September 24, 2019 09:14
Pagi ini aku bercuti mingguan. Seperti biasa dan kebiasaan yang dilakukan, saban kali bercuti pastinya aku dan isteri akan ke pasar untuk stok seminggu. Entah bila agaknya kebiasaan ini akan sampai ke penghujung masa. Bila tibanya, tiada siapapun yang tahu dan apa yang pasti ketika itu akan sampai jua akhirnya. Mahu tidak mahu apatah lagi suka ataupun tidak, ianya tetap akan hadir dalam rentetan kehidupan. Namun sebelum tibanya detik itu, haruslah merencana kehidupan dengan sehabis baik demi mengejar mendapatkan keredhaan Illahi.
Sesungguhnya tiada insan yang mahukan corak kehidupannya senantiasa dirundung malang tambahan pula yang tidak berpenghujungan. Semua kita, kalau boleh... ya, kalau bolehlah mahukan serba serbinya sempurna. Tiada cacat cela yang menganggu kehidupan harian bahkan sampai kepenghujung hayat melayari sesempurna yang boleh.
Dikala usia yang sudahpun melepasi 55 dan jika menoleh kembali kebelakang tentulah banyak hal yang mahu sahaja diulang lakukan demi melaksanakan dengan sebaik mungkin. Tapi apakan daya, segala yang dilakukan dahulunya hanyalah sekadar untuk direnungkan dan dinilai semula agar mereka yang kemudian dari kita, moga mampu mengharungi dengan pendekatan yang terbaik dan paling baik.
Namun nasihat yang akan diberikan mengikut keadaan tidak semestinya bulat bulat diterimapakai oleh mereka yang harus melalui dan menghadapi keadaan yang dulunya pernah kita lalui. Tambah tambah pula dari kita yang biasa biasa dan tidak menunjukkan perubahan yang 'significant' pada pandangan mereka yang hendak kita nasihatkan.
Terpulanglah. Kita cuma memberi perspektif dari sisi lain dan berpandukan pendekatan yang telah diambil dan mengalaminya sendiri.