Sunday, November 15, 2020

Berbumbungkan awan nan kelabu...

15 NOVEMBER 2020, 23:23

Hari ini adalah hari kedua Deepavali 2020. Kebetulan lagi, aku bercuti 3 hari berturut turut sehinggalah hari Selasa. Sejak rumah lama di Alai mula dirobohkan pada Rabu 11/11/2020 tetiba sahaja rasa kesayuan mendatangi diri. Isnin 09/11, aku ada datang menjengah tapi tiada sesiapa ketika itu. 'Berat' pula pada masa kedatangan itu dan hati pula berbelah bahagi. Terasa macam belum puas menatapnya. Berpusing kebelakang rumah tapi tiada menemukan sesiapa. Keretapun tiada. Mungkin berpergian, entah kemana. Meleju sahaja kekereta untuk bergerak pergi. Setelah diatas jalan, bertepuk dahi aku bilamana hasrat hendak mengambil gambar video sekeliling rumah buat kali penghabisan sebelum kerja kerja merobohkannya tidak kesampaian. Terlupa yang teramat sangat atau memang telah ditakdirkan. 

                                                   Jaclyn Victor - Wajah


Sehari selepas itu, ketika sedang menikmati sarapan pagi, Tiqah menalipon Mak Udanya memaklumkan yang rumah telah mula dirobohkan semalam iaitu 11/11. Membuat video call sambil menunjukkan bukti akan sebahagian rumah yang telah dirobohkan. Dilanjutkan dengan memberitahu yang hanya bahagian dapur sahaja yang dibiarkan buat sementara waktu. Selesai minum dan tidak lengah lagilah aku serta orang rumah bergegas menuju ke destinasi tujuan. Aku mahu melihat sendiri dengan mata kepala aku keadaan terkini. Sebaik sampai sahaja kelihatan 2 orang pekerja yang kemudiannya setelah diperkenalkan oleh kakak tunggal aku sebagai 'Wak' yang merupakan towkay dan seorang pembantunya. Keduanya adalah orang Indon. Sekali pandang, macam hendak tergelak pun ada bilamana wajah si-towkay mirip mirip dengan rendangnya saling tidak ubah macam 'Wak Mustar' dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Tinggal kenangan

inchargenya - Wak Sotomo


Macam biasalah, kakak aku menceritakan hal kejadian semalam tanpa disoal ditanya. Segala yang terlintas dilaporkan tanpa mengikut urutan. Saling bersilang antara pelbagai topik. Rasa penat mengangkat berdua dengan Abang Razak akan pelbagai barangan yang tetiba sahaja semalam ketika munculnya pekerja binaan 'Wak' memulai kerja kerja merobohkan rumah. Sempat lagi bertanyakan samada kenal Rashid, budak Alai, yang terlebih mengenali orang rumah dan juga aku yang katanya sesama kerja di kilang MTM @ kilang alai dahulu. Dalam pada bercerita itu, dicucuknya pula dengan pertanyaan harapan - kalaulah dapat dalam RM20K, cepat rasanya kontraktor ni buat kerja.

Entah apalah yang diborakkan dengan iparnya, keesokkannya, Jumaat aku perlu menghantarkan lauk asam pedas ikan tenggiri dan sayur lemak pisang sebagai juadah makan tengahhari beserta dengan karipap frozen 2 paket. Alasannya, kesian, mana sempat hendak masak dengan keadaan rumah yang tengah dirobohkan dengan berjalan kesana kesini iaitu merujuk akan hal kakak aku yang liat serta lambat memasak. Ketika sampai dalam kurang lebih ke 12:00 tengahhari, kelihatan dia tengah membersihkan kawasan sekitar sambil mencangkung ditepi longkang dibawah redupan pokok mangga. Rasanya sambil membersihkan kawasan sambil memantau pekerja Indon tengah membengkokkan besi dikejauhan. Bila aku menanyakan akan Abang Razak, cepat cepat dia menunjukkan akan suaminya itu dicelah celah 5 pekerja Indon. Laju sahaja aku membuat komentar, ooo jadi 'site supervisor'. Spontanlah tergelak kakak aku. Maklumkan agar beritahu abang Razak supaya jangan terlalu rapat menyibuk takut nanti tidak tersengajakan atau tidak terperasan besi atau apa sahaja objek yang mungkin terpelanting terkena. Lagi satu hal pula hendak membetulkan. 


Manakala hari ini semasa tengah bersarapan nasi goreng, aku maklumkan yang selepas sarapan akan ke Alai. Kelihatan tiada sesiapa pagi ini. Namun selepas memarkir Alza ditepi gazebo dan ketika melangkah keluar tetiba terdengarkan anak buah layankan lagu thema 'Bersamamu' nyanyian Jaclyn Victor sebelum muncul dipintu bahagian dapur. Mungkin dia hendak buat gimik kat mak uda tapi bila terpandangkan aku, segeralah dia berhenti bernyanyi sambil menanyakan akan ketidakhadiran mak uda-nya. Aku sekadar senyum dan ia-kan sambil melihat sekeliling kawasan yang telah berpancang.

Melihatkan keseluruhan rumah 'ibu' yang telah dirobohkan, ada semacam satu perasaan yang teramat payah untuk digambarkan. Disinilah aku dibesarkan. Disinilah aku mula mengenali dunia. Dan disini jugalah aku diasak dengan pelbagai dugaan masa remaja aku membawa kepada kedewasaan. Belum puas rasanya menatapi. Rumah dari pusaka datuk nenek dan diperbaharukan sedikit demi sedikit dimana aku turut sama terlibat dan menatapinya sehingga siap sepenuhnya pada tahun 1978. Ingat lagi insan yang 'inscribe'-kan tarikh siapnya dipintu haluan ke-dapur oleh Abang Karim 'Buaya' ketika simen lantai 'merah' mula mengeras ketika itu. Cantik tulisan dia.

Aku berharap agar tiada sebarang kesulitan yang bakal menganggu melewatkan kerja kerja binaan. Amat berharap juga yang segalanya selesai sebelum menjelangnya Ramadhan 1442H pada pertengahan April 2021.