Saturday, July 12, 2025

Eddie yang mengembalikan nostalgia

 

Eddie yang mengembalikan nostalgia

Jul 8, 2025, 1:27 PM

Hari ini aku memandu ke Econsave Batu Berendam mendapatkan kentang ‘lagi’ untuk pembuatan karipap. Didalam pemanduan ini aku layankan folder 80an 2, lagu lagu mp3 yang aku pilih untuk pendengaran pemanduan. Dari beratus lagu yang aku parked dalam folder ini, aku programkan ‘random from folder’. Maksudnya lagu lagu yang akan berkumandang nanti tidaklah mengikut urutan @ alphabetical order. Randomly akan tetiba terdengarkan dan tertera tajuk lagu di screen.

Eddie Hamid, penyanyi era 80-an
          

                                                        Segalanya Telah Berakhir...


Terkait dengan lagu yang didengari ini, ‘Segalanya Telah Berakhir’, tetiba imbauan kenangan menghampiri. Teringat lagi semasa baru join Jaya Jusco cawangan Melaka dan sesama pula menjadi perintis kepada outlet Jusco yang pertama diluar Lembah Klang, mulalah mencari ‘member’ yang sekepala. Disebalik kesibukan bertungkus lumus melaksanakan tugas memasing dalam mengejar masa pembukaannya pada 18 October, 1991, sempat lagi berkenalan mendapatkan kawan baru. Tidaklah janggal sangat bila datang ke tempat kerja. Dalam tempoh sebulan dari tarikh pembukaan rasmi, semua pekerja ‘baru’ dalam satu shift sahaja. Normal shift, ketika itu mulai dari 9:00am sampailah ke 5:00pm. Makanya tentulah sering bertemu dan sedikit demi sedikit memasing menyesuaikan diri sesama pekerja dan premis baru serba modenlah juga masa era 90-an.

Setelah berlangsungnya pembukaan rasmi oleh Tamby Chik Karim selaku ketua menteri Melaka, dipecahkan kepada 2 shift. Shift pagi dari 9:30 pagi ke 5:30 petang. Manakala shift petang pula dari 2:30 petang sampailah ke 10:30 malam. Operasi perniagaan open to customer adalah dari 10:00 pagi ke 10:00 malam setiap hari. Hebohlah juga dimana warga Melaka mendapat pusat membeli-belah serba moden dan banyak kelainannya dari pasaraya yang sedia ada. Parking luas serta ada parkir di roof-top dan berbangunan sendiri. Kejutan yang orang Melaka lalui serta sebagai pekerja tentulah berbangga menjadi sebahagian dari keujudannya adalah pengalaman yang baru.

Selang beberapa bulan selepas hari bersejarah ini, suasana tetap meriah dan senantiasa ramai orang kita yang datang merasai sendiri ‘kelainan’ yang terdapat di Jaya Jusco. Ruang yang luas untuk supermarket dengan susun atur yang strategik memukau pengunjung/pelanggan yang datang buat pertama kalinya. Peralatan rumah, sebut sahaja apanya dia, pasti akan ditemui dan koleksi pakaian dari fesyen terkini ketika itu dari hujung kepala sampai ke hujung kaki akan dibantu oleh ‘pembantu jualan’ yang telah dilatih membantu memudahkan pencarian.

Bilamana ‘everything’ sudah settle down, tibalah masanya untuk ambil ‘cuti’ berjadual yang siap telah di-plotkan di monthly roster bagi department memasing. Kata bebudakpun take ‘a long break’. Aku tidak berapa pasti siapa punya cadangan, samada aku atau Dak Halim orang Jasin yang jadi rakan rapatlah andai hendak dikatakan demikian. Apa yang pasti pada pagi hari yang dijanjikan dalam kurang lebih ke 11:00 pagi aku dah parkir RX-Z Fairway Blue kesayangan di kawasan parkir Panggung Cathay. Selang beberapa ketika, muncul-lah Si Halim dengan motor Honda Cup ber-absorber ‘gantung’. Lihat dari appearance motornya itu, rasanya mungkin motor orang tuanya ataupun abangnya. Malaslah hendak tanya bebanyak.

