27 August 2024, Thursday 12:43am
Risau semakin menghampiri
Diketika ini selalunya sekitar 11:30 aku akan bersiap untuk tidur. Tapi kini waktu telah lepasi dari kebiasaan untuk aku melelapkan mata. Tidak ketahui mengapa dan kenapa aku berkeadaan sedemikian. Hendak fikirkan tentang dunia lagikah aku. Tidak sesungguhnya jika melibatkan diri aku sendiri. Makanpun sekadar menjamah dan tidak keterlaluan sampai tahap melahap. Ala kadar sahaja. Begitu jugalah dengan hal keduniaan lainnya. Hendak merebut harta dan menambah harta rasanya memadailah apa yang ada. Cukup makan pakai selagi ada hayat. Tengoklah nanti samada KWSP yang dipunyai cukup atau tidak menampung keperluan hidup di alam tidak lagi bekerja bergajian. Yang lebih penting, adakah simpanan 'hari tua' aku ini memberi manfaat penuh keberkatan atau mendatangkan petaka yang tidak aku ingini.
Memanglah selagi hidup selagi itulah perlu bekerja. Ini aku tidak nafikan. Namun setiap dari kita ada kekangan yang perlu dihadapi dengan tenang. Tidak semua dari kita bernasib baik menurut perkiraan kita. Bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengukur tahap 'bernasib baik' yang dimaksudkan. Namun membandingkan antara sesama adalah sesuatu yang tidak mungkin akan menemui 'jawaban' yang tepat. Apa yang terjadi kepada diri seseorang adalah aturan yang telah ditetapkan dan harus diharungi sehinggalah ke penghujung usia. Rasanya, sepertimana yang pernah aku coretkan terdahulu, tidak berbaloi memikirkan dan seolah membuang masa 'berharga' yang tersisa diperuntukkan untuk diri sendiri.
Kekadang kita rasa seperti ada pencanggahan. Disatu pihak menganjurkan agar kita saling membantu. Menolong memajukan kehidupan agar mampu berdikari dan sesama bergerak kehadapan. Manakala ada segelintir yang lainnya berpandangan yang hidup adalah satu perlumbaan. Lengah dan lambat bertindak, alamatnya tertinggal di belakang.
Kita adalah diri kita disaat ini. Apa yang ada kini dan apa yang dimiliki adalah usaha dan 'ehsan' dariNya. Terpulanglah kepada empunya diri untuk melihat 'keadaan' semasanya dari mana mana sudut yang dipilihnya. Samada betul ataupun salah sudut pandangan yang dipakai, maka itulah gambaran yang pada pemahaman dan pengalaman yang selama ini dilaluinya.
No comments:
Post a Comment