkan suatu fenomena yang tiada seorangpun mampu menafikannya. Tanyailah sesiapa juapun semacam ala-ala program realiti yang pernah dikendalikan oleh Uzt. Khayy yang dulunya vokalis the Riyadh. Pastinya dengan mudah dan pantas sekali jawaban akan diberikan. Tidaklah terkial-kial hendak membacakan doa qunut atau menyatakan syarat-syarat sah sembahyang serta teragak-agak hendak memberikan berapa jumlah rukun sembahyang serta menyebutkannya satu persatu mengikut urutan awal akhirnya. Berpeluh dan resah gelisah hendak menjawab. Sebaliknya, bila ditanyakan negara manakah juara edisi 2010 atau berapa jumlah negara yang bertanding atau negara manakah yang menjuarainya paling banyak, nescaya ramai yang mampu menyatakan dengan penuh yakin. Bayangkanlah snowball effectnya. Tidak terjangkau serta tidak terduga kerana dinamik sekali tindakbalas yang mungkin ujud.
Memandangkan kekerapannya pihak media cetak serta elektronik melaksanakan kerja-kerja 'gila' mereka seperti yang diarahkan, tidak dapat tidak akupun turut menerima informasi mengenainya. Bila kegilaan ini berjaya dihasilkan maka mudahlah pihak-pihak seterusnya menambahkan lagi keinginan serta memenuhi kepuasan kumpulan sasaran ini. Terpulanglah pada individu itu sendiri samada termakan umpan yang ditaburkan merata-rata sekarang ini atau tidak menghiraukannya samada sekali.
Bagi diri aku, memaksa diri menonton siaran langsung bukanlah sesuatu yang perlu aku ikutkan sangat. Memadailah menjenguknya bila ada kelapangan dan bertepatan pula ketikanya aku belum hendak masuk beradu. Info mengenai bola yang terlalu kerap disalurkan kekadang tu mengganggu tontonan rancangan yang sedang diikuti amat menyesakkan. Even tengah mengikuti program bercorak keagamaanpun turut diselangi dengan slot promo Piala Dunia 2014. Bukan setakat Astro sahaja malah TV3 @ Media Prima dan RTM jugapun turut tidak ketinggalan mewar-warkannya demi menjaga rating tontonan untuk siaran TV masing-masing. Memang benarlah customers always at the losing end. Mahu tidak mahu, suka tidak suka ataupun hendak atau tidak hendak para penonton dipaksa juga menonton promo yang dihadapkan saban hari serta kekerapan penyiarannya menjadi semakin galak bila tiba masa dan ketikanya. Kesannya dari tidak tahu menjadi semakin tahu dan teruja pula hendak mengikuti perkembangan seterusnya mengenai bola. Bila mula dan berakhirnya telah diregisterkan didalam 'hard drive'. Malah semua pemain bertaraf bintang untuk negara yang terlibat turut diketengahkan bagi memastikan kumpulan sasaran senantiasa mendapatkan input-input terkini untuk dibualkan sebagai perisa yang ampuh ketika menonton siaran langsung terutamanya.
Medium yang amat berkesan didalam menyalurkan info kepada seluruh warga Malaysia tapi sayang sekali tidak dimanfaatkan sebaiknya. Alangkah elok andai maklumat mengenai Islam diperbanyakkan yang bukan sekadar tentang fardhu ain sahaja malah mencakupi dalam segala hal kehidupan didunia apatah lagi tentang hal kehidupan dialam akhirat nantinya. Bilanya pihak yang dipertanggungjawab masih gagal dan leka dengan hal-hal yang remeh temeh, misalnya pihak berkuasa agama di Penang telah mengenal pasti 42 hotspot diseluruh negeri Pulau Pinang sepertimana yang dilaporkan semalam akan dipantau bagi menahan orang islam yang mengelak untuk berpuasa atau makan disiang hari. Usaha pencegahan amat dialu-alukan tapi dalam hal inipun banyak aspeks seolah-olah terbuka luas untuk dipertikaikan. Apakah jaminan yang ianya bakal berjaya dikekang. Atau mungkinkah akan ada lebih banyak lagi hotspots bagi golongan tertentu untuk menjamu selera mereka di siang hari pada bulan Ramadhan 1435H ini. Sejauhmanakah pemahaman tentang puasa golongan yang cuba dipantau ini telah mereka ketahui. Kenapakah tiada usaha untuk mentarbiah golongan yang kurang peka terhadap keperluan agama yang sememangnya diwarisi turun temurun. Apakah pihak yang menjaga hal ehwal agama boleh terlepas pandang tentang perlunya diperkukuhkan ilmu keagamaan sejak sebelum baligh lagi. Mengharapkan orang perseorangan untuk memantau serta mengawal selia keadaan umat islam seluruhnya amat tidak praktikal. Kesatuan tindakan yang pelbagai tapi menjurus ke satu matlamat oleh mereka yang bertanggungjawab amat dituntut. Waima orang jabatan agama yang telah diberi mandat, orang perseorangan yang prihatin akan keperluan membantu serta membimbing sesama Islam mahupun juga pihak NGO yang lorat penuh makna dan misteri serta senantiasa cepat mendepani masalah yang kerajaan yang memerintah yang kononnya cuba untuk membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi tapi sunyi sepi bilamana yang bersangkutan dengan hal-hal keagamaan.
