Monday, December 14, 2009

Hari Bapa Untuk Apa?

My Kids
(Mampukah aku mentarbiah anak-anak aku ni?)

Umum mengetahui yang mana setiap tahun pada minggu ketiga bulan June diistiharkan sebagai 'Hari Bapa'. Tak tahu pulak aku bila dibuat deklarasi dan ketetapan yang telah dipersetujui oleh 'dunia'. Hari Ibu pula, kalau tak silap akulah telah disambut dan sebagai pengiktirafan kepada semua ibu pula, jatuh pada Ahad minggu kedua dibulan May.
Sesungguhnya setiap hari yang kita lalui merupakan 'peluang' untuk kita merebut segala kebaikan dan rahmat yang dikurniakan oleh Allah swt. Dan dalam meniti perjalanan hidup ini, tentu saja kita berkesempatan untuk memikul berbagai peranan dalam kitaran hidup setiap yang bernyawa. Dari bayi, kanak-kanak, budak, remaja, dewasa dan usia tua nantinya(kalau sampai). Setiap peringkat pula  memerlukan approach yang berbeza. Sejauhmana dan sesempurna mana kita memikul tanggungjawab pada setiap peringkat ini pula amat memerlukan ilmu pengetahuan serta tunjukajar dari orang yang telah melaluinya. Ini boleh berlaku secara  formal ataupun tidak formal. Bergantung juga pada individu itu sendiri untuk lebih proaktif dalam memastikan setiap tindak tanduknya mengikut acuan yang dipelajari dan yang dilihatnya. Dan bagi yang berkemampuan pula, improvise dan permudahkan demi kesejahteraan ummah seluruhnya. Misalnya sistem atau aturan yang dibuat sebelum ini oleh orang/masyarakat terdahulu boleh dipertingkatkan/upgrade ketahap yang lebih sempurna atau menjadi lebih cekap. Ilham dan gesaan ini datangnya dari Allah swt jua dengan asbab kekerapan manusia mengulanginya. Antaranya, dahulu kita 'selesa' dengan kereta bergear manual, tapi kini menjadi lebih selesa dengan gear automatik pula.
Namun begitu, keadaan sebaliknya pula berlaku dalam hal hubungan sesama manusia. Diketika kita menghargai peranan bapa serta menyanjungi curahan kasih dan bakti sang ibu, hubungan kemanusiaan semakin bercelaru. Gejala sosial para remaja semakin membimbangkan. Tahap keibubapaan pasangan suami isteri menjadi tanda tanya dalam menangani setiap permasalahan keluarga. Dan lebih mencemaskan sikap endah tak endah dan rendahnya tahap kepedulian masyarakat seluruhnya dalam menyekat keruntuhan akhlak dari terus terusan merebak. Dan apa pula peranan kerajaan dalam memastikan norma-norma kehidupan berlandaskan Islam terpelihara. Setakat ber-'retorik' aje tak mencukupi. Misalnya, slogan 'Penerapan nilai-nilai Islam' di era Mahathir, serta 'Islam Hadhari' semasa Abdullah pula menerajui negara amat sedikt impactnya pada rakyat keseluruhan. Dan terkini slogan '1Malaysia' oleh Najib bukannya meleraikan apa yang bersimpul dan bercelaru malah menyebabkan yang tersimpul makin terbelit.
Mana mungkin tatkala kita menganjurkan amalan-amalan mulia untuk diamalkan dan dibudayakan, program kearah keruntuhan akhlak/moral semakin rancak dan amat hebat dilakukan juga. Program Rakan Muda dan Rakan Masjid yang bertujuan supaya orang muda mengharungi hidup diusia mudanya secara berkualiti tanpa banyak membuang masa dengan kerja-kerja yang tak berfaedah gagal menyemarakkan serta menyuburkan sahsiah diri menjadi seorang Muslim yang baik, sekurang-kurangnya. Puncanya hanyalah pelan tindakan yang pada dasarnya baik dan memungkinkan ianya untuk berjaya tapi tidak mendapat sokongan serta gagal diterjemahkan oleh pihak pelaksana kepada golongan sasaran. Ini diburukkan lagi dengan tiadanya pemantauan ataupun 'monitoring' oleh pihak yang dipertanggungjawabkan akan progress serta perjalanan program yang dibuat. Lambat serta lewatnya menangani segala permasalahan dalam melaksanakan program tersebut malah tak mampu berbuat sesuatu, kononnya takut dipersalahkan atau dituduh punca kegagalan, hanya mempercepatkan lagi ianya berkubur. Semasa ianya mula diperkenalkan, penerangan serta informasi kerap tersiar di media massa. Siaran TV persembahkannya secara besar besaran menunjukkan kebaikan program yang dianjurkan serta info yang memukau dan tentunya menarik perhatian penonton. Begitu juga dengan media cetak dimana penerangan  yang panjang lebar dari konsep serta cara pelaksanaan dan matlamat yang disasarkan disiarkan oleh akhbar utama kerajaan, tak syak lagi, iaitu Utusan Malaysia(bukannya Melayu). Segalanya dirasakan mampu membolehkan rancangan ini untuk berjaya. Apapun, terbukti kini, ianya menemui kegagalan jua. Bayangkan berapa banyak peruntukan(wanglah) dan tenaga yang dah dilabur dan melebur dek kerana tiada kesungguhan oleh pihak pelaksana dan tiadanya juga gelombang kesedaran dari golongan sasar sepertimana yang diramal/dijangkakan oleh 'pencipta' segala macam 'Rakan' ni.
Apapun, bagi diri aku sendirilah, apa yang mampu dan terdaya untuk dibuat perlulah aku laksanakan dengan bersungguh-sungguh dan penuh berhemah. Tanggungjawab seorang bapa dizaman yang serba mencabar dalam segala lapangan kehidupan adalah lebih berat dan sukar diramalkan. Umum mengetahui, bahwa setiap zaman yang berbeza perlukan cara dan pendekatan yang berlainan. Tidak semua keadaan adalah sama walaupun hadapi masaalah yang dirasakan serupa. Misalnya 20 tahun lalu dengan keadaan sekarang ni. Sesungguhnya pengalaman hidup yang diharungi oleh setiap individu merupakan 'lesson' yang amat berharga untuk disesuaikan dengan permasalahan terkini. Menyempitkan skop dalam menangani serta perbaiki keadaan tidak memungkinkan kejayaan malah boleh saja merumitkan lagi keadaan. Misalnya usaha memulihkan golongan muda yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah tidak hanya semata-mata dengan mengurungkan mereka ini di 'Pusat Serenti' dan dengan harapan program yang dibuat untuk mereka ni mampu menyedarkan serta memulihkan bila saja tamat tempoh pengurungan tersebut. Ada yang tak kena ni tapi buat tak perasan atau mengambil sikap 'peduli apa aku' atau ada agenda lain. Semuanya berkemungkinan. Tapi hakikatnya, yang keluar tidak bertambah baik malah terpaksa dimasukkan semula buat kesekian kalinya. Begitu juga jumlah penghuninya, bukannya semakin berkurangan tapi makin bertambah sehingga menimbulkan masalah nak mengurus serta mengawalselia mereka pula. Seperti ada yang tak kena dalam proses pelaksanaannya. Apataknya, orang yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program tersebut lebih kepada 'makan gaji' dan bukannya benar-benar hendak membantu memulihkan anak bangsa yang terjebak ini. Niat mereka hanyalah untuk bekerja. Nak bagi anak bini makan. Kalau tak kerja, tak berasaplah dapur. Bila niat bekerja tu hanyalah nak cari makan, maka mereka hanya melakukan apa saja yang disuruh dan diarahkan. Tak lebih dan tak kurang. Buat apa buat sesuatu yang tak diarahkan, buang masa dan memenatkan. Lebih baik buat sekadar yang diarahkan. Dan inilah mentaliti petugas yang menafikan setiap program yang dirancang dari menemui kejayaan.
Walaupun petugas dilatih sebagus mana sekalipun, waima dibawakan pakar motivasi terkenal dan terhebat sekalipun, namun belum cukup bagus untuk memulihkan anak bangsa andaikata golongan yang diamanahkan mengambil sikap sambil lewa dan tidak menyedari besarnya tanggungjawab yang harus dipikulnya. Maknanya perlu adanya 'gelombang' kesedaran dari semua pihak. Penagih perlu ada kekuatan diri untuk berubah serta pihak petugas punyai tugas dan misi memastikan program mencapai kejayaan. Komitment yang jitu amat dituntut disini. Kalau tak, lupakan aje. Semuanya akan menjadi sia-sia dan buang masa sahaja.
Dalam hal menjadi seorang ibu dan bapa yang berketrampilan bukannya satu hal yang mudah. Banyak perkara perlu diketahui serta dimengertikan. Itu belum lagi bentuk dugaan dan rintangan yang bakal ditakdirkan keatas seseorang yang bergelar bapa kononnya. Masa depan yang perlu ditempuhi tidak terduga oleh sesiapa juapun. Dalam pada sihat-sihat hari ini, mungkin esok mahupun lusa, ditimpa kecelakaan dengan tak semena-mena. Misalnya, 'stroke' separuh badan aje ataupun kudung kaki/tangan akibat kemalangan jalanraya. Apakah kita mampu, diketika itu, mendabik dada seraya berkata, 'Akulah bapa mithali', sedangkan segala makan pakai kita diurusi oleh anak-anak(kalau ada) serta isteri(itupun kalau tak cabut lari). Memang menjadi lumrah alam, kita akan disanjung ketika kita kuat dan banyak berbuat jasa terhadap keluarga. Tapi apakah jaminan perhargaan yang diberikan itu akan berterusan bilamana ditimpa kecelakaan. Sukar dijangkakan. Hanya ketentuan-Nya jualah. Yang pasti, sejauhmana dan setakat mana yang terdaya dan termampu diusahakan bagi memastikan 'seluruh' anggota keluarga dijauihi dari panasnya api neraka nanti, dikira sudah memadai. 

Waulahualam.