Saturday, May 4, 2013

Pru 13, antara transformasi dan reformasi

Disaat aku belum melelapkan mata diketika ini, ingin pula mencoretkan sesuatu sebagai dokumen tentang warga Malaysia yang akan turun mengundi hari ini. Pemilihan wakil rakyat, kononnya untuk berkhidmat kepada pengundi semuanya bagi DUN masing-masing serta melaksanakan segala janji yang diucapkan bakal terjawab dalam tempoh masa lima tahun sebaik sahaja pemenangnya diumumkan sebelum tengah malam nanti. 

Apapun, adalah penting dan amat elok sekali kiranya setiap pengundi menyimpan segala dokumen yang ada, baik dalam bentuk ucapan dan ceramah yang dirakamkan, risalah yang diedarkan disimpan baik-baik atau lebih canggih lagi di'digital'kan yakni scan dan simpan dalam multi format(pdf, tiff, jpeg dan sebagainya) untuk dihamburkan kembali kepada orang yang digantungkan segala harapan untuk memimpin tapi tidak melaksanakan dengan sesempurna yang boleh. Maka amat malanglah pengundi di kawasan yang pemimpinnya tidak melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan tapi terhegeh-hegeh masa meminta undi untuk menjadi pemimpin. 

Terus terang kata, dua kelompok parti yang bersaing meraih undi warga Malaysia ingin membawa kepada perubahan yang lebih baik dari yang dialami dan dirasai oleh setiap warganegara kini. Dikala masa berkempen inilah bakal-bakal pemimpin dan juga sama sibuk pemimpin yang telah sepenggal dan ada juga yang lebih dari sepenggal berlumba-lumba ingin merasai denyut kehidupan setiap pengundi dikawasan yang mereka tandingi. Namun sebagai pengundi, aku secara peribadi amat kecewa kerana calun yang bertanding pada pandangan mataku rata-ratanya tidak punyai keinginan dan lebih lebih lagi keazaman untuk menegakkan hukum Allah selaras sepertimana yang dianjurkan oleh junjungan besar kita , Muhammad saw. Kita tiada pilihan ketiga. Adapun calun bebas yang bertanding sekadar syok sendiri dan lebih kepada 'ada udang disebalik batu' nampak gayanya. Misalnya, apa kejadahnya Nek Mon bertanding di Kuala Terengganu serta Herman Tino di Tanjung Karang. Kalaulah para pemimpin yang sudah lama tapi masih lagi merasakan dialah yang lebih bagus dan juga para bakal pemimpin baru tahu akan erti pemimpin dan tanggungjawab pemimpin serta mengerti dan memahami segala adab-adab memimpin dan ciri-ciri yang seharusnya ada pada diri seorang pemimpin atau senang cakaplah 'code of ethics', rasa-rasanya ramailah yang tidak layak dan bagi yang punyai hemah diri akan segera tarik diri dari bertanding. Malangnya tidak ramai yang bersikap semulia ini namun masih terus mendabik dada serta berani pula mengalas tugas sebagai pemimpin. Mungkin golongan jenis ini telah menghidu peluang yang bakal tersaji kepada mereka yang berjaya menjadi pemimpin. Kalau itulah yang mereka harapkan, maka punah segala harapan dan impian warga tempatan khasnya dan juga warga Malaysia keseluruhannya. 

Apa ertinya lagi reformasi dan juga transformasi yang dijaja keseluruh negara yang sekadar menjadi penyedap mulut saja. Ingatlah bakal pemimpin semua, doa warga Malaysia yang dibohongi, apatah lagi yang dikhianati dan lebih-lebih lagi yang dizalimi serta yang dinafikan hak akan memakan diri akhirnya.

Wallahualam.