Thursday, October 24, 2024

Dugaan pasti akan menjengah diri

Dugaan pasti akan menjengah diri

Memang tidak dapat disangkal oleh sesiapa jua pun akan pernyataan ini. Memasing dikalangan kita sudah tentunya akan melalui liku liku perjalanan kehidupan yang rencam sifatnya. Andai tidak begitu tentulah begini yang harus ditempuhi.

Disetiap detik masa meniti usia, empunya dirilah yang lebih ‘pasti’ ketahui akan keperitan yang terpaksa diharungi. Orang ‘luar’ sekadar melihat sahaja. Apa yang termampu mereka buat hanyalah bersimpati dengan apa yang dialami dilalui oleh kita. Hakikatnya kitalah yang perlu ada kekuatan diri untuk depani segala permasalahan.

Aku bukanlah hendak perbandingkan ‘nasib’ antara engkau dan aku. Tidak, malah tidak terlintaspun dihati. Cumanya aku sendirian kehairanan memikirkan. Sudah tentu tiada peliknya akan apa yang perlu dan patut berlaku andai kita tahu kedudukan diri. Segala sesuatu itu adalah atas ketentuan dariNya, Tuhan Pemilik Sekalian Alam ini. Sepertimana pernah aku coretkan terdahulu, adalah tidak berbaloi mencongak menjangkakan perkara yang bakal mendatang nantinya mengikut percaturan kita. Siapa kita hendak memuktamadkan segala hal. Apa ‘authority’ yang kita ada.

Apapun, bersedialah diri untuk hadapi setiap dugaan kehidupan ini dengan penuh ketabahan. Berlapang dadalah. Berbuatlah apa jua tindakan yang dirasakan paling terbaik. Selebihnya berserah dirilah kita kepadaNya.

Saturday, October 5, 2024

Tekun menekuni

3, October 2024, Thursday 12:18pm 

Tekun menekuni

Rasanya tiadalah lagi yang harus diberi perhatian selain dari persiapkan diri untuk 'kembali'. Bertuahlah buat mereka yang telahpun menyiapkan lebih awal dalam hidupnya. Aku pula baru tersedar dan mulalah terhegeh hegeh merebut apa yang tertinggal dan yang mampu digapai. Kemampuan untuk mencapai semua sekali adalah mustahil. Ada yang perlukan bertahun menekuni barulah dapat dituai hasilnya. Sedangkan aku hanya baru kini cuba hendak mengejar. Boleh tu boleh tapi mustahil untuk mendapat keseluruhannya.


Harus akur dengan perjalanan kehidupan yang ditetapkan. Kalau ikutkan kehendak hati, mahu segalanya menjadi milik sendiri. Namun hal ini tidak mungkin boleh berlaku. Setiap orang telah diaturkan corak serta dugaan yang pelu ditempuhi sehinggalah ke akhir hayat. Aku ada plihan ke?. Tidak nampak sebenarnya. Apa yang pasti kita harus menjalani kehidupan ini penuh tabah mengikut lunas lunas serta batasan masa yang diperuntukkan.


Sememangnya tiada yang terlewat dan tercepat mengikut perancangan Allah swt. Cumanya kita sahaja yang memandai mandai persoalkan kenapa dan mengapa aku tidak perolehinya pada sekian sekian masa. Kekadang kita mencuba tapi gagal mencapainya. Ada orang sekali 'usaha' sahaja sudah menemukan kejayaan. Pada situasi sebeginilah yang menghadirkan rasa ketidakpuasan hati, cemburu yang meruap ruap dan berlanjutan kepada tindakan merosakkan 'kejayaan' orang yang dibenci ketahap yang tidak terfikirkan akan dilakukan oleh seseorang.


Aku hanya pasrah dengan apa yang ada dan apa yang terjadi kepada orang lain. Aku belumlah lagi sampai ketahap menyulitkan orang lain. Apa yang terjadi itulah yang perlu direnungkan sedalamnya. Namun berlebihan sesangatpun tidak sepatutnya kerana yang merancang dan menentukan bukanlah kita. Sebagai seorang hamba yang tentunya terikat dengan aturan dan jauh sekalilah untuk ingkari arahan, jalani sahajalah kehidupan ini menuruti dan melewati ketetapan masa yang telah diperuntukkan.


Kini, saban hari, aku tidak lekang dengan mempelajari bahasa Arab Al-Quran. Biarlah aku lengah bertahap memahamkan asalkan aku mampu mengingati apa yang aku pelajari itu. Pelbagai tips dan panduan diutarakan oleh pengendali content yang merupakan ustadz yang berkemahiran dalam bahasa Arab bagi memudahkan sesiapa juapun yang berminat bersungguh untuk memahami al-quran. Aku tergolong dikalangan mereka yang masih belum 'fasih' akan bahasa arab al-quran. Namun tekad dan usaha bersungguh moga aku mampu setanding dengan mereka atau setidak tidaknya menghampiri rapat dibelakang mereka.


Moga aku dipermudahkan...