Berbalik semula kepada bola ini, banyak kenangan yang terimbau untuk direnungi. Masih terbayang lagi bilamana selepas selesai menduduki Penilaian Darjah 5 pada tahun 1975 yang setara dengan UPSR untuk darjah 6 kininya dan bakal dihapuskan dalam 2 tahun lagi, pelajar dibenarkan membuat aktiviti bebas sekadar menghabiskan masa menunggu cuti akhir tahun. Antara aktiviti yang menjadi tumpuan diantara banyak program yang dirangkakan adalah pertandingan bolasepak 'inter-class'. Kelas 5B yang menjadi juara dalam pertandingan 'round robin' dikenali setelah dipersetujui bersama sebagai pasukan Bulgaria. Menjadi juara merupakan suatu kepuasan yang hanya mereka yang bergelar juara sahaja yang mampu mengukirkan manisnya atau peritnya kejayaan yang dirangkul. Mengambil semangat kejohanan bolasepak piala dunia 1974 membuatkan kami murid darjah 5 ketika itu didalam status yang terbaik untuk enjoy selepas menduduki peperiksaan tersebut dan tahun berikutnya menjadi senior pula. 9 pasukan dari 9 kelas yang ada untuk Darjah 6(3), Darjah 5(3) dan Darjah 4(3) menyertai tournament. Pasukan Bulgaria mendapat markah tertinggi dan bergelar juara. Terbayang lagi semasa mendapat tepukan gemuruh didalam dewan perhimpunan untuk bersalaman dengan guru dipentas bagi menerima hadiah. Dari hujung dewan lagi budak budak junior yang berpeluang dan proud dengan rumah seladang khasnya bersalaman dengan team kita ketika melintasi tengah dewan menyampaikan ke pentas dewan. Menjadi tumpuan sememangnya banyak mencuri masa kita. Selepas peristiharan itu, bila kekantin diwaktu rehat, ramailah bebudak junior yang menegur dan ucapkan syabas lebih lebih lagilah yang sama rumah iaitu Rumah Seladang. Masa nak masuk tandaspun ada yang mengenali dan berteguran. Inilah bahana menjadi juara. Kebanyakan team 5B alias Bulgaria dibarisi oleh budak Rumah Seladang. Baiknya ketua pasukan, Zainal Abidin Abdullah(budak Ujung Pasir) yang main diposisi attaking midfielder, aku sendiri diposisi left winger, beberapa pemain back serta keeper yang lupa pula nama mereka menjadi tonggak kekuatan Bulgaria. Persefahaman yang lama terjalin dalam team rumah seladang ini sejak awal tahun lagi menjadi pemerhatian guru PJ atau PE, Mr. Gan yang merangkap coach team sekolah untuk kejohanan inter-school pula untuk tahun 1976. Kerap juga semasa sessi PE(physical education), coach suruh ambil sepakan korner disebelah kanan tiang gol kerana aku boleh melambungkan bola 'inswinger' kearah depan pintu gol lawan. Pernah menjadi buah mulut bila tendangan melengkung aku tu terus masuk kehujung sebelah atas kanan goal post. Bila lambungan bola rendah atau tidak digemarinya, coach akan arahkan aku ambil korner sekali lagi. Dan setiap kali team aku dapat corner kick disebelah kiri gol lawan ni, maka akulah yang terpaksa berlari dari posisi untuk menyempurnakan sepakan korner. Malangnya semasa sesi pemilihan pemain mewakili sekolah pada suatu hari di bulan Disember 1975, aku tidak dapat menghadirkan diri kerana terpaksa bertarung hebat untuk menjadi dewasa dengan mengagahi diri dikhatankan secara kampung. Duduk diatas batang pisang dengan tok mudimnya bermisai tebal yang tipikal gambarannya dengan dipegang sampai tidak mampu bergerak sedikitpun oleh Abang Tambi dan dua lagi abang saudara. Lupa sudah dengan tarikh selection dan ditambah pula dengan menahan ngilu selepas kena penangan pisau tok mudim. Diawal tahun 1976, semasa memulakan sesi persekolahan darjah 6, ramai member bertanyakan kenapa tidak hadir masa pemilihan team bola sekolah pada bulan Disember lalu. Coach tanya pasal apa aku tidak hadir masa pemilihan pada rakan-rakan yang hadir. Seorangpun tidak tahu sebabnya. Maka terlepaslah peluang untuk mewakili sekolah disebabkan khatan yang perlu dihadapi.
Apapun pandai benar pihak Astro untuk permainkan golongan sasar mereka. Ada ke disuruhnya kita untuk melanggan lagi dengan Astro Sport pula andaikata ingin mengikuti kesemua 64 perlawanan. Sudahlah fee langganan dengan Astro telah dinaikkan yang kononnya untuk meningkatkan mutu perkhidmatan mereka walaupun menjadi polemik sekejap akan perlu tidaknya dinaikkan. Namun kita ada pilihan. Kalau mahu tengok semuanya kenalah bayar lagi untuk saluran Astro sports tapi andaikata tidak mahu biarkan sahaja. Jangan termakan umpan yang dihamburkan. Apapun sebagai memancing pelanggan sedia ada Astro, kita berpeluanglah mengikuti perlawanan pembukaan Piala Dunia edisi 2014 ini. Game pertama antara Brazil dengan Croatia. Semua orang sedia maklum akan kemenangan pada pasukan tuan rumah. Tapi bagi diri aku pula bukan kemenangan yang menjadi keutamaan didalam mengukur kejayaan tapi adalah usaha bijak mengatasi pihak lawan. Jahatnya permainan ini adalah tidak membenarkan pihak lawan menjaringkan gol dan sedaya upayanya menghalangi usaha pihak lawan membolosi pintu gol mereka pula. Didalam dua pasukan yang bertanding dimana aku tidak menyokong mana mana team, aku lebih cenderung menyebelahi pasukan yang 'down'. Perancangan serta usaha gigih mereka serta dengan keberanian dan kepintaran menyerang mungkin akan menghasilkan gol. Perancangan jahat pasukan yang leading dengan sekadar bertahan mengagalkan segala cubaan pihak lawan amat tidak menarik perhatian aku kerana takut mengalami kekalahan. Ini membosankan. Sebenarnya, permainan bola, perlukan kerja keras untuk senantiasa cemerlang dalam semua bahagian, barulah kemenangan itu penuh erti. Permainan yang melibatkan pasukan yang gah menentang pasukan yang kerdil, aku lebih senang menyebelahi pasukan yang berkemungkinan untuk kalah. Kekentalan serta semangat juang mereka membuatkan game lebih bervariasi. Tidak mustahil juga keputusan upset boleh tercipta.
Sebenarnya banyak hal yang boleh diaplikasikan didalam kehidupan seharian bagi mereka yang mahu mengunapakainya. Antara kenyataan yang utama adalah kerja berpasukan yang mantap boleh mencapai kejayaan. Begitu juga semangat gigih serta fokus kepada arahan dan misi pasukan jarang sekali mengecewakan. Banyak lagilah iktibar yang boleh digarapkan dari permainan ini. Umpamanya pemain yang diangkat sebagai pemain terbaik Fifa belum tentu lagi boleh menyerlah. Messi pada game menentang Bosnia pagi ini nyaris dimalukan bila gagal menyerlah serta terkial-kial pula mencari gol sulung buat pasukannya. Malah gol pertama Argentina dihadiahkan pula oleh Kolasinac pada minit ke-3 permainan. Nampak macam Bosnia boleh makan. Dalam pada itu komen komen selari yang sama sibuk ketika game tengah rancak sedikit menganggu tumpuan. Kekadang tu ulasan yang dibuat tu memakan diri. Sebelum Messi membuat larian ke pintu gol lawan adalah dalam 3 ke 4 minit ketika mencipta gol sulung peribadinya untuk Piala Dunia ini pada minit ke 65, pengulas seakan mengutuk kebolehan Messi bilamana mempertikaikan kemampuannya di piala dunia. Edisi 2010, Messi gagal menjaringkan sebarang gol dan sampai ke minit semasa membuat ulasan masih belum berjaya menjaringkan gol. Begitu jugalah ketika melaporkan yang pihak Bosnia telah mula hilang semangat. Habis sahaja menyebutnya, tiba-tiba Ibisevic melorongkan bola betul-betul dicelah kelengkang keeper Argentina diminit ke-84 permainan. Meleleh sahaja bola bergolek kepintu gol. Aku gelakkan pengulas tersebut yang tidak menyangka perkara sebaliknya pula yang berlaku. Maknanya setiap detik sehingga saat terakhir permainan, maka segalanya berkemungkinan. Begitu jugalah didalam kehidupan ini, yang kaya tidak semestinya akan kekal kaya dipenghujung hayatnya dan golongan marhaein boleh sahaja dihormati juga dengan keizinanNya. Yang pasti banyak masa akan terbuang dan menjadi tidak produktif buat golongan sasar ini disepanjang musim bola yang akan berakhir pada 13 Julai nanti bersamaan 15 Ramadhan 1435H. Pilihan ditangan sendiri. Hendak yang mana. Masa tidak akan menunggu kita. Buat perkara yang betul ke atau buat yang salah juga, dunia ini tidak akan berhenti berputar disebabkan tindakan kita. Ianya akan terus berputar dan berputar sehinggalah sampai kedetik akhirnya.
والله اعلم !