Aku terima plan cuti ‘sehari’ dan temani-nya bersiar-siar sekitar bandar Melaka. Sebenarnya, aku telah dapat rasakan riaknya hendak berhenti kerja dan cuba mencari ‘rezeki’ di tempat lain. Agaknya, dia tidak berapa yakin yang bekerja di bidang peruncitan boleh juga menjamin penghidupan untuk masa ke-depan. Aku berhasrat hendak suntik ‘semangat’ juang kedalam dirinya dan inilah peluang aku melakukan sesuatu. Tiada tujuan tertentu bertemu dibandar ini. Sekadar mahu hiburkan hati, katanya. Lalu aku cadangkan ke bangunan seberang jalan setentang panggung Cathay. Didalamnya ada bowling alley dalam 12 lorong sebaris, kalau hendak main la, atau kita ber-karaoke. Ada beberapa outlet yang menyediakan perkhidmatan ini. Aku lebih cenderung kepada ber-karaoke dari bermain bowling. Dia setuju. Menyeberanglah kami berdua memasuki bangunan yang juga menempatkan hotel diatasnya. 2 floor dari bawah adalah shoplot perniagaan. Hampir tiada yang ‘vacant’ ketika berjalan sambil mengintai-intai menyampaikan ke outlet karaoke.

Aku pula yang set ‘mood’. Aku cadangkan untuk ‘try’ lagu nyanyian Zamree berentak slow kecewa, Sendiri Kesepian. Kemudian beralih ke fast tempo pula, juga lagu dari Zamree lagi, tapi tetap alunkan rasa ‘frust’ kecewa cinta iaitu ‘Tugu Cinta’. Aku boleh layan dan dia juga boleh layan kedua-dua lagu ini yang bernada rendah tak perlu terjerit-jerit. Puas nyanyi beberapa kali, aku ajak dia uji kekuatan vokal nyanyikan lagu Eddie Hamid, ‘Segalanya sudah berakhir’ secara berduet. Nyanyi sorang memang tak mampu nak ikut. Mulanya dia ambil part ‘rendah’, manakala aku try chorus-nya yang bernada tinggi. Kemudian aku suruh dia buat part chorus dan aku ambil intro part yang rendah. Ketawakan sesama sendiri bila tidak berjaya sudahi part bernada tinggi. Sesama back-up bila suara tidak ‘sampai’ hampir mencungap jugalah dibuatnya. Rasanya adalah dalam sejam mengurungkan diri di bilik karaoke itu. Tidak ramai pengunjung kerana hari itu adalah hari bekerja dan bukannya hujung minggu.

Terperanjat aku, dia belanja minum juga selain dari bayar ‘harga’ untuk lagu yang sesama nyanyikan. Air botol dengan gelas berisi ais. Coke antara minuman botol yang top dikalangan remaja. Aku, walaupun remaja ‘lanjut’, boleh layan bebudak yang 4-5 tahun lebih junior dari aku. Sambil berborak kosong lebih kepada soal kerja di Jusco tentang pengalaman hadapi gelagat customer dan perangai sesama staf, aku masuk pasal mahu cari kerja lain. Kata Si Halim ini, seronok bukan tak seronok kerja dengan Jusco, cumanya dia tidak berapa yakin atau lebih kepada suasana kerja yang dirasakan kurang selesa. Maklumlah senantiasa berdepan dengan perangai cerewetnya pelanggan dan sukar hendak berinterasi secara bersopan. Mungkin juga kekangan masa dan rasa terkurung didalam bangunan yang mana aku pernah rasai lebih awal darinya. Ikutkan, aku juga tidaklah suka sangat tapi semasa dan selepas aku ditemuduga, aku bertekad untuk kerja di syarikat Jepun ini selama mungkin. Aku sudah hampir ke angka 30 tapi masih belum ‘settle down’ soal kerjaya. Lainlah dengan Si Halim ni yang baru meninggalkan ‘alam’ persekolahan. Masih fresh tidak tahu kerja apa yang patut dibuatnya. Berbeza dengan aku yang bertahun di Kuala Lumpur mencuba pelbagai kerja tapi kecenderungan lebih kepada ‘customer service’ dalam bidang sales.

Aku cuba naikkan keyakinan dirinya dengan bersetuju akan hasratnya hendak berhenti dengan diri aku, bukti hidup, sebagai contoh. Segala pancaroba yang aku lalui selama ini, aku ikhlas menerangkan kepadanya. Dia tidak berbunyi, cuma mendengar penuh attentive setiap apa yang aku katakan. Ada hal yang aku exaggerate dalam menyedapkan cerita untuk pengetahuan dan contoh yang selayaknya dicontohi. Selesai misi aku membantu memulihkan ‘semangat’-nya, kami menuju mendapatkan ‘kuda’ memasing. 

Aku ucapkan terima kasih atas belanja nyanyi dan minum sebelum memasing menunggang ke destinasi tujuan. Aku rasa puas dapat nasihatkan dirinya agar lebih berkeyakinan dan berjaya dalam lapangan pekerjaan yang dia sendiri pilih nanti. Ingin juga untuk aku mengetahui keberadaan dan situasinya tapi mustahil kerana hilang dari radar aku selang beberapa bulan kemudiannya. Belah macam tu aje.

Harapan aku dan mungkin harapan semua orang juga, semoga dirinya berjaya mengapai akan apa yang selama ini dicari.

No comments: